Sunday, September 26, 2010

Kes Sosilawati dijangka segera selesai


DIBAWA SEMULA KE TEMPAT KEJADIAN: Pihak polis membawa suspek utama semula ketempat kejadian pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya di Ladang Gadong, Tanjung Sepat,kelmarin. Foto HARIAN METRO
GEORGETOWN: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, semalam berkata siasatan kespembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, dan tiga yang lain dijangkaselesai dalam tempoh terdekat.
'Polis masih meneruskan siasatan (kes pembunuhan Sosilawati)... kita akanselesaikan tidak lama lagi,' katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlisrumah terbuka Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob, sempena Hari Raya Aidilfitri, disini.Kelmarin, pasukan forensik polis dilaporkan sekali lagi melawat ladang miliksuspek utama kes pembunuhan Sosilawati yang terletak di Ladang Gadong, TanjungSepat, Banting, Selangor.Datuk Sosilawati, 47 tahun; pemandu beliau, EncikKamarudin Shansuddin, 44 tahun; peguam peribadinya, Encik Ahmad Kamil Abd Karim, 32 tahun; dan seorang pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur,Encik Noorhisham Mohammad, 38 tahun; dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu selepasdikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.Pada 13 September lalu, polismengesahkan mereka dipukul sampai mati sebelum mayat mangsa dibakar danabunya dibuang ke sungai berdekatan Ladang Gadong.Sementara itu, pihak polis yangmenyiasat kes pembunuhan jutawan kosmetik berkenaan menafikan laporan-laporanyang mengatakan bahawa Datuk Sosilawati telah dirogol sebelum dibunuh.'Sosilawatitidak dirogol!' tegas Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd BakriZinin, ketika menafikan laporan beberapa akhbar tempatan Khamis lalu, yangmendakwa polis menyiasat kemungkinan Datuk Sosilawati turut dirogol.Dalam satukenyataan kelmarin, Datuk Seri Mohd Bakri berkata laporan mengatakan polis sedangmenyiasat kemungkinan jutawan kosmetik itu dirogol tidak benar sama sekali.'Pihakpolis ingin menegaskan laporan media yang mengatakan kemungkinan Sosilawatidirogol tidak benar.'Tujuan kelapan-lapan suspek dibawa ke Hospital Kuala Lumpur(HKL) adalah untuk pemeriksaan bagi memastikan mereka berada dalam keadaanbaik, dan mengenal pasti jika ada sebarang kecederaan atau penyakit sebelumdibenarkan berjumpa peguam mereka,' katanya.'Selain tujuan di atas, tiada sebarangpemeriksaan lain dipohon kepada pihak hospital oleh Polis Diraja Malaysia ke ataskelapan-lapan suspek berkenaan,' tambahnya.Beberapa akhbar melaporkan bahawasemua lapan suspek terbabit dibawa ke HKL untuk diambil sampel darah dan air maniuntuk menjalani ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) bagi menyiasat maklumat terbarukemungkinan Sosilawati dirogol.Semua suspek dibawa ke tingkat satu, BahagianKecemasan dan Trauma HKL, dengan kawalan ketat polis, termasuk dua daripadamereka yang ditahan kerana disyaki memeras ugut isteri seorang saudagar batupermata, Encik Allal Kathan Muthuraja, 34 tahun, dari Chennai, India, yang dilaporkanhilang selepas berjumpa suspek utama pembunuhan Datuk Sosilawati atas urusanperniagaan, 18 Januari lalu.Mengulas dakwaan suspek mereka tidak diberi peluangmempertahankan diri sebelum ditahan reman, selain dipukul serta dipaksamenandatangani beberapa dokumen, Datuk Seri Mohd Bakri meminta suspekmembuat laporan polis bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan.Sementaraitu, di Putrajaya, agensi berita Bernama melaporkan Ketua Angkatan Muda Keadilan(AMK), Encik Shamsul Iskandar Mohd Akin, kelmarin hadir di pejabat SuruhanjayaPencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan dan menyerahkanbukti berhubung dakwaannya yang mengaitkan polis dengan kes pembunuhan DatukSosilawati. -- Bernama, Harian Metro.

Bagaimana Mas Selamat lolos dari pusat tahanan akan didedah, kata DPM

SINGAPURA


BUTIR-BUTIR mengenai bagaimana ketua Jemaah Islamiyah (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari, dapat meloloskan diri daripada Pusat Tahanan Whitley, akan didedahkan kepada umum setelah siasatan selesai dijalankan, kata Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Wong Kan Seng.
Encik Wong, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata hal itu sedang disiasat dan beliau belum dapat memberikan perinciannya.'Berapa lama siasatan bergantung kepada sejauh mana Mas Selamat memberikan kerjasama dan kesahihan pendedahannya,' ujarnya semasa ditemui media semalam.Namun, Encik Wong meyakinkan warga Singapura bahawa setelah siasatan dapat memastikan bagaimana Mas Selamat lolos daripada Pusat Tahanan Whitley Road, dan maklumat yang diberi tidak menjejas keselamatan operasi, ia akan dikongsi bersama orang ramai.Mas Selamat telah meloloskan diri daripada Pusat Tahanan Whitley pada Februari 2008 sebelum akhirnya ditangkap semula di Johor, Malaysia, pada April tahun lalu.Mas Selamat diberkas kali pertama di Indonesia pada Februari 2003 setelah melarikan diri ke sana pada Disember 2001.Siasatan mendapati dia merancang merampas sebuah pesawat di Bangkok, Thailand, dan menghempaskannya di Lapangan Terbang Changi.Encik Wong turut mendedahkan bahawa Mas Selamat kini ditahan di Pusat Tahanan Whitley Road di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).Tentang tahap keselamatan di pusat itu, Encik Wong berkata, setelah Mas Selamat melepaskan diri daripada pusat tahanan itu dua tahun lalu, pihaknya telah menubuhkan Jawatankuasa Penyiasatan (COI), yang telah memberikan saranan agar kawalan dan langkah-langkah keselamatan di pusat itu diperketatkan.'Saya telah ke sana baru-baru ini dan melihat langkah-langkah itu telah dilaksanakan dan kami yakin beliau berada di tempat yang sepatutnya dan pergerakannya akan dipantau dengan teliti oleh pihak keselamatan di situ,' ujar Encik Wong.Di bawah ISA, setelah seseorang ditangkap, dia boleh disiasat selama 30 hari sebelum keputusan dibuat sama ada beliau perlu ditahan di bawah Perintah Tahanan (DO).Namun, Encik Wong yakin, Mas Selamat akan dikenakan DO setelah tamat tempoh 30 hari itu.'Mas Selamat merupakan pengganas tegar. Penangkapan semula Mas Selamat tidak bermakna ancaman pengganasan terhadap Singapura telah berkurangan. Ancaman pengganasan adalah sesuatu yang wujud dan negara-negara di rantau ini bekerja keras untuk memeranginya,' ujar Encik Wong.Beliau turut menggesa orang ramai agar terus berjaga-jaga dan tidak bersikap sambil lewa. 

