Oleh - Tok Perak Tanpa selindung-selindung, juga tanpa ‘konar-konar’, Presiden MCA itu menegaskan bahawa partinya tidak takut untuk berkongsi pandangan yang sama dengan DAP dalam hal yang boleh memberi keuntungan kepada masyarakat Cina. Bunyinya macam mencabar, lebih-lebih lagi apabila beliau menambah, UMNO tidak boleh menyalahkan MCA walaupun parti itu mempunyai pandangan berbeza daripada pendirian BN kerana tuntutan yang disuarakan beliau adalah gambaran kepada keinginan masyarakat Cina. Ini bukan soal UMNO, ini soal BN. Duduk sekelambu dalam keluarga BN yang besar, Soi Lek sepatutnya mengambil kira perasaan teman-teman tidurnya. Tidak boleh melepas cakap ikut suka, lebih-lebih lagi dengan menyatakan pendirian bersekongkol dengan DAP yang memang diketahui berseteru sepanjang hayat dengan BN. Suara-suara sumbang lagi tidak romantik seperti itu tentu sekali boleh menghangatkan kelambu, dan menggegar katil BN, sehingga malam-malam yang sepatutnya indah menjadi tidak mesra. Silap-silap gaya akan ada yang keluar kelambu! Tetapi, untuk berlaku adil, tindakan Soi Lek itu bukan mengejutkan sangat. Orang No.1 parti terbesar Cina itu nampaknya tidak ada banyak pilihan. Pada ketika MCA – juga parti-parti Cina lain dalam BN – merudum selepas tsunami 2008, MCA hendak menonjolkan sebagai pejuang masyarakat Cina. Maka tidak menghairankan sekiranya MCA akhir-akhir ini lebih berani dan lantang menyuarakan isu-isu yang dahulunya dijeritkan oleh DAP, termasuk hak istimewa Melayu, ekuiti 30 peratus bumiputera, agihan biasiswa, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan lain-lain. Tentu sekali MCA, khasnya Soi Lek, dalam usaha untuk memenangi perasaan dan undi masyarakat Cina, bebas untuk menjerit dan memekik sama seperti DAP, walaupun itu akan menyinggung perasaan rakan-rakan setidurnya. Beliau nampaknya tidak kisah lagi dengan siapa dia tidur. Cuma satu perkara yang perlu Soi Lek ingat ialah jeritan dan pekikannya tidak semestinya menguntungkan MCA. Hakikatnya ialah masyarakat Cina tidak ada keyakinan lagi terhadap parti itu. Ini telah dibuktikan pada Pilihan Raya Umum 2008, dan pada beberapa pilihan raya kecil, termasuk paling baru di Kuala Selangor dan Sibu. Pada dua pilihan raya kecil terakhir itu apa sahaja yang tidak dijanjikan dan diberikan oleh BN untuk pengundi Cina. Peruntukan berjuta-juta untuk kemudahan asas, peruntukan serta merta kepada SJKC, pendek kata apa sahaja. Terbukti ‘gula-gula’ pilihan raya itu hanya menyukakan hati masyarakat Cina, tetapi tidak memenangi undi Cina. Pada kedua pilihan raya kecil itu jelas undi Cina berpindah ke parti lain. Dengan menyuarakan isu-isu yang menurutnya ‘boleh memberi keuntungan kepada masyarakat Cina’, Soi Lek boleh mendabik dada sebagai wira masyarakat yang diwakili partinya. Tetapi, apa erti wira sekiranya parti kalah dalam perjuangan? Kekalahan MCA adalah kekalahan BN. Dalam keadaan MCA yang semakin tidak relevan, lebih baik ‘Tuan Presiden’ jangan lepas cakap sangat. Duduk dalam kelambu dan kekalkan semangat persefahaman dalam BN. Mudah-mudahan dalam pilihan raya akan datang calon-calon MCA boleh mendapat sokongan di kawasan majoriti Melayu. * SEMINGGU dua ini kita membaca, juga melihat gambar-gambar, mengenai berita sedih dari negara China yang teruk dilanda bencana alam. Hujan lebat di Zhouqu yang terletak di barat laut wilayah Gansu menyebabkan banjir lumpur teruk bulan ini, menenggelamkan sebahagian besar bandar miskin dan terpencil serta menyebabkan lebih 1,200 maut. Ribut yang melanda berhampiran Longnan dan di wilayah Sichuan ke selatan juga menyebabkan ramai terkorban. Lebih daripada 1,000 orang maut dalam kejadian banjir di bahagian tengah, selatan dan timur laut negara itu. Terkini, Rabu lalu, sekurang-kurangnya 67 orang dilaporkan hilang setelah banjir lumpur melanda sebuah bandar terpencil di barat daya China yang berhampiran dengan Myanmar. Di bahagian-bahagian lain dunia pun, perubahan cuaca telah mengakibatkan bencana yang merosakkan harta benda dan mengorbankan nyawa. Maka kita patut bersyukur