Wednesday, October 13, 2010

Empat pelajar UKM bakal berdepan tindakan tatatertib




2010/10/13

KUALA LUMPUR: Empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal berhadapan dengan tindakan tatatertib apabila Mahkamah Tinggi menolak permohonan injunksi erinford mereka bagi menghalang universiti itu berbuat demikian. 

Keempat-empat penuntut itu didakwa terbabit dalam kempen Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor pada April lalu.Hakim Datuk Aziah Ali membuat keputusan itu dalam kamar dengan dihadiri peguam Haris Ibrahim yang mewakili penuntut berkenaan, Peguam Kanan Persekutuan, Aida Adha Abu Bakar bagi pihak Kerajaan Malaysia dan Menteri Pengajian Tinggi, manakala UKM diwakili peguam Sarah Abishigam.Haris memberitahu pemberita selain itu, Aziah turut mengekalkan perintah kos guaman yang perlu ditanggung oleh kesemua penuntut terbabit sebagai mana keputusannya pada 28 September lalu, berkaitan kes sama. 

Pada 7 Oktober lalu, ketika berhujah untuk pendengaran permohonan injuksi itu, peguam Malik Imtiaz Sarwar yang turut mewakili semua pelajar berkenaan, memohon supaya mahkamah tidak menetapkan sebarang kos memandangkan pemohon terdiri daripada golongan yang masih menuntut. 

Injuksi erinford bermaksud status quo dikekalkan sehingga rayuan didengar di Mahkamah Rayuan. 

Pada 1 Jun lalu, Muhammad Hilman Idham, 21; Woon King Chai, 22; Muhammad Ismail Aminuddin, 22, dan Azlin Shafina Mohamad Adzha memfailkan saman pemula terhadap kerajaan, Kementerian Pengajian Tinggi dan UKM, untuk mencabar tindakan universiti itu terhadap mereka. 
Dalam saman berkenaan, semua penuntut itu mendakwa UKM, melalui surat bertarikh 13 Mei, meminta mereka hadir di universiti berkenaan untuk menjawab pertuduhan terhadap mereka, dan sekiranya mereka gagal berbuat demikian atau tidak menghantar representasi secara bertulis dalam tempoh 14 hari, maka pengajian mereka akan digantung serta-merta. 

Mereka yang juga adalah penuntut tahun kedua jurusan sains politik, mendakwa tindakan tatatertib yang dikenakan oleh universiti itu bagi kesalahan mengikut Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti, adalah tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang. 

Haris turut memberitahu pihaknya telahpun memfailkan rayuan berhubung keputusan Aziah pada 28 September. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment