Saturday, August 29, 2015

KDN larang pakaian kuning, risalah Bersih 4



Oleh Mohd Iskandar Ibrahim


KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengeluarkan perintah melarang pakaian berwarna kuning yang dicetak dengan perkataan 'Bersih 4' serta apa-apa bahan bercetak dan risalah yang mendorong kepada perhimpunan itu.
Warta Kerajaan Persekutuan berhubung Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (NO.22) 2015 bertarikh 27 Ogos 2015 itu disiarkan di laman web rasmi Pejabat Peguam Negara.
Perintah itu dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan berkuat kuasa 28 Ogos 2015.
Perintah itu dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri melalui kuasa yang diberikan kepada beliau mengikut Subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
Menurut perintah itu sebarang percetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan yang diperihalkan dalam Jadual yang mungkin memudaratkan keselamatan, yang mungkin berlawanan dengan mana-mana undang-undang dan yang mungkin memudaratkan kepentingan negara adalah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia.
Warta itu memperincikan Jadual sebagai:
* Apa-apa pakaian berwarna kuning yang mengandungi perkataan 'Bersih 4'.
* Apa-apa bahan bercetak lain dan risalah yang mendorong kepada perhimpunan Bersih 4.
Selasa lalu, Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan berkata Bersih 4.0 adalah pertubuhan tidak berdaftar yang menyebarkan propaganda, menghasut rakyat negara bagi tujuan negatif terhadap kerajaan.
Bersih 4 merancang untuk mengadakan perhimpunan haram di sini, Kota Kinabalu dan Kuching selama 34 jam, pada esok dan lusa.

No comments:

Post a Comment