Kesilapan itu dimaklumkan kepada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan , Datuk Abdul Rahman Dahlan apabila beliau menyiarkan gambar sebuah rumah dan menyatakan bahawa bil telah dihantar ke pejabat Bersih yang terletak di sebuah kawasan perumahan.
"Hari ini pegawai saya pergi ke pejabat berdaftar Bersih untuk menghantar bil pembersihan sebanyak RM65 ribu. Ia dikunci dan tidak dijaga," katanya di akaun Twitter @mpkotabelud , Jumaat.
Dia kemudian menyiarkan gambar sebuah rumah dua tingkat yang usang.
Aktivis Bersih 2.0 Mandeep Singh kemudian menulis di akaun Twitternya @mandeepkarpall kepada Rahman tentang kesilapan itu.
"@mpkotabelud untuk makluman anda, ini bukan @pejabat bersih2. Tertanya-tanya, siapa yang pilih anda jadi menteri?" dia membidas.
Sebagai jawapan, Rahman berkata, mereka akan cuba menghantar sekali lagi bil itu pada minggu depan.
"Kami akan cuba lagi untuk menghantar invois RM65k kepada Maria Chin Abdullah (Pengerusi Bersih 2.0) dan Bersih minggu depan. #payup!" beliau menulis di Twitter.
Bersih telah dikenakan bil pembersihan sebanyak RM65,000, di mana Rahman berkata ia adalah kos untuk membersihkan kawasan-kawasan yang digunakan oleh penunjuk perasaan semasa perhimpunan di Kuala Lumpur minggu lalu.
Ini, katanya, adalah tambahan kepada kos pembaikan harta benda yang rosak.
Penganjur Bersih 4 bagaimanapun, berkata mereka akan mencabar mana-mana bil pembersihan yang dihantar oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan menyifatkan tindakan sedemikian sebagai 'tidak masuk akal'.
Mereka menuntut untuk mengetahui sama ada bil seperti itu turut dihantar kepada penganjur perhimpunan atau acara-acara lain atau hanya untuk Bersih.
No comments:
Post a Comment