Tuesday, July 14, 2015

'Keluar dari PP, Selangor, jangan hipokrit'


PAS perlu segera membuat keputusan untuk berundur dari kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang, tegas bekas ketua penerangan parti itu Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, PAS perlu berbuat demikian agar tidak dilihat hipokrit memandangkan Majlis Syura Ulama telah memuktamadkan untuk memutuskan hubungan dengan DAP dalam muktamar Jun lalu, lapor Sinar Harian.

“Saya desak parti (PAS) buat keputusan untuk berundur.

“Sekiranya tidak berbuat demikian, masyarakat akan melihat PAS sebagai hipokrit,” anggota parlimen Pokok Sena itu dilaporkan sebagai berkata.

Sebelum ini, pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Samad berkata kerajaan Selangor masih kerajaan Pakatan Rakyat.

Katanya, tidak ada sebarang pengumuman yang dibuat oleh pemimpin tertinggi Pakatan yang mengatakan kerajaan Pakatan di Selangor sudah tidak lagi wujud.

"Tidak ada juga sebarang pengumuman bersama dari pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti Pakatan bahawa Pakatan ini tidak lagi wujud. PAS masih komited terhadap Pakatan dan perkara ini ditegaskan pada muktamar yang baru lalu.

"Keputusan Majlis Syura Ulama baru-baru ini juga tidak memutuskan PAS keluar dari Pakatan," katanya dalam satu kenyataan.

Oleh itu, Iskandar berkata, PAS tidak perlu keluar daripada kerajaan negeri Selangor memandangkan parti Islam itu masih lagi berpendirian untuk menjalinkan kerjasama dengan PKR.

"Tidak ada sebab kenapa PAS perlu keluar dari kerajaan di Selangor. Sekiranya PAS telah keluar dari Pakatan, maka ketika itu PAS mungkin perlu menarik diri dari sebarang kerajaan Pakatan," katanya lagi. 

No comments:

Post a Comment