Thursday, September 29, 2016

Derita hilang tempurung kepala




KEADAAN kepala Zainal selepas menjalani pembedahan.



Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my


Jempol: “Setiap kali menatap wajahnya, saya pasti mengalirkan air mata memikirkan nasibnya,” kata Hasnaini Sanihim, 33, isteri kepada Zainal Saleh, 40, yang hidup tanpa sebahagian tempurung kepala selepas dibuang akibat kemalangan jalan raya empat tahun lalu.

Tragedi pada 2012 itu mengakibatkan Zainal hanya terbaring di rumah berikutan mengalami masalah pada kedua-dua kaki dipercayai kesan daripada pembedahan membuang separuh tempurung kepalanya.

Hasnaini berkata, kemalangan berlaku jam 8.30 malam ketika suaminya yang juga seorang tukang paip dalam perjalanan pulang ke rumah dari sebuah kedai berdekatan.

“Suami dipercayai terjatuh menyebabkan dia cedera serius di kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah dan kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Dua hari selepas itu, suami menjalani pembedahan termasuk mengeluarkan tempurung kanan. Selepas pembedahan berjaya termasuk mengeluarkan darah beku, doktor memasang semula tempurung berkenaan.

“Namun, doktor memberitahu, kira-kira 10 peratus saja boleh dipasang berikutan sebahagian besar daripadanya sudah rosak,” katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh menghubungi Hasnaini di 019-6196740 atau sumbangan dimasukkan dalam akaun Bank Simpanan
Nasional atas nama
Hasnaini Sanihim 05104-41-00010098-5.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 10:19 AM

Friday, September 9, 2016

“Tuan aku nak bunuh mu!”


WARTAWAN SINAR HARIAN
8 SEPTEMBER 2016
“Tuan aku nak bunuh mu!”

“Tuan aku nak bunuh mu!” Seorang isteri dari Paka yang mengalami gangguan sihir dan saka muntah ketika dirawat Ustaz Jin.
“Tuan aku nak bunuh mu!”
KEMAMAN – “Tuan aku marah! Dia nak cari mu, nak tembak mu, nak bunuh mu,” teriak seorang wanita dengan muka marah menyinga memandang pengamal perubatan Islam, Ustaz Nor Azman Albanjary atau lebih dikenali dengan gelaran Ustaz Jin.

Ugutan itu bagaimanapun langsung tidak mengubah riak wajah lelaki berusia 45 tahun itu, sebaliknya meneruskan rawatannya hingga wanita yang pada awalnya dirasuk itu kembali sedar.

Sesi rawatan percuma secara terbuka yang dijalankan di Mak Chili, di sini, itu disaksikan sendiri kira-kira 400 pesakit yang bukan sahaja datang dari serata daerah ini, malah ada juga dari Kuala Terengganu, Kelantan, Selangor, Brunei dan United Kingdom.

Demi memulihkan kembali diri yang mengalami gangguan jin, sihir, ilmu hitam, saka, santau dan seumpamanya, pesakit dari luar sanggup datang ke daerah ini kerana memahami rawatan yang dilakukan perawat mereka itu tidak tertumpu pada  satu-satu tempat sahaja.

Mereka yang mengalami gangguan itu perlu menjalani rawatan sekurang-kurangnya tujuh kali untuk pulih sepenuhnya yang mana kaedah rawatannya hanya menggunakan bacaan ayat suci al-Quran.

Nor Azman berkata, sesi rawatan di Kemaman sudah bermula sejak 21 Julai sebelum berakhir pada 12 Ogos lalu namun disebabkan permintaan ramai maka rawatannya disambung semula sejak 15 Ogos lalu dan waktu rawatan bermula pada jam 9 malam dan berlanjutan sehingga ke Subuh.

Katanya, kira-kira 10 peratus pesakit yang mendapatkan rawatannya di daerah ini adalah disebabkan mengalami gangguan jin dan terkena sihir.

“Bahayanya penangan sihir ini hingga membuatkan ada kanak-kanak tidak mampu berjalan. Walaupun dunia kini sudah moden, namun masih banyak lagi kes-kes angkara sihir dan gangguan makhluk halus ini berlaku dalam masyarakat kita.

