Jerusha Lamptey melancarkan kempen bagi mencari video qariah mengalunkan bacaan al-Quran di Internet. AGENSI
NEW YORK 30 Jun – Kecewa kerana gagal mencari sumber video bacaan al-Quran oleh qariah wanita di internet bagi mengimarahkan bulan Ramadan, seorang pembantu profesor bertindak melancarkan kempen di laman sosial Twitternya, mendesak laman web QuranExplorer.com dan beberapa aplikasi bacaan al-Quran untuk mewujudkannya.
Portal berita deseretnews.com melaporkan, usaha murni itu dilakukan Jerusha Lamptey dari Union Theological Seminary dengan berpandukan rujukan pautan video bacaan al-Quran seperti Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman dari Malaysia, Sumaya Abdul Aziz Eddeeb dari Mesir, dan Seemi Ghazi dari Kanada serta banyak lagi pihak yang berkaitan.
Lamptey melancarkan kempen #AddAFemaleReciter di Twitter dengan menujukan kempennya itu ke laman web popular QuranExplorer.com dan beberapa aplikasi bacaan al-Quran yang lain dengan mendesak mereka untuk menambah bacaan qari wanita.
Sehingga kini petisyen itu telah menerima lebih daripada 175 tanda tangan.
“Ini merupakan isu penyertaan. Tiada apa yang melarang wanita daripada membaca al-Quran. Malah, itu adalah tanggungjawab semua umat Islam untuk belajar dan membaca al-Quran setiap hari tanpa sebarang perbezaan jantina,” kata Lamptey.
Dua tahun lalu, Persatuan Islam Amerika Utara yang merupakan pertubuhan terbesar umat Islam di AS menimbulkan kekecohan apabila Tahera Ahmad, seorang ustazah mengalunkan bacaan al-Quran secara terbuka di persidangan tahunannya di Universiti Northwestern.
Lamptey berpendapat, sudah tiba masanya umat Islam berfikiran lebih matang antara lelaki dan wanita.
“Pandangan apakah yang menyatakan lelaki yang mendengar bacaan al-Quran oleh wanita tidak mengingati Allah, tetapi terarah kepada nafsu semata-mata?,” katanya.
No comments:
Post a Comment