Wednesday, October 13, 2010

19 butir peluru dirakam di dua lokasi



SHAH ALAM – Seorang jurugambar memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, memberitahu mengambil gambar 19 butir peluru terdiri daripada anak dan kelongsong di kawasan kejadian kejar dan tembak seorang remaja, Aminulrasyid Amzah pada 26 April lalu. 

Detektif Koperal Mokhtar Hussin, 50, dari Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Daerah Selangor berkata, dua daripada gambar terbabit diambil di tempat kejadian, Jalan Tarian, Seksyen 11, Shah Alam pada tengah malam hari berkenaan dan pada sebelah pagi, 28 April lalu. 

Saksi itu berkata, pada sebelah petang, 28 April lalu pula dia mengambil gambar sebanyak 17 butir kelongsong peluru yang ditemui dari Bulatan Kayangan hingga ke tempat kejadian kereta Aminulrasyid, 15, tersadai selepas terkena tembakan polis. 

Koperal Jenain Subi, 48, dituduh menyebabkan kematian remaja berusia 15 tahun itu, tanpa niat di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, antara jam 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April lalu. Ketera- ngan saksi mengenai gambar anak dan kelongsong peluru itu ketika sesi soal balas oleh peguam Jenain, M Athimulan. 

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Adillah Ahmad, saksi itu memberitahu, selain mengambil gambar anak dan kelongsong peluru, beliau juga mengambil gambar keseluruhan pokok yang terkopak, kereta Proton Iswara putih yang dipandu Aminulrasyid, dan kesan tembakan termasuk bahagian dalam kereta serta gambar mangsa. 

Ketika disoal balas seorang lagi peguam Jenain, Salim Bashir, saksi itu memberitahu beliau tidak dapat mengagak atau mengira jarak antara kelongsong dan serpihan peluru yang diambil gambar itu tetapi bersetuju bahawa kedua-dua barang kes itu dirakam di dua tempat berasingan. 

Semasa sesi pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar saksi memberitahu, kelongsong yang dirakam itu dalam keadaan berlainan posisi. 

Semalam ialah hari pertama perbicaraan terhadap Jenain yang didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan menyebabkan kematian Aminulrasyid. 

Turut hadir ke perbicaraan ialah ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohamad, 60, dan sanak saudara termasuk orang awam yang mengikuti kes perbicaraan Aminulrasyid. 

Semalam dijangkakan rakan Aminulrasyid, Muhammad Azamuddin Omar, 15, memberi keterangan bagaimanapun enam saksi yang juga anggota polis dipanggil lebih awal. 

Mereka ialah anggota Gerakan, Lans Koperal Mohd Sabri Salleh, jurugambar polis, Ahmad Zamzami Abdul Wahab, 25, Lans Koperal Saiful Izam Abd Hamid, 31, dan anggota cawangan persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Shah Alam, Jamaludin Basir, 46. 

Terdahulu, Muhammad Azamuddin yang sebelum ini dikatakan trauma akibat kejadian rakannya itu ditembak hadir ke mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi ditemani ahli keluarganya. 

Kejadian kejar dan tembak Aminulrasyid mencetuskan kontroversi di negara ini kerana polis dikatakan sewenang-wenangnya melepaskan tembakan kepada orang awam. 

Menurut laporan, Aminulrasyid dan rakannnya itu sedang dalam perjalanan pulang dari sebuah restoran di Seksyen 7, Shah Alam pada malam kejadian itu. 

Difahamkan selepas keretanya memotong sebuah kereta polis, kenderaannya dikejar dan beberapa das tembakan dilepaskan polis kerana dikatakan enggan berhenti. 

Kereta Aminulrasyid akhirnya ditemui terbabas dan remaja itu ditemui mati di kerusi pemandu.

Felda nafi dakwaan Anak



KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan menafikan kenyataan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak), Mazlan Aliman bahawa Felda kalah dalam kes saman 10 peneroka Felda Sungai Koyan 2 dan 3 seperti diputuskan Mah- kamah Kuantan baru-baru ini. 

