Tuesday, July 22, 2014

Pasukan penyiasat Belanda periksa mayat di Torez



Seorang anggota kumpulan pemisah menutup hidung dengan tangannya ketika dia berada di tepi gerabak kereta api yang mengandungi mayat dan kru penumpang sebuah pesawat Penerbangan Malaysia di sebuah stesen kereta api di bandar Torez, Ukraine semalam.


TOREZ, Ukraine - Pasukan penyiasat Belanda semalam memeriksa sejumlah mayat penumpang dan kru sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang telah disimpan di dalam beberapa gerabak kereta api tidak jauh dari lokasi kejadian, kata seorang wartawan agensi berita AFP.
Kawasan tersebut adalah dikuasai oleh kumpulan pemisah pro-Rusia.

SEORANG anggota kumpulan pemisah pro-Rusia (kanan) mengiringi tiga orang anggota Pertubuhan Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah meninjau gerabak kereta api yang mengandungi mayat penumpang dan kru sebuah pesawat Penerbangan Malaysia di Torez.


Setiap gerabak yang menyimpan mayat mangsa dibuka dan diperiksa oleh dua lelaki yang memakai topeng serta membawa lampu suluh.
Bau busuk daripada dalam gerabak-gerabak itu sangat meloyakan walaupun kumpulan pemisah pro-Rusia sebelum ini mendakwa tempat simpanan tersebut dilengkapi sistem penyejuk.
Ketua Forensik Belanda berkata, kereta api yang membawa gerabak tersebut bergerak semalam menuju ke satu lokasi di mana pasukan itu boleh menjalankan kerja-kerja mereka.
"Kereta api ini akan memulakan perjalanan tetapi kami tidak mengetahui waktu ia akan bergerak dan lokasi yang dituju. Kumpulan pemisah berjanji kereta api ini akan bergerak hari ini (semalam).
"Kami mahu kereta api ini pergi ke lokasi di mana kami dapat menjalankan tugas kami dan ini adalah keutamaan semua orang terutama keluarga mangsa," katanya.
Seorang jurucakap Pertubuhan Kerjasama Keselamatan Eropah (OSCE) berkata, pihaknya diberitahu pakar dari Belanda tersebut bahawa mayat semua mangsa di dalam kereta api itu berada dalam keadaan baik.
Dalam pada itu, seorang wartawan agensi berita AFP melihat para penyiasat Belanda memakai topeng muka dan lampu membuka setiap gerabak yang mengandungi mayat mangsa walaupun bau busuk menyelubungi lokasi stesen kereta api Torez.

SEORANG anggota pemisah mengawal gerabak kereta api yang menyimpan mayat penumpang dan kru sebuah pesawat Penerbangan Malaysia di Torez.


Pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda menuju ke Kuala Lumpur terhempas selepas ditembak jatuh dekat Grobovo pada Khamis lalu.
Seramai 192 daripada 298 penumpang pesawat tersebut ialah warga Belanda.
Sehingga kini 251 mayat dan anggota badan mangsa telah ditempatkan di beberapa gerabak yang dilengkapi sistem penyejuk di sebuah stesen kereta api di Torez kira-kira 15 kilometer dari tapak nahas. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0722&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3894CqQUC 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment