Tuesday, July 28, 2015

The Edge mohon semakan penggantungan

mahkamah

KUALA LUMPUR - The Edge Media Group telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan semakan kehakiman berhubung keputusan Kementerian Dalam Negeri menggantung penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily.
 
Dalam kenyataan hari ini, The Edge Media Group berkata permohonan itu difailkan melalui peguamnya Raja, Darryl & Loh Advocates and Solicitors.
 
"Kami juga meminta agar permohonan itu didengar dengan kadar segera, tetapi kami tidak dapat memberi salinan afidavit permohonan kami itu sehinggalah kes ini didengar.
 
"Memandangkan perkara ini perlu disegerakan dan merupakan perkara kepentingan awam, kami harap mahkamah akan memberi kepada kami tarikhnya dengan segera," kata kenyataan itu.
 
Permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily digantung tiga bulan berkuat kuasa 27 Julai berkaitan laporannya tentang isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - Bernama

1MDB: DAP cadang ‘Selamatkan Malaysia’

1MDB
1Malaysia Development Berhad

KUALA LUMPUR – DAP mencadangkan satu rangka dasar ‘Selamatkan Malaysia’ dilaksanakan susulan skandal  1MDB yang didakwa akan merosakkan negara.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, rakyat Malaysia yang bersikap patriotik perlu memfokuskan kepada menyelamatkan Malaysia daripada skandal 1MDB.

“Inilah masanya pemimpin politik, tidak kira parti, bangsa, agama, umur atau gender mengetepikan perbezaan dan bersama merangka dan melaksanakan rangka dasar ‘Selamatkan Malaysia’.

“DAP dan semua kuasa politik progresif bersedia bertindak balas terhadap seruan ke arah ‘Selamatkan Malaysia’. Adakah gabungan besar ‘Selamatkan Malaysia’ boleh diadakan?,” katanya.

Kit Siang memberi bayangan siapakah yang sepatutnya mengetuai ‘Selamatkan Malaysia’.

“Di antara barisan progresif kedua-dua belah pihak (pembangkang dan kerajaan), oleh tiga Tun di Malaysia yang pernah menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri iaitu (Tun Dr) Mahathir (Mohamad), (Tun) Abdullah (Ahmad Badawi) atau (Tun) Musa Hitam atau oleh ketua pembangkang dari sebalik penjara Sungai Buloh, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada sudah memanjangkan jemputan itu kepada tiga Tun terbabit.

Dalam pada itu, Kit Siang turut mencabar semua menteri Kabinet agar menyatakan pendirian berhubung dakwaan penyaluran dana sebanyak RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Adakah semua menteri Kabinet bersedia membuat kenyataan umum mengenai kaitan mereka dengan RM2.6 bilion di dalam akaun bank Najib selepas mesyuarat Rabu ini?'' soal beliau.

Ditanya penglibatan Pas dalam kempen itu, Kit Siang berkata cukuplah masalah yang ditimbulkan parti itu.

Gani Patail ditamatkan tugas Peguam Negara

Abdul Gani Patail
Abdul Gani Patail

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI]  Perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara ditamatkan mulai 27 Julai atas sebab-sebab kesihatan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
 
Ali dalam satu kenyataan media hari ini berkata, Abdul Gani akan terus berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sehingga beliau bersara wajib pada 6 Okt 2015.
 
"Tan Sri Abdul Gani Patail telah banyak berjasa kepada negara selama beliau  memegang jawatan sebagai Peguam Negara. Saya bagi pihak Kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas khidmat bakti beliau dan berharap beliau sentiasa beroleh kesihatan yang memuaskan," katanya.
 
Sementara itu, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu berkuat kuasa semalam (27 Julai 2015).
 
Perlantikan Mohamed Apandi dibuat mengikut Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan dan telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.  
 
Mohamed Apandi berkelulusan LLB(Hons) Universiti of London dan Bar-At-Law, Inner Temple London serta telah mengikuti pengajian di Institute of Advanced Legal Studies, London.
 