Katanya, jika benar dakwaan tersebut, Felda pastinya akankan membuat rayuan terhadap keputusan itu. 

Sebaliknya, Ahmad berkata, keputusan mahkamah itu mengesahkan garis panduan yang dilaksanakan Felda selama ini berhubung pembayaran wang tanam semula. 

Katanya, ini apabila mahkamah menetapkan yang kumpulan peneroka terbabit berhak menanam semula tanpa melalui Felda dan berhak mendapat bayaran RM1,700 setiap 0.4 hektar dengan syarat mereka mematuhi prosedur Felda. 

“Kalau Felda kalah, sudah tentu rayuan akan dibuat sebaliknya keputusan mahkamah itu dengan jelas menyatakan peneroka hanya berhak dapat tuntutan mereka jika patuh kepada prosedur Felda. 

“Jadi, tindakan saman itu hanya merugikan mereka kerana terpaksa membayar khidmat peguam. Kalau mereka tak saman pun, kita tetap bayar,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen, semalam. 

Kelmarin, Mazlan mendakwa Felda kalah dalam kes di mahkamah selepas Hakim Mahkamah Kuantan menetapkan Felda perlu membayar tuntutan wang tanam semula kepada 10 peneroka. 

Dalam pada itu, menjawab kenyataannya sebelum ini yang mendakwa terdapat peneroka yang menyalahgunakan wang tanam semula, beliau menjelaskan bahawa kenyataannya itu tidak merujuk kepada semua peneroka. 

“Saya tidak kata semua peneroka yang terbabit. Ada sebahagian kecil yang melakukannya. Saya tengok sendiri beberapa kejadian,” katanya. 

Ahmad sebelum ini mendakwa kebun peneroka tanam sendiri menjadi hutan, penuh dengan babi, ular sawa, tikus dan kumbang. 

Beliau juga mendakwa wang tanam semula RM17,000 diguna peneroka membeli motor, kereta dan membaiki rumah. 

Menjawab isu baja yang dibekalkan Felda yang didakwa dicampur dengan pasir menyebabkan kandungan aslinya berkurangan, Ahmad berkata, Felda akan menyiasat perkara terbabit.

Empat pelajar UKM bakal berdepan tindakan tatatertib




2010/10/13

KUALA LUMPUR: Empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal berhadapan dengan tindakan tatatertib apabila Mahkamah Tinggi menolak permohonan injunksi erinford mereka bagi menghalang universiti itu berbuat demikian. 

Keempat-empat penuntut itu didakwa terbabit dalam kempen Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor pada April lalu.Hakim Datuk Aziah Ali membuat keputusan itu dalam kamar dengan dihadiri peguam Haris Ibrahim yang mewakili penuntut berkenaan, Peguam Kanan Persekutuan, Aida Adha Abu Bakar bagi pihak Kerajaan Malaysia dan Menteri Pengajian Tinggi, manakala UKM diwakili peguam Sarah Abishigam.Haris memberitahu pemberita selain itu, Aziah turut mengekalkan perintah kos guaman yang perlu ditanggung oleh kesemua penuntut terbabit sebagai mana keputusannya pada 28 September lalu, berkaitan kes sama. 

Pada 7 Oktober lalu, ketika berhujah untuk pendengaran permohonan injuksi itu, peguam Malik Imtiaz Sarwar yang turut mewakili semua pelajar berkenaan, memohon supaya mahkamah tidak menetapkan sebarang kos memandangkan pemohon terdiri daripada golongan yang masih menuntut. 

Injuksi erinford bermaksud status quo dikekalkan sehingga rayuan didengar di Mahkamah Rayuan. 

