KOTA BHARU 16 Okt. – Pas dijangka mengumumkan calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas lebih awal iaitu pada 19 Oktober ini.
Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata, pengumuman tersebut mungkin dilakukan serentak dengan pelancaran jentera pilihan raya Pas pada tarikh yang sama.
"Pada mulanya kita rancang umum 22 Oktober tetapi mungkin ia dibuat lebih awal serentak dengan pelancaran jentera pilihan raya kita di sana nanti," katanya ketika ditemui di kediaman Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pulau Melaka di sini hari ini.
Abdul Fatah berkata, beliau hari ini memberi taklimat kepada Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan mengenai perkembangan dan persiapan Pas Kelantan untuk berhadapan dengan pilihan raya itu.
Sementara itu katanya, Nik Abdul Aziz akan melakukan pertemuan dengan nama-nama yang disenarai pendek sebagai calon parti itu terlebih dahulu sebelum mengumumkan salah seorang daripada mereka untuk bertanding.
Katanya, pertemuan tersebut dibuat untuk memudahkan beliau menyampaikan amanat dan mengenali mereka dengan lebih rapat.
Pilihan Raya Kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada Pas, Chek Hashim Sulaima, 46, kerana barah usus pada 27 September lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 26 Oktober ini sebagai tarikh penamaan calon dan 4 November ini sebagai hari pembuangan undi.
No comments:
Post a Comment