Antara jawatan yang pernah dipegang beliau adalah sebagai Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Timbalan Pendakwa Raya bagi Kelantan dan Terengganu, Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia dan Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia. - Bernama

Najib jumpa Agong petanda rombakan Kabinet?

Pejabat Perdana Menteri
Pejabat Perdana Menteri.

SHAH ALAM - Rombakan Kabinet dijangka akan dilakukan dalam masa terdekat, susulan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak difahamkan sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
 
Menurut lapor akhbar Utusan hari ini, Najib bertemu Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan senarai rombakan kabinet.

Kedudukan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri tetapi beliau dijangka tidak memegang apa-apa kementerian.
 
Beberapa menteri dijangka akan digugurkan dan bertukar kementerian serta ada timbalan menteri yang disebut-sebut akan dilantik sebagai menteri penuh.
 
Difahamkan, Menteri Sumber Hijau dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel mungkin digugurkan susulan krisis yang sedang melanda MIC.
 
Pertukaran juga dijangka dibuat bagi jawatan Menteri Komunikasi dan Multimedia apabila Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dikatakan akan digantikan oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan.
 
Shabery dijangka akan bertukar ke portfolio lain.
 
Sementara itu, Utusan juga melaporkan bahawa seorang pemimpin Sabah akan dilantik menganggotai kabinet dan seorang timbalan menteri menjadi menteri penuh.

Muhyiddin: Pengundi sudah lebih daripada meluat

Muhyiddin: Pengundi sudah lebih daripada meluat
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Cheras semalam. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Mengakui agak 'takut' selepas video pertama kenyataannya berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi viral baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin malam tadi berkata, beliau harus berpegang kepada kata-kata, 'berkata benar biar pun pahit'. 
 
Kenyataan terbaharu itu merujuk kepada andaian sekiranya Parlimen dibubarkan pada masa ini, Barisan Nasional katanya tidak akan menang berlandaskan senario politik hari ini.
 
"Kalau ikut kata hati saya, kalau esok pilihan raya, kita tak mungkin boleh menang. Sudah ada asas-asas kajian yang dibuat banyak pihak yang menunjukkan adalah amat sukar untuk Barisan Nasional menang pada PRU  akan datang.
 
"... Tetapi kalau dikata kalah, tetapi masih tak kalah, betul tak? Bagi saya satu hikmah yang ALLAH  beri kepada kita selepas PRU  lalu tahun 2008 Pak lah pimpin parti, kita dapat undi yang lebih rendah dan jumlah 140 kerusi (saya tak berapa ingat) tetapi saya bimbang ia berterusan bukan nak ulang cerita lama.
 
"Kalau- kalau tidak ada perubahan kepimpinan, undi kita akan terus merosot sebab itu saya gerakkan satu usaha dengan niat ikhlas untuk terus parti kita kekal berkuasa dapat sokongan kita angkat Najib jadi PM dengan kemenangan 133 kerusi, orang kata merosot, tetapi kalau Pak lah ambil mungkin jadi 120 atau  lebih kurang daripada itu, nasib baik kita masih selamat," katanya semasa berucap pada majlis penutup mesyuarat Umno  Bahagian Cheras di Kuala Lumpur pada Ahad malam.
 
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, oleh itu adalah menjadi tanggungjawab ahli Umno untuk melihat perkembangan ini kerana situasi semasa tidak memihak kepada parti itu.
 
"... tetapi trend itu sudah menurun , tidak lagi lebih dua pertiga, hanya jumlah kerusi majoriti mudah.
 
"Kalau begitu keadaannya menjadi satu perkara yang paling penting dalam Perhimpunan Agung Umno sama ada di bahagian, sayap Umno, untuk melihat apa hal yang sudah berlaku dalam parti, perkembangan dalam kerajaan dan dalam negara kita yang menyebabkan sentimen yang saya sebut tadi hampir berada dalam keadaan sebahagian besar rakyat tidak menjadi pengundi kita, kenapa berlaku? Saya rasa ini lebih daripada meluat, ini bukan saya sebut," kataya.

