Friday, March 11, 2011

Skandal asmara di Shanghai

Utusan Malaysia



SEORANG lelaki membaca laporan akhbar dengan gambar tiga diplomat Korea Selatan bersama wanita China yang sama, Deng Xinming, di Seoul, Korea Selatan, semalam. - AP


SEOUL 10 Mac - Pentadbiran Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak menghadapi kritikan hebat ekoran pendedahan skandal hubungan cinta melibatkan seorang wanita China dan tiga bekas kakitangan konsulat negara ini di Shanghai.
Pengkritik menyatakan kecenderungan Myung-bak untuk menawarkan jawatan konsul kepada pembantu-pembantunya telah menghasilkan diplomat tidak profesional, yang dibimbangi akan membocorkan maklumat rahsia negara.
Akhbar Korea Selatan melaporkan tiga diplomatnya yang bertugas di Shanghai disyaki menjalin hubungan cinta dengan seorang wanita yang sama.
Wanita itu disyaki menggunakan pengaruhnya ke atas mereka bertiga untuk mendapatkan visa bagi pekerja-pekerja China, malah menerima maklumat sulit seperti nombor telefon bimbit pemimpin kanan parti pemerintah Korea Selatan.
Dua daripada kakitangan Konsulat berkenaan berada di bawah pengurusan bekas Konsul Jeneral, Kim Jung-ki yang merupakan pembantu politik Myung-bak dan bukan dihantar oleh Kementerian Luar dan Perdagangan Antarabangsa.
Jung-ki merupakan ketua polisi global untuk Myung-bak ketika bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada 2007.
Beliau juga bertugas sebagai utusan khas Myung-bak ke China kerana beliau merupakan bekas profesor penyelidik di Universiti Peking.
Jung-ki dilantik sebagai Konsul Jeneral ke Shanghai pada 2008 dan bertugas selama dua tahun dan sembilan bulan sebelum pulang ke Korea bulan lepas.
Pengkritik berkata, mereka yang merupakan ahli politik dan kemudian menjadi diplomat tidak mempunyai kepakaran dalam diplomasi dan cenderung membuat keputusan buruk yang memberikan kesan negatif kepada negara.
''Kebanyakan Konsul Jeneral tidak mempunyai pengetahuan mengenai diplomasi jadi mereka menggunakan orang luar untuk mencari penyelesaian. Keadaan ini menimbulkan masalah.
''Sebagai contoh, Kim Jae-soo, bekas Konsul Jeneral ke Los Angeles dan Lee Ha-ryong, bekas Konsul Jeneral ke Seattle. Kedua-duanya merupakan ahli politik Parti Agung Kebangsaan (GNP) sebelum dilantik ke jawatan berkenaan,'' kata ahli Parlimen dari Parti Haluan Kebebasan, Park Sun-young.
Seorang ahli Parlimen GNP, Gu Sang-chan berkata, konsul jeneral di Hong Kong dan Guangzhou, China merupakan bekas ahli politik yang mempunyai sedikit pengalaman diplomatik.
''Keadaan ini berlaku kerana mereka yang berjawatan sebagai diplomat tidak memegang jawatan diplomatik utama di luar negara,'' katanya. - Agensi

No comments:

Post a Comment