Tuesday, July 7, 2015

Rakyat tolak pelan penjimatan EU


ORANG ramai menunggu untuk memasuki sebuah bank di Athens semalam.


ATHENS – Rakyat Greece berdepan krisis kewangan yang semakin meruncing semalam dengan banyak bank ditutup dan mesin juruwang automatik (ATM) kekurangan wang tunai beberapa jam selepas mereka mengundi menolak langkah penjimatan ekonomi Kesatuan Eropah (EU) dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).
Rakyat Greece sebaliknya mahukan pelan penyelamatan ekonomi baharu yang tidak membebankan mereka.
Keputusan 61 peratus rakyat Greece mengundi ‘tidak’ berbanding 39 peratus undian ‘ya’ menyebabkan masa depan negara diambang muflis itu menjadi tidak menentu dalam Kesatuan Eropah (EU) dan mata wang Euro menjadi tidak menentu.
Jurang kemenangan untuk undi ‘tidak’ jauh lebih besar daripada jangkaan awal tetapi kegembiraan rakyat Greece menyambut kemenangan tersebut bertukar suram semalam.
Ia ekoran Greece memasuki minggu kedua sekatan kewangan dan berdepan kekurangan wang tunai tanpa petanda suntikan baharu dalam masa terdekat.
Greece melaksanakan sekatan kewangan ketat untuk mengelakkan situasi panik selepas pungutan suara rakyat selesai dan tarikh akhir program penyelamatan ekonomi negara itu tamat.
Dibelenggu kemelesetan ekonomi yang berpanjangan, kadar pengangguran di Greece kini di tahap tinggi, manakala bank-banknya kekurangan wang tunai.
Greece menjadi negara maju pertama gagal membayar hutangnya kepada IMF pada minggu lalu.
Beberapa penganalisis turut meramalkan Greece akan mengalami ketiadaan aliran tunai sehingga memaksa kerajaannya mengeluarkan mata wang sendiri sekali gus menjadi negara pertama meninggalkan zon mata wang euro yang diwujudkan sejak 1999.
Majlis Pentadbir Bank Pusat Eropah juga dijangka tidak akan memberi bantuan kecairan tunai tambahan kepada bank-bank di Greece bermula semalam. Bantuan EU/IMF yang mencecah 90 bilion euro (RM379.36 bilion) kepada Greece tidak ditambah sejak beberapa hari lalu dengan menyebabkan sistem kewangan negara itu tergantung.
Tanpa bantuan tambahan, rakyat Greece mungkin tidak boleh lagi mengeluarkan walaupun wang tunai 60 Euro (RM253) seperti yang dihadkan sekarang. – AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0707&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3f9Vt07Yz 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment