SHAH ALAM - “Betul itu status saya, tetapi ia hanya sindiran kepada Khalid sebab tidak ambil tindakan,” demikian kata bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah mengulas status Twitter yang dimuat naiknya meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menangkap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menerusi status Twitternya, Saifuddin berkata, Khalid perlu menangkap Dr Mahathir selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa bekas perdana menteri itu dalang di sebalik tuduhan terhadap dirinya mengambil dana berkaitan kerajaan untuk kepentingan peribadi.
“Perdana menteri kata Dr Mahathir dalang. Apa lagi @KBAB51 (Khalid), tangkaplah,” katanya.
Sebelum ini, Najib dalam satu kenyataan menyatakan  beberapa bulan kebelakangan ini, pelbagai tuduhan tidak berasas dilakukan terhadapnya dan keluarganya.
Menurut Najib, Dr Mahathir mencipta krisis apabila tanpa usul periksa mendakwa RM42 bilion hilang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedangkan hakikatnya ia adalah hutang yang diaudit dan disokong oleh aset diaudit bernilai RM51 bilion.
Najib turut mendakwa Dr Mahathir berada di belakang pembohongan dan berganding bahu dengan pihak asing termasuk blog politik Sarawak Report dan The Wall Street Journal.
Kelmarin, Najib turut memaklumkan bahawa beliau akan membuat keputusan dalam masa terdekat berhubung tindakan lanjut yang boleh diambil terhadap pihak yang menyebarkan dakwaan liar.