Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
Kuala Lumpur: Kru dan penumpang beragama Islam yang terkorban dalam tragedi pesawat penerbangan MH17 yang terhempas di timur Ukraine minggu lalu disifatkan sebagai syahid akhirat.
Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin berkata, ia berasaskan kepada hadis Nabi SAW yang menyebut bahawa mati kerana ditembak, jatuh atau tenggelam termasuk antara kategori syahid akhirat.
“Pesawat itu ditembak dan terhempas sehingga mengorbankan nyawa penumpang serta kru dan mereka yang beragama Islam adalah tergolong sebagai syahid akhirat.
“Sehubungan itu, mayat mangsa beragama Islam yang meninggal dunia perlu disempurnakan mengikut kadar yang termampu dilakukan dan jenazah diuruskan seperti biasa seperti dimandi, dikafankan dan dikebumikan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Katanya, orang Islam tergolong dalam syahid akhirat antaranya orang yang mati dibunuh secara zalim, ditikam, karam di lautan, sakit beranak, sakit perut, taun, mati dalam menuntut ilmu dan mati terbakar.
Bagaimanapun, berbeza dengan rakyat Palestin yang meninggal dunia ketika berperang menentang regim Zionis, mereka tergolong sebagai syahid dunia dan syahid akhirat kerana mati dalam peperangan menentang golongan kafir untuk mempertahankan Islam dan tanah air dengan niat kerana Allah.
Katanya, mereka tidak wajib dimandi dan juga tidak wajib disembahyangkan selain dikafankan dengan pakaian yang dipakai dengan berlumuran darahnya serta dikebumikan.
Semalam, media melaporkan bahawa pasukan penyiasatan khas Malaysia belum diberi laluan untuk mengunjungi tapak nahas itu di Grabovo, kira-kira 750 kilometer dari Kiev.
Jabatan Negara Amerika Syarikat dalam satu kenyataan sebelum ini menyatakan lokasi pesawat terhempas tidak dikawal dengan selamat dan terdapat laporan mayat mangsa sudah dikeluarkan dari tapak nahas.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/22
No comments:
Post a Comment