Tangan terjulur dari dinding tandas

Hong Kong: Seorang pengunjung yang menggunakan tandas di lapangan terbang Hong Kong terkejut selepas melihat tangan manusia tiba-tiba terjulur keluar dari dinding.
Tangan itu terjulur keluar dari alat pengesan yang digunakan untuk mengepam tandas secara automatik.
Walaupun terkejut lelaki berkenaan sempat merakamkan gambar tangan itu sebelum memuat naiknya di Internet baru-baru ini.
Gambar itu menjadi viral dalam tempoh beberapa hari dan orang ramai membuat pelbagai andaian bagaimana tangan itu boleh terjulur dari alat berkenaan.
Beberapa pengguna Internet percaya kemungkinan pekerja sedang menyelenggara alat pengesan berkenaan.
Sebilangan lagi pengguna mengatakan kemungkinan kejadian itu satu gurauan.
Sehingga kini lapangan terbang Hong Kong tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung gambar berkenaan.
Gambar itu bukanlah kejadian pelik pertama berlaku di lapangan terbang Hong Kong.
Pada Mac lalu, gambar seorang pelancong China memasak nasi di ruangan menunggu selepas terlepas penerbangannya menjadi viral di Internet. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 7:15 AM


TANGAN manusia yang dirakamkan terjulur keluar dari alat pengesan di sebuah tandas di lapangan terbang Hong Kong.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66663#sthash.xUFmZgvG.dpuf

Peluk orang kumpul duit bedah anak

Beijing: Seorang ibu muda dilihat beberapa kali menjual pelukannya di sebuah stesen kereta api bawah tanah yang sibuk di Chongqing dalam usaha mengutip wang bagi pembedahan anak perempuannya yang menghidap leukemia.
Chen Dejuan, 28, dilihat di stesen itu baru-baru ini memegang papan tanda kecil yang tertulis: “Menjual pelukan - 10 yuan (RM6) setiap satu.”
Di sebelahnya anak perempuannya berusia empat tahun, Nana yang membawa alat bantuan pernafasan dan hampir botak.
Chen berkata, dia berasal dari Guangdong manakala suaminya penduduk tempatan.
Kedua-duanya bekerja di Shandong dan baru mendapat tahu mengenai penyakit Nana Mei lalu selepas kanak-kanak itu jatuh dan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.
Nana mendapat rawatan di empat hospital berbeza di Shandong, tetapi Chen dan suaminya memutuskan untuk menghantarnya ke Chongqing.
Setakat ini merek menghabiskan simpanan 70,000 yuan (RM43,000) selain meminjam wang untuk rawatan Nana sejak beberapa bulan lalu.
Chen berjaya mengutip derma 600 yuan (RM370) dalam tempoh sejam.
Ada yang menawarkan wang manakala ada juga yang membuat pemindahan secara elektronik selepas membaca kisahnya di Internet.
Chen berkata, itu usaha terakhirnya kerana dia dan suami semakin terdesak.
“Memang tindakan saya ini memerlukan keberanian,” katanya.
Seorang jururawat di Chongqing mengesahkan keadaan Nana selain mengaku kanak-kanak itu mendapat rawatan di hospital berkenaan.
Kisah puluhan ibu bapa yang berpendapatan rendah semakin tersebar di Internet melakukan apa saja semata-mata mahu mengumpulkan wang untuk anak yang sakit.
April lalu, seorang pengemis di Anhui dilaporkan memakai kostum kuda dan menawarkan orang menunggangnya dengan harga AS$1 (RM3.80) untuk mengumpulkan wang bagi anaknya yang menghidap leukemia.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 7:02 AM


CHEN dilihat bersama Nana (duduk, kanan).
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66654#sthash.6DXBZr3B.dpuf

Adiwira bela hak penjalan kaki

Mexico City: Pejalan kaki di bandar raya ini dihebohkan dengan aksi seorang lelaki bertopeng seperti adiwira yang berjuang membela hak mereka.
Dengan menggelar dirinya Peatonito atau Pejalan Kaki Kecil, dia menolak kereta yang menghalang laluan untuk pejalan kaki, membuat tempat menyeberang dengan menyembur cat pada jalan raya dan memanjat kenderaan yang diletakkan sesuka hati di tepi jalan - walaupun ibunya merayu supaya dia berhenti berbuat demikian.
“Ramai yang gembira dengan tindakan saya kerana mereka akhirnya mempunyai orang yang berjuang untuk nasib dan hak mereka,” kata Peatonito dengan wajahnya dilindungi topeng berjalur hitam putih yang dijahit neneknya.
Menurutnya, keselamatan pejalan kaki di bandar raya itu semakin sukar kerana ‘dijajah’ kenderaan dan pemiliknya yang mementingkan diri sendiri.
“Tidak ada orang yang membela nasib pejalan kaki sebelum ini,” kata Peatonito.
Mexico City mempunyai 21 juta penduduk dan lebih 4 juta kenderaan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 7:31 AM


LELAKI yang menggelar dirinya Peatonito menolak kereta yang menghalang laluan pejalan kaki di Mexico City.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66433#sthash.TsU1kPhW.dpuf

Makkah mula sepi

Makkah: Selepas kepulangan hampir 90 peratus jemaah umrah sejak beberapa hari lalu, bandar raya suci ini kini semakin sepi.
Pegawai Kementerian Haji Hatem bin Hassan Al-Qadi berkata, 5,384,943 warga asing yang datang menunaikan umrah pada Ramadan lalu meninggalkan kota suci itu sehingga kelmarin.
“Jemaah yang masih berada di sini, menanti masa untuk pulang, hanya tinggal 331,026 orang. Mereka perlu meninggalkan negara ini menjelang 31 Julai. Bagi jemaah individu, mereka mempunyai masa sehingga 15 Ogos untuk berbuat demikian,” katanya.
Menurut Hatem, pihaknya mampu mengesan jemaah yang tidak berbuat demikian menerusi program elektronik.
Sementara itu, keadaan sesak dilapor berlaku di Lapangan Terbang King Abdul Aziz dengan ratusan jemaah terpaksa duduk di lantai di dewan menunggu dan di luar bangunan untuk menunggu penerbangan membawa mereka pulang.
Pihak berkuasa lapangan terbang menguruskan 33,000 penerbangan yang membawa lebih lima juta jemaah sepanjang Ramadan lalu.
Kesepian Makkah dapat dilihat pada solat Jumaat lalu dengan banyak ruang kosong di Masjidil Haram.
Dalam pada itu, Ketua Majlis Dua Masjid Suci Abdul Rahman Al-Sudais berkata, pembesaran Masjidil Haram memberi kesan besar kepada keselesaan jemaah menunaikan ibadah sepanjang Ramadan.
Pemerintah Pasukan Keselamatan Masjidil Haram Brigadier Jeneral Mohammad Wasl Al-Ahmadi pula berkata, semua rancangan keselamatan yang diatur untuk jemaah pada bulan puasa itu berjaya dilaksanakan.
Pihak berkuasa Arab Saudi kini bersiap sedia menyambut kedatangan jemaah haji pula.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 7:35 AM


GAMBAR fail menunjukkan keadaan di Masjidil Haram pada 15 Julai lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66442#sthash.cGx2eDKR.dpuf

Fasa ketiga pembesaran Masjidil Haram diteruskan

Makkah: Majlis Hal Ehwal Dua Masjid Suci semalam menutup pintu masuk Raja Abdul Aziz di Masjidil Haram bagi meneruskan fasa ketiga projek pembesaran kawasan tawaf.
Fasa itu, termasuk pembinaan permukaan bahagian selatan masjid berkenaan untuk menghubungkannya dengan kawasan saie.
Ketua Pengarah projek Sultan Al-Qarshi dipetik sebagai berkata, kerja itu akan diteruskan hingga pertengahan bulan depan dan akan dilakukan 24 jam sehari bagi membolehkan sebahagiannya siap menjelang musim haji.
Apabila siap kelak, ia akan memudahkan jemaah melakukan tawaf.
Raja Salman baru-baru ini melancarkan lima projek untuk membesarkan Masjidil Haram yang kini memasuki fasa ketiga.
Pintu masuk utama bangunan masjid itu terdiri daripada tiga laluan masuk. Ia juga mempunyai tiga tingkat dengan keluasan lantai 320,000 meter persegi bagi memuatkan 300,000 jemaah. Aras bawah yang seluas 175,000 meter persegi pula mampu memuatkan 330,000 jemah.
Projek pembesaran Masjidil Haram turut menyaksikan pembinaan lima terowong pejalan kaki.
Apabila siap sepenuhnya, Masjidil Haram mampu menampung lebih 1.6 juta jemaah pada bila-bila masa dengan 78 laluan masuk mengeliling masjid berkenaan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 7:34 AM


PEMANDANGAN di sekeliling Masjidil Haram ketika ini.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66440#sthash.iWTLCRGP.dpuf

Penemuan al-Quran tertua dipertikai


MEKAH 27 Julai - Pakar sejarah dan manuskrip menyuarakan keraguan mereka terhadap dakwaan Universiti Birmingham, baru-baru ini bahawa mereka menemui salinan al-Quran tertua di dunia.
Laman web Saudi Gazette memetik kenyataan seorang pakar se­perti yang dilaporkan oleh Makkah Daily, semalam sebagai berkata, manuskrip berkenaan berkemungkinan besar ditulis selepas zaman Nabi Muhammad SAW, berdasarkan kepada beberapa faktor.
Pakar manuskrip, Abdul Sattar Al-Halouji berkata, berdasarkan situasi semasa, dakwaan universiti tersebut tidak lebih hanya mahu meraih publisiti.
Menurutnya, kulit haiwan yang digunakan kelihatan sudah lama, namun ayat-ayat al-Quran tersebut mungkin ditulis kemudian.
“Tidak dapat dipastikan sama ada ayat-ayat itu ditulis ketika zaman Rasulullah atau tidak. Pihak universiti sepatutnya menjalankan kajian terhadap dakwat yang digunakan dan bukannya mengkaji usia kulit haiwan.
“Ayat al-Quran itu berkemungkinan ditulis pada zaman Saidina Uthman bin Affan yang menjadi khalifah beberapa tahun selepas kewafatan baginda. Pada zaman Nabi Muhammad SAW, al-Quran tidak disusun rapi seperti sekarang, selain itu tiada dakwat warna digunakan ketika itu,” jelas Abdul Sattar.
Pengetua Perpustakaan Universiti Umm Al-Qura, Adnan Al-Sharif berkata, terdapat banyak keraguan terhadap dakwaan Universiti Birmingham itu, termasuk tentang pemisahan antara ayat bismillah dengan surah.
“Salah satunya adalah dakwat merah yang digunakan untuk memisahkan antara bismillah de­ngan surah Mariam dan Taha. Pemisahan ini tidak berlaku pada zaman Rasulullah dan jelas sekali salinan berkenaan dihasilkan bukan pada zaman junjungan besar (masih hidup),” ujarnya.
Tambah Adnan, ujian radio karbon yang dijalankan ke atas al-Quran tersebut hanya dapat memberi maklumat tentang dekad kewujudannya dan bukan tahun penghasilannya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/penemuan-al-quran-tertua-dipertikai-1.117769#sthash.49Ml8MjS.dpuf

Monday, July 27, 2015

Rusia dijangka veto resolusi Malaysia


GAMBAR FAIL bertarikh 17 Julai 2014 menunjukkan seorang anggota pemisah pro-Rusia berdiri di atas serpihan pesawat MH 17 di wilayah Donetsk, Ukraine. - REUTERS


WASHINGTON – Satu resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mendakwa pihak bertanggungjawab menembak jatuh Penerbangan Malaysia MH17 di timur Ukraine dipercayai akan disekat oleh Rusia menggunakan kuasa vetonya, ujar beberapa diplomat Barat kelmarin.
Malaysia, Belanda, Australia, Ukraine dan Belgium sebelum ini meminta sebuah tribunal antarabangsa menyiasat nahas pesawat jenis Boeing 777-200 itu yang mengorbankan 298 orang pada Julai tahun lepas.
Malaysia sudah mengagihkan draf resolusi itu dan meminta supaya proses pengundian dibuat pada Rabu ini, ujar diplomat-diplomat berkenaan.
Resolusi tersebut memerlukan semua negara berkerjsama dengan tribunal khas tersebut atau berdepan sekatan.
Namun, Rusia tetap membangkang keras isu tersebut dan berkemungkinan besar akan menggunakan kuasa veto untuk menghalang pengundian tersebut, kata seorang diplomat daripada Majlis Keselamatan.
Rusia membantah penubuhan tribunal tersebut dan sebaliknya meminta siasatan tragedi MH17 yang sedang berjalan disiapkan dengan keputusannya dijangka diumumkan pada Oktober depan.
Rusia juga telah merangka satu resolusi alternatif yang tidak melibatkan tribunal tetapi meminta satu siasatan antarabangsa menyeluruh dilakukan berhubung nahas MH17. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0726&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3h4FQmDEl 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, July 26, 2015

Pas sedia berpisah dengan PKR


Ikut haluan sendiri jika pakatan terbubar

KUALA LUMPUR 25 Julai - Pas bersedia meninggalkan PKR sekiranya sekutunya itu menyertai pakatan pembangkang baharu bersama DAP dan Gerakan Harapan Baru (GHB).
HARON DIN
Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din berkata, pendirian PKR tentang penubuhan pakatan pembangkang baharu seperti yang diumumkan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggambarkan seolah-olah parti itu ingin memutuskan hubungan dengan Pas.
Menurut beliau, sekiranya penubuhan pakatan pembangkang baharu itu menjadi kenyataan, Pas tidak akan membantah tindakan tersebut.
“Dengan keputusan itu maka akan terputuslah hubungan antara kedua-dua parti dan masing-masing bakal meneroka jalan sendiri selepas terbubarnya pakatan pembangkang.
“Kalau mereka hendak me­nu­buhkan parti baharu, saya ucapkan selamat maju jaya,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Anwar dalam satu kenyataan baru-baru ini membayangkan tentang penubuhan pakatan baharu yang merangkumi semua kumpulan progresif termasuk Bersih, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan GHB.
Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan, Pas tidak akan dilibatkan dalam pakatan baharu tersebut atas alasan parti berkenaan ‘menjadi punca kematian pakatan pembangkang’ sebelum ini.
Haron menambah, pakatan pembangkang sebenarnya mulai retak sebaik sahaja DAP memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan langkah serupa diikuti oleh DAP Sarawak.
“Penting untuk saya sebut perkara ini kerana akhir-akhir ini orang kata Pas yang menjadi punca terburainya pakatan pembangkang,” jelasnya.
Beliau juga yakin Pas akan tetap berdiri teguh di atas landasan perjuangan menegakkan Islam walaupun kumpulan serpihannya akan menubuhkan parti baharu melalui wadah GHB.
Haron memberitahu, keyakinan itu adalah bersandarkan kepada firman Allah SWT dalam surah Al-Ra’d ayat 17 yang bermaksud:
“Allah memberi perbandingan untuk mengetahui siapa yang hak dan siapa yang batil, ada pun buih akan pergi tanpa kekuatan dan hilang tersisih daripada wujud dan apa yang bermanfaat kepada manusia, maka akan kekal teguh sepanjang zaman.”
Beliau berkata, situasi seru­pa pernah dialami Pas apabila kumpulan-kumpulan serpihannya me­ning­galkan parti untuk me­­nubuhkan Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim).
“Semoga GHB tidak tinggal harapan sahaja dan masa akan menentukan. Jika umur kita panjang, kita akan melihat apa yang berlaku seterusnya,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/pas-sedia-berpisah-dengan-pkr-1.116946#sthash.rDQW57L8.dpuf

Saturday, July 25, 2015

Jangan sebut gaji haram, anda yang kecewakan rakyat, kata Mujahid kepada PAS

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pelbagai isu termasuk makan gaji haram sengaja dimainkan pihak tertentu bagi menyerang Gerakan Harapan Baru. – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 Julai, 2015.

