Monday, January 5, 2015

Mangsa Banjir Peroleh MyKad Dalam Tempoh 24 Jam


Diterbitkan: Isnin, 5 Januari 2015 12:40 PM
Mangsa banjir di Tanah Merah bertungkus lumus membuat pembersihan rumah mereka yang terjejas teruk dengan selut dan lumpur ekoran banjir besar minggu lepas di Taman SL Bunga Raya. -fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Ratusan ribu mangsa banjir yang berhadapan masalah kerana kehilangan dokumen peribadi mendapat jaminan akan memperoleh semula kad pengenalan atau MyKad dalam masa 24 jam selepas membuat permohonan.

Bagi memudahkan penduduk yang ditimpa musibah itu, selain menyediakan pasukan sukarelawan Misi Ihsan Banjir Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang beroperasi dalam bas, mangsa banjir juga diberi kelonggaran untuk membuat permohonan di cawangan JPN terdekat atau di 229 cawangan JPN di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pendaftaran, Datuk Sulaiman Keling berkata, jumlah mangsa banjir di seluruh negara yang mencecah angka ratusan ribu tidak menghalang JPN untuk berusaha memproses dan menyiapkan setiap permohonan yang dikemukakan oleh mangsa banjir mengikut Piagam Pelanggan.

Katanya, JPN juga sentiasa prihatin terhadap nasib mangsa banjir dan bersedia memberi kemudahan kepada mereka yang kehilangan dokumen penting dari segi rundingan dan pemprosesan permohonan.

"Kita buat (proses) macam biasa, mangsa-mangsa yang buat aduan kehilangan dokumen peribadi kita akan beri layanan dan dibantu.

"Bila mangsa hantar permohonan, kita akan proses. Tempoh siap tak lama...kad pengenalan misalnya kalau tidak ada masalah dan ikut Piagam Pelanggan JPN siap dalam masa 24 jam," katanya kepada mStar Online, Isnin.


Mangsa banjir, Rejeah Mat Sohor, 81, dan Khairani Iberahim gembira menerima kad pengenalan baharu masing-masing di Pusat Pemindahan SK Sayong, Kuala Kangsar. Kedua-dua mereka kehilangan kad pengenalan ketika banjir besar baru-baru ini. 

Sulaiman berkata, bagi mempermudah dan mempercepatkan proses permohonan, mereka yang terlibat dengan banjir dan kehilangan dokumen penting boleh mendapatkan pengesahan daripada pihak tertentu terlebih dahulu seperti ketua kampung atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Kita nak mudahkan rakyat. Bila mangsa mengadu kepada kita, dengan adanya pengesahan daripada ketua kampung, JKM dan sebagainya, kita akan ganti dokumen mereka yang hilang," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, sehingga kini pihaknya tidak dapat memastikan jumlah mangsa yang kehilangan dokumen kerana banjir baharu sahaja surut dan mangsa banjir lebih memberi tumpuan terhadap kerja-kerja pembersihan.
"Ada yang belum buat permohonan kerana nak bersihkan rumah, ada yang tak pasti, kemungkinan dokumen mereka masih ada.

"Sebahagian daripada mereka masih berada di pusat penempatan sementara. Mereka akan maklumkan (kehilangan) dari masa ke semasa dan kita akan berterusan melayan serta memberi khidmat kepada mereka," katanya.
Beliau berkata, penggantian dokumen seperti kad pengenalan tidak akan dikenakan sebarang bayaran mengikut Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Dokumen lain yang diberikan pengecualian pembayaran termasuklah daftar kelahiran, kematian, perkahwinan, perkahwinan bagi bukan Muslim,  anak angkat dan sijil warganegara.

Dalam pada itu, beliau berkata, bas yang digunakan oleh sukarelawann Misi Ihsan Banjir JPN akan terus memasuki kawasan-kawasan yang dilanda banjir bagi memberi peluang kepada mangsa membuat permohonan MyKad dan mendapatkan salinan sijil kelahiran.
Misi berkenaan dijangka mengambil masa seminggu dan sebahagian anggota sukarelawan juga akan membantu mangsa banjir di Perak.
"Kita akan bantu lagi jika tempat itu boleh diakses dan ada kemudahan elektrik kerana urusan kita menggunakan komputer," katanya.

Selain berhenti di beberapa lokasi yang sesuai di Pahang, Terengganu dan Kelantan, misi tersebut juga membawa makanan, peralatan memasak, mencuci dan air mineral.

Unit bergerak itu juga digerakkan bagi membersihkan pejabat-pejabat JPN yang dilanda banjir selain membantu membersihkan kuarters warga kerja JPN dan kediaman penduduk di kawasan sekitar.

5-1-1976: Pol Pot Ubah Nama Kamboja

5-1-1976: Pol Pot Ubah Nama KambojaLiputan6.com, Phonm Phen - Pada hari ini di 1976 Pemimpin Khmer Merah, Pol Pot mengumumkan konstitusi baru bagi Kamboja. Dengan disahkannya konstitusi tersebut nama Kamboja resmi diubah menjadi Kampuchea.

Tidak hanya mengubah nama, langkah lain juga diambil oleh pemimpin yang dikenal dengan kekejamannya ini. Pol Pot resmi mengganti ideologi negaranya menjadi komunis.

Pol Pot mulai mengenal dan terlibat dalam gerakan komunis ketika menimba ilmu di Paris. Saat dia kembali ke tanah kelahiran, Pol Pot segera menyusun rencana untuk menjadikan Kamboja sebagai negara komunis.

Langkah awal demi mewujudkan niatannya ini dilakukan Pol Pot dengan mendirikan Partai Komunis. Pria kelahiran Saloth Sar tersebut mengakui Partai Komunis Kamboja yang didirikannya terinspirasi dari Partai Komunis China yang dipimpin Mao Zedong.

Setelah mendirikan Partai Komunis, Pol Pot melancarkan aksi lebih gila lagi. Dia dan beberapa pendukungnya yang didukung Pasukan Vietnam Utara mengkudeta pemerintahan Raja Norodom Sihanouk pada April 1975.

5 tahun sehabis kudeta, Ibu Kota Phnom Phen resmi dikuasai Khmer Merah. Mulai saat itu awan gelap menyelimuti Kamboja. Demikian dilansir dari History, Sabtu (5/1/2014).

Pemerintah Khmer Merah melancarkan teror dan pembantaian kepada para warganya yang mencoba melawan. Lebih menyedihkannya lagi, sekira 10 ribu orang dilaporkan tewas karena kelaparan.

Namun, kekejaman tersebut tidak berlangsung lama. Pada Desember 1978, akibat invasi Vietnam ke Kamboja Pol Pot kabur ke hutan belantara di Thailand. Selama dua dekade Pol Pot bersembunyi di tempat terpencil itu.

Di 1997 Pol Pot akhirnya berhasil ditangkap dan diseret ke pengadilan untuk mempertanggungjawabkan kejahatannya. Hanya saja, sebelum diputuskan bersalah pria tersebut menghembuskan nafas terakhirnya satu tahun kemudian.

Di samping peristiwa di atas, di tanggal yang sama tahun Jembatan Golden Gate mulai dibangun. Jembatan yang terletak di San Fransisco itu saat ini telah menjadi salah satu land mark terkenal di AS.

Selain itu, masih ditanggal serupa namun terjadi pada 1938, Raja Spanyol Juan Carlos lahir ke dunia. Pada 2014 setelah berkuasa beberapa dekade Juan Carlos resmi memberikan tahtanya kepada sang anak Pangeran Felipe.

'Tapis dulu berita disebar dalam media sosial'

BANJIR yang melanda baru-baru ini bukan hanya beri kesan kehilangan nyawa, harta benda dan tempat tinggal, malah lebih daripada itu. Paling ketara, media massa dan telekomunikasi sangat terkehadapan dalam penggunaannya untuk tujuan menyelamatkan mangsa dan menghantar bantuan banjir.
Tidak terkecuali media sosial dan internet turut disalahgunakan dan dijadikan medan menyebarkan fitnah yang menimbulkan rasa panik masyarakat. Wartawan BH mewawancara Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengenai fitnah siber berhubung banjir baru-baru ini. Ikuti wawancara berkenaan.

DUA lelaki terpaksa menyelamatkan diri di atas bumbung rumahnya kerana air naik mendadak di Bandar Lama Gua Musang, minggu lalu. - Foto Ramli Ibrahim
Soalan: Bagaimana Datuk Seri melihat fitnah siber mengenai banjir ini termasuk fitnah dan berita palsu mengenai pemimpin negara?
Jawapan: Kita kena terima hakikat bahawa sebelum adanya media sosial, orang membuat fitnah dan sebarkan berita palsu dan khabar angin sudah ada. Sebelum ini, orang sebarkan khabar angin dan buat fitnah melalui surat layang dan cerita di kedai kopi. Cuma apabila ada media sosial, fitnah, berita palsu dan khabar angin ini diperluaskan lagi dan disebarkan dengan lebih cepat. Ia sama saja, kita tidak boleh terima bulat-bulat apa yang tersiar dan disebarkan dalam media sosial. Kita kena ajar masyarakat supaya jangan percaya terus maklumat diterima, sebaliknya kena buat tapisan dan buat pengesahan dan rujukan. Masyarakat sendiri kena tanya betul atau tidak berita diterima dan perlu buat pengesahan dan rujukan. Ada banyak rujukan boleh dibuat sama ada dengan pihak keselamatan dan berwajib seperti polis. Kalau berita, boleh rujuk kepada agensi berita seperti BERNAMA, begitu juga kalau benar ada kapal terbang terhempas, kita rujukan pihak Jabatan Penerbangan Awam (DCA). Masyarakat perlu dididik dengan perkara ini dan ia sangat penting.
S: Bagaimana pula dengan agensi yang bertanggungjawab memantau kandungan dan maklumat dalam media sosial dan internet ini seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multi-Media (SKMM), bagaimana mereka dapat berfungsi mengatasi fitnah siber ini?
J: Kita juga perlu memperkasakan dan meningkatkan keupayaan lagi agensi seperti SKMM dan polis dalam menangani isu ini. Misalnya, apakah undang-undang yang ada hanya boleh dikenakan kepada orang yang membuat fitnah dan cerita atau undang-undang yang boleh mengenakan tindakan kepada penyebar fitnah atau yang klik butang 'share'.
Saya melihat mungkin ada keperluan menetapkan undang-undang bahawa orang yang 'share' atau 'retweet' maklumat media sosial juga boleh didakwa, ini akan menggerunkan atau mungkin dapat menyekat pengguna media sosial sembrono berkongsi maklumat, cerita atau fitnah di alam siber. Ini boleh dilakukan jika ada pengguna gunakan nama samaran yang mana jika ada undang-undang yang menetapkan orang yang berkongsi fitnah atau menyebarkan fitnah dipertanggungjawabkan dan boleh didakwa, maka saya fikir mungkin ramai yang tidak berani sebarkan fitnah ini. Pada masa ini, saya tidak pasti sama ada mereka yang kongsi fitnah atau berita dalam media sosial boleh didakwa. Perkara ini perlu diperhalusi dari segi undang-undang.
S: Sejauh mana Datuk Seri berpuas hati dengan tindakan SKMM dan polis dalam menangani fitnah siber membabitkan banjir ini?
J: Setakat ini saya berpuas hati dengan SKMM dan polis yang mengambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada mengikut kemampuan mereka. Namun, saya tidak berpuas hati dengan jumlah dan keupayaan mereka mengambil tindakan undang-undang dan mencegah orang ramai menyalahguna, menyeleweng dan menyebarkan fitnah.
Saya sudah mengarahkan agensi di bawah kementerian bukan hanya SKMM, tetapi jabatan lain seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) mengumpulkan maklumat dan menyenaraikan salah guna media sosial ketika banjir, begitu juga fitnah serta penyelewengan internet pada musim banjir. Selepas ini kita akan teliti dan ada bahagian mengumpulkan dan meneliti perkara ini. Selepas dakwaan dan perbicaraan kita akan lihat pula jumlah yang berjaya atau tidak.
S: Ada yang menyatakan SKMM dan pejabat Peguam Negara lewat bertindak menyebabkan kes fitnah siber ini lewat di dakwa di mahkamah. Benarkah begitu atau apa masalah sebenarnya menyebabkan kelewatan ini?
J: Pada masa ini untuk memantau dan mengambil tindakan isu berkaitan jenayah konvensional kita ada polis yang ramai. Untuk kawal maklumat dan fitnah siber ini, SKMM hanya ada beberapa puluh pegawai yang terlatih dan mahir serta pakar bagi menjaga 18 juta pengguna internet. Setakat ini, SKMM tidak boleh membuat pendakwaan. Pendakwaan di buat Pejabat Peguam Negara. Sistem negara ini menetapkan pengasingan kuasa yang mana pihak menyiasat, membuat pendakwaan, melapor dan menghukum terdiri daripada organisasi yang berbeza.
SKMM tidak boleh menahan orang membuat kesalahan, sebaliknya badan itu membuat tugas siasatan dan forensik internet. SKMM hanya boleh membuktikan peralatan yang digunakan untuk fitnah siber. Tugas menahan adalah polis dan pendakwaan dilakukan oleh Peguam Negara. Justeru, tidak timbul isu kelewatan di pihak SKMM. SKMM hanya jalankan tugasnya menyiasat. SKMM tidak boleh buat laporan kerana mereka yang menyiasat, sebaliknya siasatan dibuat jika ada laporan di terima. Setakat ini SKMM sudah meminta kerjasama 14 individu untuk hadir membantu siasatan mengenai penyebaran berita palsu berikutan bencana banjir yang melanda Pantai Timur baru-baru ini.
S: Perlukah undang-undang berkaitan dipinda bagi membolehkan SKMM dan agensi berkaitan dapat menjalankan tugas dengan lebih baik?
J: Masalah penyelewengan, salah guna termasuk fitnah siber ini bukan hanya masalah Malaysia, ia juga berlaku di negara lain. Saya berasakan pihak berkaitan perlu melihat undang-undang yang ada. Perlu satu kajian terperinci mengenai undang-undang yang ada sekarang ini, jika perlu diperbaharui atau pinda maka ia boleh dibuat. Hukuman yang dikenakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 hanya mengenai hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya. Perkara ini juga perlu dilihat semula.
Begitu juga undang-undang berkaitan yang hukumannya dilihat ringan tetapi kesannya kepada umum lebih besar. Pada masa masa kepakaran dan tenaga mahir dalam bidang forensik internet dan kaitan dengan media sosial perlu ditambah. Sekarang jumlah tenaga mahir dan pakar di SKMM ada beberapa puluh orang untuk menjaga 18 juta pengguna internet, maka jika mahu mereka lebih efektif maka tenaga kerjanya juga perlu ditambah. Kita tidak boleh membuat undang-undang menutup mulut atau mencegah orang tidak berkata buruk mengenai orang lain, jadi cara terbaik menyekat fitnah siber adalah kesedaran dalam diri rakyat bahawa bencana kesan fitnah siber ini lebih besar.
Justeru, gunakan pendidikan mengenai komunikasi dan tatatertib penggunaannya bagi mendidik masyarakat supaya jangan mudah menyebarkan maklumat dan salah gunakan media sosial bagi membuat fitnah. Ini lebih penting untuk diterapkan dan dijadikan nilai bagi masyarakat kita.

