Tuesday, July 14, 2015

PAS Akan Pecat Mat Sabu Dan Sekutu Yang Tubuh Atau Taja Parti Baharu


Diterbitkan: Isnin, 13 Julai 2015 8:49 PM

KUALA LUMPUR: Mohamad Sabu dan kumpulan pemimpin progresif PAS akan dipecat daripada parti itu susulan tindakan mereka menubuhkan sebuah parti baharu.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Jawatankuasa Disiplin parti akan bertindak tegas terhadap sebarang usaha untuk melemahkan parti Islam berkenaan.
"Saya ingatkan seluruh ahli parti bahawa mereka masih terikat kepada peraturan dan disiplin parti.
"Peraturan dan perlembagaan tidak membenarkan mana-mana ahli parti terlibat dengan parti lain sama ada mempromosi pembentukan parti baharu atau menggerakkan satu usaha untuk menarik ahli PAS menyertai parti baharu. Ia bercanggah dengan perlembagaan parti," katanya pada Isnin.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas sebelum majlis Iftar Mahabbah bersama media di sini.
Sebelum ini Mohamad yang juga bekas Timbalan Presiden PAS mengumumkan penubuhan sebuah parti politik baharu yang turut menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan.
Mohamad juga bertindak sebagai Pengerusi Gerakan Harapan Baru iaitu jawatankuasa penaja penubuhan parti politik baharu.
Mengulas lanjut Tuan Ibrahim menyifatkan penubuhan parti baharu yang dirancang Gerakan Harapan Baru tidak akan menyumbang kepada gabungan pakatan pembangkang yang kuat untuk menentang Barisan Nasional (BN).
"PAS meneliti perkembangan Gerakan Harapan Baru ini secara dekat kerana ia berupaya menjejaskan parti selain tidak membina sebuah gagasan pembangkang yang kuat dalam negara.
"Bagi saya, gerakan ini tiada nilai tambah seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan Parti Keadilan Rakyat, sebaliknya ia hanya sekadar berada dalam lingkungan sama.
"Pakatan baru ini wujud dalam kelompok PAS, bukan benda baharu. Mereka ini berlegar dalam lingkungan sama," katanya.

No comments:

Post a Comment