PARIS - PERANCIS . Agensi Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat (NSA) didakwa melakukan pengintipan ke atas dua menteri kewangan Perancis dan turut mengumpulkan maklumat berkaitan kontrak eksport, perdagangan serta bajet.
 
Menteri yang menjadi sasaran NSA adalah Francois Baroin dan Pierre Moscovici yang berkhidmat pada 2011 hingga 2014.
 
Skandal pengintipan itu didedahkan WikiLeaks kira-kira seminggu selepas laman pembocor maklumat tersebut mendakwa agensi tersebut mengintip tiga presiden Perancis sejak 2006 hingga Mei 2012.
 
Menurut laporan itu, salah satu dokumen bertarikh dari 2002 dan diperbaharui pada 2012 menunjukkan NSA meminta perkhidmatan risikan dari Australia, Britain, Kanada, New Zealand untuk mendapatkan kesemua maklumat itu.
 
Difahamkan, maklumat kontrak eksport bernilai lebih AS$200 juta (RM755 juta) yang diperoleh itu melibatkan pelbagai sektor termasuk syarikat telekomunikasi, elektrik, tenaga nuklear, pengangkutan dan kesihatan. - AFP