Tuesday, July 22, 2014

MH17: PBB digesa keluar akses bebas, selamat


BERNAMA | .
KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) digesa mengeluarkan resolusi bagi akses bebas, terbuka dan selamat di kawasan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine.

Geostrategis Prof Dr Azmi Hassan berkata Majlis Keselamatan hanya membuat kenyataan yang disifatkannya longgar dan tidak spesifik tentang perkara berkenaan pada satu mesyuarat tergempar baru-baru ini.
  
"Kenyataan itu antara lain menyeru supaya badan penyiasat antarabangsa ditubuhkan untuk menyiasat, tetapi setakat ini tidak memberi penekanan supaya Rusia mengawal pihak pemisah pro negara itu yang menguasai wilayah berkenaan.
  
"Jadi Majlis Keselamatan harus mengeluarkan resolusi secara spesifik untuk memaksa pihak pemisah membuka laluan di kawasan terhempas yang terletak dekat sempadan Rusia," katanya ketika dihubungi Bernama.
  
Beliau berkata sukar bagi Majlis Keselamatan mengeluarkan resolusi yang lebih tegas kerana khuatir pihak yang berkepentingan seperti Rusia dan Amerika Syarikat akan menggunakan kuasa veto mereka.
      
Azmi berkata mengikut peraturan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), kerajaan di negara kemalangan itu berlaku mempunyai bidang kuasa ke atas bangkai pesawat dan akan mengetuai siasatan.
  
"Tetapi, Ukraine adalah pihak yang berkepentingan kerana mereka mempunyai agenda politik dalam krisis ini, jadi saya risau Ukraine tidak boleh jadi ketua penyiasat yang tidak 'bias' (berat sebelah).
  
"Kita perlukan ketua penyiasat yang berkecuali, dalam hal ini jika Ukraine dibiarkan menjadi ketua penyiasat, negara lain perlu turut serta untuk mengimbangi pengaruh Ukraine," katanya.
  
MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, dipercayai ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah di wilayah Donetsk, bahagian timur Ukraine, ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
  
Pesawat Boeing 777-200ER itu berlepas dari Amsterdam pada pukul 12.15 tengah hari (waktu Belanda) Khamis dan dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6.10 pagi (waktu Malaysia) hari berikutnya. 
  
Setakat ini, pasukan siasatan khas Malaysia belum diberi laluan untuk memasuki kawasan pesawat terhempas.  
  
Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata Majlis Keselamatan perlu menggunakan pengaruh dan kedudukannya untuk membolehkan pasukan penyiasat terutamanya dari Malaysia untuk masuk ke kawasan terlibat, bukan sahaja untuk mengumpul bahan bukti, tetapi untuk menguruskan mayat mangsa.
  
"Kita minta Rusia mendesak kepada pihak yang pro kepadanya di Donetsk itu menghormati Malaysia sebagai pemilik  MH17," tegasnya.
  
Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM Mohamad Faisol Keling pula berkata Malaysia harus mengetuai siasatan sambil dibantu oleh badan-badan antarabangsa yang diiktiraf dan berkecuali bagi mengelak siasatan berat sebelah dan masalah kehilangan bukti nahas.
  
"Kita hendak elak dari berlakunya bias (berat sebalah), sembunyikan fakta dan bukti kerana Malaysia perlukan keadilan, dalam konteks ini Malaysia dan negara lain menjadi mangsa," katanya.
  
Mohamad Faisol berkata Ukraine dan Rusia mempunyai kepentingan terhadap insiden ini kerana mereka saling tidak mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian yang dikatakan pesawat itu ditembak jatuh oleh kumpulan pemberontak.  
  
"PBB mungkin boleh arahkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk memberi jaminan keselamatan terhadap pasukan penyiasat berbanding menunggu kata putus dari kedua-dua negara yang main tarik tali, dalam masa yang sama bahan bukti semakin terhapus," katanya.
  
Mengenai impak hubungan dua hala antara Malaysia dengan Ukraine dan Rusia, beliau berkata Malaysia boleh mengguna pakai konsep 'balance of power' yang diperkenalkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 90-an.
  
Pensyarah Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya (UM) Prof Datuk Dr Mohamad Abu Bakar pula berkata laluan masuk yang digunakan pasukan siasatan melalui Kiev, Ukraine adalah sukar kerana pemberontak proRusia melihat mereka seperti musuh.
  
Katanya sekiranya PBB mengenakan tekanan kepada semua pihak termasuk Rusia untuk memberi kerjasama kepada pasukan penyiasat termasuk dari Malaysia dan Belanda, mungkin kerumitan menjalankan siasatan dapat dipermudahkan.
  
"Mereka ini (puak pemisah) sensitif, pertama kerana mereka ingin menjelaskan kepada dunia bahawa kawasan itu kepunyaan mereka dan mahu diiktiraf.  
  
"Kedua, mereka juga sensitif seandainya kawasan mereka dimasuki, mungkin kehadiran mereka dengan kelengkapan pertahanan diketahui pihak lain dan pada masa yang sama mereka juga ingin mempopularkan perjuangan mereka," kata Mohamad.
  
Sementara itu, Felo Kanan S.Rajaratnam School of International Studies di Singapura, Dr Oh Ei Sun berkata untuk pergi ke tapak nahas dan mengumpulkan bukti, Malaysia tidak boleh melakukannya secara sendirian tetapi perlu bekerjasama dengan negara yang turut terjejas seperti Belanda dan badan berkecuali.
  
