Sunday, August 22, 2010

Kesal khatib ketepikan Agong


TASEK GELUGOR 21 Ogos – Rata-rata kariah masjid di sekitar Tasek Gelugor di sini melahirkan rasa kesal ekoran kejadian khatib menyebut nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam doa pada khutbah kedua solat Jumaat baru-baru ini.
Mereka turut terguris ekoran khatib tersebut tidak menyebut langsung nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abas.
Bagi kariah Masjid Jamek Padang Menora, Suid Saad, 67, dia mendengar sendiri khatib bertugas menyebut nama Guan Eng dan meninggalkan nama Yang di-Pertuan Agong dalam doa yang dibacakan.
Menurutnya, jemaah perlu fokus semasa khutbah dibacakan dan tidak timbul isu jika ada jemaah mendakwa tidak mendengar doa yang dibacakan itu.
“Kalau yang tak dengar itu mungkin cacat pendengaran kerana ketika khutbah dibacakan semua orang diam.
“Jadi, saya amat kesal dengan apa yang berlaku dan berharap ia tidak berulang lagi selain mahu pihak polis menyiasat perkara ini dengan teliti,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Tasek Gelugor hari ini.
Pengerusi kariah Masjid Jarak Atas, Ismail Mt. Noh, 52, pula berkata, tindakan khatib itu boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan orang Islam.
“Perkara ini juga boleh mewujudkan pergeseran antara kaum dan agama angkara orang Islam sendiri,” ujarnya yang turut berasa kesal atas apa yang berlaku.
Sementara itu, bagi ahli kariah Masjid Permatang Binjai, Ahmad Puad Saad, 46, nama Yang di-Pertuan Agong perlu diutamakan dalam doa sebagai menghormati kedudukan baginda selaku ketua agama Islam di negeri ini dan bukannya nama Guan Eng.
“Khatib ini pernah membacakan doa serupa di masjid Permatang Binjai dan saya tak sangka ia turut berlaku di tempat lain di negeri ini.
“Saya harap polis dapat siasat perkara ini serta menyiasat juga khatib yang terlibat agar ia tidak berulang,” katanya.

No comments:

Post a Comment