“Sebab itu juga kita buat rawatan di tempat terbuka untuk beri kesedaran kepada orang ramai bahawa masalah ini masih terjadi seterusnya untuk mendidik masyarakat agar mempunyai ilmu untuk menghindar diri daripada gangguan jin, sihir, ilmu hitam  dan seumpamanya,” katanya.

Nor Azman yang berasal dari Melaka memberitahu, meskipun rawatan percuma secara menjelajah ke setiap negeri menuntutnya untuk menghabiskan masa lama di sesebuah tempat namun keadaan itu tidak menjadi bebanan untuknya dan enam sukarelawan yang  membantunya mengadakan rawatan demi niat berjihad di jalan ALLAH.

Baca al-Quran, jangan baca Facebook saja


WARTAWAN SINAR HARIAN
8 SEPTEMBER 2016
ABDUL HADI AWANG

ABDUL HADI AWANG
SHAH ALAM - Ketika pandangan awam terhadap Pas disampaikan kepada Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak melatah sebaliknya mengingatkan agar ahli parti itu membaca al-Quran bukannya membaca komen-komen di Facebook.

Berkongsi perkara itu, Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, ketika menerima laporan daripadanya Abdul Hadi kelihatan sangat tenang.

“Pandangan awam itu rata-ratanya saya kutip dari Facebook, Twitter, ‘Whatsapp group’ dan lain-lain media sosial termasuk media konvensional. Sebahagian mendakwa Pas telah ditipu oleh Umno-BN, Pas akan menyertai Umno-BN, Pas salah langkah politik sehingga menyebabkan Pas akan terpinggir tanpa menafikan sebahagian yang lain pula menyokong penuh langkah Pasmembawa RUU Ahli Persendirian ke Parlimen.

“Setelah mendengar laporan saya mengenai respons yang pelbagai terhadap sikap dan pendekatan Pas, beliau hanya mengulas sepatah ayat, ‘anta baca al-Quran! Jangan baca Facebook’,” katanya dalam satu kenyataan bertajuk Sekali Serban Dililit. 51, hari ini.

Katanya, ketika mendapat respons pendek Abdul Hadi itu, beliau menanggap Presidennya itu tidak berminat untuk melayan kritikan di media sosial sebaliknya mahu terus menumpukan agenda perjuangan parti.

“Seminggu kemudian, berlangsung mesyuarat bulanan Pas Pusat dan perkara sama dibangkitkan. Sewaktu merumus perbincangan itu, sekali lagi Tuan Guru Presiden menegaskan, ‘kita kena baca al-Quran! Jangan baca Facebook saja!’.

“Cuma bezanya kali ini, Tuan Guru menghurai panjang maksud penegasan beliau bagi memahamkan ahli usrah yang hadir,” katanya.

Abdul Hadi berkata, “baca al-Quran! Al-Quran tidak ada akaun palsu. Al-Quran adalah benar! Al-Quran adalah kalam ALLAH. Al-Quran adalah mukjizat Nabi SAW. Al-Quran adalah petunjuk dan pedoman hidup kita di dunia ini untuk sampai ke akhirat dengan selamat. ALLAH SWT perintah kita dalam Al-Quran supaya laksanakan hukumNYA.”

Menurut Abdul Hadi lagi, ahli Pas tiada pilihan lain selain memperjuangkan Islam sehingga syariatNYA tegak di bumi bertuah ini.

“Jangan ikut rentak mereka yang tak faham Islam. Jangan ikut jejak mereka yang menentang Islam. Sejumlah orang di Facebook atau media sosial, jika mereka menentang Islam, jika mereka tidak faham Islam, kamu jangan ikut mereka! Ini arahan ALLAH SWT ! Baca Al Quran itu.

“Kita baca Facebook, macam-macam kata dalam Facebook. Sebahagiannya adalah akaun palsu yang memang dicipta untuk menyerang Pas. Kita kena faham perancangan musuh. Kita kena sedar! Mereka mahu cipta persepsi bahawa kita salah, kita lemah, kita bodoh dan macam-macam lagi. Sebab itu kita kena baca al-Quran,” katanya.

Abdul Hadi juga mengingatkan ahlinya agar tidak mempedulikan kata-kata orang selagi mereka melaksanakan perintah ALLAH SWT.

“Sewaktu kita mahu melaksanakan perintah ALLAH SWT, ada orang melahirkan kebimbangan kemungkinan Pas ditipu. Malah ada yang mendakwa Pas telah ditipu oleh musuh.

