|
CAMERON...penjenayah tidak akan terlepas. |
LONDON: Britain akan bertindak tegas ke atas kumpulan samseng yang mencetuskan huru-hara di beberapa bandar negara itu dan mungkin mendapatkan bantuan tentera jika rusuhan berulang.
Perdana Menteri Britain, David Cameron, berkata kerajaan tidak akan membenarkan “budaya takut” wujud di jalanan negara itu.
“Kerajaan juga akan memberi kuasa kepada polis untuk menuntut orang awam membuka sebarang penutup muka selepas mendapati ramai penjarah memakai topeng ketika memecah masuk pelbagai kedai pada minggu ini, katanya kepada Parlimen yang mengadakan sidang tergempar, semalam.
Sidang itu diadakan khusus membincangkan rusuhan melanda Britain ekoran pembunuhan seorang pemuda disyaki penjenayah, Mark Duggan, 29, di Tottenham.
Menurut Cameron, mana-mana pihak yang mengalami kerugian akibat rumah atau kedai mereka dirosakkan sepanjang tempoh rusuhan boleh menuntut pampasan kepada kerajaan seperti diperuntukkan Akta Kemusnahan Rusuhan.
“Ia adalah perbuatan jenayah dan langsung tiada sebarang alasan untuk menghalalkannya,” katanya.
Selain melakukan kekacauan di jalan raya, perusuh turut membakar bangunan serta kenderaan, selain menyerang polis.
Kata Cameron, kerajaan tidak akan membiarkan kekacauan tercetus di negara itu.
“Kerajaan akan melakukan apa saja bagi mengembalikan keamanan serta membangunkan semula komuniti yang terjejas.
“Kepada penjenayah yang minoriti, saya ada pesanan ini: Kami akan memburu kamu dan untuk mendakwa dan menghukum kamu.
“Semua perbuatan kamu akan dibalas,” katanya.
Mengenai kehadiran polis yang meningkat kepada 16,000 orang di London ketika ini, Cameron berkata, jumlah itu akan dikekalkan sehingga hujung minggu ini.
Apabila keadaan memerlukan, kata Cameron, tentera akan dipanggil bagi menghadapi perusuh - sesuatu yang tidak pernah dilihat berlaku di Britain setakat ini. - Reuters, hmetro
No comments:
Post a Comment