Pada 1 Jun lalu, Muhammad Hilman Idham, 21; Woon King Chai, 22; Muhammad Ismail Aminuddin, 22, dan Azlin Shafina Mohamad Adzha memfailkan saman pemula terhadap kerajaan, Kementerian Pengajian Tinggi dan UKM, untuk mencabar tindakan universiti itu terhadap mereka. 
Dalam saman berkenaan, semua penuntut itu mendakwa UKM, melalui surat bertarikh 13 Mei, meminta mereka hadir di universiti berkenaan untuk menjawab pertuduhan terhadap mereka, dan sekiranya mereka gagal berbuat demikian atau tidak menghantar representasi secara bertulis dalam tempoh 14 hari, maka pengajian mereka akan digantung serta-merta. 

Mereka yang juga adalah penuntut tahun kedua jurusan sains politik, mendakwa tindakan tatatertib yang dikenakan oleh universiti itu bagi kesalahan mengikut Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti, adalah tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang. 

Haris turut memberitahu pihaknya telahpun memfailkan rayuan berhubung keputusan Aziah pada 28 September. - BERNAMA 

tak pernah tutup selamanya

KDN tidak pernah tutup kes orang hilang: Abu Seman


2010/10/13

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan bahawa ia sudah berpuas hati dengan kejayaannya menyelesaikan kira-kira 60 peratus kes orang hilang setakat ini daripada lebih 35,000 kes yang diterimanya. 

Timbalan Menterinya, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata kes-kes sedemikian tidak akan ditutup selagi KDN dan polis berupaya mendapat maklumat atau petunjuk terbaru berkaitan orang hilang."Bila kita ada petunjuk terbaru, atau apa jua maklumat untuk mengesan orang-orang yang dilaporkan hilang, kita pasti akan teruskan. Jangan sesekali kata kita berpuas hati dengan pencapaian kita," katanya.Beliau diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad sebelum ini bahawa tidak ada apa yang patut dibanggakan KDN selepas dapat menyelesaikan 21,000 daripada 35,000 kes orang hilang. 

Khalid berkata demikian sebagai mengulas jawapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Dewan Rakyat Isnin lalu bahawa dari tahun 2000 hingga Ogos tahun ini, sebanyak 35,473 kes orang hilang dilaporkan dan dari jumlah itu 21,344 kes telah selesai atau telah dijumpai semula. 

Hishammuddin menyifatkan perkara itu sebagai kejayaan yang boleh dibanggakan dan mampu menangkis persepsi negatif terhadap polis. - BERNAMA 

Jepun, China setuju untuk berdamai




TOKYO – Menteri Pertahanan Jepun, Toshimi Kitazawa dan rakan sejawatnya dari China, Liang Guanglie bersetuju membaiki hubungan tegang dua negara itu dan mewujudkan sistem perhubungan yang baik untuk mengelak berlaku perbalahan di laut. 

Kitazawa dan Guanglie bertemu semasa menghadiri persidangan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) di Hanoi, Vietnam, baru-baru ini. 

Surat khabar Jiji melaporkan, Kitazawa juga setuju dengan cadangan Guanglie untuk bekerjasama mewujudkan perkongsian yang boleh mendatangkan keuntungan di kedua-dua negara pada masa hadapan. 

Menteri Pertahanan Jepun bertemu dengan China buat pertama kalinya selepas insiden penahanan kapten bot nelayan negara itu di Pulau Ishigaki bagi membantu siasatan polis di Jepun, Ogos lalu. 

Kapten bot nelayan tersebut dibebaskan selepas ditahan lebih daripada dua minggu di Jepun dan dibenarkan pulang ke China pada 25 September lalu.

Usah biar lebih ramai terkorban


Oleh Ratinawati Rasidi
ratinawati@bharian.com.my
2010/10/12

pix_gal0
Kerjasama semua pihak penting elak nahas

SUDAH terhantuk baru terngadah, pepatah yang sesuai untuk menggambarkan tahap kesedaran pengguna jalan raya di negara ini. Menurut kajian, 60 hingga 70 peratus kemalangan berpunca daripada sikap pemandu. Selebihnya, membabitkan masalah kenderaan dan persekitaran jalan raya.Adakah perlu untuk kita melihat lebih ramai lagi terkorban dek kelewatan melaksanakan apa juga bentuk peraturan dan polisi. Kerajaan berusaha sedaya mungkin memperkenalkan peraturan mahupun jalan penyelesaian, tetapi adakah ia memadai? Sejauh manakah semua peraturan itu benar-benar difahami dan diamalkan. Adakah perlu kita gunakan alat perakam maklumat seperti kotak hitam atau menguatkuasakan penggunaan had kelajuan kenderaan untuk memantau sikap pemandu.Tidakkah semua ini dilihat umpama memantau kanak-kanak yang belum mampu mengerti apa itu bahaya, mahupun kematian. Berapa banyak lagi akta atau peraturan yang perlu kita perkenalkan semata-mata memantau pelakuan pemandu atau pihak berwajib bersikap acuh tak acuh dalam menguatkuasakan undang-undang.

Baru kelmarin kita dikejutkan dengan kemalangan ngeri meragut 12 nyawa dan mencederakan 40 penumpang bas, kereta, van dan seorang penunggang motosikal. 
Ops sikap ke-22 lalu mencatatkan 16,817 kemalangan berlaku dan angka ini sudah cukup membuktikan betapa pengguna jalan raya kurang mengambil iktibar daripada setiap kemalangan yang berlaku. Benar ia dilaporkan menurun 9.5 peratus, berbanding Ops Sikap ke-21 tetapi kemalangan ngeri tetap berlaku dan ia sebenarnya mampu dikurangkan jika semua pihak bekerjasama.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata tidak ada sesiapa yang mahukan kemalangan berlaku tetapi tragedi tetap berlaku atas sebab dan alasan tersendiri. Apa yang pasti, polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) sedang menyiasat secara terperinci kemalangan itu.
“Di negara ini, apabila sudah berlaku kemalangan, baru orang sibuk memperkatakan siapa yang bersalah, ngerinya kemalangan dan punca kemalangan. Sebaliknya, kita gagal mengambil iktibar. Kita tidak pernah mengharapkan semua ini berlaku dan kita tidak mahu pun ia berlaku. Apa yang penting, sudah tiba masanya pengguna bekerjasama dengan kerajaan. Kerajaan tidak mampu bertepuk sebelah tangan dan jangan hanya memandang ia sebagai tragedi,” katanya.

Prof Dr Ahmad yakin sudah tiba masanya semua pengusaha bas mempraktikkan secara keseluruhan Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran (SHE) bagi mengurangkan kemalangan terutama bas ekspres. Kod amalan itu, mencakupi komitmen pengurusan tertinggi syarikat terhadap keselamatan, pengurusan pemandu, pengurusan kenderaan, pengurusan risiko dan perjalanan dan pengurusan dokumen pengurusan kenderaan. 

SHE tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994). Kod ini diperkenalkan pada 2007 dan Kabinet memutuskan untuk mewajibkan semua pengusaha kenderaan melaksanakan Kod Amalan SHE. 

Mengulas penggunaan Alat Sistem Kedudukan Global (GPS), Prof Dr Ahmad berkata, penggunaan ‘technology in a vacuum’ bukanlah sesuatu yang digalakkan kerana Kod Amalan SHE dilihat lebih sesuai berbanding kebergantungan terhadap alat elektronik.

Walaupun diperkenalkan tiga tahun lalu, masih ramai pengusaha bas tidak memahami kod amalan SHE, apatah lagi untuk menjadikannya sebagai salah satu syarat wajib lesen. Perkara ini pernah didedahkan Pengerusi LPKP, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

“Apabila kita ambil keputusan jadikan SHE syarat lesen, rupanya hampir semua syarikat tak faham apa itu jawatankuasa dan polisi SHE, inikan pula nak tubuhkan audit dalaman... mereka tak faham apa patut dibuat. Oleh kerana mereka tidak faham, kita tak dapat kuatkuasakan SHE. 

“Jadi, sekarang kita nak beri kefahaman kepada mereka dulu. Justeru, selepas kita selesai memberi penerangan kepada mereka mengenai SHE, kita akan beri mereka tempoh tiga bulan untuk bangunkan ketiga-tiga elemen ini dan kemudian baru boleh kenakan tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Berikut ialah senarai nama mangsa yang terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Pedas, malam kelmarin:


  • R Ramachandra, 52 – pemandu bas Ekspres Delima (Alamat: Batu 3 Kampung Tengah, Klebang Besar, Melaka)

  • Muhammad Farizuddin Talib, 19 – penumpang bas (Balai Panjang, Malim, Melaka)

  • Azizi Ajis, 20, – penumpang bas (Kampung Japis, Nyalas, Melaka)

  • Norazmi Abdul Karim, 24 – penumpang bas (Kampung Pondok Kempas, Selandar, Melaka)

  • Sharene Sofia Fadzry Tan, 18 – penumpang bas (Taman Semabok, Melaka)

  • Nur Shafika Baba, 19 – penumpang bas (Jalan Pokok Mangga, Melaka)

  • Ng Sok Kuan, 52 – penumpang bas (Sungai Udang, Melaka)

  • Pau Khaw Tual, 21 – penumpang bas (Warga Myanmar)

  • Kam Khaw Tual, 19 – penumpang bas (Warga Myanmar)

  • Cin Chwen Tuang, 30 – penumpang bas (Warga Myanmar)

  • Goo Chuan Heng, 34 – pemandu van Toyota(Taman Maju, Batu Pahat, Johor)

  • Pang Shi Moe, 57 – penumpang kereta Honda Accord (Taman Segar, Segamat, Johor)

    Mangsa dirawat (mengikut hospital)

  • Hospital Tuanku Jaafar, Seremban – 23 orang (4 parah, 19 cedera ringan)

  • Hospital Melaka – 11 orang (2 parah, 9 cedera ringan)

  • Hospital Kuala Lumpur – 1 orang (parah dan kritikal)

  • Hospital Pantai, Melaka – 3 orang (parah dan kritikal) 
  • dah kasi minta balik

    Istana Kelantan tarik anugerah Datuk 4 orang termasuk Ibrahim Ali


    2010/10/13

    KOTA BHARU: Istana Kelantan hari ini merarik balik anugerah Datuk kepada empat individu, termasuk Presiden PERKASA, Ibrahim Ali dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Wan Hashim Wan Daud.

    Khidmat Blackberry tidak akan disekat: Rais





    2010/10/13

    KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk menyekat perkhidmatan telefon pintar Blackberry malah yakin dengan keselamatan pemindahan dan penyimpanan data menggunakan alat berkenaan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

    Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata keputusan itu dibuat setelah kementerian meneliti isu penggunaan Blackberry yang timbul mutakhir ini serta mengadakan perbincangan dengan pihak Research in Motion (RIM) berhubung perkara itu."Pengguna boleh meneruskan khidmatnya (Blackberry). Ia banyak beri faedah dan kemudahan kepada masyarakat terutama komuniti perniagaan. Pihak RIM juga telah menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk mendapatkan maklumat dan saluran untuk perkhidmatan yang berterusan," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini.Beliau menjawab soalan Leong Jee Keen (PKR-Selayang) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan mengawal e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan komunikasi antara masyarakat serta sama ada kerajaan bercadang untuk menyekat perkhidmatan Blackberry.

    Rais berkata Malaysia tidak akan menyekat penggunaan Blackberry seperti di Arab Saudi, Indonesia dan India kerana tiada sebarang insiden atau laporan negatif tentang penyalahgunaan alat tersebut di negara ini.

    Katanya, tindakan negara berkenaan mengadakan sekatan kerana wujud laporan tentang kemungkinan kerahsiaan e-mel dan SMS tidak terjamin serta pangkalan data alat itu disalah guna pihak tertentu.

    "Bagaimanapun baru-baru ini Arab Saudi dan India telah menarik balik beberapa penentuan berkenaan dan penggunaan Blackberry diteruskan mengikut lunas-lunas yang biasa," katanya. 
    Sementara itu, beliau turut memaklumkan Dewan bahawa sebarang salah guna media elektronik seperti e-mel dan SMS untuk menyebarkan kandungan lucah, jelek dan menyakitkan hati seseorang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 211 dan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 dan penjara tidak lebih setahun.

    "Mereka juga boleh didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan di bawah Kementerian Dalam Negeri," katanya.

    Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan sentiasa bertindak mengikut peruntukan-peruntukan tersebut sekiranya terdapat aduan mengenai salah guna media elektronik berkenaan. - BERNAMA

    7 kakitangan imigresen, 2 warga asing ditahan ISA





    2010/10/13

    KUALA LUMPUR: Seramai sembilan individu termasuk tujuh kakitangan Jabatan Imigresen ditahan sejak 10 dan 12 Oktober lalu mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). 

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata semua mereka termasuk dua warga asing itu ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan warga asing di negara ini."Penahanan mereka dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci, sekali gus membanteras kegiatan sindiket terbabit yang boleh mengancam keselamatan negara," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, sebentar tadi.

    Rais buat laporan polis terhadap penulis blog


    KUALA LUMPUR - Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim semalam membuat laporan polis terhadap penulis blog, Rocky's Bru kerana membuat tuduhan palsu terhadap anak lelakinya seperti yang disiarkan dalam blog berkenaan.
    Blog tersebut mendakwa anak lelakinya mempunyai kepentingan dalam kementerian terbabit dengan memperoleh geran RM1 bilion bagi menaik taraf akses jalur lebar di seluruh negara.
    Difahamkan, Rais turut membuat laporan sama terhadap blog Taikors and Taikuns (TnT) dan Bigdogdotcom di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini kira-kira pukul 11 pagi semalam.
    Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
    "Siasatan akan dilanjutkan ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," katanya ketika dihubungi semalam.

    Kereta ditembak bertalu-talu



    JENAIN (tengah) diiring keluar selepas perbicaraan kes Aminulrasyid 
    di Mahkamah Sesyen Shah Alam ditangguhkan semalam.


    SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen di sini semalam dimaklumkan bahawa berbelas-belas kesan tembakan dirakam pada bahagian belakang kereta Proton Iswara yang dipandu Aminulrasyid Amzah pada hari mangsa (Aminulrasyid) ditembak mati enam bulan lalu.
    Seorang jurufoto polis, Detektif Lans Koperal Ahmad Zamzami Abdul Wahab, 25, yang bertugas di Cawangan Foto Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dalam keterangannya berkata, gambar-gambar tersebut diambil di antara pukul 2 dan 6 pagi 26 April lalu iaitu pada hari kejadian.
    Dia yang merupakan saksi pendakwaan kedua (SP2) bagi kes Aminulrasyid, 15, yang ditembak mati semasa dikejar oleh sebuah kereta peronda polis turut memberitahu, antara gambar yang dirakam termasuk belakang kereta iaitu bawah but sebelah kiri, ekzos dan tempat letak barang bahagian luar kereta.
    “Turut diambil gambar ialah lampu isyarat sebelah kanan, rim tayar belakang sebelah kanan, plat nombor pendaftaran, bawah tangki minyak dan lain-lain,” katanya di hadapan Hakim Latifah Mohd. Tahar.
    Menurutnya, dia juga ada merakamkan foto sebilah parang yang terletak di bawah tempat duduk penumpang hadapan kereta Proton Iswara itu.
    “Selepas anggota forensik selesai membuat tanda, saya diarah oleh pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Ahmad Fauzi untuk merakamkan gambar di tempat kejadian.
    “Antara gambar yang diambil dengan menggunakan kamera digital ialah gambar jalan, pokok yang dilanggar, keadaan dalam kereta, kelongsong peluru dan mangsa. Sebanyak 41 keping gambar dirakamkan,” ujarnya.

    Ada kelibat wanita kendong anak



    PEMANDU bas mendakwa pernah ternampak kelibat wanita mengendong anak dekat plaza tol Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka.


    KUALA LUMPUR - Kelibat wanita berpakaian putih sambil mengendong anak melintas secara tiba-tiba di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Tol Simpang Ampat, Alor Gajah di Melaka kini dikaitkan dengan kemalangan maut yang berlaku Ahad lalu.
    Tinjauan Kosmo! mendapati ada antara pemandu bas ekspres dan pengguna jalan raya yang selalu menggunakan laluan itu mendakwa kawasan berkenaan 'keras' dan kerap dikaitkan dengan elemen-elemen mistik.
    Ada yang mendakwa melihat kelibat wanita itu melintas jalan dan ada yang melihatnya duduk di tepi jalan terutama pada waktu malam.
    Ia menyebabkan ramai pengguna jalan raya terpaksa membrek mengejut sehingga ada yang gagal mengawal kenderaan yang dipandu.
    Pemandu bas Konsortium Bas Ekspres Semenanjung, Rafi Bahari, 38, mendakwa, dia pernah ternampak kelibat wanita tersebut beberapa tahun lalu ketika dalam perjalanan dari Taiping ke Singapura.
    "Ketika melalui kawasan itu pada pukul 4 pagi, saya ternampak kelibat wanita baju putih melintas.
    "Saya sempat brek secara mengejut tetapi tidak berlaku kemalangan," ujarnya kepada Kosmo! di sini semalam

    Petisyen selamatkan bangunan stesen KTM Tanjung Pagar



    BANGUNAN bersejarah Keretapi Tanah Melayu (KTMB) di Tanjung Pagar, Singapura. - AGENSI



    SINGAPURA 12 Okt. - Tiada lagi gedung membeli-belah bergemerlapan, restoran anggun dan kondominium mewah, tetapi peliharalah budaya dan sejarah.
    Begitulah rayuan daripada sekumpulan aktivis Singapura yang sudah memulakan petisyen untuk memelihara bangunan stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Tanjung Pagar serta sejarahnya yang kaya untuk manfaat generasi akan datang.
    Nasib stesen usang tetapi bersejarah milik Malaysia itu, terletak di kawasan perniagaan dan pelabuhan yang ultramoden di Singapura, membangkitkan nostalgia untuk zaman silam.
    Stesen Tanjong Pagar yang dibina semasa zaman penjajah British akan dikosongkan menjelang Julai tahun depan di bawah perjanjian yang dimeterai baru-baru ini bagi menyelesaikan pertikaian tanah berlarutan antara kedua-dua negara.
    Terminal KTM itu akan dipindahkan ke Woodlands, kawasan pinggir utara berdekatan Tambak Johor.
    Masa depannya serta tanah KTM lain yang bakal diserahkan balik kepada Singapura adalah sebahagian daripada kajian semula berterusan oleh Lembaga Pembangunan Semula Bandar (URA) mengenai penggunaan tanah dalam tempoh 40 hingga 50 tahun akan datang.
    Sekumpulan aktivis Singapura memulakan petisyen bagi memelihara stesen Tanjung Pagar kerana banyak bangunan zaman penjajah telah diubah suai untuk kegunaan komersial.
    "Saya mahu generasi akan datang mengetahui bahawa suatu masa dahulu, stesen ini menghubungkan Singapura dengan bahagian lain dunia... sebelum Internet memudahkan kita menggunakan Google bagi mencari sebarang maklumat.
    "Bangunan lama mengingatkan kita mengenai asal-usul kita," kata Carolyn Seet yang melancarkan petisyen itu pada Julai lalu dan mewujudkan sebuah akaun Facebook 'Jadikan Stesen Tanjong Pagar sebuah Muzium'.
    Pakar teknologi maklumat itu menyarankan agar stesen tersebut dijadikan muzium seperti Musee D'Orsay, muzium di Paris yang terletak di tapak bekas stesen kereta api.
    Seet berharap untuk mengumpulkan sekurang-kurangnya 1,000 tandatangan sebelum akhir tahun ini sebelum menyerahkan petisyen ke pejabat Perdana Menteri Lee Hsien Loong. - AFP