bahawa di tempat kita keadaan dan kehidupan berjalan seperti biasa – aman, nyaman dan mewah. Sebenarnya terlalu mewah sehingga kita membazirkan makanan ketika berbuka puasa! * AKHIR kalam, seperti yang dilaporkan media, jumlah bayaran zakat 2009 bagi Kumpulan Felda dan KPF ialah berjumlah RM25.82 juta iaitu bertambah RM5.94 juta berbanding RM19.88 juta pada 2008. Zakat Kumpulan Felda bagi 2009 adalah sebanyak RM14.92 juta iaitu bertambah RM2.15 juta manakala KPF pula berjumlah RM10.90 juta, meningkat sebanyak RM3.78 juta. Kalau bayar zakat sudah berpuluh-puluh juta, tentulah Felda untung. Jadi tidak timbul isu Felda bankrap seperti yang didakwa sesetengah pihak. |
Sunday, August 22, 2010
Soi Lek jangan banyak melatah
Punca Peristiwa13 Mei patut didedahkan kepada pelajar
2010/08/22
SEKALI lagi isu hak dan keistimewaan Bumiputera ‘disentuh’ kaum lain. Bagaimana MAYC melihat perkembangan ini daripada kaca mata generasi muda yang bakal mewarisi kepemimpinan negara. Saya rasa tidak salah pemimpin kaum lain menyentuh hak istimewa Bumiputera, terutama jika mengajukan cadangan membina. Tetapi cara atau kandungan diajukan harus menghormati perasaan masyarakat Bumiputera. Sebarang usaha mengurangkan apa yang difahami oleh Bumiputera sebagai hak, akan sentiasa dipandang serong.Dr Chua pula mungkin memikirkan yang cadangan memberi diskaun atau harga khas untuk Bumiputera sebagai timbal balas pengurangan sasaran 30 peratus DEB sesuatu usaha membina. Malangnya, ini juga boleh menimbulkan kegusaran. Contohnya saya sebagai belia Melayu agak terguris apabila dikatakan sasaran ekuiti kaum saya harus lebih rendah. Sudahlah itu, dicadangkan diskaun pula seolah-olah Bumiputera ini kumpulan subsidi.
Apakah isu hak dan keistimewaan Bumiputera difahami dan diterima generasi muda bukan Bumiputera mengikut pemerhatian MAYC selama ini. Apa persepsi mereka dalam isu ini.
Sebenarnya banyak kekeliruan mengenai asal usul hak keistimewaan orang Melayu dan lebih-lebih lagi mengenai peruntukan DEB untuk meningkatkan ekonomi semua rakyat demi kemakmuran sejagat. Contohnya, terlalu ramai belia memikirkan DEB menolong Bumiputera saja. Mereka tidak mengetahui peruntukan untuk membantu kaum India yang juga menghadapi cabaran ekonomi. Malah pemaju hartanah terkemuka, Presiden dan Ketua Eksekutif SP Setia Bhd, Tan Sri Liew Kee Sin baru-baru ini mengakui masyarakat Cina masih menerima manfaat pembangunan ekonomi sepanjang zaman DEB rancak dilaksanakan.
Saya rasa, sebab utama kenapa hak istimewa terutama sekali DEB menjadi isu sensitif yang kerap menimbulkan kekeliruan belia kerana kerajaan mungkin terlalu berhati-hati dalam hal pendidikan sejarah di sekolah. Contohnya Peristiwa 13 Mei 1969 walaupun ia diakui sebagai titik hitam, tiba masanya dikupas lebih terperinci supaya orang muda diajar sejak di bangku sekolah mengenai bahayanya ketidaksamarataan ekonomi boleh mengancam ketenteraman negara. Amnya belia tidak menafikan darurat komunis ancaman kepada kemakmuran negara. Ramai menginsafi dan bersyukur negara selamat daripada ancaman pada masa itu kerana pendidikan mengenai keburukan ancaman komunis, disokong pula propaganda media antikomunis dari luar, begitu terperinci serta sampai ke pemahaman belia. Kini China sebagai negara komunis mungkin hebat membangun sementara Vietnam masih dikagumi kerana berjaya mengalahkan kuasa besar Amerika Syarikat, tetapi belia Malaysia masih bersyukur kita bukan komunis seperti China dan Vietnam.
Saya sebagai Presiden MAYC menyarankan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Pelajaran mempertimbang untuk memperincikan pendidikan penyebab 13 Mei dan usaha mengelak ia berlaku, termasuk DEB. Ia harus diperkenalkan sebagai pendidikan wajib di sekolah menengah. Mungkin diperkenalkan sebagai sebahagian kurikulum perpaduan 1Malaysia kerana gagasan ini akan berjaya jika kita mengambil kira pahit manis sejarah hubungan antara kaum.
Mengapa sistem kuota 30 peratus ekuiti Bumiputera perlu dikekalkan dan apakah erti keistimewaan ini kepada generasi muda Malaysia hari ini.