"Jika terbukti bahawa ada antara pihak atau negara yang disyaki itu sebenarnya terlibat dalam menembak jatuh MH17, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, sudah tentu hubungan Malaysia dengan negara terbabit akan terjejas, mungkin ke tahap memanggil balik dutanya," kata Dr Oh yang merupakan warga Malaysia.
  
Beliau berkata sudah tiba masanya untuk Malaysia menimbangkan semula dasar berkecualinya dalam hal ehwal global.
  
"Kita (Malaysia) telah cuba menjadi rakan kepada semua orang, tetapi apabila insiden seperti ini berlaku, kita tidak dapat mengelak bahawa ada kalanya kita perlu bijak menilai siapa rakan kita dan siapa yang kita boleh harapkan," katanya. - Bernama

Keputusan tetap hari ini

Keputusan tetap hari ini
Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (kanan) bersalaman dengan Jokowi ketika pertemuan di Istana Presiden, kelmarin. - Foto Reuters 
Jakarta: Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) enggan memenuhi permintaan dari kem calon presiden Prabowo Subianto untuk menangguhkan pengumuman rasmi kiraan undi, sambil menekankan bahawa keputusan rasmi akan diumumkan seperti yang dijadualkan pada hari ini (22 Julai).

“Kami akan menyiarkannya pada tarikh yang ditetapkan,” kata pesuruhjaya KPU, Arief Budiman kepada portal berita Indonesia, JPNN.com.

Arief berkata, bahawa sehingga kini pengiraan dilakukan mengikut jadual dan kiraan undi di peringkat kebangsaan diadakan pada 20 hingga 22 Julai.
Pengiraan undi oleh KPU di peringkat wilayah menunjukkan bahawa Gabenor Jakarta, Joko Widodo meraih 53.17 peratus undi manakala Prabowo 46.83 peratus.

Pesuruhjaya KPU, Sigit Pamungkas dipetik Reuters berkata: “Setakat ini kami tidak berhadapan dengan apa-apa yang akan menangguhkan pengumuman keputusan rasmi atau proses pengiraan semula.”

Pengurus kempen Prabowo, Fadli Zon dalam satu sidang media menggesa KPU untuk menangguhkan pengumuman kerana mendakwa berlaku penyelewengan di sebilangan besar pusat undi.

Penipuan struktur
“Kami mendapati adanya penipuan struktur, besar-besaran dan dilakukan secara sistematik,” kata Fadli yang dipetik JPNN.com.

Habiburokhman, seorang ahli pasukan perundangan Prabowo dan calon naib presiden, Hatta Rajasa mendakwa bahawa kira-kira 5,800 pusat undi disyaki melakukan penyelewengan dalam pilihan raya.

“Sebelum perkara ini ditangani, kami mahu KPU menangguhkan mesyuarat. Ia hanya mengambil masa tiga hari untuk melakukan pilihan raya semula di pusat undi yang bermasalah,” katanya.

Seorang pakar politik dari Universiti Sultan Agent Tirtayasa, Banten, Leo Agustino mengkritik permintaan itu.

“Ia adalah satu perkara tidak masuk akal dan (permintaan itu) mengelirukan,” katanya. AGENSI

Nahas MH17: ‘Jet Ukraine dekat MH17’


Nahas MH17: ‘Jet Ukraine dekat MH17’
Gambar fail pesawat pejuang SU-25 Ukraine yang didakwa terbang
berhampiran pesawat MH17 sejurus sebelum terhempas. 
Moscow: Russia semalam menyatakan rekod penerbangannya menunjukkan sebuah pesawat pejuang Ukraine terbang hampir dengan pesawat MH17 sejurus sebelum ia terhempas dan Kiev pada masa itu mengaktifkan stesen radar untuk sistem peluru berpandu.


Moscow juga menafikan ia membekalkan pemisah Ukraine sistem peluru berpandu atau senjata lain, ketika ia berusaha menangkis dakwaan masyarakat antarabangsa bahawa ia bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia dengan 298 penumpang dan anak kapal itu.

Berbekalkan beberapa carta dan imej, dua pegawai tinggi tentera Russia membentangkan kes terhadap Ukraine pada satu taklimat khas di sini.
Lef Jen Andrei Kartopolov berkata, pesawat Malaysia itu tersasar ke utara dari laluan asal manakala pesawat pejuang SU-25 Ukraine yang biasanya dilengkapi peluru berpandu udara ke udara, dirakam berada hampir dengan pesawat Boeing 777 itu.

Beliau mendakwa, pesawat Malaysia itu ‘tersasar dari laluannya ke utara. Jarak tersasar maksimum ialah 14 kilometer.

Jarak jet, MH17 tiga hingga lima kilometer

“Peningkatan ketinggian direkodkan bagi pesawat tentera Ukraine. Jaraknya dari Boeing Malaysia ialah tiga hingga lima kilometer.
“Apakah matlamat sebuah pesawat tentera terbang di laluan pesawat awam hampir pada masa sama dan pada ketinggian sama? Kami ingin mendapatkan jawapan kepada persoalan ini,” katanya.

Kartopolov juga berkata, Kementerian Pertahanan Russia mengesan kegiatan luar biasa stesen radar yang digunakan untuk mengendalikan sistem peluru berpandu pada hari tragedi itu.

“Dari 17 Julai (Khamis) tahap operasi stesen radar Ukraine meningkat kepada maksimum,” katanya.

Kartopolov berkata, tujuh stesen radar beroperasi hampir dengan kawasan tragedi pada Selasa, lapan pada Rabu dan sembilan pada hari nahas iaitu Khamis.

Sambil merujuk data, beliau berkata, selepas nahas itu hanya empat stesen radar beroperasi pada Jumaat dan hanya dua pada Sabtu.

Kartopolov juga menegaskan Russia tidak membekalkan puak pemisah Ukraine dengan sistem peluru berpandu Buk atau senjata lain. AFP

Mayat mangsa nahas MH17 akan diterbangkan ke Amsterdam - PM


2014/07/22 -

PUTRAJAYA: Sebanyak 282 mayat mangsa tragedi MH17 akan dipindahkan dari Torez ke Kharkiv menaiki keretapi, sebelum diserahkan kepada wakil Belanda, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata, mayat itu kemudian akan diterbangkan ke Amsterdam dengan pesawat C-130 Belanda dengan anggota pasukan Malaysia.

"Mayat warga Malaysia akan dibawa pulang selepas ujian forensik yang perlu," katanya pada sidang media khas di Seri Perdana sebentar tadi.

Perkara itu adalah antara tiga persetujuan yang dicapai antara Najib dan Alexander Borodai, pemimpin kumpulan yang menguasai wilayah di mana pesawat berkenaan terhempas.

MH17: Kereta api bawa mayat mangsa tragedi dalam perjalanan ke Kharkiv


2014/07/22 -

KUALA LUMPUR: Kereta api yang membawa mayat mereka yang maut dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 telah memulakan perjalanannya ke bandar Kharkiv melalui Donetsk di timur Ukraine.

Ini berdasarkan kenyataan dalam laman sesawang rasmi Presiden Ukraine Petro Poroshenko.

"Presiden memerintahkan angkatan bersenjata mengambil semua langkah perlu untuk menjamin keselamatan kereta api itu sehingga tiba ke destinasinya," kata kenyataan itu.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata enam anggota pasukan khas Malaysia akan menyertai perjalanan kereta api itu.

Beliau membayangkan bahawa dari Kharkiv, 282 mayat berkenaan akan diserahkan kepada wakil dari Belanda dan kemudian dibawa ke Amasterdam dengan pesawat C130 Hercules Belanda, bersama pasukan Malaysia itu.

Terletak di timur laut Ukraine, Kharkiv adalah bandar kedua terbesar negara itu.

Pesawat Boeing 777 MAS bersama 298 orang penumpang dan anak kapal itu sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia ditembak jatuh pada Khamis di wilayah Donetsk, di timur Ukraine. - BERNAMA 

Jokowi dapat 53 peratus


Jakarta: Joko Widodo (Jokowi) memenangi pemilihan presiden dengan memperoleh lebih 53 peratus undi mengatasi Prabowo Subianto yang cuma mendapat kurang 47 peratus.

Jumlah itu diperoleh semalam berdasarkan keputusan rasmi dari 34 wilayah.


Seramai 33 pegawai Komisi Pemilihan Umum (KPU) menyempurnakan tugas masing-masing untuk mengira undi diperoleh kedua-dua calon berkenaan pagi kelmarin, dengan Jakarta menjadi wilayah terakhir disiapkan.



Berdasarkan data itu, Jokowi mendepat 53.08 peratus berbanding Prabowo 46.92 peratus. Undi bagi wilayah ke-34 dan yang terbaru Indonesia, Kalimantan Utara diurus KPU cawangan Kalimantan Timur. Keputusan berkenaan disiarkan dalam pelbagai laporan media dan Jakarta Globe mengumpul data sama untuk mendapatkan keputusan sendiri di peringkat nasional. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/22

Sudahlah Prabowo


Kata Susilo yang bakal melepaskan jawatannya, mengaku kalah adalah perbuatan yang mulia.

Prabowo hampir pasti kalah dalam pemilihan presiden yang diadakan pada 9 Julai lalu dan keputusan rasmi mengenainya diumum hari ini tetapi kelmarin mendakwa proses itu dibayangi penipuan.
Dia juga mendesak Komisi Pemilihan Umum (KPU) menyiasat penipuan undi sebelum bersedia menerima keputusan berkenaan.

Kiraan firma swasta menunjukkan Gabenor Jakarta Joko Widodo (Jokowi) mengatasi Prabowo dengan majoriti lima peratus undi.

Prabowo yang dikaitkan dengan amalan pelanggaran hak asasi manusia ketika berkhidmat sebagai jeneral pasukan tentera elit Indonesia menghabiskan masa 10 tahun terakhir untuk membuat persiapan menjadi presiden. Kedegilan Prabowo itu mungkin mendorong penyokongnya bertindak ganas dan sesetengah daripadanya mengancam mengadakan perhimpunan di depan Ibu Pejabat KPU hari ini. - Reuters
Foto
PEGAWAI KPU dan wakil kedua-dua calon presiden menyertai proses kiraan undi di ibu pejabat agensi itu di Jakarta semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/22

PBB timbang lulus resolusi

New York: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijangka menimbang resolusi bagi mendesak kumpulan pemberontak pro-Russia bagi memberi ‘akses penuh tanpa halangan’ ke tempat kejadian di mana pesawat penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine.

Dokumen itu diusulkan Australia dan disokong Perancis juga menggesa semua pihak terbabit di rantau berkenaan agar memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan antarabangsa berhubung kejadian itu. 
Ia mendesak agar semua kegiatan ketenteraan, termasuk oleh kumpulan bersenjata, dihentikan serta-merta di sekeliling kawasan terbabit dengan kejadian berkenaan bagi membolehkan penyiasatan antarabangsa dilakukan dengan selamat. 

Undian dijangka diadakan jam 3 petang , waktu di sana.
Foto
IMEJ menerusi satelit lokasi pesawat penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine.

Russia, selaku anggota tetap Majlis Keselamatan berhak menggunakan kuasa vetonya untuk menolak resolusi itu.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/22

Kru, penumpang nahas MH17 syahid akhirat


Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Kuala Lumpur: Kru dan penumpang beragama Islam yang terkorban dalam tragedi pesawat penerbangan MH17 yang terhempas di timur Ukraine minggu lalu disifatkan sebagai syahid akhirat.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin berkata, ia berasaskan kepada hadis Nabi SAW yang menyebut bahawa mati kerana ditembak, jatuh atau tenggelam termasuk antara kategori syahid akhirat.



“Pesawat itu ditembak dan terhempas sehingga mengorbankan nyawa penumpang serta kru dan mereka yang beragama Islam adalah tergolong sebagai syahid akhirat.

“Sehubungan itu, mayat mangsa beragama Islam yang meninggal dunia perlu disempurnakan mengikut kadar yang termampu dilakukan dan jenazah diuruskan seperti biasa seperti dimandi, dikafankan dan dikebumikan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.


Katanya, orang Islam tergolong dalam syahid akhirat antaranya orang yang mati dibunuh secara zalim, ditikam, karam di lautan, sakit beranak, sakit perut, taun, mati dalam menuntut ilmu dan mati terbakar.


Bagaimanapun, berbeza dengan rakyat Palestin yang meninggal dunia ketika berperang menentang regim Zionis, mereka tergolong sebagai syahid dunia dan syahid akhirat kerana mati dalam peperangan menentang golongan kafir untuk mempertahankan Islam dan tanah air dengan niat kerana Allah.

Katanya, mereka tidak wajib dimandi dan juga tidak wajib disembahyangkan selain dikafankan dengan pakaian yang dipakai dengan berlumuran darahnya serta dikebumikan.

Semalam, media melaporkan bahawa pasukan penyiasatan khas Malaysia belum diberi laluan untuk mengunjungi tapak nahas itu di Grabovo, kira-kira 750 kilometer dari Kiev.

Jabatan Negara Amerika Syarikat dalam satu kenyataan sebelum ini menyatakan lokasi pesawat terhempas tidak dikawal dengan selamat dan terdapat laporan mayat mangsa sudah dikeluarkan dari tapak nahas.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/22

Propaganda Russia


Kuala Lumpur: "Saya sangsi dengan laporan agensi berita RT mengenai data laluan MH17 yang dikatakan tidak mengikut kelaziman. Mungkin pihak mengeluarkan berita sedemikian ada kepentingan sendiri."
Itu komen pakar penerbangan, Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mengenai laporan agensi berita Russia Today (RT) yang mendakwa pesawat malang itu mengikuti laluan berisiko sehingga membawa kepada nahas. 
Menurut laporan Open Newsroom (http://sy4m.co/GOpenNewsroom), sebuah laman perkongsian maklumat kewartawanan, Martin Walther berkata, laporan RT itu adalah sebahagian propaganda Russia dalam mengubah data sebenar dengan melaporkan data palsu kepada awam. 

“Gambar yang diambil dari siaran RT itu salah sama sekali. Apa yang mengejutkan, sumber RT gunakan adalah dari laman Flightaware.com manakala laman flightradar24.com menunjukkan sebaliknya.
Foto
GAMBAR menunjukkan laluan penerbangan MH17 yang didakwa diubah suai agensi berita RT.

“Flightaware kekurangan data untuk Ukraine kerana mereka tidak mempunyai penerima (receiver) bagi kawasan itu (http://flightaware.com/adsb/),” katanya di ruang perkongsian terbabit.

Menurutnya, RT menggunakan sumber yang tidak mencukupi dan salah sama sekali. Berpunca daripada itu, maklumat salah kemudian diterima masyarakat dunia bahawa MH17 menggunakan laluan berisiko. 

RT, yang sebelum ini dikenali sebagai Russia Today, adalah sebuah saluran TV berita pelbagai bahasa berpusat rangkaian di Russia, membentangkan berita, dokumentari, bual bicara dan perdebatan serta berita sukan. 

Ahmad berkata, memang benar apa yang diperkatakan di Open Newsroom bahawa data Flightaware.com yang dijadikan rujukan dalam laporan berkenaan hanyalah anggaran kerana bergantung sepenuhnya kepada Global Positioning System (GPS). 

"Malah semua data dalam talian ini boleh diubah suai pihak tertentu selepas pesawat tidak merekodkan laluan penerbangan," tegasnya. 

Justeru, adalah tidak beretika jika agensi berita hanya menggunakan sumber lemah seperti itu untuk menjual teori mengatakan laluan digunakan MH17 adalah di luar kebiasaan. 

"Kita harus sedar bahawa ini adalah konflik geopolitik membabitkan Russia, Ukraine dan pemberontak. Oleh itu, pasti ada usaha untuk cuba menutup kesalahan atau kelemahan masing-masing. 

“Tambahan pula, pasukan siasatan awal menghadapi pelbagai kekangan untuk menyiasat lokasi kejadian dan ini menambahkan kecurigaan kita, " kata bekas Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia itu. 

Beliau menegaskan, MAS tidak harus dipersalahkan kerana menggunakan laluan udara berkenaan namun mempersoalkan tindakan Kerajaan Ukraine yang tidak menutup terus ruang udara di lokasi kejadian selepas berlaku beberapa insiden sama sebelum ini. 
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

Anggota JPJ di 112 lokasi



ANGGOTA JPJ akan turut ditempatkan di terminal bas di seluruh negara untuk memeriksa keadaan bas sempena kempen keselamatan jalan raya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini. - Gambar hiasan


SUNGAI PETANI - Sebanyak 112 lokasi di jalan Persekutuan seluruh negara akan dipantau anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena kempen keselamatan jalan raya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad (gambar kecil) berkata, anggota JPJ akan ditempatkan di setiap 30 kilometer bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan sekali gus mengelakkan kemalangan.
Menurutnya, mereka akan memerhati dan memberi peringatan kepada pengguna agar mematuhi peraturan jalan raya, tidak memandu laju, memotong di garisan berkembar dan menggunakan telefon bimbit.
"Anggota JPJ dengan bantuan 500 Skuad Muda JPJ akan ditempatkan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya Utara-Selatan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0722&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3897xZI67 
Hakcipta terpelihara 

Ukraine dakwa tidak tahu lokasi kotak hitam


KUALA LUMPUR - Wakil Suruhanjaya Negara Ukraine bagi menyiasat nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang ditembak jatuh, tidak tahu lokasi kotak hitam pesawat itu, menurut kenyataan dikeluarkan Pusat Krisis Media Ukraine.
Menurut kenyataan itu, bagaimanapun disyaki kotak hitam itu mungkin berada dalam tangan puak pemisah.
Naib Perdana Menteri Ukraine, Volodymyr Groysman dalam kenyataan itu berkata, 200 petugas Perkhidmatan Kecemasan Negara Ukraine terbabit dalam operasi mencari, bersama-sama dengan 800 sukarelawan.
"Bagaimanapun, mereka melakukan kerja itu di bawah kawalan ketat pasukan puak pemisah bersenjata," kata Grosyman, yang mengetuai Suruhanjaya Negara bagi Penyiasatan berhubung keadaan yang membawa kepada MH17 terhempas.
Grosyman berkata, mereka telah selesai menjalankan tugas itu pada pagi Ahad, dan bagaimanapun, sehingga malam tadi, tren itu masih belum beredar dari stesen kerana kumpulan puak pemisah menghalang jalan.
"Kami sedang berunding dengan mereka berhubung penghantaran mayat mangsa," katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0722&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3897IT200 
Hakcipta terpelihara 

Jangan bergantung kepada ICAO



PESAWAT MH17 yang membawa 298 penumpang terhempas ketika melalui ruang udara Ukraine Khamis lalu.


KUALA LUMPUR - Mana-mana syarikat penerbangan termasuk Malaysia dinasihatkan supaya tidak bergantung sepenuhnya dengan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi memastikan laluan yang digunakan oleh sesebuah pesawat selamat daripada sebarang ancaman.
Pengerusi Persatuan Penerbangan Malaysia, Kapten Ab. Manan Mansor (gambar) berkata, tahap keselamatan sesuatu laluan penerbangan sepatutnya ditentukan dan dimaklumkan oleh negara yang terbabit.
Dalam kes tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 misalnya, beliau berkata, Ukraine yang bertanggungjawab mengeluarkan satu notis yang dikenali sebagai Notis Kepada Juruterbang (Notam).
"Status keselamatan mana-mana laluan yang dilalui seharusnya ditentukan oleh negara yang terlibat melalui Notam.
"Tugas ICAO adalah meluluskan sesuatu laluan yang telah dicadangkan oleh sesebuah negara bagi membolehkan ia dilalui oleh pesawat," jelasnya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0722&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3896s6oZg 
Hakcipta terpelihara 

AS ada bukti pembekal senjata



PARA pekerja sebuah lombong arang batu turut membantu mencari serpihan pesawat MH17 di Rozspyne, Donetsk semalam.


NEW YORK - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry kelmarin menuduh para pejuang pemisah Ukraine dan tentera Rusia bekerjasama untuk memiliki serta mengendalikan sistem peluru berpandu Buk yang dipercayai menembak jatuh sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dan membunuh seramai 298 penumpang pada Khamis lalu.
Kerry berkata, AS mempunyai banyak bukti yang menunjukkan Rusia membekalkan peluru berpandu anti-pesawat SA-11 yang dikenali Buk di Rusia kepada pejuang pemisah Ukraine dan melatih mereka menggunakan sistem senjata canggih tersebut.

ANGGOTA pejuang pemisah pro-Rusia mengawal ketat kawasan pesawat MH17 terhempas di Grabovo, Ukraine kelmarin.


Katanya, agensi perisikan AS juga 'melihat' sebuah peluru berpandu dilancarkan dari lokasi dikuasai pejuang pemisah di timur Ukraine dan merakamkan trajektori peluru berpandu tersebut pada masa pesawat MH17 hilang dari radar.
Ujarnya, AS mengesan penghantaran bekalan senjata besar-besaran dari Rusia ke lokasi yang dikuasai pejuang pemisah di Ukraine beberapa minggu lalu termasuk 150 konvoi kenderaan yang membawa kereta perisai, kereta kebal dan pelancar roket.
AS juga berjaya memintas satu perbualan berhubung penghantaran sistem peluru berpandu SA-11 milik Rusia kepada para pejuang pemisah.
"Terdapat terlalu banyak bukti dan banyak bukti telah saya dokumentasikan yang menunjukkan penglibatan Rusia membekalkan sistem senjata itu dan melatih para pejuang pemisah menggunakannya," kata Kerry.
Moscow sebelum ini menafikan penglibatan negara itu dalam nahas pesawat MAS tersebut dan menuduh tentera Ukraine bertanggungjawab menembaknya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0722&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3896bhFqI 
Hakcipta terpelihara 

Putin minta kumpulan pro-Rusia benarkan penyiasat masuki lokasi nahas



REUTERS - BEBERAPA anggota Pertubuhan Keselamatan dan kerjasama Eropah melawat lokasi nahas sebuah pesawat Penerbangan Malaysia dekat Grabovo, Donetsk semalam.


MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin semalam menyatakan insiden sebuah pesawat Penerbangan Malaysia, (MAS) ditembak jatuh di timur Ukraine tidak boleh digunakan untuk kepentingan politik sekali gus menggesa kumpulan pemisah agar membenarkan pakar-pakar antarabangsa memasuki lokasi nahas.
“Apa sahaja mesti dilakukan untuk menjamin keselamatan pakar-pakar antarabangsa di lokasi tragedi itu,” kata Putin dalam satu ucapan yang disiarkan stesen televisyen Rusia.
Putin yang kelihatan cengkung mengulangi pendiriannya bahawa tragedi MH17 tidak akan berlaku sekiranya tentera Ukraine menamatkan kempen memerangi kumpulan pemisah pro-Rusia di timur Ukraine.

REUTERS - SERPIHAN pesawat Penerbangan Malaysia kelihatan di lokasi nahas dekat Grabovo semalam.


“Namun, tiada sesiapa yang berhak untuk menggunakan tragedi ini demi mencapai kepentingan dan motif politik. Peristiwa seperti ini wajar menyatukan rakyat dan bukan memecahbelahkan mereka,” katanya.
Komen Putin itu dibuat untuk menepis kritikan Barat yang mengecamnya kerana enggan memujuk kumpulan pemisah pro-Rusia yang dipercayai menembak pesawat Malaysia dengan menggunakan peluru berpandu meletakkan senjata.
Dalam ucapannya, Putin turut mempertahankan peranannya berhubung krisis Ukraine dan mengulangi gesaan supaya pertempuran di timur negara itu dihentikan.
“Kami pernah meminta semua pihak yang terlibat dalam konflik itu supaya segera menghentikan pertumpahan darah dan memulakan rundingan,” ujar Putin.
Beliau juga mahu satu koridor kemanusiaan diwujudkan bagi membolehkan pakar-pakar memasuki lokasi nahas MH17 yang meragut nyawa 298 orang yang menaiki pesawat tersebut. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0722&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz3894uvFwJ 
Hakcipta terpelihara 

PM UK mahu bekukan aset bilionair Rusia



REUTERS - SEORANG anggota pemisah pro-Rusia memberi isyarat kepada pemberita di lokasi nahas sebuah pesawat Penerbangan Malaysia dekat Grabovo semalam.


LONDON – Perdana Menteri United Kingdom, David Cameron memberi amaran kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin bahawa aset bilionair-bilionair Rusia yang menjadi kroninya di sini akan dibekukan.
Cameron berkata, tindakan itu akan dilaksanakan melainkan Presiden Rusia bekerjasama membantu siasatan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia yang ditembak jatuh.
Beliau meluahkan kemarahan berhubung sikap dingin Rusia itu dalam satu panggilan telefon selama 30 minit dengan Putin.
Perbualan mereka adalah yang pertama sejak pesawat jenis 777-200 itu ditembak jatuh dengan menyebabkan 298 penumpang dan anak kapal terkorban.
Senada dengan Cameron, Setiausaha Luar United Kingdom, Philip Hammond pula memberitahu semalam bahawa Putin boleh menghentikan krisis di Ukraine tetapi beliau tidak berbuat demikian.
“Sebaliknya, Rusia terus membekalkan senjata dan menyokong kumpulan pemisah di Ukraine. Justeru, Moscow tidak boleh bersikap lepas tangan atas apa yang dilakukan oleh kumpulan pemisah itu,” katanya.
Perkembangan tersebut mendorong UK untuk mendesak Kesatuan Eropah (EU) supaya melaksanakan sekatan terhadap kumpulan bilionair yang menjadi kroni Putin.
Sehingga kini, London masih enggan mendedahkan identiti bilionair-bilionair tersebut tetapi spekulasi menyebut antaranya termasuk pemilik kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich.
Antara yang akan dilaksanakan itu termasuk larangan jualan senjata kepada Rusia dan menyekat firma tenaga Rusia daripada mengumpul dana di Eropah. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0722&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz3894bHL6u 
Hakcipta terpelihara 

Dua pakar Jerman tiba di Kiev


BERLIN - Dua pakar dari Pihak Berkuasa Siasatan Kemalangan Udara Jerman (BFU) tiba di Kiev dan cuba menuju ke lokasi sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) terhempas, kata seorang jurucakap BFU semalam.
Pesawat MH17 itu ditembak jatuh dekat Grabovo yang dikuasai pejuang pemisah pada Khamis lalu.
Empat warga Jerman antara 298 penumpang yang terkorban.
Kata jurucakap itu, Pengarah BFU, Ulf Kramer dan seorang lagi pakar tiba di Kiev pada Ahad lalu serta cuba pergi ke lokasi nahas bersama penyiasat antarabangsa yang lain.
Semalam sepasukan penyiasat antarabangsa daripada Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) menjadi pasukan pertama tiba di lokasi nahas yang dikuasai pejuang pemisah.
Beberapa lagi pasukan telah tiba di Kiev tetapi masih gagal meneruskan perjalanan menuju ke lokasi kejadian. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0722&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3894OItlw 
Hakcipta terpelihara 

Pasukan penyiasat Belanda periksa mayat di Torez



Seorang anggota kumpulan pemisah menutup hidung dengan tangannya ketika dia berada di tepi gerabak kereta api yang mengandungi mayat dan kru penumpang sebuah pesawat Penerbangan Malaysia di sebuah stesen kereta api di bandar Torez, Ukraine semalam.


TOREZ, Ukraine - Pasukan penyiasat Belanda semalam memeriksa sejumlah mayat penumpang dan kru sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang telah disimpan di dalam beberapa gerabak kereta api tidak jauh dari lokasi kejadian, kata seorang wartawan agensi berita AFP.
Kawasan tersebut adalah dikuasai oleh kumpulan pemisah pro-Rusia.

SEORANG anggota kumpulan pemisah pro-Rusia (kanan) mengiringi tiga orang anggota Pertubuhan Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah meninjau gerabak kereta api yang mengandungi mayat penumpang dan kru sebuah pesawat Penerbangan Malaysia di Torez.


Setiap gerabak yang menyimpan mayat mangsa dibuka dan diperiksa oleh dua lelaki yang memakai topeng serta membawa lampu suluh.
Bau busuk daripada dalam gerabak-gerabak itu sangat meloyakan walaupun kumpulan pemisah pro-Rusia sebelum ini mendakwa tempat simpanan tersebut dilengkapi sistem penyejuk.
Ketua Forensik Belanda berkata, kereta api yang membawa gerabak tersebut bergerak semalam menuju ke satu lokasi di mana pasukan itu boleh menjalankan kerja-kerja mereka.
"Kereta api ini akan memulakan perjalanan tetapi kami tidak mengetahui waktu ia akan bergerak dan lokasi yang dituju. Kumpulan pemisah berjanji kereta api ini akan bergerak hari ini (semalam).
"Kami mahu kereta api ini pergi ke lokasi di mana kami dapat menjalankan tugas kami dan ini adalah keutamaan semua orang terutama keluarga mangsa," katanya.
Seorang jurucakap Pertubuhan Kerjasama Keselamatan Eropah (OSCE) berkata, pihaknya diberitahu pakar dari Belanda tersebut bahawa mayat semua mangsa di dalam kereta api itu berada dalam keadaan baik.
Dalam pada itu, seorang wartawan agensi berita AFP melihat para penyiasat Belanda memakai topeng muka dan lampu membuka setiap gerabak yang mengandungi mayat mangsa walaupun bau busuk menyelubungi lokasi stesen kereta api Torez.

SEORANG anggota pemisah mengawal gerabak kereta api yang menyimpan mayat penumpang dan kru sebuah pesawat Penerbangan Malaysia di Torez.


Pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda menuju ke Kuala Lumpur terhempas selepas ditembak jatuh dekat Grobovo pada Khamis lalu.
Seramai 192 daripada 298 penumpang pesawat tersebut ialah warga Belanda.
Sehingga kini 251 mayat dan anggota badan mangsa telah ditempatkan di beberapa gerabak yang dilengkapi sistem penyejuk di sebuah stesen kereta api di Torez kira-kira 15 kilometer dari tapak nahas. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0722&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3894CqQUC 
Hakcipta terpelihara 

Pertempuran berlaku 60km dari lokasi nahas



AFP - SEORANG penembak tepat kumpulan pemisah pro-Rusia mengacukan senjata api dekat sebuah stesen kereta api di Donetsk semalam.


DONETSK, Ukraine - Pertempuran berlaku dekat sebuah stesen kereta api di Donetsk, timur Ukraine semalam dengan tembakan artileri kedengaran dan asap menjulang tinggi di langit.
Kumpulan pemisah pro-Rusia mendakwa, tentera Ukraine berusaha untuk memasuki bandar Donetsk yang terletak 60 kilometer (km) dari lokasi nahas sebuah pesawat Penerbangan Malaysia ditembak jatuh.
"Adalah berbahaya jika berada dekat stesen kereta api," kata Majlis Perbandaran Dontesk dalam satu kenyataan di laman web.
Sebuah bangunan sembilan tingkat musnah akibat dibedil manakala pengangkutan kereta api dihentikan di bandar tersebut. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0722&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz38941BwRi 
Hakcipta terpelihara 

Tentera Ukraine henti serangan di lokasi nahas



POROSHENKO (kanan) memberi penghormatan kepada mangsa tragedi pesawat penerbangan MH17 di Kedutaan Malaysia di Kiev semalam. Turut hadir (dari kiri) Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Duta Malaysia ke Ukraine Chuah Teong Ban. - Bernama


KIEV - Presiden Ukraine, Petro Poroshenko semalam memberitahu bahawa beliau mengarahkan tentera kerajaan menghentikan serangan di kawasan seluas 40 kilometer di lokasi sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang terhempas pada Khamis lalu.
"Saya telah mengeluarkan arahan serta-merta supaya tentera kerajaan tidak membuat sebarang operasi dan melepaskan tembakan di kawasan seluas 40 kilometer persegi di sekitar kawasan nahas," katanya.
Ujarnya, beliau juga mahu pasukan penyiasat dari Rusia terlibat sama dalam siasatan tragedi tersebut bagi memastikan ia berjalan dengan telus.
Seramai 283 penumpang dan 15 anak kapal terkorban selepas pesawat MH17 ditembak jatuh dipercayai menggunakan peluru berpandu di sempadan Ukraine dan Rusia pada Khamis lalu.
Pesawat jenis Boeing 777 itu berkecai di udara dan terhempas di Grabovo, wilayah yang dikuasai pejuang pemisah Ukraine yang pro-Rusia.
Ketika ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab malah Ukraine dan Rusia saling tuduh-menuduh antara satu sama lain. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0722&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3893rRdkW 
Hakcipta terpelihara 

Mayat diletakkan atas lori sampah


DEMOTIX
BEBERAPA anggota penyelamat berdiri di depan lori sampah yang digunakan untuk membawa mayat-mayat penumpang sebuah pesawat Penerbangan Malaysia yang terhempas di kawasan nahas dekat Grabovo, timur Ukraine kelmarin.


GRABOVO - Pasukan kecemasan Ukraine dikecam selepas beberapa gambar memaparkan mayat-mayat mangsa sebuah pesawat Penerbangan Malaysia MH17 diletakkan di tepi jalan sebelum diletakkan ke dalam beberapa buah lori sampah, lapor akhbar MailOnline semalam.
Hampir 200 mayat mangsa dibiarkan terdedah di tapak nahas selama tiga hari sebelum dipindahkan ke dalam gerabak yang lengkap dengan peti sejuk.
Pesawat MH17 tersebut terhempas dekat Grabovo selepas dipercayai ditembak dengan peluru berpandu pada Khamis lalu.
Selepas beberapa hari dibiarkan mereput, kerja-kerja mencari mayat bermula.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0722&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3893aS7fS 
Hakcipta terpelihara 

Jokowi hampir pasti Presiden baharu Indonesia


SUSILO (kanan) dan Jokowi.
JAKARTA 21 Julai - Sidang pleno Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia semalam mendapati, pasangan calon Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan Jusuf Kalla mengungguli Pemilihan Umum Presiden (Pilpres) 2014 dengan kelebihan 8.4 juta undi.
Jumlah majoriti undi yang dimenangi pasangan yang dicalonkan oleh Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P) itu diperoleh hasil kiraan akhir kertas undi di semua 33 wilayah di negara ini.
Pasangan Jokowi-Jusuf memperoleh 70.99 juta undian atau 53.15 peratus dalam Pilpres 2014 berbanding pesaing mereka Prabowo Subianto-Hatta Rajasa yang mendapat 62.57 juta undian atau 46.85 peratus.
Sidang pleno KPU turut merumuskan, secara keseluruhan, Jokowi-Jusuf menang di 23 wilayah dan kalah di Aceh, Riau, Sumatera Selatan, Banten, Kalimantan Selatan, Gorontalo, Maluku Utara, Sumatera Barat, Jawa Barat dan Nusa Tenggara Barat.
Sementara itu, Prabowo-Hatta hanya unggul di 10 wilayah yang menolak pasangan Jokowi-Jusuf.
Keputusan rasmi Pilpres 2014 bagaimanapun hanya akan diumumkan malam esok oleh KPU.
Jokowi-Jusuf juga dilapor sudah menyiapkan ucapan kemenangan yang bakal disampaikan pada hari pengumuman esok.
Menurut Setiausaha Pasukan Kempen Nasional Jokowi-Jusuf, Andi Widjajanto, ada tiga topik yang akan diberikan penekanan oleh bakal Presiden dan naib Presiden baharu Indonesia itu merangkumi penegasan mengembalikan 22 Julai sebagai hari kemenangan rakyat serta pesanan untuk kembali mendekatkan bangsa Indonesia selepas melalui musim perbezaan ideologi politik gara-gara Pemilu 2014.
Pasangan Prabowo-Hatta pula tidak mempunyai pilihan lain selain menerima keputusan rakyat Indonesia memilih pasangan Jokowi-Jusuf sebagai bakal presiden dan naib presiden baharu Indonesia.
Ketua Pasukan Kempen Nasional Prabowo-Hatta, Mahfud MD berkata, tugasnya sudah selesai dan beliau mengakui kegagalannya untuk memastikan kemenangan pasangan dari Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) dan Parti Amanat Nasional (PAN) itu. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140722/lu_07/Jokowi-hampir-pasti-Presiden-baharu-Indonesia#ixzz388uaBHND
© Utusan Melayu (M) Bhd