Sunday, November 4, 2012

Jodoh paling panjang



         
KETIKA kebanyakan rumah tangga pada masa ini gagal bertahan, Karam, 107, dan isterinya, Katari Chand, 100, menjadi bukti bahawa rumah tangga yang dapat berkekalan begitu lama tetap wujud.

Pasangan yang mempunyai lapan anak dan 28 cucu itu hidup berumah tangga selama 87 tahun, menjadikan mereka pasangan paling lama berkahwin di dunia.


Menurut mereka, kunci kepada kejayaan itu ialah menjaga satu sama lain dengan apa cara sekali pun.

“Apa yang saya lakukan ialah membuat Katari ketawa. Saya suka berjenaka dan membuatnya tersenyum. Itu cara untuk menjadi romantik.


“Saya diberitahu, ketawa akan membuat anda hidup lebih lama. Ia terbukti berjaya kerana isteri saya masih hidup. Saya sangat sayangkan dia dan saya mahu menghabiskan masa 80 tahun lagi bersama-samanya,” kata Karam.


Daripada sajian romantik hingga berkongsi cerita jenaka, pasangan itu yang berasal dari Punjab, India dan kini menetap di Bradford akan memastikan mereka melakukan sesuatu, walaupun kecil, untuk memastikan percintaan mereka sentiasa mekar.

Bercakap kepada laman romantik, Zoosk.co.uk, Katari berkata: “Ketika muda, saya sentiasa menyediakan makanan segar untuknya. Memandangkan kami hanya memakan sayur, saya membelikannya banyak sayur segar dan memastikan dia makan makanan yang sihat.


“Kesihatan sangat penting dan saya mahu menjaganya supaya kami dapat tua bersama-sama. Ada yang kata kami sudah berjaya.

“Satu lagi, saya sentiasa menyimpan sebahagian capati saya untuknya. Satu usaha untuk memastikan dia menghargai saya dan secara tidak langsung, ia membolehkan saya kekal langsing,” katanya.


Karam yang gemar mencari perkataan baru setiap hari bagi memastikan mindanya terus bekerja percaya, menghabiskan banyak masa bersama turut membantu mengekalkan rumah tangganya.


“Selama 50 tahun kami tidak pernah berjauhan untuk masa lama. Kami keluar bersama-sama. Kami ke India dengan seluruh keluarga setiap tahun. Dan untuk menghadiri perkahwinan saudara mara, saya memastikan kami pergi bersama,” katanya.


Rumah tangga mereka bertahan hampir lima tahun lebih lama daripada pemegang Rekod Dunia Guiness yang ada sekarang dan mereka kini dalam proses mendapatkan pengesahan daripada syarikat itu untuk dinobatkan sebagai pemegang rekod baru.


Kebanyakan rumah tangga pada zaman moden gagal bertahan lama dan pengalaman menjadikan Karam lelaki terbaik untuk mendapatkan nasihat.


“Pada masa lalu, orang ramai akan mendengar, tetapi orang sekarang tidak mendengar satu sama lain secara betul. Mereka terlalu sibuk bekerja, menonton televisyen dan memberi tumpuan terhadap keadaan sekitar mereka.


“Hubungan adalah mengenai persefahaman antara satu sama lain dan mendengar masalah serta pandangan. Nasihat saya kepada orang muda, baik lelaki mahupun wanita, dengar apa yang hendak disampaikan teman anda. Tunjukkan minat kepada apa yang hendak mereka katakan dan bantu mengatasi kebimbangan atau masalah yang mereka hadapi,” katanya.


Anak mereka, Satpaul, sangat bangga dengan hubungan ibu bapanya.


“Kami tinggal bersama-sama mereka di Bradford dan menjaga mereka kerana kami mahu mereka berkekalan sepanjang hayat.


“Saya tidak mahu melihat kisah percintaan mereka berakhir. Saya percaya dengan membantu mereka sejak beberapa tahun lalu membolehkan mereka menghabiskan masa dengan bahagia tanpa tekanan.


“Pada masa sama, anda perlu menghargai mereka ketika mereka masih hidup kerana anda tidak tahu sampai bila mereka akan berada di sisi anda,” katanya.


Perkahwinan Karam dan Katari diatur keluarga mereka. Pasangan itu akan mengadakan jamuan besar bulan ini untuk menyambut ulang tahun kelahiran ke-107 Karam dan yang ke-100 Katari. Datuk Bandar Bradford dan sebahagian penduduk akan menyertai keraian itu.

No comments:

Post a Comment