Wednesday, October 13, 2010

Kereta ditembak bertalu-talu



JENAIN (tengah) diiring keluar selepas perbicaraan kes Aminulrasyid 
di Mahkamah Sesyen Shah Alam ditangguhkan semalam.


SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen di sini semalam dimaklumkan bahawa berbelas-belas kesan tembakan dirakam pada bahagian belakang kereta Proton Iswara yang dipandu Aminulrasyid Amzah pada hari mangsa (Aminulrasyid) ditembak mati enam bulan lalu.
Seorang jurufoto polis, Detektif Lans Koperal Ahmad Zamzami Abdul Wahab, 25, yang bertugas di Cawangan Foto Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dalam keterangannya berkata, gambar-gambar tersebut diambil di antara pukul 2 dan 6 pagi 26 April lalu iaitu pada hari kejadian.
Dia yang merupakan saksi pendakwaan kedua (SP2) bagi kes Aminulrasyid, 15, yang ditembak mati semasa dikejar oleh sebuah kereta peronda polis turut memberitahu, antara gambar yang dirakam termasuk belakang kereta iaitu bawah but sebelah kiri, ekzos dan tempat letak barang bahagian luar kereta.
“Turut diambil gambar ialah lampu isyarat sebelah kanan, rim tayar belakang sebelah kanan, plat nombor pendaftaran, bawah tangki minyak dan lain-lain,” katanya di hadapan Hakim Latifah Mohd. Tahar.
Menurutnya, dia juga ada merakamkan foto sebilah parang yang terletak di bawah tempat duduk penumpang hadapan kereta Proton Iswara itu.
“Selepas anggota forensik selesai membuat tanda, saya diarah oleh pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Ahmad Fauzi untuk merakamkan gambar di tempat kejadian.
“Antara gambar yang diambil dengan menggunakan kamera digital ialah gambar jalan, pokok yang dilanggar, keadaan dalam kereta, kelongsong peluru dan mangsa. Sebanyak 41 keping gambar dirakamkan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment