Dasar itu merupakan liberalisasi penting ke atas sekatan perancang keluarga di negara ini, yang mula dilaksanakan pada akhir 2013 apabila Beijing membenarkan lebih banyak keluarga mempunyai dua orang anak jika pasangan terbabit memenuhi syarat-syarat tertentu.
Ramai sarjana di negara ini mahu kerajaan mengubah dasar lama yang diperkenalkan pada akhir 1970-an bertujuan mengelakkan pertumbuhan penduduk yang sukar dikawal, tetapi dasar itu kini dianggap sudah ketinggalan dan menjadi punca China kekurangan buruh yang besar.
Buat pertama kali dalam beberapa dekad, umur kumpulan penduduk yang bekerja jatuh pada 2012, dan China, yang merupakan negara yang mempunyai penduduk teramai di dunia akan menjadi negara pertama di dunia yang mempunyai ramai penduduk yang tua, sebelum mereka sempat menjadi kaya.
Pengumuman itu dibuat pada mesyuarat tertutup Parti Komunis China yang menumpukan kepada reformasi kewangan dan mengekalkan pertumbuhan antara 2016 dan 2020, di tengah-tengah kebimbangan tentang kelembapan ekonomi China.
China akan ‘melaksanakan sepe­nuhnya satu dasar membenar­kan setiap pasangan yang berkahwin mempunyai dua anak, sebagai reaksi positif kepada masalah penduduk yang semakin tua”, kata parti itu dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi Xinhua.
Tiada maklumat lanjut mengenai dasar baharu itu, atau bilakah ia akan dilaksanakan. – REUTERS