Tuesday, July 14, 2015

Isu Greece semakin meruncing


AP - Tsipras bercakap pada satu sidang akhbar selepas mesyuarat ketua-ketua negara EU di ibu kota Belgium, Brussels semalam.


PARIS – Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls semalam memberi amaran tindakan Greece keluar daripada mata wang Euro akan membawa malapetaka kepada negara itu dan juga mata wang Eropah tersebut.
Amaran itu disuarakan ketika pemimpin Kesatuan Eropah (EU) terus bergelut untuk mencapai satu perjanjian penyelamatan ekonomi baharu dengan Athens.
Dalam satu wawancara bersama sebuah stesen radio Perancis, Valls berkata, isu Greece keluar daripada EU tidak dibincangkan pada sidang kemuncak 19 negara EU yang berlangsung di Brussels.
“Hal itu (Greece keluar EU) akan menjadi malapetaka. Rakyat Greece akan mengalami kejutan ekonomi dengan kehidupan mereka akan menjadi lebih teruk berbanding sekarang.
“Akibat kepada EU pula, mata wang Euro akan menjadi lemah. Pendek kata, masa depan EU akan terancam,” katanya.
Menurut Valls, perjanjian penyelamatan ekonomi baharu dengan Greece masih belum dimuktamadkan.
“Perbincangan mengenainya diteruskan tetapi seperti yang ditekankan oleh Presiden (Perancis) Francois Hollande, Greece mesti kekal dalam EU,” tegasnya.
Greece kini mempunyai hutang €323 bilion (RM1.36 trilion) dengan €130 bilion (RM547.41 bilion) dipinjam daripada Jerman, Perancis dan Itali.
Athens turut meminjam €32 bilion (RM134.75 bilion) daripada Dana Kewangan Antarabangsa dan Bank Pusat Eropah sebanyak €20 bilion (RM84.22 bilion) serta beberapa bank lain.
Kelmarin Jerman dan pemimpin EU lain memberikan kata dua kepada Greece yang terdesak memerlukan pinjaman tunai dengan Canselor Angela Merkel mahu Athens keluar daripada EU ‘untuk sementara waktu’ jika masih berkeras dengan syarat dan pembaharuan yang dikemukakan oleh mereka.
Satu sumber Eropah memaklumkan kepada agensi berita AFP bahawa Perdana Menteri Greece, Alexis Tsipras, Merkel, Hollande dan Presiden EU, Donald Tusk sedang membincangkan pelan penyelamatan itu.
“Ada perjanjian empat penjuru yang dikemukakan Greece kepada 19 negara terbabit,” kata itu.
Sementara itu, jurucakap Tusk, Preben Aamann melalui akaun Twitter miliknya memaklumkan bahawa Presiden EU itu memanggil semula persidangan berkenaan selepas berehat selama beberapa jam.
Setakat semalam, satu perjanjian berbentuk kompromi sudah dicapai tetapi tiada perincian lanjut diberikan.
Tsipras sebelum ini menyatakan cadangan yang dikemukakan Merkel kelmarin ‘sangat teruk’ tetapi memandangkan bank-bank di Greece di ambang keruntuhan, beliau tiada pilihan selain akur kepada tuntutan pembaharuan EU. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0714&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3foYKdsId 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment