PEKAN 21 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang didapati menggunakan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam bacaan doa solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Perdana Menteri menegaskan, jika insiden itu benar-benar berlaku, ia jelas bertentangan dengan peraturan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).
Sehubungan itu, katanya, MAIPP dan polis perlu menyiasat kejadian berkenaan sekali gus mengambil tindakan terhadap pihak yang terbabit dalam penggunaan nama Setiausaha Agung DAP itu.
''Saya minta perkara ini disiasat sepenuhnya oleh pihak berkuasa dan diambil tindakan mengikut peraturan sedia ada," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuih raya kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Bangunan UMNO Pekan di sini hari ini.
Kelmarin, Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang membantah penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Tuanku Mizan Zainal Abidin di beberapa masjid baru-baru ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penggunaan nama Guan Eng dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lalu di beberapa masjid di Permatang Pauh dan Jelutong.
Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan siasatan dibuat jika penggunaan nama Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong benar-benar berlaku.
Mengulas lanjut, Najib berkata, setiap khatib tidak dibenarkan sama sekali menggunakan teks khutbah yang bukan dikeluarkan oleh majlis agama Islam negeri.
''Khatib tidak ada kebenaran untuk membaca skrip khutbahnya sendiri. Ini bertentangan dengan MAIPP. Perkara ini perlu disiasat," tegasnya.
Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri mahu rakyat tidak hanya mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata tanpa berikhtiar untuk mengubah kehidupan yang lebih baik.
Menurut beliau, perubahan hidup tidak akan dapat dilakukan jika rakyat miskin jiwa dan sikap.
''Kemiskinan hidup dapat diubah jika kita mempunyai kekayaan jiwa dan sikap yang menjadi pendorong untuk kita berubah," tegasnya.
Namun tambahnya, kerajaan akan terus membantu rakyatnya yang dibelenggu kemiskinan menerusi dasar-dasar yang ditetapkan.
No comments:
Post a Comment