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pelbagai isu termasuk makan gaji haram sengaja dimainkan pihak tertentu bagi menyerang Gerakan Harapan Baru. – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 Julai, 2015.


Kalau dengan menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB), ia membuatkan gaji wakil rakyat PAS haram, bagaimana pula dengan gaji mereka yang hanya mendiamkan diri apabila Pakatan Rakyat (PR) tumbang, soal Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu, yang kini pengerusi protem GHB Pulau Pinang, menuduh kepimpinan PAS gagal mengambil berat mengenai rakyat dan gabungan pembangkang.

Beliau bertanya, tidakkah itu bermakna gaji mereka juga haram kerana turut mendapat manfaat daripada sekutu mereka dengan PR sebelum ini.



Mujahid berkata, isu dimainkan bagi menentang GHB, yang dibentuk satu kumpulan serpihan PAS, dan surat khabar arus perdana seperti Utusan Malaysia, digunakan bagi menyerang gerakan baharu itu.
"Sesuatu yang menyedihkan apabila ada orang daripada parti, yang merupakan sebahagian PR, kini menyerang gerakan baharu ini.

"Mereka membuat kenyataan tidak logik, contohnya wakil rakyat yang menyertai GHB makan gaji haram kerana mereka menang pilihan raya atas tiket PAS.

"Saya ingin bertanya mereka, adakah gaji wakil rakyat yang gagal menjaga rakyat dan yang menyerang PR juga haram?

"Saya ingin bertanya, adakah mereka menang pilihan raya kerana PR atau hanya kerana mereka daripada PAS?" soalnya pada rumah terbuka Hari Raya Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) dan GHB di Komtar, Pulau Pinang malam tadi.

Mujahid berkata, calon PAS yang menang pada pilihan raya umum 2008 dan 2013 berhutang kemenangan mereka kepada PR, memetik kemenangan sendiri di Parit Buntar sebagai contoh.

Ahli Parlimen dua penggal itu berkata, 26,000 undi dan majoriti 8,000 yang diperolehinya bukan semata-mata kerana PAS.

Beliau berkata, hanya terdapat 4,000 ahli PAS di Parit Buntar, dan paling banyak pun, jika tiada seorang pun daripada mereka mengundinya, beliau masih dapat mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 8,000 kerana sokongan yang dia dapat dengan menjadi sebahagian daripada PR.

"Fikirkanlah. Ia merupakan satu fakta yang undi itu bukan saja datang dari PAS. Adakah saya mendapat gaji dan elaun saya secara haram?

"Hati-hati sebelum mengeluarkan fatwa menuduh orang lain makan wang haram," katanya.

Mursyidul am PAS Datuk Haron Din sebelum ini berkata, wakil rakyat parti itu yang menyokong GHB menikmati gaji dan elaun yang diperolehi secara haram kerana mereka memenangi kerusi mereka atas tiket PAS.

Beliau berkata mereka yang dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya itu mengangkat bai'ah untuk setia dan tidak mengkhianati parti, dan menasihatkan mereka berhati-hati kerana janji itu dibuat dengan nama Allah.

"Saya menasihatkan pihak yang berbaiah supaya merenung sedalam-dalamnya kehendak baiah itu kerana mereka berbaiah dengan Allah.

"Jika berlaku khianat, mereka khianat dengan Allah. Lebih-lebih lagi dalam baiah yang menyebut soal elaun dan gaji kerana ia haram dimakan jika berlaku pelanggaran baiah," beliau dipetik berkata akhbar Berita Harian semalam.

Mujahid, bagaimanapun, memberi amaran supaya tidak bermain dengan agama dan ajarannya atau berdepan risiko menimbulkan persepsi yang salah tentang Islam.

