TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berkata seluruh rakyat Libya sudah dilengkapi senjata dan sedia untuk menempuh "peperangan yang panjang" bagi mengalahkan kuasa Barat yang menyerang negara mereka, katanya dalam mesej audio ditayangkan di televisyen negara itu, hari ini.
“Semua rakyat Libya bersatu padu. Lelaki dan wanita Libya telah diberikan senjata dan bom... anda tidak akan mara, anda tidak akan bertapak di tanah ini,” kata Gaddafi.
“Kami menjanjikan peperangan yang panjang tanpa had dan batasan. Kami bersedia untuk perang yang panjang. Anda tidak bersedia untuk perang yang panjang di Libya. Kami telah bersedia. Ini adalah saat manis dalam hidup kami,” kata pemimpin Libya yang berucap di televisyen rasmi kerajaan tanpa muncul di depan kamera.
Pemimpin Britain, Perancis dan Amerika Syarikat (AS) "akan tumbang seperti Hitler ... Mussolini,” amaran beliau.
“Semua pemimpin kejam akan rebah dengan desakan khalayak populis.
“Amerika, Perancis atau Britain, Kristian yang bersekutu menentang kita hari ini, mereka tidak akan dapat menjamah tanah air kita... Kamu penyerang, kamu adalah binatang,” kata Gaddafi.
“Kami tidak akan berundur dari medan perang kerana kami mempertahankan tanah air kami dan maruah kami,” kata orang kuat Libya yang sebelum ini sedang menempuh penentangan bersenjata di bahagian Timur negara itu.
AS, Britain dan Perancis menghujani Libya dengan peluru berpandu dari udara dan laut sepanjang malam tadi (Sabtu) dalam tindakan pelbagai negara ke atas tentera Gaddafi yang melanggar keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menetapkan negara itu sebagai zon larangan terbang.
Menurut media Libya, pesawat perang Barat mengebom sasaran awam di Tripoli, mengakibatkan kematian.
Jurucakap tentera berkata, serangan juga terkena tangki minyak puak pemberontak yang menguasai bandar Misrata di Timur Tripoli. - AFP
No comments:
Post a Comment