Friday, August 12, 2011

Keganasan terburuk sejak 25 tahun






SEORANG lelaki pertengahan usia hanya mampu merenung sisa runtuhan sebuah bangunan usang yang berada di hadapannya. Matanya kelihatan sayu dan manik-manik jernih mulai mengalir di pipinya yang dipenuhinya kedutan.
Dia tidak pernah langsung menyangka segala hasil titik peluhnya dalam mengusahakan perniagaan perabot milik keluarganya yang diwarisi turun-temurun akhirnya musnah dibakar begitu sahaja.
Gara-gara tindakan perusuh yang bertindak sesuka hati membakar blok-blok bangunan yang ada di pekan Croydon, menyebabkan perniagaan perabot House of Reeves yang telah mencecah usia 144 tahun itu hilang sekelip mata ditelan api yang marak.
“Saya merupakan generasi kelima yang menjalankan perniagaan di bangunan bersejarah ini. Saya mempunyai dua orang anak perempuan yang bakal meneruskan kesinambungan empayar perniagaan kami bagi generasi keenam.
“Sejak 30 tahun lalu, saya bersama isteri telah menjalankan perniagaan ini. Namun, kini kehidupan saya telah musnah,” tutur Graham Reeves, 52, dalam nada sebak yang bersarang di dada.
Gedung perabot terbabit mula dibuka di Croydon, yang ketika itu sebuah bandar berasingan dan terletak kira-kira 15 kilometer dari selatan London pada tahun 1867. Ia satu perniagaan yang maju dan berjaya. Meskipun pernah mengharungi Perang Dunia Kedua dan kemelesetan ekonomi teruk sekitar tahun 1929 hingga 1930, tetapi House of Reeves kekal utuh.
Situasi tegang


ANGGOTA keselamatan berusaha memadamkan kebakaran sebuah bangunan di Tottenham, utara London akibat keganasan yang melanda.



Croydon merupakan salah satu daripada lokasi yang terlibat dalam rusuhan paling teruk pernah berlaku di kota London dalam tempoh lebih 25 tahun.
Keganasan dikatakan bermula Sabtu lalu di kawasan petempatan berbilang etnik di Tottenham, utara bandar raya itu selepas seorang lelaki kulit hitam berusia 29 tahun, Mark Duggan ditembak mati oleh polis dua hari sebelum itu.
Selain London, rusuhan turut merebak ke bandar raya lain seperti Liverpool, Birmingham, Manchester, West Bromwich, Wolverhampton, Bristol, Salford dan hampir ke seluruh United Kingdom.
Menurut Setiausaha Dalam Negeri Britain, Theresa May, situasi yang berlaku kini sangat tegang dan pihak berkuasa sedang berusaha mengawal keadaan agar tidak menjadi lebih buruk.
“Kami perlu menamatkan rusuhan ini dengan segera. Seboleh-bolehnya pihak polis tidak mahu menggunakan meriam air untuk meleraikan rusuhan, melainkan menerusi persetujuan masyarakat,” katanya kepada stesen televisyen Sky News.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Britain, David Cameron berikrar akan mengakhiri kegasanan tersebut dan membayangkan kesediaan menggunakan meriam air buat pertama kalinya terhadap perusuh.
“Dalam situasi sekarang, kita perlu melawan balik dan ia telah bermula,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat krisis Jawatankuasa Kecemasan Kerajaan (Cobra) kelmarin.
Batal perlawanan


ASYRAF HAZIQ (kanan) cuba menyelamatkan dirinya apabila diserang perusuh di kota London baru-baru ini.



Jika ia dilakukan, penggunaan meriam air untuk meleraikan rusuhan itu buat julung kalinya dilakukan di Britain sekali gus mencatat sejarah tersendiri di kalangan polis negara tersebut.
Sementara itu, rentetan rusuhan dan keganasan yang berlaku di jalanan juga menyebabkan perlawanan persahabatan antara England menentang Belanda di Stadium Wembley, London yang dijadualkan berlangsung semalam (11 Ogos) terpaksa dibatalkan demi keselamatan orang ramai.
Kapten England, Rio Ferdinand turut melahirkan rasa kesalnya di atas apa yang berlaku. Menerusi laman sosial Twitter peribadi, Ferdinand berkata: “Situasi yang berlaku ketika ini cukup mengejutkan. Apakah sebenarnya yang menyebabkan ia berlaku? Orang yang tidak bersalah mendapat susah. Kenapa?”
Bukan hanya Ferdinand, tetapi ramai pemain yang menyuarakan rasa hati masing-masing dan berharap agar ia dapat dihentikan segera termasuklah Wayne Rooney selaku penyerang berbisa skuad kebangsaan England.
“Kenapa orang yang terlibat dengan rusuhan ini melakukannya di negara mereka sendiri? Ini bandar mereka sendiri. Ia memalukan negara. Sila hentikan,” kata Rooney dalam akaun Twitter miliknya.
Apa yang pasti, mereka yang terlibat dalam rusuhan ini turut menjadikan tindakan kerajaan yang mahu memotong 80 bilion pound (RM389 bilion) daripada perbelanjaan awam menjelang tahun 2015 bagi mengurangkan rekod defisit negara sebagai alasan untuk menyuarakan rasa ketidakpuasan hati rakyat terhadap perkara itu.
Zon peperangan


RUSUHAN yang berlaku banyak mengorbankan harta benda sekali gus merugikan warga London sendiri.



Golongan muda pula menggunakan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) termasuk mesej segera melalui telefon pintar BlackBerry dan platform media sosial seperti Twitter untuk membentuk kordinat serangan dan mengelak berdepan dengan pihak polis.
“Sudah beberapa hari sejak rusuhan berlaku kanak-kanak langsung tidak gembira. Malah, mereka benci pada anggota polis.
“Ia kelihatan seperti zon peperangan dan pihak polis tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghalangnya. Mereka (perusuh) sangat ramai dan pihak polis tidak mencukupi,” kata Matthew Yeoland, 43, seorang guru di Peckham, selatan London.
Dalam pada itu, penganalisis politik tempatan, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, keganasan dan rusuhan yang berlaku di London, kota yang aman dan terkenal di seluruh dunia dengan tarikan pelancongan dan sebagainya boleh dijadikan iktibar buat semua pihak.
Ini menunjukkan tidak semestinya setiap negara yang bertamadun, mempunyai kestabilan ekonomi dan maju akan terus aman dan kesejahteraan buat selama-lamanya jika ia tidak dipelihara.
“Rakyat Malaysia keseluruhannya harus membuka mata luas-luas terutama bagi pihak yang gemar mencetuskan hura-hara seperti mahu mengadakan perhimpunan dan demonstrasi bagi menunjukkan protes terhadap pihak berkuasa.
“Demonstrasi ini kalaupun dilakukan dalam keadaan aman, tetapi pasti ada golongan tertentu akan cuba mengambil kesempatan untuk mengeruhkan keadaan sekali gus menyebabkan rusuhan teruk.
“Jika ini terjadi, sudah tentu banyak harta benda yang rosak, kehilangan nyawa, wujudnya anasir-anasir luar yang cuba menghancurkan negara dan menjejaskan imej tanah air sendiri,” ujar beliau yang mengaitkan situasi itu dengan cubaan pihak-pihak tertentu menganjurkan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Terperangkap
Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu turut memuji tindakan tegas dan pantas pihak polis dalam menangani demonstrasi jalanan tersebut.
Sementara itu, seorang pelajar Malaysia di United Kingdom, Siti Suriani Othman, 32, bersyukur kerana terselamat daripada rusuhan sewaktu berkunjung ke London Ahad lalu.
Menurut Suriani, dia hairan apabila melihat semua kedai di Oxford Street ditutup pada pukul 6 petang berbanding pukul 8.30 malam sebelum ini.
“Rupanya-rupanya semua perusuh berkumpul di sana dan mula membuat onar. Nasib baik kami cepat pulang, kalau tidak mungkin saya pun akan terperangkap dalam rusuhan tersebut,” kata pelajar jurusan Doktor Falsafah (PhD) di Nottingham Trent University, Nottingham, United Kingdom itu.
Tambahnya, di London kuasa polis sangat terhad sehingga mereka tidak boleh mengambil apa-apa tindakan kepada perusuh kerana terpaksa mengikut peraturan sekali gus menjaga periuk nasi mereka ketika keadaan ekonomi yang teruk.
Menurut Suriani selama hampir empat tahun tinggal di United Kingdom, dia melihat terdapat banyak kepincangan walaupun ia sebuah negara yang maju.
“Perkara ini (kelemahan dan kepincangan pentadbiran kerajaan) hanya dapat kita ketahui jika menetap di sini untuk sesuatu tempoh tertentu dan ia tidak dapat dikesan hanya daripada penyiaran berita mereka atau laporan-laporan dalam bentuk buku ilmiah dan sebagainya.


RUSUHAN dan keganasan yang berlaku di London dan hampir seluruh United Kingdom mampu memberi kesan buruk terhadap imej Britain dan melumpuhkan ekonomi mereka yang sedia terjejas.-kosmo

No comments:

Post a Comment