Saturday, May 12, 2012

‘Mama baliklah kasihan adik..

‘Mama baliklah kasihan adik...’ - Utara - Sinar Harian:


12 Mei 2012
‘Mama baliklah kasihan adik...’
Sharizan Isahak, 36, menunjukkan foto isterinya, Nor Ziyanti Izhar, 30.
KANGAR – “Tersentuh hati saya sebagai bapa apabila anak bongsu saya yang berusia dua tahun, Mohammad Danial Hadif memegang gambar ibunya dan berkata mama balik la, kasihan kat adik,” kata seorang suami yang mendakwa isterinya gagal dikesan sejak 6 April lalu.

Sharizan Isahak, 36, berkata, sejak kehilangan isterinya anaknya sering kali tidak sihat, apabila tibanya waktu malam dia akan demam sambil merenggek memanggil ibunya.

Menurutnya, seminggu selepas kehilangan Nor Ziyanti Izhar, 30, dia berusaha mencari isterinya itu sehingga kini. Malah, keluarga dan kenalan terdekat isterinya yang dihubungi juga tidak mengetahui di mana isterinya berada.

Selepas seminggu Nor Ziyanti menghilangkan diri nombor telefon yang digunakan masih boleh dihubungi walaupun tidak dijawab dan selepas itu nombor telefon isterinya tidak dapat dihubungi sehingga kini.

“Saya sudah tidak tahu di mana lagi hendak mencari isteri saya, saya kasihan melihat anak-anak saya yang sering kali memanggil nama ibu mereka, sebak hati saya sebagai suami apabila perkahwinan yang dibina atas perasaan cinta jadi begini.

“Saya sayangkan isteri, saya sayangkan anak-anak dan keluarga saya, isteri saya seorang isteri yang baik sejak perkahwinan kami dia tidak pernah buat macam ini,” katanya.

Difahamkan, ibu kepada empat anak itu dikatakan hilang pada pagi 6 April lalu, selepas keluar menghantar dua anak mereka yang berusia dua dan empat tahun ke rumah pengasuh di Behor Temak, di sini.

Sharizan berkata, dia tidak tahu sebab isterinya itu hilang kerana sebelum kejadian itu, mereka tidak bergaduh. Tetapi pada malam sebelum Nor Ziyanti hilang, dia ada menemui sekeping duit kertas RM1 yang berlipat dengan beberapa helai bulu burung ditemui di dalamnya.

“Saya bertanyakan kepadanya mengenai duit terbabit kerana ia agak pelik, tetapi isteri saya pantas menjawab ia adalah ‘ibu duit’ sebelum bangun dan meninggalkan saya.

“Pada keesokannya isteri saya berkelakuan seperti biasa, mungkin isteri saya terasa hati apabila ada desas-desus yang mengatakan saya berkahwin lain, namun kenyataan itu tidak benar sama sekali, kerana saya sayangkan isteri dan anak-anak saya. Tidak terlintas dalam hati saya untuk menduakannya,” katanya.

Sharizan berkata, sejak kehilangan isterinya dia sering kali ke rumah keluarga isterinya untuk bertanyakan sama ada isterinya pulang ke rumah atau meninggalkan sebarang pesan kepada dia dan anak-anak, namun jawapan yang diterima adalah mereka tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai isterinya.

“Saya memohon maaf kepada isteri jika selama saya hidup bersamanya dia terasa hati, namun jauh di sudut hati , saya tidak berniat . Saya merayu kepada isteri supaya pulang ke pangkuan kami sekeluarga kerana kami terlalu sayangkannya.

“Saya bimbang keselamatannya entah di mana dia berada dan bagaimana keadaannya, sebagai suami saya bimbang jika sesuatu menimpanya,” katanya.

Jika orang ramai mengetahui sebarang maklumat berkenaan isterinya hubungi Sharizan di talian 017-5599500.

'via Blog this'

Datuk Zul cabar bubar Majlis Peguam

Datuk Zul cabar bubar Majlis Peguam - Nasional - Sinar Harian:

Buku kahwin campur dikesan tersebar meluas
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin
KUANTAN – Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin mencabar Pengerusi Majlis Peguam, Lim Chee Wee meletakkan jawatan dan membubarkan pertubuhan tersebut bagi menyertai politik serta bertanding dalam pilihan raya.

Menurutnya, beliau tidak perlu berselindung di sebalik nama dan kredibiliti Majlis Peguam untuk mengelirukan rakyat serta memberi gambaran bahawa semua peguam bersetuju dengan tindakan yang mereka lakukan selama ini.

“Kalau berminat sangat nak berpolitik kepartian, saya cabar pembubaran beliau (Chee Wee) letak jawatan dan buburkan Majlis Peguam agar rakyat tidak keliru.

“Ini tidak...dia  sengaja mengelirukan rakyat kononnya semua 13,000 ahli majlis setuju dengan tindakan mereka terutama dalam membela perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini.

“Hakikatnya yang buat kerja-kerja tersebut beberapa orang sahaja, manakala ramai lagi peguam profesional lain yang tidak berminat dengan politik kepartian,” katanya kepada media selepas sesi pendengaran awam projek Lynas, di sini, semalam.

