Friday, August 26, 2011

Pemimpin gagal pertahan akidah harus 'diperangi'



JOHOR BAHRU 25 Ogos - Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) menyifatkan pemimpin Melayu Islam yang gagal bersatu mempertahankan akidah sebagai dayus dan harus 'diperangi' habis-habisan.
Presiden PPPMM, A. Rahman Mahadi berkata, akidah adalah perkara paling asas dalam kehidupan umat Islam yang tidak boleh dikompromi.
"Nilai akidah umat Islam tidak boleh dihitung dengan jumlah kertas undi apatah lagi dengan secebis kuasa politik. Sebaliknya, ia harus dipertahankan dengan apa cara sekali pun dan tidak ada istilah toleransi atau rundingan.
"Jika inginkan kuasa janganlah seperti orang kebulur sangat. Mencari kuasa atau ingin berkuasa mestilah ada hadnya. Jangan sampai kita sanggup menggadaikan akidah semata-mata mahu mencari keuntungan politik dan peribadi jangka pendek," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dilihat masih gagal menyelesaikan isu pemeriksaan gereja oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 3 Ogos lalu.
Kelmarin, Abdul Khalid menimbulkan polemik apabila mengumumkan penubuhan majlis penasihat syura yang kononnya dicadangkan oleh Sultan Selangor sedangkan ia tidak mendapat perkenan baginda.
Sebaik sahaja ditegur oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah, Abdul Khalid mengubahnya kepada Jawatankuasa Pendengaran sebelum mengubah lagi semalam kepada gerak kerja pendengaran.
A. Rahman berkata, apa yang berlaku di gereja itu seharusnya membuka mata umat Islam terhadap ancaman yang sedang dihadapi dan perlunya mereka bersatu dalam menangani isu berkenaan.

No comments:

Post a Comment