Seperti saya katakan, sebenarnya generasi muda sekarang agak bingung mengenai maksud 30 peratus ekuiti ini. Tambah lagi, fokus terhadap 30 peratus ekuiti mengalihkan pandangan daripada unsur DEB yang lebih relevan kepada golongan muda, seperti peluang mendapatkan pendidikan terutama sekali tetapi tidak terhad ke universiti. Contohnya, jika belia diberitahu MRSM akan dimansuhkan, ini akan membawa lebih banyak bantahan. Namun sebagai belia Melayu, saya juga hairan kenapa sasaran 30 peratus ekuiti Bumiputera begitu dipersoalkan oleh MCA dan dulunya DAP. Padahal, Bumiputera merangkumi lebih 60 peratus rakyat negara ini.
Salahkah sasaran ekuiti untuk Bumiputera iaitu kurang daripada separuh jumlah Bumiputera. Saya rasa lebih adil dan memandangkan pecahan ekonomi kaum Cina jauh lebih tinggi daripada peratusan rakyat Cina. Persoalan sebegini daripada pemimpin kaum Cina khususnya, tidak membina, malah menimbulkan tanda tanya berhubung niat sasaran berkenaan dipersoalkan. Saya ternanti-nanti cadangan pemimpin kaum India, supaya kaum itu juga diberi sasaran ekuiti. Rasanya, memandangkan peratusan rakyat India, tak salah mana-mana pemimpin menyarankan sasaran ekuiti paling kurang lima peratus untuk kaum India.
Saya juga rasa tidak salah sasaran berasingan diwujudkan untuk Bumiputera Sabah dan Sarawak. Mungkin 10 peratus? Ini semua sasaran mencapai keadilan ekonomi di Malaysia. Apabila negara semakin membangun, inilah peluang untuk memastikan bukan kumpulan kaya saja semakin kaya, tetapi semua mendapat manfaat. Lebih penting ialah pengagihan kemakmuran ekonomi lebih sekata. Ini harus dibincangkan, bukan setakat sasaran 30 peratus ekuiti Bumiputera.
Apakah rasional MCA menimbulkan isu sistem kuota 30 peratus ini. Apakah kemungkinan langkah ini diambil kerana bimbang ditolak pengundi Cina pada pilihan raya umum akan datang atau satu ugutan.
Saya fikir lebih baik ditanya kepada MCA. Namun saya rasa tak logik jika pemimpin MCA berharap ini membantu mereka menjadi lebih sedia diundi. Pengundi mana yang untung dengan cadangan ini? Ia tidak jelas, tetapi yang terlihat pengundi Melayu rugi. Mahukah Melayu mengundi calon MCA jika dasar MCA merugikan mereka? Wallahualam. Sudah pasti Dr Chua Soi Lek lebih berpengalaman dalam berpolitik daripada saya.
Ada pihak mempersoalkan rasional kaum Cina membangkitkan kuota 30 peratus ekuiti Bumiputera kerana pada realitinya, mereka masih menguasai sektor ekonomi. Apa pandangan MAYC. Apakah kaum Bumiputera masih perlu dibantu untuk menguasai sektor ekonomi.
Saya sebenarnya terdidik dalam bidang ekonomi dan boleh saya katakan di sini yang usaha ‘penguasaan’ ekonomi oleh mana-mana kumpulan amnya tidak akan membuahkan hasil yang mapan mahupun paling lumayan untuk masa hadapan. Sebarang usaha untuk menguasai sektor ekonomi memberi gambaran kuasa digunakan untuk mengehadkan perkembangan ekonomi sesuatu kumpulan. Ini adalah usaha yang tidak membina. Untuk sesuatu ekonomi itu maju, ia haruslah digerakkan bersama.
Untuk Bumiputra dan masyarakat Malaysia amnya, pengagihan nikmat ekonomi harus menjadi tumpuan, bukan penguasaan ekonomi oleh pihak tertentu. Sebagai pemimpin MAYC, saya lebih suka melihat ahli kelab gabungan MAYC sama hebat kemakmurannya tak kira Melayu, Cina, India, dalam atau luar bandar, Islam, Kristian, Hindu atau Buddha.
Tuntutan keterlaluan Cina undang padah
2010/08/22
BARU-baru ini, berlangsung satu persidangan yang dinamakan Kongres Ekonomi Cina. Seperti program lain, tiada apa yang berbeza atau lebih menarik pada kongres anjuran MCA itu berbanding seminar atau kongres dianjurkan pihak lain. Namun, apa yang terhasil daripada persidangan itu menarik perhatian banyak pihak, terutama orang Melayu. Semuanya, 13 deklarasi diluluskan kongres, tetapi yang paling menonjol ialah mendesak ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus dalam semua sektor ekonomi dikurangkan secara berperingkat.Sebagai badan memperjuangkan kepentingan Melayu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) memandang serius tuntutan dibuat kongres itu. Pertama, kerana ia sangat tidak sesuai dengan masanya, tambahan pula ketika orang Melayu masih lagi terkebelakang dalam pelbagai bidang di negara ini.Jika kita masih ingat tuntutan Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina (Suqui) dalam dokumen rayuan 17 perkara dikemukakannya 11 tahun lalu, maka apa dibangkitkan pada kongres 14 Ogos lalu adalah berkaitan atau ulangan perkara sama.
