Saturday, August 29, 2015

Bersih 4 cuba hancurkan negara - Shabery Cheek



MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memetik cendawan tiram kelabu semasa melakukan lawatan ke tapak pameran di Majlis Pelancaran Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Selangor Tahun 2015 di Perkarangan IADA Barat Laut Selangor, Kuala Selangor. - Foto Roslin Mat Tahir.
KUALA SELANGOR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata penganjuran perhimpunan Bersih 4 di ibu negara hari ini dan esok bukan sahaja cuba menukar kerajaan malah berniat menghancurkan negara.
Beliau berkata, ini kerana penganjuran perhimpunan haram itu menggunakan modul sama seperti yang dipraktikkan dalam pemberontakan 'Arab Spring' di negara-negara Asia Barat.
"Kita dah lihat modul digunakan Bersih sama dengan mereka yang ingin jatuhkan kerajaan melalui 'Arab Spring' di mana tiada ketua atau organisasi yang jelas bertanggungjawab selain menggunakan media sosial.
"Bila kerajaan di Libya, Yaman hancur, rakyat yang menderita sehingga ada yang terpaksa melarikan diri ke negara lain. Akhirnya siapa yang bertanggungjawab (terhadap perhimpunan itu)? Ini yang cuba dibuat oleh Bersih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Selangor di sini, hari ini.
Justeru itu, katanya beliau tidak hairan apabila penganjuran Bersih 4 mendapat sokongan pihak luar yang jelas mahu melihat Malaysia tidak stabil dan tidak aman.
"Bersih ternyata tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada negara. Lebih menyedihkan penganjuran perhimpunan ini turut mengganggu persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia pada Isnin ini," katanya.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment