Sunday, October 3, 2010

Pas sudah ada calon terbaik



MARANG - Pas sudah mengenal pasti beberapa individu yang akan disenarai pendek sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan. 

Pengarah PRK Pas DUN Galas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatan kuasa parti hari ini. 

“Senarai nama sudah ada, beberapa nama juga telah kita kenal pasti, yang mana ia adalah campuran senarai tenaga pemuda dan profesional,” katanya selepas majlis perasmian Ijtima’ Tarbawi Dewan Pemuda di Masjid Rusila, di sini, semalam. 

Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, Pas menitik beratkan faktor calon pada PRK kali ini dan anak tempatan diberi keutamaan untuk dipilih sebagai calon bertanding di kawasan itu. 

“Kali ini faktor calon penting dan keutamaan diberi kepada anak tempatan. Pas tidak kisah siapa calon yang dipilih Barisan nasional (BN) termasuk Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sekalipun bertanding di kawasan itu,” katanya. 

Tuan Ibrahim berkata, jika Tengku Razaleigh yang menjadi taruhan BN bermakna UMNO berniat menjatuhkan reputasi serta membunuh karier politik pemimpin veteran yang disegani itu. 

Beliau turut menyifatkan tindakan BN meletakkan tokoh politik veteran itu sebagai calon adalah satu kesilapan besar. 

“Saya tidak fikir Tengku Razaleigh akan menerima bulat-bulat cadangan itu kerana Ku Li adalah pemimpin berpengalaman dalam sepak terajang politik UMNO,” katanya. 

Tuan Ibrahim berkata, jika Tengku Razaleigh yang menjadi pilihan BN bermakna UMNO sudah ketandusan pemimpin berwibawa dan bayangkan jika calon BN yang dipilih itu mengalami kekalahan. 

“Pas tidak kisah siapa saja calon BN, termasuk kalau (Datuk Seri) Najib atau Tan Sri Muhyiddin Yassin sekalipun calonnya, Pas akan tetap lawan,” katanya. 

Beliau juga yakin Pas mampu meraih lebih ramai sokongan pengundi berbanding pilihan raya umum lalu berdasarkan rekod baik pembangunan di Gua Musang di bawah pemerintahan Pas selama hampir 20 tahun. 

“Walaupun majoriti sebelum ini hanya 600 lebih, namun kita yakin ia akan meningkat pada PRK kali ini berdasarkan kemajuan bandar Gua Musang sendiri, kami yakin rakyat akan bagi mandat kepada Pas,” katanya. 

Menurutnya, kewujudan Dewan Himpunan Penyokong Pas(DHPP) juga dapat membantu Pas untuk meraih sokongan pengundi bukan Melayu. 

“Ini pilihan raya pertama selepas kewujudan DHPP dan kami akan beri ruang kepada mereka untuk menyusun strategi dan pendekatan bersama dengan pengundi bukan Melayu,” katanya.

No comments:

Post a Comment