Malaysia keempat baik untuk pesara

New York: Ecuador semalam dinamakan negara terbaik untuk pesara.
Negara Amerika Selatan itu yang bersempadan dengan Colombia dan Peru berada di tangga teratas laman web indeks 25 negara terbaik untuk bersara dengan mencatatkan mata tertinggi bagi kos sara hidup, hiburan dan kemudahan asas.
Menurut laman web InternationalLiving.com negara terbaik selepas Ecuador ialah Panama, Mexico, Malaysia dan Costa Rica.
Laman berkenaan melihat lapan kriteria untuk menentukan negara terbaik itu.
“Negara berkenaan selamat, menawarkan nilai baik dan menjadi tempat terbaik untuk tinggal selepas anda bersara,” kata pengarang eksekutif InternationalLiving.com Jennifer Stevens.
Ecuador mencatatkan 92.7 daripada 100 mata dengan markah tertinggi diperoleh untuk cuaca, kos menyewa atau membeli hartanah, diskaun penerbangan, pengangkutan awam serta kemudahan yang ditawarkan kerajaan untuk pesara.
“Meskipun harga meningkat sedikit sejak beberapa tahun kebelakangan, hartanah di Ecuador mempunyai nilai terbaik berbanding negara lain,” kata Dan Prescher, editor kanan laman web berkenaan.
Panama dianggap destinasi terbaik di Amerika Tengah.
Ia menawarkan visa khas kepada pesara yang menawarkan perkhidmatan perubatan istimewa, pengangkutan, makanan, tambang pesawat serta bil elektrik dan telefon.
Malaysia negara di Asia yang terbaik untuk pesara, mencatatkan markah tinggi kerana mudah unduk pesara menyesuaikan diri, hiburan dan kemudahan di samping kos sara hidup yang rendah. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 5:52 AM


HARTANAH di Ecuador mempunyai nilai terbaik.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/21559#sthash.exCCKJrh.dpuf

Bilik batu ganti pondok kayu



Mohamed berehat setelah berpindah ke bilik yang selesa di Jalan Wangsa Setia 4, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang warga emas yang tinggal bersendirian dalam hutan kecil di belakang kawasan perumahan Damaisari, Wangsa Melawati di sini sejak 30 tahun kini mampu tersenyum kerana mendapat sebuah penempatan sementara yang serba bersih dan selesa.
Tempat tinggal berupa sebuah bilik berkeluasan kira-kira 2 meter persegi itu dilengkapi tilam, kipas, kerusi dan meja disediakan oleh sebuah syarikat per­cetakan, Achik Sdn. Bhd. (Achik) yang beroperasi di Jalan Wangsa Setia 4 di sini.
Pengurus Cawangan Achik, Abu Zaki Abd. Hashim berkata, pihaknya memberikan bilik di tingkat satu premis syarikat berkenaan untuk menjadi tempat tinggal sementara Mohamed Dris, 74, kerana bersimpati de­ngan nasib warga emas itu.
“Pengurusan syarikat terbaca mengenai nasibnya seperti yang disiarkan dalam Kosmo!.
“Jarak tempat tinggal lama dia cuma kira-kira 300 meter sahaja dari sini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0105&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3NtgzXJ5H 
Hakcipta terpelihara 