Ketika itu, GPMS adalah pertubuhan paling terkehadapan, ‘berperang’ secara bersemuka dengan tuntutan yang sangat kurang ajar dan jelas menginjak Perlembagaan Persekutuan. Segala tuntutan mereka perlu ditolak kerana sangat tidak relevan, cauvinis serta menunjukkan sikap sebenar golongan yang sangat pentingkan diri serta haloba.
Mana mungkin dalam keadaan negara bertungkus lumus menjayakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pun, ekonomi orang Melayu hanya mampu mencecah 19 peratus berbanding 30 peratus yang disasarkan, puak itu sewenang-wenangnya pula menuntut supaya ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus dikurangkan secara berperingkat-peringkat.
Niat mereka jelas hanya mementingkan kekayaan bangsa satu puak tanpa ada sekelumit pun hasrat untuk membantu menjayakan ekonomi pribumi. Mereka tidak pernah puas dan bersyukur dengan penguasaan 81 peratus ekonomi negara. Mungkin kepuasan itu hanya akan tercapai apabila menguasai 100 peratus ekonomi.
Bagi GPMS, kami melihat tuntutan yang dibuat kongres terbabit sebagai berbahaya dan pasti akan menjejaskan perpaduan kaum dan keamanan negara. Bumiputera masih jauh ketinggalan, lalu permintaan itu seolah menidakkan hak Bumiputera dalam sistem keadilan sosial negara ini.
Jika itu desakan mereka, GPMS pasti mendesak agar pembahagian ekonomi dibuat secara sama rata mengikut peratusan penduduk kita. Natijahnya, sudah pasti api kemarahan terlindung seperti bara di bawah sekam akan semakin marak dan menjejaskan perpaduan serta keamanan negara.
Selalunya apabila timbul desakan yang menyentuh hak keistimewaan Bumiputera, pasti akan kedengaran ayat amaran ‘jangan bermain dengan api’, namun kali ini GPMS percaya keadaan akan menjadi bertambah serius kerana tuntutan yang dibuat puak itu diketuai sendiri pemimpin dalam parti politik kerajaan pemerintah.
Desakan demi desakan pasti akan mengundang keadaan tidak tenteram dalam negara. GPMS suka mengingatkan peserta kongres terbabit untuk belajar daripada sejarah. Masihkah mereka ingat peristiwa 13 Mei 1969? Punca kekalutan ketika itu adalah kerana sikap sombong pihak yang membuat tuntutan tidak munasabah seperti ini.
Tidak salah mendesak kepada keterbukaan dan persaingan di atas padang sama rata atau mengikut merit, sama ada dalam perniagaan atau pendidikan. Namun, itu semua hanya boleh dilaksanakan jika keupayaan dan kekayaan sudah pun dikongsi sama rata dan sama rasa. Hakikatnya, ia tidak berlaku lagi di Malaysia.
Jika pihak yang membuat tuntutan itu enggan berubah dan berterusan mendesak, GPMS menyarankan semua orang Melayu supaya mengadakan kempen secara terang-terangan – Melayu membeli daripada Melayu saja – bagi mengajar pihak berkenaan erti persaudaraan senegara.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memberi gambaran seolah-olah kaum Cina di negara ini mahu memonopoli semuanya. Mungkin sebelum ini mereka memendamkannya, tetapi apabila DAP mendapat sokongan segelintir pemimpin Melayu liberal bagi menindas Melayu, MCA mengambil kesempatan menabur garam di atas luka yang semakin serius itu.
Soi Lek juga secara terang-terangan mengumumkan kesediaan parti diketuainya berjuang bersama DAP bagi mendapatkan segala-galanya kepada orang Cina di negara ini. Lalu, apa yang akan berlaku kepada nasib orang Melayu. Apakah jurang di antara UMNO dan PAS akan terus melebar, biar Melayu merempat di bumi sendiri.
MCA sudah menyatakan kesediaan berkongsi pentas dengan DAP demi memperjuangkan kepentingan Cina. Bagaimana pula PAS dan UMNO? Tidak adakah sesiapa pun dalam dua parti terbesar orang Melayu itu berfikiran jauh untuk melihat apa yang mampu berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.
Janganlah kita membiarkan kampung tergadai. Ingatlah pesanan Allahyarham Aminuddin Baki ketika hayatnya dan sentiasa terngiang di telinga semua pemimpin muda GPMS hari ini: “Jangan biarkan orang Melayu menjadi seperti itik di air yang mati kehausan, ayam di kepuk mati kelaparan.”
Bersatulah di atas panji bangsa dan agama, ketepikan segala kepentingan peribadi. Resolusi yang terhasil dari kongres ekonomi Cina itu jelas menjadi bukti kegagalan orang Melayu bersatu sehingga memberi ruang kepada ‘kaduk naik junjung’.
Janganlah ada yang memanipulasi gagasan 1Malaysia diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak demi kepentingan puak mereka saja tanpa mahu memahaminya secara keseluruhan, terutama membabitkan fasal Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Tidak keterlaluan jika ada pihak yang mengandaikan Soi Lek mengambil kesempatan di atas gagasan Perdana Menteri ini demi meningkatkan imej MCA yang semakin mengecil di mata masyarakat negara ini. GPMS percaya jika itulah niatnya, maka MCA akan lenyap dari negara ini selepas PRU ke-13 nanti.
Apa yang diluluskan kongres ekonomi Cina itu seperti ‘amaran’ kepada orang Melayu. Keberanian kaum kedua terbesar itu adalah kerana pemimpin Melayu semakin berlembut dengan mereka akibat keputusan dicatatkan dalam PRU ke-12. Kononnya, parti Melayu perlukan undi mereka untuk menang dalam PRU ke-13 nanti.
GPMS berharap kepemimpinan negara dapat menasihat pemimpin yang bersuara lantang itu supaya insaf dan memahami kehendak kerajaan sebenarnya. Ajar bagaimana untuk membersihkan diri sendiri dulu dan memperkukuhkan semula partinya yang hampir ‘padam’.
Bagi orang Melayu pula, kita perlu terus memperjuangkan kuota 30 peratus dan terus berjuang untuk menguasai ekonomi lebih daripada 60 peratus selaras dengan nisbah orang Melayu di negara ini. Jadikan perjuangan itu sebagai perkara wajib.
Tiada siapa dapat mempertikaikan bahawa orang Melayu masih perlu dibantu untuk menguasai sektor ekonomi. Banyak bukti nyata terhidang menunjukkan ada gerakan cuba menyusahkan orang Melayu menjalankan perniagaan dengan menyekat pembelian pukal dan mengenakan harga lebih tinggi, sekali gus menyukarkan orang Melayu bersaing dengan adil.
Konsep ‘ali baba’ pula hanya menguntungkan baba, meninggalkan ali sekadar broker bagi mengejar projek.
GPMS berharap orang Melayu bangun. Kita perlu segera bangkit dan bersaing dengan lebih hebat tanpa memandang lagi ke belakang. Usahawan Melayu yang berjaya perlu memainkan peranan penting membantu melahirkan lebih ramai peniaga yang mempunyai minda kuat seperti mereka.
Tiket kereta api ke Utara, Pantai Timur habis dijual
2010/08/22
KUALA LUMPUR: Hampir 100,000 tiket kereta api ke destinasi utara dan pantai timur Semenanjung bagi perjalanan mulai 3 hingga 11 September depan sempena Aidilfitri, habis dijual.Berikutan itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bercadang menambah tren membabitkan 6,000 tempat duduk bergantung kepada permintaan dan koc boleh digunakan.Pengarah Pemasaran KTMB, Mohd Noordin Kimi, berkata penambahan perkhidmatan tren bagi perjalanan mulai 3 hingga 11 September depan itu bagi memberi peluang kepada penumpang yang membeli tiket pada saat-saat akhir, pulang ke kampung menaiki kereta api.“Penumpang yang ingin pulang ke destinasi di pantai timur dan utara Semenanjung diminta merujuk kami berhubung tempat duduk tambahan ini.
“Kita juga bercadang menambah perjalanan kereta api tetapi ia bergantung kepada stok koc yang boleh digunakan,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu di sini, semalam.
Mohd Nordin berkata, walaupun tiket untuk tren antara bandar habis dijual, tiket kereta api elektrik (ETS) ke Seremban dan Ipoh masih boleh dibeli,” katanya.
Nik Aziz bidas Karpal isu hudud
2010/08/22
KOTA BHARU: Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam mempertikaikan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang tidak bersetuju cadangan pemimpin PAS itu bahawa pelaksanaan hukum hudud cara terbaik mengatasi masalah jenayah dan sosial di negara ini.Mursyidul Am Pas itu turut hairan dengan sikap Karpal yang disifatkannya berbeza dengan kebanyakan pemimpin DAP yang terpelajar dan intelektual serta memahami perjuangan PAS memperjuangkan undang-undang Islam berkenaan.Sehubungan itu, Nik Aziz menyuarakan kesediaan bertemu Karpal bagi menjelaskan perkara itu.“DAP (cuma dia) seorang, kita nak tahu kenapa dia tolak (undang-undang hudud)... adakah menganiaya orang, mereka tidak pernah berdepan dengan orang PAS, dia duduk di sana, kita duduk di sini, tak pernah berdepan.
“Orang begini payah. Bagaimanapun kita akan membuat penerangan secara umum. Ia masalah (kenyataan) peribadi, (pemimpin) DAP lain senyap, (pemimpin) DAP adalah orang berpelajaran dan intelektual, mereka faham.
“Jika Karpal mahu berjumpa saya, Alhamdulillah... tetapi saya nak jumpa dia agak susah sikit, saya banyak kerja,” katanya di rumahnya di sini, semalam.
Semalam, akhbar melaporkan Karpal tidak bersetuju dengan cadangan Nik Aziz bahawa cara terbaik untuk menangani masalah jenayah dan sosial ialah dengan meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.
Khutbah: PM mahu tindakan tegas
PEKAN 21 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang didapati menggunakan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam bacaan doa solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Perdana Menteri menegaskan, jika insiden itu benar-benar berlaku, ia jelas bertentangan dengan peraturan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).
Sehubungan itu, katanya, MAIPP dan polis perlu menyiasat kejadian berkenaan sekali gus mengambil tindakan terhadap pihak yang terbabit dalam penggunaan nama Setiausaha Agung DAP itu.
''Saya minta perkara ini disiasat sepenuhnya oleh pihak berkuasa dan diambil tindakan mengikut peraturan sedia ada," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuih raya kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Bangunan UMNO Pekan di sini hari ini.
Kelmarin, Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang membantah penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Tuanku Mizan Zainal Abidin di beberapa masjid baru-baru ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penggunaan nama Guan Eng dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lalu di beberapa masjid di Permatang Pauh dan Jelutong.
Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan siasatan dibuat jika penggunaan nama Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong benar-benar berlaku.
Mengulas lanjut, Najib berkata, setiap khatib tidak dibenarkan sama sekali menggunakan teks khutbah yang bukan dikeluarkan oleh majlis agama Islam negeri.
''Khatib tidak ada kebenaran untuk membaca skrip khutbahnya sendiri. Ini bertentangan dengan MAIPP. Perkara ini perlu disiasat," tegasnya.
Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri mahu rakyat tidak hanya mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata tanpa berikhtiar untuk mengubah kehidupan yang lebih baik.
Menurut beliau, perubahan hidup tidak akan dapat dilakukan jika rakyat miskin jiwa dan sikap.
''Kemiskinan hidup dapat diubah jika kita mempunyai kekayaan jiwa dan sikap yang menjadi pendorong untuk kita berubah," tegasnya.
Namun tambahnya, kerajaan akan terus membantu rakyatnya yang dibelenggu kemiskinan menerusi dasar-dasar yang ditetapkan.
Tabur janji tidak masuk akal
Oleh YUSRI SAHAT
utusanpahang@utusan.com.my
utusanpahang@utusan.com.my
NAJIB Tun Razak mengacau bubur lambuk selepas menyampaikan kuih raya kepada Angkatan Tentera Malaysia di Pekan, Pahang, semalam. |
PEKAN 21 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan para pemimpin pembangkang yang mula menabur janji tidak masuk akal di laman-laman web dan blog membuktikan mereka terlalu gilakan kuasa.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai janji bersifat habuan wang ringgit yang ditaburkan oleh parti pembangkang yang dianggap tidak berpijak di bumi nyata.
‘‘Rakyat mesti lihat dan menilai apa yang benar dan apa yang tidak benar atau apa yang hak dan apa yang batil. Apa yang mampu dicapai dan apa yang tidak mampu dicapai.
‘‘Apa yang berpijak di bumi yang nyata dan apa yang merupakan rekaan yang cuba dijadikan umpan untuk memancing undi dan untuk mempengaruhi perasaan rakyat semata-mata.
‘‘Oleh kerana terlalu inginkan kuasa, mereka sanggup janjikan apa sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuih raya kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Bangunan UMNO Pekan di sini hari ini.
Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd. Zin dan Panglima 4 Briged Mekanise Kem Batu 10 di sini, Brigedier Jeneral Zamrose Mohd. Zain.
Beliau mengulas beberapa laporan dalam laman web dan blog berhubung janji Parti Keadilan Rakyat (PKR) kononnya akan menetapkan gaji sebanyak RM4,000 sebulan kepada semua keluarga di negara ini jika berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya akan datang.
DAP juga menjanjikan semua warga emas di negara ini akan menikmati elaun sebanyak RM1,000 sebulan jika memenangi pilihan raya akan datang.
Mengulas lanjut, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan, parti pembangkang akan melakukan apa sahaja walaupun menyedari tindakan mereka tidak realistik semata-mata untuk memenangi hati pengundi.
‘‘Bagi mereka (pembangkang), itu tidak penting, yang penting adalah janji. Sama ada janji itu realistik dan boleh dilaksanakan atau tidak, itu soal kedua. Apa yang penting mereka janji supaya menyeronokkan pengundi untuk menyokong mereka,” ujarnya.
Menurut Perdana Menteri, apa yang dilakukan oleh parti pembangkang itu merupakan strategi politik kerana mengandaikan pilihan raya umum semakin hampir.
Kini, jelas beliau, terpulang kepada rakyat untuk menilai segala janji yang ditaburkan pembangkang.
‘‘Dalam sistem demokrasi, tiada ubatnya selain kemampuan rakyat membuat penilaian berdasarkan pemikiran yang matang dan rasional,” katanya.
Ditanya sama ada beliau telah mendapat ilham untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13, katanya: ‘‘Wallah hua’lam. Kita tak tahu bila pilihan raya.”
Apa yang pasti, tambahnya, semakin hampir dengan pilihan raya, semakin banyak janji yang ditaburkan parti pembangkang.
‘‘Ini adalah perkara biasa. Dalam pilihan raya lalu pun macam-macam janji yang mereka buat. Kali ini mereka tambah janji-janji mereka,” katanya.
Najib menambah, BN tidak akan menabur janji-janji kosong sebaliknya melakukan perancangan realistik yang disokong dengan fakta dan kajian mendalam.
‘‘Seperti Model Baru Ekonomi (MBE) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang kita percaya ia merupakan perancangan yang realistik,” jelasnya.
Wan Azizah kena buktikan bukan 'Presiden Boneka'
KUALA LUMPUR 21 Ogos - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail perlu mengambil keberkatan Ramadan untuk membersihkan namanya daripada terus digelar 'presiden boneka.'
Bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak berkata, pelbagai tohmahan timbul mengatakan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlalu memberi keistimewaan kepada Naib Presiden parti itu, Azmin Ali hingga menjadikannya amat berkuasa melebihi presiden.
Menurut beliau, sebagai Presiden, Wan Azizah wajib memberi penjelasan mengenai perkara itu kerana sekiranya ia dibiarkan berterusan, bermakna beliau reda dengan fitnah tersebut atau bermakna tohmahan itu memang berasas.
"Saya amat hairan mengapa Anwar dan Wan Azizah masih membisu. Demi maruah, mereka berdua perlu menjelaskan tentang kedudukan istimewa Azmin ini.
"Azmin boleh kawal Anwar sehingga apa sahaja yang dikehendakinya pasti akan dipenuhi Anwar.
"Demi bulan Ramadan, Wan Azizah kena jelaskan bagi mengelak tanggapan bahawa beliau adalah presiden boneka. Wan Azizah dikawal oleh Anwar dan Anwar pula (seolah-olah) dikawal oleh Azmin," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Saidatul Badru mengulas gesaan bekas rakan baik Anwar, Datuk S. Nallakarupan yang mencabar diberikan penjelasan berhubung kedudukan terlalu istimewa yang dinikmati oleh Azmin.
Bagaimanapun cabaran itu langsung tidak dijawab oleh pasangan suami isteri itu.
Azmin selaku Naib Presiden PKR baru-baru ini dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang membuktikan kedudukan istimewa Azmin kepada penasihat parti itu.
Nik Aziz minta Karpal fahami hudud
KOTA BHARU 21 Ogos - Pengerusi DAP, Karpal Singh dinasihatkan supaya berdepan dengan orang Pas terlebih dahulu untuk memahami hukum hudud sebelum menolaknya mentah-mentah.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Pas mempunyai ramai pemimpin dan ahli daripada golongan cendekiawan termasuk pensyarah universiti untuk memberi penerangan mengenai hukum tersebut kepada Karpal.
Tegas beliau, Karpal adalah satu-satunya pemimpin dalam DAP yang menolak hukum hudud kerana beliau tidak pernah berdepan dengan orang Pas dan membincangkannya.
"Kita mahu tahu kenapa dia tolak hudud. Hudud itu menganiaya orang ke? Dia tak pernah berdepan dengan orang Pas, cuma dia duduk Pulau Pinang, kita di sini.
"Cuma DAP di Kuala Lumpur yang berdepan dengan orang-orang alim dalam Pas seperti pensyarah universiti," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini petang ini.
Karpal hari ini dilaporkan tidak bersetuju bahawa cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial adalah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.
Menurut Karpal, Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bahawa hanya Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain yang boleh digunakan, justeru tidak ada ruang untuk undang-undang hudud.
Kelmarin, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, negara ini wajar kembali kepada undang-undang hudud kerana undang-undang sivil sekarang gagal mengawal jenayah dan penyakit sosial.
Namun katanya, keutamaan mestilah menerapkan taqwa atau pendidikan agama terlebih dulu di kalangan rakyat.
Doa dibaca dalam bahasa Melayu - Shabudin
SHABUDIN Yahaya (kanan) bersama sebahagian daripada kariah Padang Menora menunjukkan laporan polis mengenai khatib membacakan doa untuk Lim Guan Eng di Balai Polis Tasek Gelugor, Pulau Pinang, semalam. |
TASEK GELUGOR 21 Ogos - Doa yang dibacakan oleh khatib pada khutbah kedua solat Jumaat di Masjid Jamek Padang Menora 25 Jun lalu dibuat dalam bahasa Melayu.
Kandungan doa itu adalah meminta Ketua Menteri, Lim Guan Eng terus kekal dan berjaya mentadbir negeri Pulau Pinang selain tidak menyebut nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abas.
Perkara itu dijelaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Berangan, Shabudin Yahaya yang menafikan dakwaan kononnya berlaku salah faham dalam kalangan jemaah yang tidak memahami doa kerana ia dibacakan dalam bahasa Arab.
Menurut Shabudin, biasanya doa di dalam khutbah dibaca untuk ketua agama negeri seperti Yang di-Pertuan Agong atau Yang Dipertua Negeri dan tidak melibatkan unsur-unsur lain.
"Tetapi tindakan menyebut nama Guan Eng dalam doa khutbah itu seolah-olah ada agenda politik dan membawa imej beliau.
"Etika khutbah juga dah tak betul apabila melebihkan Guan Eng berbanding pemimpin agama Islam yang lain," katanya ketika mengiringi kariah Masjid Padang Menora membuat laporan polis di Balai Polis Tasek Gelugor di sini hari ini.