Zulkifli turut mengalu-alukan kehadiran Chee Wee untuk bertanding di kawasan Kulim Bandar Baru.

“Sekiranya dia betul-betul hendak berpolitik, boleh juga bertanding di Kulim Bandar Baru.

“Saya langsung tidak ada masalah asalkan dia betul hendak berpolitik dan rakyat boleh tentukannya,” katanya.

Katanya, Majlis Peguam sepatutnya mengajar rakyat mematuhi dan menghormati undang-undang dan bukannya melanggar seperti mana yang dilakukan dalam perhimpunan Bersih 3.0 lalu.

“Sudah terang-terang tidak penyokong Bersih 3.0 telah langgar sekatan di Dataran Merdeka itu sedangkan pihak berkuasa sudah dapat perintah mahkamah. Sepatutnya sebagai peguam, mereka mendidik rakyat tidak melakukannya.

“Mahkamah telah membuat satu kawasan larangan yang mana mengikut undang-undang melalui proses perundangan yang sah.

'via Blog this'

Najib: 'Rasa-rasa hendak hadap Agong esok'

Najib: 'Rasa-rasa hendak hadap Agong esok' - Politik - Sinar Harian:

Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-66
Ahli-ahli UMNO dari segenap pelusuk negara mula berkumpul bagi menunggu
ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak menarik perhatian banyak pihak malam ini sambil berkata, beliau seolah-olah sudah mendapat inspirasi untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong "esok" bagi mendapatkan perkenan membubarkan Parlimen - ekoran sokongan dan kehadiran luar biasa ahlinya pada majlis sambutan hari ulang tahun ke-66 Umno di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
"Rasa-rasa esok saya hendak menghadap Yang di-Pertuan Agong (untuk mendapatkan perkenan)... adakah kita sudah bersedia, sudah bersedia, sudah bersedia?" kata Presiden Umno ketika spekulasi memuncak yang Parlimen akan dibubarkan dalam waktu terdekat.

Penganalisis dan pemerhati politik meramalkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan diadakan bulan depan.
Kata-kata itu disusuli dengan Najib bertanya, "boleh (kita) menang, boleh menang, boleh menang."
Perdana Menteri seterusnya bertanya kepada hadirin di Stadium Nasional sama ada bersedia untuk dipanggil PRU13 bulan depan atau pada bila-bila masa sahaja.
"Tahun ini, tahun depan, bulan Jun? (Atau) bila-bila boleh, tahun depan?" kata beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) sambil memandang ke arah ahli-ahli Majlis Tertinggi yang duduk di pentas utama.
Sebahagian pemimpin dilihat memberi isyarat tidak diadakan PRU13 tahun depan, sebaliknya mahu ia disegerakan.
Ucapan beliau disiarkan menerusi stesen-stesen televisyen.
Spekulasi terbaru menyebut Najib sepatutnya menghadap Yang di-Pertuan Agong Khamis lalu. Spekulasi sebelum ini meramalkan PRU13 pada November lalu dan suku pertama tahun ini.
Ucapan Najib malam ini dilihat petanda PRU13 sudah semakin dekat, lebih-lebih lagi sambutan yang pertama kali diadakan dalam sebuah stadium.
Ucapan kira-kira 10 minit pertama beliau juga dimulakan dengan kecaman ke atas penganjur perhimpunan Bersih 3.0 yang enggan mengadakan perhimpunan di stadium.
Dalam ucapannya, Najib juga menyifatkan perhimpunan ulang tahun Umno ke-66 sebagai "satu perhimpunan raksasa, satu perhimpunan yang luar biasa, yang dianggap sebagai perlambangan kekuatan Umno."
"... perlambangan roh dan semangat, perjuangan gigih Umno. Sebab itulah perhimpunan menunjukkan semangat Umno, sokongan tidak menurun, hampir 100,000 yang berhimpun," kata Najib lagi.

'via Blog this'

Bersih 3.0: Majlis Peguam kutuk tindakan polis

Bersih 3.0: Majlis Peguam kutuk tindakan polis - Nasional - Sinar Harian:

Bersih 3.0: Majlis Peguam kutuk tindakan polis
M Lim Chee Wee bersama , Christopher Leong (dua, kiri) menunjukkan resolusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Majlis Peguam di Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR - Majlis Peguam hari ini meluluskan usul tergempar mengutuk tindakan polis menggunakan meriam air dan gas pemedih terhadap peserta semasa perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lepas.

Usul tersebut juga menyalahkan polis kerana tidak memberikan masa yang secukup untuk perserta bersurai secara teratur dan selamat dengan mendakwa ia kemudian mendorong kepada penahanan yang tidak wajar.

Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee, yang membaca sejumlah 12 usul yang diluluskan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) itu, mengulangi gesaan kepada kerajaan supaya tidak melengahkan lagi penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Seramai 1,270 ahli yang menghadiri EGM itu, 939 daripada mereka menyokong usul tersebut yang juga meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenalpasti anggota polis terbabit dalam salah laku sewaktu perhimpunan itu supaya mereka boleh didakwa.

Salah satu usul juga menyentuh keperluan bagi penganjur bertanggungjawab mengambil tindakan berpatutan bagi memastikan perhimpunan awam anjuran mereka berjalan secara aman.

Badan peguam itu juga melahirkan kebimbangan dengan laporan bahawa orang tertentu telah melintasi pagar penghadang polis walaupun pihak penganjur telah mengumumkan supaya peserta perhimpunan itu bersurai.

Media tidak dibenarkan masuk ke dewan mesyuarat EGM itu diadakan di sebuah hotel di sini dan hanya peguam yang diberikan pelekat khas dibenarkan masuk.

Mesyuarat itu berlangsung hampir dua jam setengah dengan beberapa peguam membantah usul tersebut.

Ditanya mengenai langkah susulan majlis itu, Lim memberitahu pemberita bahawa mereka akan berurus dan memberi kerjasama penuh kepada pegawai atasan PDRM, Suruhanjaya Hak Asasi manusia Malaysia (Suhakam) dan  Kementerian Dalam Negeri bagi menangani perkara itu.

Diminta mengulas pelantikan enam anggota Panel Penasihat Bebas diketuai bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar bagi mendapatkan gambar sebenar mengenai kejadian rusuhan pada hari perhimpunan, Lim berkata panel itu seharusnya diketuai oleh bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Sim berikutan kenyataan Hanif yang mengaitkan penganjur dengan beberapa elemen komunis.

Beliau juga berkata Majlis Peguam tidak akan berurusan dengan panel itu kerana kekurangan kerangka perundangan dan tidak mempunyai kuasa untuk memanggil saksi atau meminta dokumen.

Pada Rabu lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan pelantikan Hanif, Shim, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf Datuk Hussamuddin Yaacub, Penasihat Undang-undang  Kumpulan Akbar Sin Chiew, Liew Peng Chuan, Pengurus Kanan Hal Ehwal Korporat Petronas Datuk Medan Abdullah dan pakar psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Ruszmi Ismail dalam panel tersebut.

Lim juga turut mendedahkan laporan akhir pasukan pemantauan Majlis Peguam bagi perhimpunan 28 April itu yang mendakwa polis telah menggunakan kekerasan untuk menyuraikan peserta.

Bagaimanapun, laporan itu menyebut pihak polis memudahkan perhimpunan sama di Pulau Pinang, Kuantan, Johor Bharu dan Ipoh pada hari berkenaan. - Bernama

'via Blog this'

Perkasa mahu fatwa gugur nama Islam pada Pas

Perkasa mahu fatwa gugur nama Islam pada Pas - Nasional - Sinar Harian:

IBRAHIM_ALI
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali
PASIR MAS - Perkasa mencadangkan Majlis Fatwa Kebangsaan mengadakan muzakarah bagi membincangkan kewajaran Pas menggunakan perkataan Islam pada parti itu.
 
Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata, sudah sampai masanya majlis fatwa berbuat demikian memandangkan ia boleh mengelirukan umat Islam, terutama di kalangan penyokong fanatik parti itu.
 
Bercakap kepada pemberita selepas majlis ceramah di sini malam tadi, beliau berkata ada yang menganggap setiap tindak tanduk atau kenyataan daripada pemimpin Pas sebagai tuntutan Islam.
 
Contohnya ialah seperti kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mewajibkan umat Islam khasnya penyokongnya menyertai perhimpunan yang dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan yang menimbulkan kekacauan di ibu negara baru-baru ini.
 
"Sedangkan beliau (Nik Aziz) sendiri tidak menyertai perhimpunan itu, yang menyebabkan beberapa orang awam dan anggota polis cedera," katanya.

Beliau berkata, ini menunjukkan Pas telah menyeleweng jauh dari Islam dan seolah-olah fahaman yang dibawa Pas semuanya adalah tuntutan Islam.
 
Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dalam pada itu berkata beliau sanggup mendedahkan lebih banyak penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa pemimpin parti itu, terutama berkaitan pembelian tanah yang melibatkan pemimpin parti itu.
 
"Saya sedia membawa perkara itu kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) jika ada pemimpin parti itu sanggup mencabarnya berbuat demikian," katanya.
 
Presiden pertubuhan bukan kerajaan, Jalur Tiga (Jati) yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang turut serta pada majlis ceramah itu berkata Jati akan menghantar satu memorandum tuntutan 10 perkara kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, jika anggotanya mencecah 100,000 orang.
 
Antara tuntutan utama ialah menggesa kerajaan menjadikan mata pelajaran agama Islam sebagai mata pelajaran wajib di peringkat peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR); Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). - Bernama

'via Blog this'

2 Buah Bas Bawa Ahli UMNO Terengganu Ke Bukit Jalil Kemalangan Di Tol Rasah

KELAB GREENBOC: [Bergambar] 2 Buah Bas Bawa Ahli UMNO Terengganu Ke Bukit Jalil Kemalangan Di Tol Rasah:


Gelombang Merah Umno Terhempas Di Tol Rasah

Dua buah bas yang membawa pulang penyokong-penyokong Umno Terengganu dari perhimpunan di Stadium Bukit Jalil telah terlibat dalam satu nahas jalan raya di exit Tol Rasah awal pagi ini.

Menurut Cikgu Bard melaluitweeternya nya, sebuah bas yang membawa penyokong Umno Terengganu (Kuala Terengganu) telah merempuh sebuah treler yang dipercayai berjalan perlahan dari arah belakang.

Ini diikuti pula oleh sebuah lagi bas yang membawa penyokon Umno Kuala Berang merempuh dari belakang bas tersebut.

Cikgu Bard beserta beberapa aktivis SAMM Negeri Sembilan yang dalam perjalanan pulang dari Johor terserempak dengan kejadian tersebut serta merta turut membantu mangsa nahas yang terlibat.

Setakat ini tiada kematian dilaporkan, cuma beberapa mangsa dipercayai mengalami kecederaan yang agak serius. Beliau juga mendoakan agar mereka semua selamat!

Syabas kita ucapkan kepada Cikgu Bard yang walaupun diherdik dan dimaki hamun oleh sekumpulan Samseng Umno seperti disini , sikap dan rasa per kemanusian beliau perlu dicontohi oleh kita semua.Syabas Cikgu Bard dan aktivis SAMM Negeri Sembilan! -alhusseyn








'via Blog this'

Kemalangan maut yang melibatkan bas yang pulang dari Stadium Bukit Jalil

Ajijoi:


Sebuah bas yang membawa pulang ahli-ahli Umno daripada perhimpunan di Stadium Bukit Jalil telah menemui kemalangan yang mengakibatkan kematian.

Kejadian yang berlaku jam 5 pagi berhampiran dengan Lenggong ini telah meragut 2 nyawa. Kedua-dua mangsa adalah pemandu dan kelindan lori yang bertembung dengan bas yang menuju ke Grik tersebut.

Dipercayai punca kemalangan adalah akibat pemandu yang mengantuk.

Tiga ibu rayu anak pulang

myMetro | Tiga ibu rayu anak pulang:

KUALA LUMPUR: Bersempena Hari Ibu, Ahad ini, tiga ibu merayu agar anak perempuan masing-masing pulang ke pangkuan keluarga selepas melarikan diri dari rumah.
Bagi mereka, kepulangan anak tersayang itu adalah paling bermakna sempena hari berkenaan.

Seorang suri rumah, Che Nolia Hassan, 54, berkata anak bongsunya daripada tiga beradik tidak pulang ke rumah di Rawang, sejak Julai tahun lalu.
Beliau berkata, anaknya yang juga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor, Noor Haffiza Ibnu Hajar, 24, disedari hilang kira-kira jam 9 pagi dipercayai lari mengikut teman lelaki dengan menaiki kereta Proton GEN 2 yang sudah menunggu berhampiran rumahnya.

“Ada seorang saksi iaitu pengawal keselamatan di kawasan perumahan melaporkan ternampak Noor Haffiza mengikut dua lelaki dalam kereta berkenaan. Sebelum kejadian, kami tidak bertengkar dan anak saya itu berkelakuan seperti biasa menyebabkan saya sekeluarga tidak mengesyaki apa-apa.

“Namun, saya terkejut apabila mendapati biliknya kosong manakala pakaiannya tiada dalam almari ketika mahu mengajaknya bersarapan sebelum diberitahu pengawal keselamatan yang ternampak anak saya bersama dua lelaki,” katanya pada sidang media di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, di sini, semalam.
Seorang lagi suri rumah, Yong Mai Hoe, 44, turut melaporkan anak perempuannya, Kong Wei Yan, 16, lari mengikut teman lelakinya yang dipercayai warga Nigeria dikenali sebagai Prince, Selasa lalu. “Saya khuatir anak tunggal saya ditipu lelaki kulit hitam yang baru dikenalinya selama lapan bulan itu dan dipaksa melacur dalam sindiket pelacuran membabitkan gadis bawah umur,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi ibu malang, Lee Eng Leng, 45, berharap anak perempuannya, Toh Poh Kiew, 20, pulang ke rumah selepas keluar rumah pada Disember tahun lalu kerana merajuk akibat tidak dapat melanjutkan pelajaran berikutan masalah kewangan dihadapi keluarga.
Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, berkata, pihaknya menerima enam laporan kes sama sejak awal tahun ini membabitkan gadis berusia 20 tahun ke bawah.

“Oleh itu, kami merayu sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai gadis berkenaan boleh menghubungi kami di talian 03- 2203388,” katanya.

'via Blog this'

28 peratus belia Singapura laku seks dengan teman Internet

myMetro | 28 peratus belia Singapura laku seks dengan teman Internet:

SINGAPURA: Rakyat negara ini didapati menunjukkan sikap lebih liberal dan mengambil risiko lebih besar apabila menyentuh soal seks.
Kira-kira satu pertiga responden dalam kaji selidik berkata, mereka percaya melakukan hubungan seks dengan seseorang yang ditemui buat kali pertama adalah perkara biasa.

Satu lagi statistik membimbangkan ialah 27.6 peratus daripada 1,790 responden, atau seorang bagi setiap empat responden berkata, mereka pernah melakukan hubungan seks dengan seseorang ditemui di Internet.
Kaji selidik itu yang keputusannya dikeluarkan semalam dijalankan Persatuan Perancangan Keibubapaan Singapura (SPPA) antara Julai dan November 2010 bagi mengetahui mengenai kesedaran kesuburuan dan amalan seks di kalangan rakyat Singapura. Ia meminta pendapat individu antara 15 dan 66 tahun dengan kira-kira 79 peratus responden berusia 35 tahun ke bawah. Naib Persiden SPPA, Edward Ong berkata, terdapat peningkatan meluas dalam bilangan orang muda melakukan hubungan seks, kebanyakannya belum bersedia untuk berumah tangga. Sambil menekankan kebimbangan mengenai kehamilan tidak diingini, pengguguran dan jangkitan penyakit kelamin, Ong berkata, “perlunya kepekaan untuk kembali kepada perkara asas bagi menyemai perlakuan seksual yang bertanggungjawab dan pencegahan kehamilan. - AsiaOne

'via Blog this'

Air kencing Saiful Apek, tiga rakan ada kandungan dadah

Kosmo! Online - Negara:


Saiful Apek


PETALING JAYA - Mahkamah Majistret di sini diberitahu bahawa bacaan ujian pengesanan kanabis terhadap air kencing pelakon komedi Mohd. Saifulazam Mohamed Yusoff atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek dan tiga rakannya adalah melebihi takat pengesanan dadah.
Rozita Abdullah, 41, pegawai Sains Jabatan Patologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang berkata, keputusan bacaan ujian itu diketahui selepas ujian pengesanan kanabis dibuat terhadap sampel air kencing empat tertuduh itu pada 22 Jun 2010.
"Begitu juga dengan ujian saringan dadah yang dilakukan ke atas kesemua tertuduh, keputusan kesemua bacaan air kencing melebihi takat yang diperlukan," kata beliau ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad semasa pemeriksaan utama.
Pada 1 November 2011, Saiful Apek, 42, dan tiga rakannya iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28; Shaiful Baharom, 24; dan Noremy Mohamad, 28, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memasukkan dadah kanabis ke dalam badan mereka.

'via Blog this'

Friday, May 11, 2012

Derita cecair dalam kepala

Derita cecair dalam kepala - Utara - Sinar Harian:

Derita cecair dalam kepala
Fadzilah meriba Nurmarisya Fatiha sambil diperhatikan Naib Pengerusi Mayang, Hasliza Harun
BALING - Seorang bayi berusia lima bulan di sini menderita setelah kepalanya semakin membesar akibat masalah cecair berlebihan sejak lahir.

Nuramisya Fatiha dari Kampung Bok Bak sering menangis apabila saiz kepalanya semakin membesar melebihi tubuh badannya.

Anak bongsu pasangan Fadzilah Ibrahim, 38, dan Rosli Md Isa ini turut berhadapan masalah pergerakan selain matanya kabur.

Fadzilah berkata, masalah anaknya itu dikesan sejak berada dalam kandungan tujuh bulan dan mulai menujukan perubahan pada umur dua bulan selepas dilahirkan.

“Bila badannya semakin membesar, kepalanya turut membesar. Kini, Fatiha hanya mampu terbaring apabila saiz kepalanya melebihi saiz badannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Tiga adik beradiknya yang lain iaitu Mohd Akmal, 16, Mohd Alimi, 13 dan Afiq Aiman, 8, dilahirkan normal.

Fadzilah yang merupakan suri rumah sepenuh masa berkata, doktor mengesahkan kandungan otak dalam kepalanya anaknya itu hanya berjumlah 20 peratus dan selebihnya adalah air.

“Kadang-kadang dia (Nuramisya Fatiha) menangis sepanjang malam. Saya tahu, dia tidak dapat bertahan dengan kesakitan yang dialaminya itu.

“Hanya ayat suci al-Quran saja yang menjadi peneman agar dapat mengurangkan penderitaan anak saya, ” katanya.

Menurutnya, anaknya itu sepatutnya dibedah di Hospital Sultanah Bahiyah pada awal Mei lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan berikutan beberapa faktor tertentu.

Pembedahan itu bertujuan mengeluarkan cecair berlebihan dalam kepala Nuramisya Fatiha seterusnya dapat menamatkan penderitaan sehingga kini.

“Doktor menasihatkan kepada saya banyak bertawakal dan berdoa kepada Tuhan. Kini, saya hanya menunggu maklum balas dari hospital untuk melakukan pembedahan ini.

“Saya amat berharap pembedahan akan berjalan dengan selamat,” katanya selepas menerima kunjungan Majlis Kebajikan Pembangunan Masyarakat (Mayang) Baling serta Umno Bahagian Baling, kelmarin

Sesiapa yang ingin membantu meringankan beban Nuramisya Fatiha boleh menghubunginya di talian 013-4840910 ataupun menerusi nombor akaun Bank Islam bernombor 02048020272857.

'via Blog this'

Penyokong PAS bakar poster Rahim Noor

Penyokong PAS bakar poster Rahim Noor:


M Zin,11 Mei 2012

(Poster gambar Rahim dan akhbar NST di bakar di Tanah Merah)

TANAH MERAH: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor kini berdepan dengan amukan rakyat Kelantan ekoran keengganannya memohon maaf dan menarik balik kenyataan menganggap Mursyidul Am PAS sebagai “bapa kafir”.

Sentimen kemarahan itu kini menular ke seluruh negara di mana pelbagai tampil mendesak polis menyiasat kenyataan bekas ketua polis terbabit.

Tidak kurang juga di sini pagi tadi apabila ahli dan penyokong PAS bertindak membakar poster Rahim selepas selesai kuliah mingguan pagi Jumaat di perkarangan Pejabat PAS di Jalan Hospital.

Acara membakar poster dikendalikan Pemuda PAS Tanah Merah. Hadir sama anggota jawatankuasa PAS kawasan, muslimat dan penghulu-penghulu Dun Bukit Panau.

Sazwan Abdul Hamid yang mewakili Unit Amal Tanah Merah bertindak membakar poster berkenaan diikuti laungan takbir orang ramai yang hadir.

Sazwan berkata, tindakan membakar poster Rahim diambil kerana sikapnya yang sombong enggan memohon maaf dan menarik balik kenyataan menganggap Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sebagai “bapa kafir”.

Katanya, amat wajar sekali tindakan saman difailkan di mahkamah secepat mungkin bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang pada masa akan datang.

“Sama ada beliau mengaku atau tidak kenyataan yang dikeluarkan NST pada 8 Mei lalu perlu dijelaskan di mahkamah kerana tempoh 24 jam diberi Lajnah Guaman dan Hak Asasi PAS Kelantan tidak dihiraukan Rahim,” katanya ketika ditemui selepas itu.

Pada Rabu lepas laporan polis terhadap Rahim dibuat Mohd Darulhisham Kamaludin mewakili Pemuda PAS Tanah Merah. Hampir 100 pemuda PAS dan AMK hadir memberi sokongan. Turut hadir anggota Parlimen Tanah Merah, Amran Abdul Ghani.

'via Blog this'

Nik Aziz terima borang ahli PAS dari Aishah malam ini

Nik Aziz terima borang ahli PAS dari Aishah malam ini:
KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menerima borang keahlian ahli PAS daripada penyanyi popular bersuara lunak dan Juara Lagu 1990, Wan Aishah Wan Arifin (gambar) di Markas Tarbiah PAS Pusat Taman Melewar, Jumaat 11 Mei hari ini, jam 9.30 malam.

Menurut Ketua Penerangan PAS Batu, Ustaz Marzuki Zakaria, satu ceramah perdana "Rakyat Melangkah Ke Putrajaya" akan diadakan dan dipancarkan secara langsung melalui webtvpas di alamat http://webtv.pas.org.my saluran 1 dan 3, juga dipaparkan pada blog telukbakong.online.

Katanya, selain Tuan Guru Nik Aziz dan Wan Aishah, turut berceramah ialah bekas Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Jui Meng; anak bekas TPM, Tamrin Tun Ghafar Baba dan Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, Dr Mariah Mahmood.

Penyajak tersohor, Pyan Habib turut mendeklimasikan beberapa sajak pada majlis malam ini, ujar beliau. 

Selepas solat Isyak, katanya, PAS Batu turut menganjurkan Munajat Perdana PRU13 bagi memohon pertolongan Allah SWT agar diberikan kemenangan kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum yang dijangka Jun ini. 

Orang ramai sekitar lembah Klang dijemput datang beramai-ramai.
'via Blog this'

Bersih 4.0 Duduk dan Debat?

Bersih 4.0 Duduk dan Debat? - Pendapat - Sinar Harian:


Bersih 4.0 Duduk dan Debat?
Bersih 3.0
FOKUS Bersih sama ada edisi 1.0, 2.0 dan juga 3.0 adalah menuntut keadilan, ketelusan dan kesaksamaan dalam sistem pengurusan dan pengendalian pilihanraya negara kita, ekoran terlalu banyak kesangsian, kekeliruan serta ruang yang terdedah kepada manipulasi dalam sistem peraturan, pengurusan dan pengendaliannya.

Bertolak dari Daftar Pemilih yang tidak bersih malah masih dikotori dan berlumut dengan senarai pengundi yang tidak layak mengundi serta beberapa kekeliruan yang perlu kepada pemurnian awam oleh pihak SPR.
Pelbagai peraturan dan undang-undang pilihanraya yang tidak konsisten, membuka peluang berlakunya penyelewengan dan manipulasi. Media yang tidak seimbang dan berat sebelah, dilagang pula dengan pelbagai fitnah yang jijik dan memualkan.
Maka pihak Bersih telah menganjurkan pelbagai aktiviti seperti laporan ke Suhakam, laporan PDRM, Laporan SPRM, memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dan Himpunan Aman. Malangnya,  sehingga kini pihak kerajaan dan SPR masih tidak memenuhi tuntutan Bersih tersebut.
Kerajaan Umno dan BN sebaliknya mendakwa  Bersih menganjurkan keganasan, rusuhan dan sebagainya. Lalu mereka menempelak usaha suci Bersih dengan pelbagai tindakan seperti menggunakan FRU untuk melepaskan tear gas dan air kimia, PDRM untuk tangkap dan belasah, DBKL untuk menaksirkan jumlah timbunan sampah, Majlis Fatwa bagi mengharamkan himpunan Bersih, media arus perdana supaya memutar alam menjadi separa realiti.

Kini kedengaran pelbagai pihak bercakap mengenai edisi berikut bagi kelangsungan tuntutan Bersih supaya Bersih 4.0 direalisasikan sehingga kerajaan Umno dan BN akur tuntutan rakyat. Kerana pilihanraya umum tidak boleh diadakan atau disertai dalam keadaan ia tiada jaminan dapat dilaksanakan dengan adil, telus dan bersih dari sebarang penyelewengan.
Sementara hari ini dan saya percaya ia akan terus berlangsung ke hari pilihanraya, mereka memburukkan Bersih 3.0 kononnya ganas lalu membina persepsi buruk masyarakat terhadap Bersih sedang pihak Bersih tidak diberi ruang serupa melalui televisyen dan media arus perdana yang lain untuk menjawab dan memberi penjelasan.

Maka saya mencadangkan agar Bersih 4.0 ini direalisasikan melalui format baru pula iaitu Duduk dan Debat. Sekali lagi saya cadangkan panelnya ialah terdiri dari Presiden Pas  Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan YAB Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Seluruh rakyat dikerah hadir secara aman untuk berhimpun di Dataran Merdeka.
Saya menegaskan demikian melalui cadangan Duduk dan Debat adalah sesuai dengan iklim politik baru yang hendak kita bawa iaitu berteraskan kekuatan hujjah bukan hujah kekuatan. Saya harap pihak kerajaan dapat menerima cadangan ini dengan baik dan terbuka jika mereka juga benar mahukan keadilan, ketelusan dan kesaksamaan pula aktiviti itu berlangsung dalam suasana aman.

Ia pastinya akan menjadi rekod sejarah. Masa depan negara akan dibentuk dan dibina melalui kerajaan yang bakal dipilih oleh rakyat melalui penerimaan terhadap hujah yang dikemukakan, bukan sokongan yang dipaksa dengan cota, tear gas dan air kimia.

Iklim politik baru mesti dibina segera oleh kedua-dua parti komponen besar negara iaitu Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Politik berteraskan hujah dan hikmah. Bukan politik tangkap dan belasah. Sebaliknya jua ke arah politik rasional, lapang dada dan kasih sayang tanpa permusuhan dan kebencian sesama agama dan bangsa yang ditanam melalui provokasi dan doktrinisasi yang negatif.

Nasrudin Hassan, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat

'via Blog this'

Guru sertai Bersih 3.0 dikenal pasti

PASIR MAS - Tiga guru dari Kelantan telah dikenal pasti terlibat dalam kejadian merusuh ketika Bersih 3.0 di Kuala Lumpur pada 28 April lalu.

Penolong Pegawai Kokurikulum Jabatan Pelajaran Negeri, Ahmad Razukee Zulkifli berkata, pihaknya menjalankan siasatan menyeluruh di peringkat jabatan.

Beliau berkata, pihaknya ada menerima beberapa laporan berhubung kes berkenaan dan siasatan menyeluruh sudah dijalankan.

“Siasatan 90 peratus lengkap dan kita mendapati terdapat beberapa guru terlibat ketika Bersih 3.0 baru-baru ini.

“Guru berkenaan berusia dalam lingkungan 40-an dan boleh dikategorikan guru berpengalaman,” katanya ketika Majlis Penutupan Latihan Tahunan Kor Kadet Polis Diraja Malaysia, peringkat Negeri di Kem Desa Mahmood, semalam.

Razukee berkata, identiti guru berkenaan masih dirahsiakan, bagi menyiapkan laporan sepenuhnya.

Menurutnya, selesai siasatan mereka akan menyerahkan kes berkenaan kepada pihak polis, bagi tindakan lanjut.

Beliau turut mengakui bahawa terdapat segelintir yang menentang kepimpinan Kerajaan Pusat, namun ia dikategorikan sebagai kes terpencil.

Saiful tuntut RM200,000

KUALA LUMPUR: Pelawak terkenal, Saiful Apek, 43, melancarkan ‘perang’ terhadap produser, David Teo dengan mendakwa penerbit filem terkemuka terbabit gagal melunaskan pulangan pelaburan RM200,000 filem Lady Boss dan Anak Mami Kembali kepadanya selepas dia yang membintangi kedua-dua filem berkenaan melaburkan wang hasil lakonannya RM100,000 sejak 2005.
Foto
Saiful Apek
Katanya, selain isu berkenaan perkara lain dibangkitkan adalah kegagalan David menyiapkan album nyanyiannya sedangkan kontrak dimeterai setahun ditandatangani pada tahun yang sama.
Foto
David Teo
Menurutnya, berikutan tidak berpuas hati dan tidak mempunyai saluran memperjuangkan haknya, dia tampil membuat kenyataan di laman sosial facebook dan twitter sehinggalah menyedari menerima kritikan hebat pengguna rangkaian sosial berkenaan.

Saiful berkata, Ahad ini jam 2 petang, dia dan lebih 50 selebriti yang mahu menuntut hak masing-masing terhadap David dengan mengadakan sidang media bersama bukti dan dokumen yang pernah ditandatangani bagi menerangkan keadaan sebenar.


Katanya, pada 2005, dia ditawarkan membintangi filem Lady Boss dan Anak Mami Kembali dengan bayaran RM100,000 sebelum wang itu dilaburkan semula dalam kedua-dua filem berkenaan.

Laporan akhbar Singapura tak tepat

Kosmo! Online - Negara:




SULTAN IBRAHIM pada sidang akhbar di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru semalam.



JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah bahawa laporan yang disiarkan oleh akhbar Singapura mengenai insiden empat ekspatriat negara itu yang didakwa dibelasah di Pulau Rawa di perairan Mersing Sabtu lepas adalah tidak benar.
Menurut baginda, ekspatriat terbabit yang mabuk sebenarnya telah menceroboh bot peribadi baginda dan menyerang kru bot berkenaan.
“Saya marah. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Mereka (ekspatriat) yang dalam keadaan mabuk mengganggu tetamu lain pada pukul tiga empat pagi dan turut menceroboh bot peribadi saya serta menyerang kru saya,” titah baginda kepada wartawan di Istana Pasir Pelangi di sini semalam.
Titah Sultan Johor, ketika kejadian, baginda dan keluarga sedang mengadakan ekspedisi menyelam selama tiga hari di pulau peranginan terbabit.

Sultan Johor murka

Sultan Ibrahim Iskandar

Sultan Ibrahim Iskandar


JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar murka dengan kejadian pergaduhan empat warga asing yang bekerja di Singapura dengan pengawal peribadi rombongan Diraja Johor di Pulau Rawa, dekat Mersing, malam Jumaat lalu.

Baginda juga kesal dengan laporan akhbar The Straits Times di Singapura yang membesar-besarkan kejadian itu dengan menyiarkan laporan tidak tepat.
“Saya marah... sepatutnya insiden ini tak berlaku. Mereka dalam keadaan mabuk dan membuat kacau mengganggu pengunjung lain di pulau itu.
Saya maafkan mereka dan lupakan perkara ini. Saya mengalu-alukan mereka bercuti dan menikmati keindahan pulau di negeri ini, tetapi jaga perlakuan. - Sultan Ibrahim Iskandar, Sultan Johor
“Saya minta semua pihak tidak memperbesarkan cerita ini. Jika diambil kira, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang pada hari kejadian, tetapi saya nasihatkan supaya mereka pulang.

“Apa yang dilaporkan media asing itu tidak benar, sebaliknya mereka yang mabuk pada hari itu melakukan kekacauan terhadap pelancong lain, termasuk menceroboh bot peribadi saya dan berkelakuan biadab terhadap pengawal peribadi adalah punca sebenar,” titah baginda dalam pertemuan dengan media, di Istana Pelangi, di sini, semalam.

Baginda bertitah demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar tempatan semalam mengenai kejadian yang membabitkan warga British, Perancis dan Jerman itu. Sebelum itu, The Straits Times melaporkan mereka mendakwa cedera selepas bergelut dengan pengawal peribadi kerabat diraja Johor.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda difahamkan mereka tiba di pusat peranginan itu kira-kira jam 11 malam sebelum mabuk dan mengganggu tetamu diraja yang mengadakan majlis dan menginap di pusat peranginan bersebelahan. 
Ada antara pelancong terbabit bersikap biadap dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepada keluarga dan tetamu diraja sehingga mencetuskan ketegangan dan terjadi pergaduhan.

Bagaimanapun, Sultan Ibrahim bertitah, baginda memaafkan serta mengalu-alukan kedatangan mereka bercuti serta melancong di Johor pada masa depan.

“Saya maafkan mereka dan lupakan perkara ini. Saya mengalu-alukan mereka bercuti dan menikmati keindahan pulau di negeri ini, tetapi jaga perlakuan. Di Johor, banyak pulau yang cantik dan indah serta terkenal di kalangan pelancong. Saya alu-alukan pelancong asing menikmati keindahan di sini, tetapi dengan menjaga tingkah laku dan menghormati undang-undang negara. 

“Jangan dengan insiden yang berlaku hanya disebabkan satu dua pelancong asing yang tidak menjaga perangai, negeri ini digambarkan tidak selamat. Pada hari kejadian, doktor peribadi istana turut memberi pertolongan membantu seorang daripada mereka yang tercedera akibat terpijak terumbu karang,” titah baginda.

Sultan Ibrahim juga bertitah, ketika kejadian, baginda sudah meninggalkan pulau itu selepas menyertai program menyelam selama tiga hari di situ. Selain itu, kapten bot peribadi baginda dititah membuat laporan dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata polis menerima sembilan laporan berkaitan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 452 Kanun Keseksaan.

“Satu pasukan khas ditubuhkan untuk menjalankan siasatan. Kita belum menerima laporan lain, termasuk daripada mangsa atau pihak berkaitan. Sembilan saksi sudah dirakam percakapan mereka bagi membantu siasatan,” katanya.