Imej Islam tercemar


Facebook, Twitter enggan padam status berbaur hasutan

Facebook dan Twitter didakwa membenarkan penyebaran Islamophobia
Facebook dan Twitter didakwa membenarkan penyebaran Islamophobia kerana enggan mengeluarkan beratus-ratus status yang bersifat menghasut. – AGENSI
NEW YORK 4 Jan. - Laman media sosial Facebook dan Twitter, didakwa membenarkan penyebaran Islamophobia atau benci terhadap Islam dengan cara enggan memadam beratus-ratus status yang bersifat menghasut.
Pertubuhan antara agama, Faith Matters mendakwa, antara status bersifat berat sebelah yang dimuat naik menerusi dua laman sosial itu termasuk tuduhan orang Islam sebagai perogol, fidofilia dan disamakan dengan barah.
Dalam satu contoh mengejutkan, seorang pengguna Facebook merujuk perbuatan memenggal kepala penduduk Barat di Syria dengan berkata: ‘Bagi setiap individu yang dipenggal oleh anggota militan kumpulan Negara Islam (IS), kita harus mengheret 10 lagi pengganas ke jalanan dan menyembelih mereka, memfilemkannya dan meletakkannya di Internet’.
Namun bagi sesetengah kes tertentu, pemilik akaun laman sosial yang bertanggungjawab memuatnaik status berunsur kesat itu tidak digantung, malah statusnya juga tidak dibuang, menurut satu laporan The Independent yang dipetik portal Mail Online.
Pengarah Faith Matters, pertubuhan yang mewujudkan talian bagi mangsa keganasan anti-Islam, Fiyaz Mughal berkata, beliau kecewa dengan laman-laman sosial itu yang tidak melaksanakan tindakan tegas berhubung penyebaran status berunsur menghasut tersebut.
“Tindakan Facebook dan Twitter yang enggan memadam status berbaur hasutan tidak boleh diterima dari segi moral,’’ katanya.
Facebook dalam pada itu mendakwa, pihaknya perlu ‘memastikan keseimbangan yang betul’ antara kebebasan bersuara dan mengekalkan ‘satu suasana yang dipercayai dan selamat’ manakala Twitter menegaskan bahawa, kesemua laporan yang melanggar peraturan laman sosial itu akan disiasat.
Sejak empat bulan lalu, kumpulan-kumpulan Islam telah mengumpulkan butiran tentang penyalahgunaan Internet dan melaporkannya kepada Facebook dan Twitter.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/imej-islam-tercemar-1.44531#sthash.3YDuM9tJ.dpuf

Sunday, January 4, 2015

Surat Tuntutan Pemulangan Wang Pampasan MBI Dihantar Esok


Diterbitkan: Ahad, 4 Januari 2015 6:51 PM
Azmin
Azmin Ali.

SHAH ALAM: Lapan bekas pegawai bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menerima surat tuntutan esok bagi pemulangan semula wang pampasan berjumlah RM2.6 juta yang telah dibayar kepada mereka.

Perkara itu disahkan oleh Perbadanan Menteri Besar (MBI) berikutan kenyataan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali semalam bahawa pihak pengurusan baharu perbadanan itu akan menghantar surat kepada lapan individu berkenaan sebagai peringatan untuk mengembalikan wang itu.

"Kesemua surat tuntutan (pemulangan semula wang pampasan) akan dihantar pada Isnin ini (esok)," kata wakil perbadanan itu ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Mohamed Azmin meminta kesemua lapan bekas pegawai MBI itu memulangkan semula wang pampasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat dikeluarkan kerana mendakwa pembayaran tersebut dibuat tanpa mengikut prosedur dan melanggar peraturan kewangan.

Menteri Besar berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat peguam.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa kesemua lapan individu itu akan tetap dibayar pampasan mengikut jumlah sepatutnya.

Sebelum ini, lapan pegawai kontrak bekas menteri besar yang dilantik oleh MBI dilaporkan menerima pampasan berjumlah sehingga RM2.6 juta, yang disifatkan oleh beberapa pihak termasuk Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad sebagai tidak munasabah.

Pembayaran itu dibuat pada akhir tempoh perkhidmatan bekas menteri besar itu sebelum Mohamed Azmin mengambil alih jawatan menteri besar pada 23 Sept tahun lepas.

Abdul Khalid sebelum ini dilaporkan berkata pembayaran pampasan kepada lapan bekas pegawai beliau dilakukan dengan mematuhi peraturan dan prosedur MBI. 

Banjir: Berhenti Beri Lesen Balak Selama 25 Tahun - Ibrahim Ali


Diterbitkan: Ahad, 4 Januari 2015 5:32 PM
 Datuk Ibrahim Ali
Ibrahim Ali.

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menyarankan agar pemberian lesen pembalakan dihentikan sekurang-kurangnya 25 tahun bagi mengelak banjir besar berulang.

Katanya kerajaan negeri terutama negeri-negeri yang berisiko banjir setiap tahun perlu melaksanakan langkah berkenaan bagi mengelak impak besar banjir ekoran kegiatan pembalakan yang berleluasa.

"Selagi ada pemberian lesen pembalakan, selagi itu ada kemusnahan hutan, selagi ada kawasan yang 'halal' untuk membalak, selagi itu ada kegiatan 'haram' pembalakan ini.
"Kita hanya salahkan pembalakan, kemusnahan hutan sebagai penyebab banjir setiap kali banjir berlaku, tapi pernah tak fikir, lesen membalak tu siapa yang bagi, yang luluskan?" katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Muhibah Perkasa bersama Orang Asli di Bukit Lagong di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan beberapa ahli akademik yang menjurus kemungkinan bencana banjir terburuk ketika ini mempunyai kaitan dengan kegiatan pembalakan dan kemusnahan hutan.

"Kita boleh hentikan sementara, 25 tahun sekurang-kurangnya, bagi muka bumi, tanah stabil. Lesen boleh diberikan kepada mereka yang benar-benar berkaitan dengan industri contohnya industri perabot sahaja.

"Lagipun saya rasa Malaysia tidak kurang pendapatan jika cukai balak ini tiada," katanya.

Sementara itu, Ibrahim melahirkan rasa terima kasih dan kagum terhadap kepimpinan dan ahli Perkasa seluruh negara yang telah bertungkus lumus mengumpul dan mengagih bantuan ke negeri-negeri terjejas akibat banjir.

Selain bantuan keperluan asas, Perkasa kini dalam proses mengumpul sumbangan berbentuk bahan binaan ringan seperti zink, simen dan papan bagi membantu membina semula rumah penduduk yang rosak sementara mereka mendapat bantuan untuk membina rumah baharu.

Setahun koma, perjuangan Schumacher belum selesai


Michael Schumacher
Michael Schumacher
SETAHUN koma, tiada pihak yang berani menyatakan bila legenda Formula 1, Michael Schumacher akan sedar semula, lapor Kompas.com.

Schumacher terbaring di hospital selama sembilan bulan sebelum diputuskan untuk menjalani rawatan di rumahnya.

Sejak itu banyak spekulasi yang tersebar mengatakan juara Formula 1 tujuh kali itu sudah sedar dan kian pulih.

Menjelang akhir tahun 2014, rumor itu kembali tersebar apabila sebuah akhbar Perancis melaporkan proses pemulihan Schumacher berjalan dengan baik.

Namun, pengurus Schumacher, Sabine Kehm yang selama ini menjadi jurucakap keluarga itu menjelaskan kepada ESPN F1 bahawa perkara itu memerlukan tempoh yang lama.

“Kita perlukan waktu yang lama...sangat lama dan juga kita perlu perjuangan yang kuat. Ada kemajuan dengan keadaan Schumacher.

“Saya tak boleh mengesahkan laporan tersebut. Saya hanya boleh memberitahu bahawa saya tidak tahu bila akhbar itu mendapatkan informasi tersebut kerana mereka tidak pernah bertemu dengan kami,” katanya.

Schumacher mengalami kecederaan parah di kepala selepas terjatuh dan terhentak di batu ketika bermain ski di pusat peranginan Pergunungan Alps, 29 Disember 2013 lalu.

Lauk ayam paling mahal


London: Sebuah keluarga terkejut apabila kesilapan pekerja di sebuah rangkaian restoran terkenal mengenakan bayaran £6,235.88 (RM34,000) untuk makan malam mereka.
Aurel Lupsa, 43, mengakui tidak menyedari kesilapan itu ketika membuat pembayaran secara elektronik di restoran Nando’s berhampiran rumahnya.
“Ini bukan kali pertama kami makan di situ, namun tidak pernah kami mengalami kejadian seperti ini. Silap saya sendiri juga kerana tidak memeriksa bil diberikan,” katanya.
Katanya, dia diberi bil untuk bayaran £62.35 (RM337) namun tidak perasan pelayan terbabit sebenarnya memasukkan jumlah 100 kali lebih tinggi daripada bayaran diperlukan ketika memproses kadnya.
“Sungguh tidak sangka makan malam paling mahal kami di Nando’s. Restoran itu mengakui kesilapan mereka dan berjanji menyiasatnya,” katanya ketika ditemui.
Jurucakap Nando’s berkata: “Kekeliruan itu memang tidak diduga atau disengajakan. Kami memohon maaf atas kejadian itu dan sudah membuat pembayaran semula.” - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 5:54 A
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/21383#sthash.qNdnaptr.dpuf

Patung mainan selebriti dijual AS$5,100



NOEL mengambil masa kira-kira tiga hari untuk menyiapkan sebuah patung Barbie yang diubah suai menyerupai wajah seorang selebriti. - Agensi


TUSTIN, California – Seorang artis seni Amerika Syarikat (AS) telah menghasilkan model patung mainan beberapa wajah sele­briti antarabangsa terkenal termasuk wajah kerabat diraja seperti mendiang Puteri Diana dan Kate Middleton.
Artis seni itu, Noel Cruz, 53, dari Tustin, California menghasilkan sendiri model patung mainan tersebut dengan menggunakan patung Barbie yang dibeli di kedai menjual permainan dan kemudian mengubah wajah kepada wajah bintang terkenal.
Antara wajah selebriti yang telah dihasilkan ialah mendiang Michael Jackson, Lady Gaga, Beyonce dan Jennifer Lopez yang dijual dalam laman lelongan eBay pada harga AS$5,100 (RM17,900).
“Saya memulakan minat ini selepas isteri saya menjadi seorang pengumpul koleksi anak patung selama beberapa tahun,” kata Noel yang memberitahu, beberapa anak patung berkenaan mempunyai wajah yang seakan-akan hidup.
Noel yang merupakan seorang pelukis potrait biasanya menghasilkan patung selebriti bintang filem terkenal seperti filem Lord of the Rings dan Harry Potter dan turut menghasilkan patung ­legenda seperti Marilyn Monroe dan Bette Davis.
“Saya tertarik untuk menghasilkan wajah selebriti kerana mudah untuk mendapatkan gambar mereka,” kata Noel yang memerlukan masa tiga hari untuk mengubah suai satu-­satu patung. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0104&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3NoE81nWx 
Hakcipta terpelihara 

Penerokaan tanah, pembalakan berleluasa ada kaitan rasuah


KUALA LUMPUR 3 Jan. – Masalah penerokaan tanah dan pembalakan yang berleluasa mempunyai kaitan dengan amalan rasuah kerana kemusnahan alam sekitar yang berlaku seolah-olah tiada langsung pemantauan daripada pihak berkuasa.
Nadzim Johan
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, bencana banjir besar yang berlaku di Pantai Timur boleh dielakkan sekiranya tindakan tegas diambil terhadap amalan rasuah dan pembalakan yang berlaku tanpa kawalan.
“Rasuah ini berlaku dalam banyak peringkat iaitu daripada peringkat kelulusan pemberian tanah sehinggga kepada peringkat pelaksanaannya iaitu pembalakan, sebab itu kerja-kerja yang dibuat tidak mempunyai sistem dan ditarah habis kawasan hutan begitu sahaja.
“Kerosakan alam sekitar yang berlaku ini bagai di luar kawalan, kita tengok sahaja di Sarawak yang kayu balak bernilai RM41.16 juta dirampas dan di Kota Tinggi, Johor pula hutan simpan seluas 39.94 hektar menjadi lokasi pembalakan haram,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas lanjut mengenai Laporan Eksklusif Utusan Malaysia kelmarin mengenai penerokaan hutan yang berleluasa menjadi antara penyumbang kepada banjir besar terutama di Kelantan dan Pahang ketika ini.
Menurut Nadzim, amalan ra­suah dalam kegiatan pembalakan melibatkan banyak pihak termasuk golongan ahli perniagaan, golongan ahli politik dan pegawai kerajaan berkaitan termasuk di Pejabat Tanah negeri dan daerah serta Jabatan Perhutanan.
“Dalam hal ini, kita perlu ada sistem aduan yang lebih efisyen dan rakyat juga perlu menjadi mata dan telinga kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar tindakan boleh dikenakan terhadap golongan yang tamak dan rakus ini,” kata­nya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands, R. Ramakrishnan berkata, beliau mencadangkan sistem penggiliran lokasi bertugas dilaksanakan terhadap ter­hadap pegawai di Pejabat Tanah dan Jabatan Perhutanan bagi menyekat perbuatan salah guna kuasa dan amalan ra­suah.
“Pegawai di Pejabat Tanah atau Jabatan Perhutanan tidak boleh berada di satu tempat terlalu lama kerana boleh mengundang penyelewengan. Selain itu, kerajaan kena betul-betul pantau terhadap apa yang berlaku di bawah untuk membendung masalah rasuah ini,” katanya.
Tegas beliau, inisiatif SPRM membuka pejabat di Cameron Highland untuk memantau penerokaan tanah secara haram boleh dijadikan contoh untuk agensi itu lebih agresif memantau kegiatan pembalakan dan penerokaan ta­nah yang mempunyai unsur rasuah di setiap negeri
“Kalau kita tidak serius untuk menangani masalah pembalakan dan penyelewengan ini, mereka yang akan menerima kesan adalah generasi akan datang kerana alam sekitar bakal musnah sekiranya kita tidak menjaganya dan memeliharanya dengan baik,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/penerokaan-tanah-pembalakan-berleluasa-ada-kaitan-rasuah-1.44185#sthash.tsCLqunf.dpuf

Siapa gondol Bukit Sungai Pinang?


Muhamad Farid Saad
Muhamad Farid Saad
PULAU PINANG 3 Jan. – Kerajaan DAP Pulau Pinang didesak menjelaskan kepada penduduk negeri ini mengenai status penerokaan hutan Bukit Sungai Pinang, Telok Bahang di sini yang semakin gondol.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad berkata, kerajaan negeri perlu mendedahkan sama ada kerja-kerja menarah bukit itu mendapat kebenaran dan diberikan permit serta pihak yang bertanggungjawab menerokanya.
Sambil melahirkan rasa kesal, Muhamad Farid berkata, puncak Bukit Sungai Pinang tidak sepatutnya diganggu kerana kesan penerokaan kawasan hutan di situ bakal memberi ancaman kepada penduduk di kawasan tersebut.
“Kesan kemusnahan hutan yang diteroka itu dapat dilihat dengan jelas dari arah Kampung Kuala Sungai Pinang sekali gus membimbangkan penduduk.
“Apa akan berlaku sekiranya hujan lebat? Sudah puas teguran dibuat kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang supaya kawasan bukit tidak dipotong. Tidakkah serik dengan kes banjir lumpur yang berlaku sebelum ini?” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Muhamad Farid, Kerajaan DAP Pulau Pinang sepatutnya mengambil pengajaran daripada kejadian bencana alam yang berlaku terhadap penduduk ekoran kerakusan menggondolkan Bukit Relau di sini sebelum ini.
Paling dikesalkan tambah beliau, kawasan hutan di Bukit Relau atau turut dikenali sebagai Bukit Botak sehingga kini masih gagal dibaik pulih sepenuhnya meskipun sudah bertahun-tahun usaha pemuliharaan dijalankan.
Sehubungan itu, beliau turut mempersoalkan bagaimana Kerajaan DAP Pulau Pinang mempraktikkan amalan Cekap, Akauntabiliti dan Telus seperti dilaungkan dalam pentadbiran mereka sedangkan boleh terlepas pandang kegiatan menggondolkan hutan di Bukit Sungai Pinang.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/siapa-gondol-bukit-sungai-pinang-1.44182#sthash.iJ273jaB.dpuf

Kemusnahan hutan punca banjir terburuk


KUALA LUMPUR 3 Jan. - Bencana banjir terburuk dan tanah runtuh yang berlaku ketika ini disahkan ada kaitan dengan kegiatan pembalakan dan kemusnahan hutan di beberapa tempat serta penerokaan tanah ha­ram di Cameron Highlands.
Mohamed Thajudeen Abdul Wahab
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata, tindak balas semula jadi itu pasti akan berlaku akibat kerakusan `tangan-tangan manusia’ sendiri kerana permukaan bumi kehilan­g­­an pelindung, daya pengikat dan cengkaman tanah, sekali gus mengakibatkan struktur tanah menjadi longgar dan cerun-cerun bukit tidak stabil.
“Banjir dan pembalakan memang ada kaitan. Kita lihat sendiri paras air naik amat luar biasa iaitu paling teruk selepas kejadian bencana banjir berlaku pada tahun 1967 dan 1971.
“Apa yang kita lakukan terhadap alam semula jadi ada tindak balas, jadi kita sendiri terima akibatnya,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Thajudeen memberitahu, operasi memusnahkan kebun sayur haram di Cameron Highlands akan dimulakan semula selepas kerja-kerja tersebut dihentikan seketika sejak 26 Disember lalu kerana kekangan cuaca tidak baik, selain keadaan jalan yang licin menyukarkan tugas pembersihan.
“Pihak kami akan bermesyuarat Selasa ini untuk melihat sama ada keadaan mengizinkan untuk kita meneruskan kembali tugas-tugas pemusnahan kebun sayur haram itu,’’ katanya.
Sementara itu, beliau berkata, MKN akan membuat taksiran kerugian secara keseluruhan akibat banjir besar yang melanda negara selepas keadaan pulih sepenuhnya.
Kata beliau, pihaknya akan menganalisis semua situasi termasuk nilai kemusnahan rumah penduduk bagi tujuan pembinaan semula membabitkan tiga kategori iaitu penilaian kemusnahan rumah secara total, rumah rosak yang tidak boleh diperbaiki dan rumah separuh rosak boleh diperbaiki.
Jelasnya, ini termasuk kerosakan kemudahan awam lain seperti dewan orang ramai, masjid, sekolah, jalan raya, jambatan dan sebagainya yang belum dapat dipastikan tahap kemusnahannya kerana masih ada tempat ditenggelami air.
“Pada ketika ini kita sudah pun membuat penilaian kerosakan rumah secara berperingkat-peringkat di tempat-tempat yang sudah pulih kerana keutamaan kita adalah membaik pulih rumah.
“Selepas keadaan semuanya pulih, kita akan mulakan kerja-kerja pembaikan dan menilai kerugian selewat-lewatnya dalam tempoh seminggu,’’ katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kemusnahan-hutan-punca-banjir-terburuk-1.44187#sthash.iB26CFYc.dpuf