Ditanya tentang khatib yang bertugas, Shabudin mengesahkan Zakaria Ahmad tidak memiliki tauliah untuk membaca khutbah yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).
Malah jelasnya, jika sesiapa yang tiada tauliah tetapi dijemput membaca khutbah, mereka juga perlu mendapatkan keizinan daripada pegawai tadbir agama daerah yang berkenaan.
"Saya harap MAIPP ambil pendekatan yang lebih tegas mengenai perkara ini dan tidak membiarkan ia terus berleluasa bagi mengelakkan perkara lebih buruk berlaku.
"Jadi laporan polis yang dibuat hari ini adalah supaya semua pihak mengambil iktibar untuk mengawal perkara ini serta mengelakkan tercetus perkara tak diingini," ujarnya.
Shabudin menambah, setakat ini sebanyak enam masjid telah mengesahkan perkara itu dan mereka membawa saksi-saksi yang mengakui mendengar sendiri doa yang dibacakan dalam khutbah itu.
Ahli kariah katanya, sangat terguris dengan apa yang berlaku dan berharap polis dapat menyiasat perkara itu.
Sementara itu, biarpun khutbah Jumaat yang mendoakan Guan Eng mendapat bantahan daripada banyak pihak dan dinafikan oleh kerajaan negeri, perbuatan yang sama didakwa berulang lagi di negeri ini semalam.
Tindakan itu didakwa dilakukan oleh khatib yang sama, Zakaria Ahmad yang sekali lagi membacakan doa untuk Guan Eng ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Jamek Kubang Buaya di sini.
Doa yang dibacakan Zakaria didakwa berbunyi "Ya Allah Ya Tuhanku, Kau selamatkanlah pemimpin kami Lim Guan Eng dan rakan-rakan kepimpinan kerajaan negeri," dan tiada doa kesejahteraan untuk Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abas.
Perkara itu disahkan oleh seorang saksi, Mohd. Radzi Husaain, 34, yang mengakui terkejut dengan doa yang dibacakan khatib terbabit.
"Ramai jemaah yang terpinga-pinga kerana khatib juga tak mendoakan Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri sebaliknya lebih mengutamakan pemimpin bukan Islam seperti Guan Eng. Perkara seumpama ini tak pernah berlaku di masjid ini sebelum ini," katanya.
Seorang lagi rakannya, Mohd. Shahril Harun, 36, yang turut bersolat di masjid sama menjelaskan, dia tidak pernah mendengar doa seperti itu sebelum ini.
Ekoran kejadian itu, Pemuda UMNO Bahagian Bagan hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Butterworth.
Laporan itu dibuat Ketua UMNO bahagian itu, Sheikh Hussein Mydin bersama beberapa Ketua Pemuda UMNO bahagian negeri Pulau Pinang.
Menurut Sheikh Hussein, beliau juga kesal dengan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abdul Malik Abul Kassim yang dilihat gagal melaksanakan tanggungjawab memelihara kesucian institusi Islam seperti mimbar masjid.
Kesal khatib ketepikan Agong
Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my
azeli.ali@utusan.com.my
TASEK GELUGOR 21 Ogos – Rata-rata kariah masjid di sekitar Tasek Gelugor di sini melahirkan rasa kesal ekoran kejadian khatib menyebut nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam doa pada khutbah kedua solat Jumaat baru-baru ini.
Mereka turut terguris ekoran khatib tersebut tidak menyebut langsung nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abas.
Bagi kariah Masjid Jamek Padang Menora, Suid Saad, 67, dia mendengar sendiri khatib bertugas menyebut nama Guan Eng dan meninggalkan nama Yang di-Pertuan Agong dalam doa yang dibacakan.
Menurutnya, jemaah perlu fokus semasa khutbah dibacakan dan tidak timbul isu jika ada jemaah mendakwa tidak mendengar doa yang dibacakan itu.
“Kalau yang tak dengar itu mungkin cacat pendengaran kerana ketika khutbah dibacakan semua orang diam.
“Jadi, saya amat kesal dengan apa yang berlaku dan berharap ia tidak berulang lagi selain mahu pihak polis menyiasat perkara ini dengan teliti,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Tasek Gelugor hari ini.
Pengerusi kariah Masjid Jarak Atas, Ismail Mt. Noh, 52, pula berkata, tindakan khatib itu boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan orang Islam.
“Perkara ini juga boleh mewujudkan pergeseran antara kaum dan agama angkara orang Islam sendiri,” ujarnya yang turut berasa kesal atas apa yang berlaku.
Sementara itu, bagi ahli kariah Masjid Permatang Binjai, Ahmad Puad Saad, 46, nama Yang di-Pertuan Agong perlu diutamakan dalam doa sebagai menghormati kedudukan baginda selaku ketua agama Islam di negeri ini dan bukannya nama Guan Eng.
“Khatib ini pernah membacakan doa serupa di masjid Permatang Binjai dan saya tak sangka ia turut berlaku di tempat lain di negeri ini.
“Saya harap polis dapat siasat perkara ini serta menyiasat juga khatib yang terlibat agar ia tidak berulang,” katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)