“Jika kita membaca al-Quran, ALLAH SWT telah jawab kebimbangan ini. Baca Facebook, kita tidak jumpa jawapan terhadap persoalan ini,” katanya.

Wednesday, September 7, 2016

Mahathir lakukan sebesar-besar pengkhianatan


6 SEPTEMBER 2016
Salleh Said Keruak

Salleh Said Keruak
KUALA LUMPUR - "Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan sebesar-besar pengkhianatan terhadap Malaysia apabila beliau meminta kuasa asing supaya campur tangan dan menumbangkan kerajaan yang dipilih rakyat Malaysia," kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Katanya, ini semua demi memenuhi kepentingan politik peribadi bekas perdana menteri itu.

"Malaysia di bawah kerajaan yang ada sekarang tidak akan sekali-kali membenarkan pihak asing untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara kita. Semua cubaan mereka (pengkritik) telah gagal dan akan terus gagal," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam blognya sskeruak.blogspot.my.

Dalam kenyataannya dengan tajuk berita 'Campur Tangan Luar, Sabotaj dan Dwistandard', menteri itu berkata: "WSJ (Wall Street Journal) dan mereka di belakangnya tentu amat kecewa apabila setiap serangan yang dilakukan, Malaysia, kerajaan, BN dan perdana menteri menjadi semakin kuat".

Salleh berkata, sejak lebih setahun lepas, sebuah akhbar Amerika Syarikat melancarkan serangan demi serangan terhadap Malaysia.

"Namun, tidak satu pun dalam sekian banyak serangan oleh Wall Street Journal itu berupaya menyertakan bukti konkrit atau memberi nama orang yang membuat dakwaan seperti yang dilaporkannnya. Oleh itu, bagaimanakah kita hendak percayai segala apa yang mereka tulis?" katanya.

Salleh berkata kini pula, WSJ mengakui Tawaran Awam Permulaan (IPO) yang dirancang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dapat diteruskan kerana terdapat laporan negatif.

"Hakikat sebenarnya ialah IPO itu sengaja disabotaj. Media tertentu seperti WSJ melancarkan kempen secara global, bertindak seperti kenderaan yang membawa pasukan bermotifkan politik seperti Tun Mahathir Mohamad.

"Mereka tahu, tindakan mensabotaj IPO itu akan mewujudkan masalah kewangan bagi 1MDB. Sekiranya syarikat itu dibiarkan meneruskan program rasionalisasinya, ia akan berjaya," kata menteri itu.

Salleh berkata anehnya, kempen terhadap Malaysia hanya dilancarkan apabila persoalan serius ditimbulkan tentang hubungan antara perniagaan dan politik di negara WSJ sendiri.

"Bolehkah kita terima apabila Jabatan Keadilan Amerika hanya menyiasat yang bersangkut paut dengan Malaysia sahaja? Berapa banyakkah individu dan entiti Amerika Syarikat yang disiasat Jabatan Keadilan itu? Kenapakah WSJ tidak mempunyai pasukan yang ditubuh khas bagi melaporkan perkara itu dengan tahap obsesi yang sama?" kata beliau.

Kesemua ini menunjukkan hakikat wujudnya dwistandard: satu set peraturan untuk Barat, dan satu set lagi untuk negara membangun seperti Malaysia, yang enggan tunduk dan menurut perintah. - Bernama

Tuesday, September 6, 2016

Saudi lebih berjaga



SUASANA di Masjidilharam, Makkah, malam kelmarin. - EPA

Reuters
Riyadh: Setahun selepas peristiwa yang dianggap antara paling teruk dalam sejarah haji, Arab Saudi tahun ini memperkenalkan gelang elektronik dan memasang lebih banyak kamera pengawasan untuk mengelak berulangnya kejadian rempuhan yang membunuh ratusan jemaah.

Ibadah haji yang menghimpunkan kira-kira dua juta umat Islam di kota suci Makkah tahun ini turut dibelenggu kebimbangan mengenai serangan militan selepas pengebom berani mati membunuh empat askar Saudi di Madinah awal Julai lalu.

Saudi selaku tuan rumah bandar paling suci umat Islam memandang serius peranannya setiap kali musim haji yang tercemar selepas kejadian rempuhan tahun lalu.

Riyadh mendakwa 769 jemaah terbunuh - jumlah tertinggi kematian haji sejak satu lagi kejadian rempuhan pada 1990.

Bagaimanapun, kiraan negara lain yang kehilangan rakyat mereka dalam kejadian itu membayangkan lebih 2,000 orang sebenarnya mungkin terkorban, dengan lebih 400 daripadanya warga Iran.

Iran mendakwa kejadian berlaku akibat kecuaian pihak berkuasa Saudi.

Tahun ini lebih banyak usaha dilakukan untuk mengawal kesesakan.

Puluhan ribu kakitangan awam, keselamatan dan perubatan menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi ibadah haji yang bermula minggu ini.

Riyadh berkata, ia mengerahkan kakitangan tambahan selain meningkatkan penyelarasan dengan misi haji negara lain untuk memastikan jemaah mematuhi jadual ditetapkan untuk setiap ibadah.

Ratusan kamera pengawasan turut dipasang di Masjidilharam.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Mansour Turki berkata: “Jadual ditetapkan amat penting dan kami perlu memastikan jemaah mematuhinya sebaik tiba di sini.”

Akhbar Asharq al-Awsat bulan lalu melaporkan Pihak Berkuasa Pembangunan Makkah membuka laluan serta pintu pagar elektronik untuk membantu pengurusan jemaah yang mahu melontar jamrah - lokasi yang banyak melihat pelbagai kejadian tidak diingini berlaku sebelum ini.

Jemaah turut diberi gelang elektronik untuk membolehkan pihak berkuasa menjejak aliran orang ramai seterusnya tahu jika terlalu ramai orang berada di tempat tertentu pada satu masa. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 11:57 AM

Sunday, September 4, 2016

Tun M senarai 14 kuasa Perdana Menteri


RAZIATUL HANUM A.RAJAK
4 SEPTEMBER 2016
Tun Dr Mahathir Mohamad


 Tun Dr Mahathir Mohamad
SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyenaraikan 14 kuasa Perdana Menteri Malaysia yang terdapat dalam Perlembagaan dan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau meringkaskan kuasa Perdana Menteri menurut akta tersebut kerana menjangkakan tidak ada sesiapa yang mahu membacanya.

“Saya terpaksa baca keseluruhan Perlembagaan dan Akta Majlis Keselamatan Negara untuk memahami keperluan atau kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri.

“Kuasa Perdana Menteri hampir tiada had,” katanya melalui catatan di blog Chedet, semalam.

Pada 17 Februari lalu, Majlis Raja-raja berpendapat beberapa peruntukan dalam Rang Undang-Undang MKN perlu diperhalusi selepas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail (kini bekas) menyembahkan taklimat mengenai RUU itu pada Mesyuarat Ke-240 Majlis Raja-raja di Istana Negara.

RUU MKN yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan telah diluluskan Dewan Rakyat pada 3 Disember 2015 sebelum diluluskan Dewan Negara pada 22 Disember 2015 dan diwartakan menjadi undang-undang pada 7 Jun lalu.

Dalam pada itu, katanya, keperluan untuk membenarkan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan mengisytiharkan darurat kerana undang-undang yang melindungi rakyat tidak terpakai ketika darurat.

“Tapi sekarang Najib (Datuk Seri Najib Razak) sebagai Pengerusi MKN akan menasihati Najib sebagai Perdana Menteri. Kuasa Najib jauh lebih banyak daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Sudah tiada lagi keperluan untuk merujuk atau mendapat kelulusan Yang di-Pertuan Agong. Najib sebagai Pengerusi MKN hanya akan menasihati dirinya sendiri sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Menurutnya lagi, Najib dilindungi sepenuhnya daripada sebarang prosiding undang-undang.

“Malah semua prosiding MKN adalah rahsia rasmi. Tiada mana-mana ahli MKN itu boleh mendedahkan apa-apa.

“Akta ini merendahkan martabat Perlembagaan. Sudah tentu ia salah. Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara. Tapi tiada siapa buat apa-apa apabila ia dicabul,” katanya.

Berikut 14 kuasa Perdana Menteri yang disenaraikan oleh beliau :

1.Menubuhkan Majlis Keselamatan Negara;

2.Mempengerusikan Majlis Keselamatan Negara;

3.Majlis menasihati Perdana Menteri – iaitu dirinya sendiri;

4.Berkuasa untuk : memindahkan orang; isytihar perintah berkurung; mengawal pergerakan, jalan, laluan air dan udara; menahan seseorang; geledah dan rampas serta menggeledah premis untuk keadaan yang bahaya;

5.Menggeledah orang untuk keadaan yang bahaya;

6.Merampas kenderaan, kapal atau pesawat;

7.Berkuasa untuk mengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta boleh alih;

8.Permintaan untuk menggunakan sumber;

9.Kuasa untuk mengarahkan memusnahkan mana-mana bangunan kosong;

10.Kuasa menggunakan pasukan yang perlu dan wajar;

11. Kuasa untuk mengetepikan inkues;

12.Kewajipan untuk menyimpan rahsia;

13.Perlindungan daripada mana-mana prosiding undang-undang dan

14.Status sebagai pegawai kerajaan.

Ibu sembilan anak hidup susah


DIANA SURYA ABD WAHAB
4 SEPTEMBER 2016
Ibu sembilan anak hidup susah

Ibu sembilan anak hidup susah Maimunah bersama empat daripada sembilan anaknya di rumah sewa mereka di tepi padang Perkampungan Sungai Karang Pantai.
KUANTAN - Kesempitan hidup yang ditanggung selepas kehilangan suami ketika keluar ke laut menangkap ikan, lima bulan lalu, memaksa seorang ibu sembilan anak menagih bantuan orang ramai untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Maimunah Abdul Shukor, 37, berkata, buat masa ini dia masih tidak berpeluang bekerja mencari nafkah menggantikan suaminya, Yusof Abu Hussein, 40, yang masih belum pulang memandangkan berada dalam tempoh berpantang anak kesembilan yang baharu lahir, 19 Ogos lalu.

Lebih menyedihkan, dia terpaksa bersalin di rumah tanpa bantuan pakar selain tidak menyediakan sebarang persiapan untuk bayinya.

“Kami mula berhijrah ke Sungai Karang dua tahun lalu dari Kemaman dan suami bekerja sebagai nelayan manakala saya ambil upah mengemas rumah.

“Namun sejak lima bulan lalu, hidup kami sekeluarga makin susah dan sumber wang terputus apabila suami yang keluar ke laut bersama rakan-rakannya bukan sahaja tidak pulang, namun masih tidak ada khabar berita. Saya risau sebab suami warga Myanmar dan setiap hari saya masih menanti kepulangannya," katanya kepada pemberita yang berkunjung ke rumahnya berhampiran padang Perkampungan Sungai Karang Pantai di sini, semalam.

Menurut Maimunah, segala tanggungan seperti sewa RM250 sudah tiga bulan tertunggak malah yuran RM100 persekolahan anak-anak seramai lima orang di Sekolah Anak-anak Rohingya Abim Kuantan pun masih belum berbayar.

"Sekarang, wang belanja pun dah tak ada,” katanya.

Menurutnya lagi, setakat ini, dia tidak memikirkan soal lain, hanya ingin memohon bantuan daripada mana-mana pihak membantu sementara masih belum berpeluang untuk bekerja.

Kewangan Kerajaan Pusat genting


A KADIR JASIN
4 SEPTEMBER 2016
Bajet 2016

Bajet 2016 Bajet 2016
SALAH satu ciri belanjawan yang diidam-idamkan oleh semua negara di dunia dan dituntut oleh badan-badan kewangan antarabangsa adalah keseimbangan di antara hasil dan perbelanjaan.

Inilah yang disebut sebagai belanjawan seimbang. Tetapi ia lebih berupa impian daripada kenyataan bagi kebanyakan negara. Dalam keadaan biasa pun ia sukar dicapai apatah lagi dalam suasana ekonomi yang tidak menentu seperti sekarang.

Antara matlamat dan ikrar utama Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak apabila mengambil alih teraju Kementerian Kewangan pada akhir tahun 2008 ialah menghapuskan defisit belanjawan secara berperingkat.

Kemudian sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009 beliau menjadikan belanjawan seimbangan sebagai salah satu matlamat penting Program Transformasi Nasional. Beliau berhasrat mencapai idealisme itu menjelang tahun 2020.

Secara amnya, dasar itu menampakkan kemajuan. Defisit belanjawan, iaitu perbezaan antara hasil dan perbelanjaan, dapat dikurangkan daripada 6.7 peratus pada tahun 2009 kepada 3.2 peratus tahun lalu.

Bagaimanapun, dalam tempoh itu juga hutang kerajaan melambung kerana meminjam dengan banyak untuk membiayai pembangunan. Akibatnya jumlah terkumpul hutang kerajaan naik dari RM250 bilion pada tahun 2010 kepada RM656 bilion pada akhir Jun lalu.

Ini adalah angka rasmi yang disiarkan di internet oleh Bank Negara dan dikemaskinikan pada 30 Ogos iaitu sehari sebelum ulang tahun Hari Kebangsaan ke-59.

Jumlah ini adalah yang paling tinggi dalam sejarah negara dan mencecah had pinjaman yang Mohd Najib sendiri tetapkan iaitu 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada tahun 2008, apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan Kementerian Kewangan kepada Mohd Najib, hutang kerajaan berbanding KDNK adalah 41.24 peratus. Nisbah ini lebih rendah pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Keadaan menjadi tambah meruncing sejak sembilan bulan terakhir sehingga Jun tahun ini. Dalam tempoh itu, hasil kerajaan lebih rendah daripada belanja mengurus. Hal ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

Dalam bahasa yang mudah, hasil yang kerajaan pungut tidak pun cukup untuk membayar gaji kakitangan awam, menyelenggarakan harta awam dan membayar balik hutang. Hatta pungutan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pun telah jatuh di bawah jumlah yang dianggarkan kerana pengguna tidak lagi berbelanja seperti dulu.

Hasil kerajaan pada umumnya hanya cukup untuk belanja pengurusan. Kos pengurusan tinggi kerana bilangan kakitangan awam ramai dan gaji yang mereka terima boleh dikira lumayan berbanding jumlah penduduk dan hasil kerajaan. Bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan subsidi pun datang daripada sumber yang sama. Untuk membangunkan negara kerajaan terpaksa berhutang. Akibatnya hutang kerajaan sangat besar.

Dalam kedua-dua aspek perbelanjaan ini – pengurusan dan pembangunan – berlaku pembaziran yang besar akibat kelemahan pentadbiran, salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah.

Satu lagi tanda bahawa kewangan kerajaan semakin meruncing ialah apabila kerajaan mula bermain dengan pengubahsuaian teknikal bagi memberi gambaran bahawa hasil meningkat dan hutang berkurangan.

Misalnya, baru-baru ini kerajaan memindahkan hutang perumahan kakitangan awam sebanyak RM22 bilion kepada sebuah badan berkanun baru bernama Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam. Untuk mencari modal ia berhutang RM25 bilion dengan menjual bon yang dijamin oleh kerajaan.

Pemindahan dari tangan kanan ke tangan kiri itu telah mengurangkan nisbah hutang kerajaan berbanding KDNK sebanyak kira-kira dua peratus.

Tetapi sebaik saja hutang itu dikurangkan, kerajaan meminjam lebih banyak sehingga menyebabkan hutang terkumpul meningkat RM29 bilion dalam suku kedua tahun ini.

Natijahnya kerajaan wajib kembali kepada ikrar perbelanjaan berhemah dengan mengurangkan pembaziran, salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah bukan dengan memotong peruntukan kepada sektor kritikal seperti pelajaran, kesihatan dan ekonomi.

Pada masa sama, ia perlu berterus terang dengan rakyat jelata mengenai keadaan sebenar ekonomi. Kerajaan boleh menggunakan jentera propaganda untuk memberi gambaran bahawa segala-galanya terkawal sedangkan kehidupan rakyat jelata semakin terdesak.

Ekonomi tidak berbohong. Wallahuaklam.

Saturday, September 3, 2016

Presiden Korea Utara ‘gila kuasa’


ONG BOON TECK
3 SEPTEMBER 2016
 ‎Presiden Korea Utara ‘gila kuasa’

 ‎Presiden Korea Utara ‘gila kuasa’
ANTARA pemimpin dunia yang dianggap kejam dan masih berkuasa hari ini adalah dinamakan Presiden Korea Utara, Kim Jong Un pastinya tersenarai sebagai manusia yang paling tidak perikemanusiaan.

Menurut laporan daripada sebuah portal berita dari China, DuoWei News, antara awal tahun ini hingga 31 Ogos lalu, sekurang-kurangnya 20 pegawai kanan kerajaan Korea Utara telah dihukum mati atas arahan presiden mereka yang semakin hilang akal.

Difahamkan, demi mengukuhkan kedudukan sebagai pemerintah tertinggi dalam negaranya, Jong Un sanggup menjatuhkan hukuman mati terhadap pegawainya yang dilihat cuba mengganggu urusan pentadbiran kerajaannya.

Kekejaman Jong Un mula disebarkan dalam media antarabangsa apabila menjalankan hukuman mati ke atas seorang pegawai kanannya dengan mengguna penyembur api.

Mangsa tersebut ialah Timbalan Menteri Kemudahan Awam, O Sang-hon. Beliau ialah antara 11 pegawai kanan parti yang ada hubungan dengan bapa saudara Jong Un sendiri, Jang Song-taek.

Jang dibicarakan dan menjalani hukuman mati Disember 2014 selepas bersalah atas tuduhan rasuah dan menjalankan kegiatan bertentangan parti Pekerja Korea.

Dan yang terbaharu, pada 31 Ogos lalu apabila jurucakap kerajaan Korea Utara, Jeong Joon-hee mengumumkan Timbalan Perdana Menteri, Kim Yong-jin telah dihukum mati atas kesalahan cuba melakukan pemberontakan terhadap pucuk pimpinan kerajaannya.

Menurut akhbar tersebut, Yong-jin dibunuh oleh skuad penembak pada Julai lalu selepas didakwa sebagai anti parti dan anti revolusi.

Manakala dua pegawai kanan lain terpaksa menjalani sesi pendidikan semula. Seorang daripada mereka adalah pegawai tertinggi yang bertanggungjawab dalam hal ehwal antara dua Korea, Kim Yong-Chol.

Kini, tidak seorang pun yang berani bersuara terhadap segala tindakan kejam yang dilakukan oleh presiden negara yang berfahaman komunis itu.

Adalah dijangkakan pengaruh dan penguasaan Jong Un dalam kerajaan Korea Utara akan terus berpanjangan sekurang-kurangnya dalam tempoh 30 tahun akan datang. Justeru, kemungkinan akan ada lebih ramai lagi pegawai yang akan dikenakan tindakan walaupun hanya melakukan kesalahan yang kecil.

Rafizi Diperintah Bela Diri Atas Pertuduhan Dedah Laporan 1MDB


Diterbitkan: Khamis, 1 September 2016 12:35 PM

Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli pada Khamis diperintah membela diri atas dua pertuduhan memiliki dan mendedahkan laporan 1MDB di laman web, Facebook, telefon bimbit dan pada sidang media di lobi Parlimen, Mac lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan Mohd Rafizi telah memiliki dan mendedahkan halaman 98 laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Zulqarnain dalam keputusannya mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Rafizi, 39, yang juga Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR, pada akhir kes pendakwaan.

Mahkamah menetapkan tiga hari perbicaraan mulai 27 September untuk mendengar pembelaan Mohd Rafizi.

Zulqarnain membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan tujuh saksi pendakwaan dan hujah daripada Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar dan Zhafran Rahim Hamzah dan Peguam Gobind Singh Deo.

Mohd Rafizi, didakwa memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini pada 3 petang, 24 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Rafizi didakwa mendedahkan kandungan laporan itu dalam sidang media di tempat sama, pada 3 petang, 28 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Belum cukup



DELA Rosa

Agensi
Manila: Ketua Polis Filipina, Jeneral Ronald ‘Bato’ dela Rosa mengarahkan anggotanya menggandakan usaha dalam operasi memerangi dadah bagi memenuhi janji Presiden Rodrigo Duterte dalam kempen pilihan rayanya.

“Kita tidak boleh gagalkan ikrar Presiden dalam kempennya yang mahu menyelesaikan masalah dadah, jenayah dan rasuah dalam masa enam bulan. Kita semakin kesuntukan masa,” kata Dela Rosa ketika berucap di Kem Bado Dangwa di La Trinidad, Benguet, semalam.

Menurutnya, ‘peperangan’ itu kini memasuki fasa kedua.