'Terima kasih kerana pulangkan Mas Selamat'

SINGAPURA

MAS SELAMAT: Pengembaliannya ke tangan Singapura tiada kaitan dengan perjanjian tukar tanah yang dimeterai antara Singapura dengan Malaysia.


Perdana Menteri juga lahirkan penghargaan kepada rakyat Singapura atas sokongan berterusan mereka dalam usaha membanteras pengganasan dan memastikan negara ini selamat


PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, melahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas bantuan mereka mengembalikan pengganas paling dikehendaki, Mas Selamat Kastari, kepada Singapura.
Namun, beliau menegaskan bahawa penyerahan itu tidak ada kena-mengena dengan perjanjian tukar tanah yang dimeterai kedua-dua negara beberapa hari lalu.Encik Lee, yang berada di New York, Amerika Syarikat (AS), bagi menghadiri Sidang Puncak Kedua AS-Asean, semasa ditemui pihak media kelmarin berkata:'Kami berharap melalui kerjasama ini, kita akan dapat berganding bahu dan menjadikan Singapura serta Malaysia lebih selamat di rantau ini daripada gangguan pengganas ekstremis seperti Mas Selamat dan rakan-rakannya.'Encik Lee turut menekankan bahawa walaupun ketua Jemaah Islamiyah (JI) Singapura itu kini dalam tahanan Singapura, ancaman pengganasan masih belum reda.Sambil melahirkan penghargaan kepada rakyat Singapura atas sokongan berterusan mereka, Encik Lee berharap warga republik ini akan terus menyokong usaha membanteras pengganasan dan memastikan negara ini selamat.Tambahnya, masalah pengganasan masih belum reda dan masih ada pengganas lain di luar sana.Ketika ditanya jika penyerahan Mas Selamat ini dilakukan kerana hubungan Singapura dan Malaysia yang semakin mesra, Encik Lee berkata:'Kita mempunyai hubungan dua hala yang baik dengan Malaysia. Tetapi dalam hal kerjasama keselamatan, kita selalu mempunyai hubungan yang rapat.'Kerajaan Malaysia mengumumkan kelmarin bahawa pihaknya telah menyerahkan semula Mas Selamat, 49 tahun, kepada pihak berkuasa Singapura setelah ditahan di negara itu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ditukil akbar The Star semalam sebagai berkata, 'keputusan menghantar Mas Selamat ke Singapura diambil setelah perbincangan dilakukan antara kededua negara dan dia dianggap tidak lagi menimbulkan ancaman keselamatan terhadap Malaysia'.Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik Wong Kan Seng, semasa ditemui Berita Minggu malam tadi berkata, penyerahan semula Mas Selamat kepada pihak berkuasa Singapura adalah berlandaskan perjanjian yang dicapai dengan agensi keselamatan Malaysia, iaitu dia akan dikembalikan setelah tidak lagi diperlukan dalam siasatan mereka dalam memerangi pengganasan.'Penangkapan semula Mas Selamat di Malaysia oleh agensi keselamatan Malaysia pada April tahun lalu dan penghantaran balik Mas Selamat ke Singapura kelmarin adalah bukti kerjasama rapat antara agensi keselamatan Singapura dan Malaysia,' ujarnya, yang ditemui selepas pelancaran Pameran Bergerak GRC Bishan-Toa Payoh di Toa Payoh Hub semalam.Bagaimana Mas Selamat lolos akan didedahkan

Umno patut malu lulus lesen judi

Ali Hashim  

KEPALA BATAS, 25 Sept: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan dakwaan yang telah dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semalam yang mendakwa Kerajaan Negeri menggunakan wang dari sumber judi Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang untuk program miskin tegar.
Semalam, Reezal dalam sidang media beliau di Kepala Batas telah mendakwa kerajaan negeri memperolehi wang dari sumber judi sebanyak RM500 ribu dari kelab tersebut sebagai sumber untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.
Guan Eng berkata, sejumlah 90 peratus dari mereka yang tergolong dalam miskin tegar adalah masyarakat Melayu.
Namun begitu, katanya harus diketahui bahawa baki sebanyak 10 peratus lagi adalah di kalangan masyarakat bukan Melayu dan bukannya beragama Islam.
"Jumlah yang kita gunakan untuk masyarakat bukan Islam tidak harus dipertikaikan. Manakala bagi masyarakat Islam kita sedia maklum apa yang baik untuk mereka dan apa pula yang sebaliknya.
"Oleh kerana itu, maka usaha Umno memburukkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat (PR) ini sebenarnya tidak akan menjadi nyata kerana rakyat sudah tahu dan faham mengenai usaha mereka untuk menjatuhkan serta mencalarkan imej kerajaan negeri," katanya.
Menurut beliau lagi, jika sebelum ini Umno melalui Reezal juga telah menuduh kerajaan negeri menggunakan wang dari sumber judi untuk pemberian RM100 kepada warga emas dan tidak menjadi kenyataan setelah dinafikan dengan fakta, kini mereka beralih pula kepada wang kepada penerima miskin tegar.
Kata Lim lagi, adalah tidak munasabah untuk Kerajaan Negeri memberi sumbangan dari sumber judi kepada masyarakat Islam di negeri ini.
"Kita juga tahu apa yang boleh dan tidak boleh untuk diberikan sebagai sumbangan kepada masyarakat Islam. Oleh kerana itu janganlah Umno menjadikan isu ini sebagai modal politik mereka walaupun hendak mencari semula pengaruh yang hilang.
"Umno sepatutnya malu dengan kenyataan ini kerana merekalah sebenarnya yang menguasai kepimpinan Kerajaan Pusat bersama Barisan Nasional (BN) yang meluluskan kesemua lesen judi yang ada di seluruh negara ini.
"Bak kata pepatah menepuk air ke dulang terkena muka sendiri. Inilah umpama yang patut saya nyatakan kepada Umno dan BN yang cuba mencari kesalahan PR sejak kita mula memenangi pilihan raya 2008 yang lalu sehinggalah ke hari ini," tegasnya lagi.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan program 'Pembersihan Pantai Antarabangsa' di Pantai Robina, Teluk Air Tawar, Butterworth pagi tadi.

Gamis seru mahasiswa terus bangkit

Harakahdaily  

KUALA LUMPUR, 25 Sept: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyeru kepada seluruh mahasiswa agar meneruskan kebangkitan dan berpandangan bahawa satu momentum baru terhadap gerakan mahasiswa akan berlaku pada masa hadapan.
Sehubungan itu, presidennya, Mohd Idris Mohd Yusoff dalam kenyataan kepada Harakahdaily mengalu-alukan keputusan mahkamah semalam yang membebaskan lima mahasiswa UM daripada tuduhan terhadap mereka.
Katanya, Gamis berpendirian bahawa mahkamah selaku insitutusi keadilan telah menjalankan tanggungjawab secara adil dan telus untuk mengadili mahasiswa yang dituduh.
Tambahnya, Gamis juga menyatakan bahawa keputusan tersebut telah membuktikan bahawa mahasiswa tersebut bukanlah penjenayah seperti mana yang dituduh sesetengah pihak kerana mahasiswa sentiasa berjuang bagi pihak kebenaran.

 Satira: Banyak tanda tanya penahanan Zunar

Harakahdaily  

KUALA LUMPUR, 26 Sept: Tindakan keras yang diambil pihak polis dalam menahan kartunis terkenal tanahair, Zunar menimbulkan pelbagai persoalan yang perlu dijelaskan.
Menurut Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram), ini demi mengekalkan kepercayaan masyarakat akan ketelusan dan keterbukaan kerajaan dalam menerima sebarang maklumbalas daripada masyarakat mengenai perlaksanaan amanah dan tanggungjawab kerajaan.
Naib presidennya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, antara persoalan yang wajar dijelaskan ialah mengapa kebebasan bersatira untuk memperbaiki dasar pentadbiran awam diwar-warkan sebagai hasutan.
Katanya, satira merupakan salah satu kaedah kritikan berlapik yang diterima pakai sejak zaman belum merdeka lagi dan digunakan oleh ramai pejuang kemerdekaan seperti Pak Sako dan Pendeta Za’ba.
Justeru, katanya Ikram memandang serius mengenai penangkapan dan penahanan Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque di bawah Akta Hasutan.
Ikram, jelas beliau pada dasarnya bersetuju dengan keperluan untuk melindungi masyarakat awam daripada diperdaya dengan laporan dan pengkhabaran palsu yang mencetuskan huru-hara di kalangan rakyat.
Katanya, karya kartun semasa Zunar tidak tersiar di mana-mana akhbar atau makalah, dan buku-buku yang dijual pula sukar untuk didapati di toko-toko buku utama.
Namun, tambahnya kenyataaan bersifat perkauman seorang pengetua sekolah yang sudah lama diwar-warkan dalam media arus perdana tidak pula mengundang apa-apa tindakan undang-undang.
Malah, katanya lagi pemimpin nombor dua negara pun mengaku apa-apa tindakan terhadap pencetus insiden yang mencalar maruah kaum minoriti itu bukan di bawah bidang kuasanya.
“Bagaimana satira politik boleh dianggap lebih berbahaya daripada isu perkauman, sehingga perlunya Zunar dihantar ke beberapa lokap berturut-turut sebelum ditahan di bawah Akta Hasutan, sedangkan Akta Hasutan digubal untuk mengelakkan pemberontakan besar-besaran melalui cara-cara yang bercanggah dengan perlembagaan negara seperti tindakan subversif gerila komunis pada awal kemerdekaan Malaysia,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya Ikram mengesyorkan mana-mana institusi atau badan kerajaan yang terkesan dengan sebaran awam yang dianggap palsu dan berunsur fitnah dalam media bebas seperti forum atau blog di internet supaya tampil proaktif dalam memberikan penjelasan yang bernas terhadap isu-isu yang dibahaskan.
Beliau menambah, tindakan menggertak dan menangkap para pengkritik dasar kerajaan dan menuduh mereka di bawah Akta Hasutan hanya akan menambahkan kesangsian rakyat terhadap keikhlasan kerajaan untuk mengekalkan kebebasan bersuara sebagai salah satu hak yang wajar dinikmati rakyat.
Kerajaan, ujarnya perlu menyedari bercambahnya masyarakat Malaysia melalui media bebas seperti blog adalah berpunca dari kelemahan arus media perdana yang dilihat sebagai tidak objektif dalam menyebarkan berita serta gagal dalam meraikan kepelbagaian pendapat semasa segenap lapisan masyarakat yang berbeza falsafah politik dan kepercayaan.
Tambahnya, Ikram menggesa pihak berkuasa untuk membebaskan Zunar dengan serta merta agar keyakinan rakyat terhadap keterbukaan kerajaan dalam penerimaan kritikan awam demi penambahbaikan pentadbiran dan pengurusan negara dapat dikekalkan.
“Sekiranya ditahan maka prosedur penahanan dipatuhi dan hak peguam perlu diberikan kepada Zunar. Sebarang tindakan intimidasi dan tekanan harus dihentikan,” ujarnya lagi.

PR perintah: Umno BN hilang kuasa, bukan Melayu

Mohd Ali Hashim  

PERMATANG PAUH, 26 Sept: Sekiranya Pakatan Rakyat (PR) menerajui pentadbiran negara, maka kuasa Melayu tidak akan hilang, sebaliknya kuasa Umno dan Barisan Nasional (BN) yang akan terhapus dari persada politik negara ini.
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man berkata demikian sebagai mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa kuasa dan suara Melayu akan hilang sekiranya pembangkang menguasai kerajaan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pusat Khidmat Adun Permatang Pasir dan PAS Kawasan Permatang Pauh di Permatang Pasir, semalam.
Menurutnya, adalah tidak munasabah dakwaan yang dikeluarkan oleh Mahathir sebagai seorang yang telah lama memegang tampuk pemerintahan negara terhadap PR.
"Beliau harus mengkaji sejarah yang dekat dengan kita. Dalam negara sendiri contoh yang ada di depan mata boleh digunakan sebagai fakta. Di negeri Kelantan contohnya yang hilang kuasa adalah Umno dan BN apabila PAS memerintah negeri tersebut lebih dari 20 tahun.
"Begitu juga dengan negeri Kedah yang diterajui oleh Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Kuasa Melayu dan suara Melayu tidak hilang. Hanya yang hilang ialah kuasa dan suara Umno serta BN yang selama ini tidak pernah mengakui kekalahan mereka," ujarnya lagi.
Beliau yang juga merupakan Adun Permatang Pasir berkata, dakwaan yang dibuat oleh Mahathir sepatutnya tidak lagi diberi perhatian kerana tidak bersandarkan kepada fakta yang sebenar.
Tambahnya lagi, kuasa Umno dan BN itu yang dianggap sebagai kuasa dan suara Melayu adalah satu pandangan yang meleset dan mengelirukan rakyat.
"Pada anggapan mereka kuasa Umno itu adalah Melayu dan kuasa Melayu itu adalah Umno, sedangkan PAS adalah lebih kemelayuannya jika mahu dibandingkan dengan Umno.
"Dakwaan beliau yang menyifatkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai alat kepada DAP juga adalah prejudis yang buruk terhadap kepimpinan PR. Beliau harus sedar sejauh mana laungan dan jeritan untuk memenangkan Umno dan BN tidak akan merubah pendirian rakyat bahawa kuasa yang ada pada BN di Perak adalah kuasa yang tidak halal setelah rakyat menolak mereka dengan kertas undi dalam pilihan raya 2008 yang lalu," tegasnya lagi.

 Dasar Umno jadikan Melayu, Islam lemah

Harakahdaily  

MARANG, 26 Sept: Sejarah telah membuktikan bahawa bangsa Melayu dan agama Islam di negara ini menjadi lemah akibat dasar Umno yang sekular dan tidak mahu mengambil cara hidup Islam sebenar.
Menurut Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail, dua hujah dan fakta mudah yang jelas menyokong dakwaan tersebut adalah berhubung isu melulusakan lesen judi, dan menyekat bantuan dan peruntukan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR).
Berucap pada satu majlis ceramah di sini malam semalam beliau berkata, terbaru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula didakwa meluluskan cadangan membina sebuah kasino di Sabah sebagai sebahagian daripada ETP (Program Transformasi Ekonomi).
Kasino itu dikatakan sebahagian projek pelancongan hijau di Karambunai yang turut membabitkan pembinaan pusat rekreasi air atas tapak 500 ekar dan dicadangkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), sebuah unit di bawah Jabatan Perdana Menteri.
"Baru ni kita dah lawan dah judi bola yang diluluskan pada zaman Tun Dr Mahathir, sekarang Najib lulus pulak lesen kasino di Sabah.
"Adakah yang lulus ini Guan Eng, Kit Siang, Karpal Singh atau Tian Chua? Yang lulus ini adalah Umno, maka Umno lah yang merosakkan Islam dan menodai kesucian Islam," katanya yang juga Setiausaha Agung PKR.
Hujah kedua, jelasnya adalah berhubung penarikan semula bantuan kepada SAR yang juga dibuat pada zaman Dr. Mahathir yang didakwa terpengaruh dengan pidato Presiden Amerika pada waktu itu, George Bush.
Bush dalam pidatonya pada satu ketika dulu mengkritik sekolah agama di Pakistan yang didakwa sebagai tempat melahirkan pengganas yang kemudiannya turut dipercayai Mahathir.
Mahathir kemudiannya bertindak mengarahkan kerajaan menarik balik peruntukan kepada SAR.
"Yang tarik bukan Guan Eng, Kit Siang, Karpal Singh atau Tian Chua, tetapi yang tarik peruntukan dan bantuan SAR tempat anak kita kenal Allah, kenal Rasul, kenal al-Quaran kenal adab, adalah pemimpin Umno," katanya.
Dalam pada itu beberapa pihak telah mendesak Najib menjelaskan kebenaran dakwaan bahawa kerajaan akan membina kasino di Sabah tersebut.
Mereka berpendapat, rakyat berhak untuk mengetahui hala tuju negara ini yang dilihat gemar mempopularkan judi.

Sosilawati mencari kasih

SEBAGAI individu, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bertuah kerana dianugerahkan Ilahi harta melimpah ruah hasil usaha kerasnya dalam bidang perniagaan, terutama kosmetik, selama ini.
Wartawan Metro Ahad, NORIAH IDRIS yang mengenali dan antara teman rapatnya sejak 16 tahun lalu, mempunyai bingkisan istimewa mengenai kisah hidup jutawan berhati waja itu.

“SATU hari ketika saya bermalam di rumahnya, dia pernah meluahkan rasa yang sangat meruntun hati saya sebagai sahabat dan wanita.

Beliau berkata: “Aku ada segala-galanya... (harta). Apa yang aku inginkan semua Tuhan bagi kecuali satu, iaitu kasih sayang. Aku tak pernah mengharapkan harta daripada mereka sebab aku sudah ada. Yang aku inginkan hanya kasih sayang.

“Sebenarnya, susah mencari lelaki yang benar-benar ikhlas menyayangi diri ini. Kalaulah aku dapat, pasti aku hidup bahagia. Lebih baik kita hidup sendiri daripada terus dikhianati.” Banyak kegembiraan dan kedukaan di sebalik tabir hidupnya tersingkap antara kami sehingga kepada hal peribadi. Namun hebatnya wanita bernama Sosilawati (Wati) ini, dia tidak pernah mempamerkan kepada khalayak akan kepedihan hatinya, misalnya duka perceraiannya dengan Bukhari Mohamad yang juga bapa kepada enam anaknya, sebagai batu penghalang kejayaannya.

Melihat kegigihannya bekerja dan sikapnya cepat mesra dengan sesiapa saja, terdetik di hati bahawa wawasan anak penoreh getah dari Kampung Sri Medan, Batu Pahat, Johor ini untuk melebarkan empayar perniagaan kerana dia terkenal sebagai gigih, degil, fokus dengan apa dilakukan serta bijak mengetepikan antara masalah peribadi dengan kerjaya, pasti tercapai.

Bercerita pengalamannya ketika premisnya di Jalan Raja Bot, dia pernah dihalau dan dengan titisan air mata, dia keluar dari pejabat berkenaan tetapi azam kuat disemat di dada bahawa dia akan buktikan sesuatu keajaiban akan berlaku.

Teringat kata-katanya bahawa dia perlu bekerja keras demi mempertaruhkan seluruh hidupnya dalam perniagaan selepas rumah tangga yang dibina lebih 10 tahun sebagai isteri kedua gagal. Ketika perniagaan beralih ke Diamond Square, Jalan Gombak, dia mendapat khabar bangunan kedai di Jalan Raja Bot bakal dilelong dan dia terus meminta penasihat kewangannya sebelum membuat permohonan untuk ‘mendapatkannya’ dan ternyata nasib menyebelahinya apabila dia membeli bangunan kedai itu dengan ‘bermaruah’.

Biarpun berpendidikan SPM, kesedaran terhadap pentingnya pelajaran sering menjadi pertaruhan buat anak dan sekali gus mewariskan perniagaan itu buat mereka.

Justeru, tidak hairan apabila dia membuat keputusan menghantar tiga anak perempuannya iaitu Erni Dekritawati Yuliana (Rita), 25, Erni Erinawati Sofia (Rina), 21, dan Erni Reenilawati (Reeni), 19, ke United Kingdom untuk mempelajari bidang yang menjadi aspirasi impian masing-masing.

Manakala Erwan Suwari Ridzuan, 24 dan Erwan Nasri, 23, banyak membantu urusan perniagaan ibunya manakala si bongsu, Siti Nur Fatimah, 13, masih menuntut dalam tingkatan satu di sebuah sekolah antarabangsa.

Sepanjang ketiadaan anaknya, saya bersama beberapa lagi rakan rapatnya yang lain banyak menemaninya demi mengelak kesunyian. Dia sebenarnya tabah menghadapi apa juga situasi dan terkenal sebagai insan yang kental semangatnya.

Setiap tahun dia terbang ke London bagi meninjau keadaan anak dengan membawa tiga lagi anaknya untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar dan untuk teman, dia tidak pernah melupakan buah tangan, bahkan sering mengajak menemaninya bercuti.

Derita perkahwinan bagi Wati tidak lama kerana dia sering dikelilingi lelaki yang sering mengintip hatinya. Antara kebahagiaan yang pernah terakam dalam hidupnya dan pernah berbahagia rasa itu adalah mengenai rahsia cinta yang paling dalam terhadap vokalis rock kumpulan Lefthanded, Jamaluddin Elias (Nash).

Setiap kali bercerita mengenai lelaki yang bertakhta di hatinya itu, matanya sentiasa bersinar dan nama hebat itu tidak lekang daripada bibir apabila saya dapat menghidu bibit cintanya selepas dia mengerjakan umrah pada 2006 dan memberitahu pada tahun itu juga akan berkahwin.

Lalu perkahwinan paling berprestij dilangsungkan dalam tiga majlis resepsi dengan perbelanjaan hampir menelan lebih RM300,000.

Namun kebahagiaan dikecapi tidak panjang kerana di awal perkahwinan, beliau dapat menghidu sesuatu yang menyedihkan berlaku. Hampir dua minggu saya menyimpan rahsianya apabila dia sudah pun meminta peguam syarie, Datuk Zaidi Mohd Zain untuk memfail kes cerai.

Apabila segala-galanya terbongkar dan putuslah kasih antara mereka, cerita perceraiannya menjadi tatapan umum dan semua itu menjadi bahan luahan rasanya apabila kami berbual. Lepas satu-satu kontroversi melanda diri wanita bertaraf jutawan ini, namun sesuatu yang mengagumkan mengenainya, dia memang seorang yang tabah.

Seperkara lagi yang sering menjadi ingatan, apabila tidak lalu makan dan ke rumahnya, perkara pertama yang dilakukan adalah terus menuju ke dapur. Di atas meja sedia terhidang makanan buat rakan rapat atau sesiapa saja kerana dia terkenal hebat di dapur. Kalau saya ada masalah dan tidak mahu makan, dia akan menyuapnya ke mulut dan memaksa kita untuk terus mengunyahnya selayak ibu memaksa si anak makan. Sempat juga bergurau dengannya, selalu kami katakan kalau hendak ‘diet’ jangan datang ke rumah Wati dan dia akan tergelak besar.

Pernah dalam gurauannya dia berkata, bila ‘banglonya’ bakal dibina di Cyberjaya siap kelak, dia meminta ‘menjaga’ banglo di Taman Harmonis, Gombak apabila dia dan anak sudah ke sana. Pernah juga dia menunjukkan pelan banglo baru yang dianggar bernilai RM5 juta siap kelak, dia sudah menyiapkan bilik khusus buat rakan baiknya.

Mengenali Wati sebenarnya, hidup wanita itu ditabiri warna yang beraneka. Apabila sekali lagi kisah hidupnya tersingkap berikutan kes tangkap khalwat pada malam tahun baru 2010 bersama pasangannya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tetapi dinafikannya bahawa beliau sudah bernikah dengan lelaki berkenaan. Saya yang tahu perancangan pernikahannya seawal November hanya tersenyum dengan spekulasi itu.

Kenangan terindah yang tidak mungkin saya lupa sampai bila-bila adalah berpeluang mengerjakan umrah pada April 2008 bersama dia yang tujuh kali melakukan ibadat itu, selain ditemani saudara-maranya, stokis dan kenalan yang rapat dengannya. Ketika kunjungan ke Makkah waktu itu, dia membawa adik perempuan tiri dan ibu tirinya.

Di situlah saya mengenali hati budi pemandu peribadinya Kamaruddin Shansuddin (Kamal), 44, dan Noorhisham Mohammad, 38 (pegawai bank CIMB) yang dipercayai turut dibunuh serta isteri Noorhisham, Suzana Radin Pangat.

Hubungan kami sangat akrab dan ketika Sosilawati, Kamal, Norhisham dan peguam, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, diberitakan hilang dan dibunuh kejam, hati ini menangis pedih kerana sudah tiada lagi teman tempat menyandarkan serta berkongsi rasa.”

Tangguh percutian ke Jakarta



SHAH ALAM – Persatuan Penulis Pelancongan Malaysia (Tram) menyarankan rakyat negara ini menangguh percutian mereka ke Jakarta berikutan demonstrasi anti-Malaysia di ibu negera Indonesia itu.

Presidennya, Azlie Halim dalam kenyataan semalam berkata, tindakan agresif segelintir penunjuk perasaan di Jakarta yang hendak mengusir rakyat Malaysia dari Indonesia boleh menggugat keselamatan mereka.

“Tram mengutuk tindakan penunjuk perasaan yang mengadakan demonstrasi dan menganggapnya satu penghinaan kepada pelancong Malaysia yang banyak menyumbang kepada pertumbuhan industri Indonesia.

“Oleh itu, Tram menyarankan pelancong Malaysia menangguhkan dulu percutian ke sana dan memilih destinasi pelancongan di dalam negara,” katanya.

Dalam pada itu, Azlie berkata, Kementerian Pelancongan, khususnya, perlu menggiatkan usaha mempromosi produk pelancongan domestik kepada pelancong tempatan.

“Ini supaya wang kita tidak mengalir ke luar negara.

“Agensi seperti Tourism Malaysia juga perlu memberikan tumpuan kepada usaha mempromosikan produk pelancongan tempatan untuk pelancong domestik menerusi kempen promosi berterusan dan bersepadu di media massa,” katanya.

Melayu masih tidak sedar



PASIR MAS – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa sedih dengan keadaan orang Melayu kerana mereka tidak sedar mengenai ancaman yang dihadapi pada masa kini.

Dr Mahathir berkata, jika sebelum ini Tunku Abdul Rahman menentukan supaya rakyat Malaysia ini yang majoriti 60 peratus lebih terdiri orang Melayu, tetapi kini orang Melayu sudah berpecah.

“Hari ini orang Melayu sudah berpecah kepada tiga puak. Dan, tak ada satu puak yang boleh mengatasi ataupun mempunyai jumlah peratusan Melayu yang boleh memberi kemenangan kepada kaum Melayu.

“Sebab orang Melayu berpecah sekarang ini adalah disebabkan kerana ada yang gila...gila nak jadi Perdana Menteri. Tak peduli apa pun...dia sokong semua. Semua yang bercorak perkauman di kalangan kaum lain, dia sanggup terima dan sokong,” katanya ketika berucap pada majlis Jemputan Terbuka Perhimpunan Melayu Perkasa Kelantan dengan tema 'Perpaduan Melayu Teras Perpaduan Malaysia' di pekarangan Stesen Kereta api Pasir Mas, di sini, semalam.

Lebih 10,000 hadir pada majlis perhimpunan tersebut termasuklah Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, Tan Sri Hussin Ahmad, Tan Sri Aziz Shamsudin, serta pemimpin Perkasa di peringkat pusat dan negeri.

Beliau berkata, lebih teruk sekarang ini ada juga di kalangan orang Melayu yang malu untuk mengaku mereka adalah bangsa Melayu sebaliknya mereka dikatakan Melayu hanya kerana dilahirkan sebagai Melayu.

“Ada pula sekarang ini malu kerana mereka ini adalah orang Melayu. Mereka kata mereka bukan orang Melayu, ini terjadi saja. Mereka adalah orang Islam.

“Kita akui mereka orang Islam tetapi jika mereka utamakan Islam, berlagaklah sebagai orang Islam, tetapi hari ini mereka ini tidak sanggup bekerjasama dengan orang Islam lain khususnya dengan UMNO.

“Sebaliknya sokong orang yang dulu kata, kalau negara ini dijadikan negara Islam, maka mereka akan menentang dan langkah mayat mereka dulu baru boleh adakan negara Islam di negara ini,” katanya.

Menurutnya, apa yang berlaku sekarang ialah pemimpin yang dahulu mempermainkan nilai Islam yang diperjuang UMNO kini telah menghalalkan segala-gala yang dibuat oleh parti pembangkang.

“Ini kerana nak dapat sokongan daripada mereka (DAP) sehingga benda yang tidak... oleh kita pun ianya sanggup menghalalkan kerana nak dapat sokongan daripada kaum parti-parti pembangkang.

“Maka berpecahlah orang Melayu antara UMNO dan Pas. Dan, apabila UMNO beri-kan pendapat untuk satukan orang Melayu dalam gabungan, mereka tolak bulat-bulat. Tetapi, mereka rela bekerjasama dengan parti yang pernah mengecam mereka kerana keislaman mereka,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kini dilihat sebagai seorang tokoh politik ulama yang mudah bertolak ansur soal agama Islam dengan DAP, rakan sekutu Pas, demi mencari kepentingan mendapatkan undi pada pilihan raya umum.

Sedangkan, katanya, DAP secara terang-terangan menentang perjuangan Pas yang ingin melaksanakan hukum Hudud dan menjadikan negara ini sebagai negara Islam, dengan DAP berkata “langkah mayat mereka dahulu”.

Beliau berkata, kerana hendak halalkan apa yang dibuat parti lawan ini maka Nik Abdul Aziz sanggup buat peraturan baru berkenaan dengan pantang larang orang Melayu dan Islam.

“Banyak lagi yang dibuat pemimpin Pas untuk menghalalkan segala yang dilakukan parti lawan kerana ingin sokongan politik daripada mereka. Bangsa sudah diketepikan dan agama juga sudah dilonggarkan supaya dapat bekerjasama dengan orang-orang berkenaan.

“Inilah kesan daripada politik yang terdapat kepada orang yang terlalu sangat ingin menjadi kerajaan memimpin negara ini. Kerana nak seorang menjadi Perdana Menteri segala kesalahannya sudah dihalalkan oleh pemimpin seperti ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada orang Melayu sama ada daripada Perkasa, UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat insaf mengenai bahaya yang dihadapi orang Melayu pada masa kini.

“Orang Melayu patut sedar supaya tidak berpecah belah semata-mata untuk mendapat jawatan Perdana Menteri. Jangan tamak, orang yang tamak akhirnya akan hilang segala-galanya.

“Sepatutnya orang Melayu bersatu padu dan sokong apa yang baik bagi kaum mereka, bukan nak tolak kaum lain, bukan nak rampas hak kaum lain.

“Hak kaum lain adalah hak mereka , tetapi hak orang Melayu mesti kekal sebagai hak orang Melayu. Ini saja yang kita minta,” katanya

Perkasa tidak bercadang jadi sebuah parti politik: Ibrahim




PASIR MAS – Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menegaskan, Perkasa bukanlah sebuah parti politik seperti mana parti politik yang ada di negara ini.

Beliau berkata, sejak mula Perkasa ditubuhkan tidak ada usaha atau niat untuk menjadikan Perkasa sebuah parti politik.

Menurutnya, Perkasa akan tetap sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan belum ada sebarang keputusan untuk menjadikannya sebuah parti politik.

“Kita akan terus menjadi sebuah pertubuhan bukan kerajaan seperti ini kerana khuatir sekiranya menjadi sebuah parti politik akan menyebabkan perpecahan.

“Perpecahan ini bukan saja membabitkan kaum Melayu tetapi juga bangsa lain,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan Melayu Perkasa di pekarangan Stesen Kereta api Pasir Mas, di sini, semalam.

Beliau turut menegaskan Perkasa tidak pernah bertemu dengan UMNO dan lebih berdikari dalam mengerakkan pertubuhan itu.

Katanya, ahli UMNO juga terdiri dari pelbagai parti politik yang bersama dengan pertubuhan ini memperjuangkan Perlembagaan 153.

Ibrahim berkata, mengenai peranca- ngan akan datang, beliau tidak pasti sekiranya ahli pada lima hingga 10 tahun akan datang memutuskan untuk menjadikan pertubuhan itu sebagai sebuah parti politik.

Menurutnya, ketika itu terpulang kepada ahli dan generasi baru untuk membawa hala tuju Perkasa.

“Perkasa memperjuangkan Perlembagaan 153 dan mahukan kerajaan menterjemahkan Perlembagaan ini dalam bentuk tindakan.

“Ini termasuk dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan dan membolehkan kaum Bumiputera gembira seterusnya akan mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia,” katanya.

Fatah-Hamas berdamai akhiri perang saudara



PENDUDUK bergembira ketika meraikan pertemuan Fatah dan Hamas yang diharap menamatkan ketegangan.


RAMALLAH - Dua kumpulan bertelagah Palestin, Fatah yang mentadbir Tebing Barat dan seterunya, Hamas yang menguasai Gaza duduk semeja di ibu negara Syria, Damsyik kelmarin dalam satu pertemuan amat bersejarah.
Seorang anggota Jawatankuasa Pusat Fatah, Azzam Al-Ahmad berkata, mereka bertemu pemimpin politik Hamas dalam buangan di Syria, Khaled Meshaal selepas perjumpaan pertama di Arab Saudi dengan bantuan Mesir.
"Hubungan kami dengan Hamas tidak pernah putus," katanya merujuk kepada beberapa pertemuan secara rahsia di Lebanon, Gaza dan Tebing Barat dalam usaha mengakhiri perang saudara Palestin sejak pilihan raya 2006 lalu.
Hamas yang menentang pelan damai dengan Israel yang diusahakan Fatah dilaporkan semakin lemah dan tinjauan bebas menunjukkan hampir 50 peratus rakyat Palestin akan mengundi Fatah jika pilihan raya diadakan tahun ini.
Tinjauan juga mendapati, 54 peratus responden menyokong pelan damai kerana ia lebih menjaga kepentingan Palestin dan menolak Hamas yang dilihat kurang berupaya mengembalikan kestabilan di Palestin. - Agensi

Malaysia bantu atasi Islamophobia


NEW YORK - Malaysia mahu membantu Amerika Syarikat (AS) mengatasi fenomena Islamophobia di kalangan masyarakat kuasa besar itu agar mereka tidak salah faham dan berpandangan negatif terhadap agama Islam.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau telah menyuarakan perkara itu kepada Presiden Barack Obama semasa mencelah dalam mesyuarat kedua pemimpin ASEAN-Amerika di kotaraya New York kelmarin.
Malah Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Obama kerana pendirian tegasnya terhadap cadangan seorang paderi di Florida untuk membakar kitab suci al-Quran yang akhirnya membatalkan hasratnya.
Sungguhpun mesyuarat itu lebih berkisar soal perdagangan, keselamatan dan isu serantau, Najib sempat menarik perhatian Presiden Obama mengenai peningkatan fenomena Islamophobia di Amerika Syarikat kebelakangan ini.
Ensiklopedia dalam talian Wikipedia mentafsirkan Islamophobia sebagai ketakutan atau kebencian terhadap agama Islam dan penganutnya.
"Langkah paling penting ialah memberi kefahaman asas mengenai agama Islam bahawa ia membawa nilai-nilai sejagat dan selari dengan konsep pemodenan dan agama yang progresif," kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia yang meliputi lawatan kerjanya di New York.

Mas Selamat diusir selepas tidak ancam negara - Hishammuddin


KLUANG 25 Sept. - Pengusiran Ketua Wakalah Jemaah Islamiyah (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari ke negara asalnya, Singapura diambil setelah kerajaan mendapati pemimpin JI itu tidak menjadi ancaman kepada negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan itu dibuat selepas perundingan dijalankan antara kedua-dua negara.
Katanya, kerajaan juga membuat keputusan itu setelah mendapat maklum balas daripada pelbagai agensi termasuk pasukan khas menentang keganasan serta agensi keselamatan dan risikan negara.
"Saya diberi maklumat Mas Selamat tidak jadi ancaman kepada negara kita lagi.
"Kebetulan Mas Selamat dari Singapura dan saya telah nyatakan dari dulu lagi, mereka yang datang dari negara lain, kalau tak bawa ancaman kepada kita, saya nak mereka diusir kembali ke negara asal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Sembrong di Taman Seri Lambak di sini hari ini.
Turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim serta kira-kira 15,000 pengunjung pelbagai kaum.
Ditanya kemungkinan pengusiran Mas Selamat dibuat hasil kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke negara jiran tersebut baru-baru ini, Hishammuddin berkata, republik itu telah membuat permintaan itu sebelum lawatan tersebut.
"Permintaan telah dibuat lama dulu kerana Mas Selamat adalah warganegara sana, tetapi selagi kita tak puas hati Mas Selamat tak jadi ancaman ataupun jejaskan negara kita, kita perlu buat apa jua pertimbangan dalam konteks penahanan beliau.
"Tetapi hari ini dengan siasatan kita sendiri, saya rasa masa sudah sampai untuk kembalikan beliau di bawah tahanan negara sendiri," katanya.
Akhbar hari ini melaporkan Mas Selamat Kastari telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen bagi tindakan pengusiran ke negara asalnya, Singapura, semalam.
Pengarah Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Polis Diraja Malaysia, Datuk Mohammad Fuzi Harun dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat oleh Hishammuddin pada pukul 10.30 pagi.
Sementara itu, beliau menafikan penahanan kartunis portal pembangkang, Zunar atau nama sebenarnya, Zulkiflee SM Anwarul Haque, 49, hanya disebabkan kartun yang dihasilkannya menyentuh tentang Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
"Ramai juga gembar-gemburkan tahanan itu berkisar kartun yang menyentuh kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
"Tetapi maklumat yang saya terima daripada pihak berkuasa, kartun itu berhubungkait sistem perundangan kita, agama, isu kalimah Allah diputarbelitkan dalam kartun," katanya.
Beliau berkata, penahanan dibuat mengikut Akta Hasutan dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Akhbar hari ini melaporkan Zunar ditahan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana menghasilkan buku Cartoon-O-Phobia yang menyentuh isu-isu sensitif dan boleh mengganggu ketenteraman awam.
Beliau ditahan di pejabat penerbitan miliknya, Sepakat Efektif Sdn. Bhd. di ibu negara kira-kira pukul 4 petang.

Jangan gadai hak bangsa



DR. MAHATHIR Mohamad dan Ibrahim Ali dikerumuni orang ramai pada Perhimpunan Melayu Perkasa di Pasir Mas, semalam.


PASIR MAS 25 Sept. – Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan pemimpin-pemimpin Melayu termasuk dari parti pembangkang supaya tidak menggadaikan hak-hak orang Melayu semata-mata hendak mendapat tempat dan ingin menjadi Perdana Menteri.
Sambil menyuarakan rasa sedih dan bimbang dengan senario tersebut, bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan sedemikian akan hanya menyebabkan anak-anak, cucu-cicit mereka hidup dalam negara seperti Singapura dengan tidak mendapat sebarang jawatan dan kemudahan, bahkan tidak boleh bercakap langsung mengenai bangsa sendiri.
“Itu mungkin menjadi nasib kita apabila kita menjadi orang yang tidak ada kuasa politik sama sekali yang duduk di bawah telunjuk orang lain dan mereka tidak boleh mencari perlindungan daripada kerajaan.
“Sebab itulah orang Melayu patut sedar supaya mereka tidak berpecah-belah kerana tamak hendak dapat jawatan, nak jadi Perdana Menteri umpamanya.
“Jangan tamak, orang yang tamak akan hilang segala-galanya. Sepatutnya orang Melayu bersatu-padu dan menyokong apa yang baik bagi kaum mereka, bukan nak tolak kaum lain, bukan nak rampas kaum lain.
“Hak kaum lain adalah hak mereka, tetapi hak orang Melayu mestilah kekal sebagai hak orang Melayu,” katanya berucap di hadapan hampir 20,000 penduduk pada Perhimpunan Melayu Perkasa di sini hari ini.
Perhimpunan anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) turut dihadiri oleh penduduk pelbagai kaum termasuk Cina, India dan masyarakat Siam.
Turut hadir, isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Presiden Perkasa yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.
Dalam ucapannya itu, Dr. Mahathir turut melahirkan rasa sedih kerana orang Melayu masih tidak sedar ancaman yang sedang dihadapi oleh mereka sehingga berpecah kepada tiga puak disebabkan individu tertentu yang gilakan kuasa kerana hendak menjadi Perdana Menteri.
Dalam nada sinis, beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pemimpin pembangkang tertentu yang malu hendak menjadi orang Melayu dan mengaku orang Islam, tetapi tidak berlagak sebagai seorang Islam sebenar kerana tidak sanggup bekerjasama dengan orang Islam lain yang memimpin parti UMNO.
Bekas Perdana Menteri itu turut menempelak sikap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sanggup ‘mengetepikan bangsa dan melonggarkan agama’ hanya kerana hendak mendapatkan sokongan politik kaum tertentu untuk membentuk kerajaan dan memimpin negara.
“Hari ini, orang Melayu terbahagi kepada tiga pasukan dan ketiga-tiga pasukan bertungkus-lumus cuba untuk menarik sokongan kaum-kaum lain, ini tidak mengapa.
“Tetapi apabila mereka sudah sanggup menjadi boneka, menjadi patung dalam kerajaan yang namanya sahaja terdiri daripada orang Islam, orang Melayu tetapi sebenarnya mereka terpaksa mengikut apa sahaja arahan daripada kaum-kaum lain sehingga mereka sanggup merampas hak yang dijanjikan diberi kepada orang Melayu,” katanya.
Menurut Dr. Mahathir, berbeza dengan pejuang-pejuang bangsa terdahulu yang ingin mereka menjadi bangsa kuat, orang Melayu pada hari ini amat lemah sehingga menjadikan mereka cuba mendapatkan sokongan kaum lain sehingga perjuangan menegakkan agama, bangsa dan negara terhapus sama sekali demi untuk mendapatkan undi.
Justeru katanya, sungguhpun tidak berapa sihat kerana baru kembali dari luar negara, beliau rasa terpanggil untuk hadir pada perhimpunan tersebut kerana ingin menyeru orang Melayu sama ada daripada Perkasa, UMNO, Parti Keadilan rakyat (PKR) dan Pas supaya insaf tentang bahaya yang dihadapi oleh orang Melayu.
“Apa yang hak bagi orang lain kita tak nak rampas, tapi yang hak bagi kita janganlah cuba rampas,” katanya.