“Dua bulan sudah berlalu. Kita ada empat bulan lagi. Saya berharap kita dapat menggandakan usaha untuk mencapai sasaran.

“Kita tidak mahu hasrat rakyat Filipina untuk menyaksikan masalah dadah, jenayah dan rasuah dibasmikan gagal,” katanya.

Dia turut menyuarakan rasa gembiranya mengenai penurunan ketara kadar purata jenayah harian kepada lebih separuh.

Rekod polis menunjukkan jumlah jenayah harian di seluruh negara itu merosot sebanyak 49 peratus sejak Julai lalu.

Ketua Polis Filipina itu turut mengingatkan anggotanya supaya tidak mempedulikan kritikan pelbagai pihak mengenai perang terhadap dadah yang setakat ini sudah meragut lebih 2,000 nyawa.

“Anggap kempen ini baru bermula. Walaupun pelbagai kritikan diterima, kita perlu teruskan kempen ini selagi kita patuh kepada undang-undang dan menghormati hak asasi,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 5:06 AM

Friday, September 2, 2016

Himpunan Tangkap MO1: 9 Individu Disoal Siasat


Diterbitkan: Khamis, 1 September 2016 6:26 PM
 M. KUMAR Oleh: M. KUMAR
editor@mstar.com.my


Anis Syafiqah semasa berucap pada perhimpunan "Tangkap MO1" dekat Dataran Merdeka, pada Sabtu lalu. Foto Reuters

KUALA LUMPUR: Sembilan individu dipanggil pada Khamis bagi membantu siasatan polis berhubung perhimpunan "Tangkap MO1" baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada enam pelajar, Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong; Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan aktivis pelajar, Anis Syafiqah Mohd Yusof, yang hadir ke ibu pejabat polis Dang Wangi bagi memberi keterangan pada kira-kira pukul 11 pagi.

Anis Syafiqah berkata, dia disoal siasat berhubung ucapan yang dibuatnya semasa perhimpunan itu.

Nik Nazmi berkata, mereka diberitahu terdapat tiga pertuduhan terhadap mereka di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Hasutan.

"Kita kesal dengan dakwaan ini kerana demonstrasi dilakukan secara aman," katanya sebelum keterangannya diambil.

Sesi soal siasat berlangsung selama kira-kira dua jam.

Peguam yang mewakili Nik Nazmi, Adi Zulkarnain Zulkafli berkata, anak guamnya disoal siasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman di atas kegagalan memberikan notis selama 10 hari sebelum mengadakan perhimpunan.

Peguam Melissa Sasidaran yang mewakili Anis Syafiqah dan para pelajar itu berkata, anak guamnya disoal siasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman.

"Polis berkata, pertuduhan tersebut mungkin memasukkan kesalahan di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 124B Kanun Keseksaan berkaitan dengan menggugat demokrasi berparlimen," katanya.

Ditanya sama ada perhimpunan itu "dirampas" oleh ahli politik pembangkang, Anis Syafiqah menafikannya dan ahli politik terbabit hanya dibenarkan berucap di hadapan kompleks membeli-belah Sogo dan Masjid Jamek, manakala kumpulan pelajar berucap di lokasi utama perhimpunan di Dataran Merdeka.

Perhimpunan haram: 11 disoal polis, 20 lagi dipanggil

KHAMIS, 1 SEPTEMBER 2016 @ 9:58 PM

KUALA LUMPUR: Polis telah mengambil keterangan 11 peserta perhimpunan haram di beberapa lokasi di ibu negara, termasuk di sekitar Dataran Merdeka, Sabtu lalu, dan akan memanggil 20 orang lagi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah, berkata 17 daripada 20 orang itu dikenal pasti manakala tiga lagi tidak diketahui identitinya.

"Kertas siasatan mengenai 11 orang yang sudah memberi keterangan sedang dikemas kini untuk diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi siasatan selanjutnya," kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Kira-kira 1,500 orang, kebanyakan pelajar, menyertai perhimpunan haram antikerajaan itu yang penganjurnya menyasarkan pembabitan 10,000 orang. - BERNAMA

PESERTA himpunan haram bergerak dari Masjid Negara ke Dataran Merdeka, Sabtu lalu. - Foto Hafiz Sohaimi  

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/188911