Beliau berkata, tidak wajar mempermainkan sesuatu yang mempunyai kaitan dengan agama dan undang-undang tanpa pengetahuan dan pemahaman yang betul, membuatkan orang lain memandang serong kepada Islam.

Menyangkal dakwaan pengkritik GHB, beliau berkata, Allah hanya mengambil janji yang dibuat dengan bersungguh-sungguh, bukan yang dibuat dengan sia-sia.

Namun, katanya, sekiranya seseorang melanggar sumpahnya, dia boleh membayar denda (kaffarah) dengan memberi makan atau pakaian kepada 10 orang miskin, atau berpuasa selama tiga hari.

"Nabi juga berkata jika ada sesuatu yang lebih baik daripada sumpah yang lebih awal, seseorang itu perlu memilih untuk memenuhi perkara yang yang lebih baik itu dengan membayar denda yang diperlukan.

"Inilah apa yang kita (GHB) cuba lakukan, bukan untuk kesejahteraan kita sendiri tetapi untuk kepentingan semua orang di negara ini.

"Ajaran Islam tidak bermaksud untuk membebankan rakyat... Walaupun sumpah dilanggar, ia tidak bermakna seseorang itu hilang kepercayaan atau mati kerana kejahilan," katanya.

Terdahulu, ketika berucap kepada pengunjung di rumah terbuka itu, Mujahid berkata perjuangannya kini adalah terhadap sebuah kerajaan yang korup.

Beliau berkata, penggantungan tiga bulan The Edge dan The Edge Financial Daily berhubung pendedahan penerbitan itu mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan sekatan perjalanan yang dikenakan terhadap ahli parlimen DAP Tony Pua dan beberapa orang lain, tidak boleh diterima. – 25 Julai, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/jangan-sebut-gaji-haram-anda-yang-kecewakan-rakyat-kata-mujahid-kepada-pas#sthash.uc67Hq7o.dpuf

Berbekal RM15 balik kampung

Port Dickson: Hanya berbekalkan RM15, seorang ibu nekad membawa dua anaknya menaiki sebuah motosikal dari Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung halaman di Tebrau, Johor selepas mendakwa ditinggalkan suami.
Difahamkan, Normaliza Mustafa, 36, bersama suami dan dua anak lelaki Muhamad Shariz Daniel Abdullah, 11, dan Muhamad Shafiz Daniel, 10, hidup sebagai gelandangan di ibu kota, sejak dua tahun lalu.
Bagaimanapun, suami yang berusia 37 tahun dikatakan menghilangkan diri sebelum Ramadan lalu dan gagal dikesan sehingga kelmarin, menyebabkan dia membuat keputusan membawa dua anak lelakinya itu pulang ke kampung untuk memulakan kehidupan baru.
Tiga beranak terbabit menaiki motosikal Honda Wave menempuh perjalanan sejauh 90 kilometer melalui Sepang sebelum terpaksa berhenti di Surau Al Hijrah Bandar Springhill dekat sini, selepas kehabisan petrol dan tiada wang.
Mengimbau kembali kisah hidupnya, Normaliza, suami dan anak sememangnya menetap di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Desa Mutiara, Tebrau, Johor sebelum datang ke Kuala Lumpur pada Oktober 2013 untuk ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya bagi menguruskan surat beranak anak.
Namun, sebaik tiba di ibu kota, pelbagai dugaan ditempuhi kerana tiada tempat tinggal dan dua anaknya iaitu Nordiana Shafiza, 12, yang ketika itu berusia 10 tahun manakala Shafiz baru berusia lapan tahun hilang.
Dengan bantuan pelbagai pihak, kedua-dua anaknya itu ditemui semula sebulan kemudian sebelum keluarganya dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk menempatkan empat anaknya di sebuah rumah kebajikan di Cheras, Kuala Lumpur, sementara dia dan suami mencari kerja.
“Lebih dua tahun kami hidup merempat. Saya mempunyai enam anak berusia 11 bulan sehingga 12 tahun, tetapi empat daripadanya saya tempatkan di sebuah rumah kebajikan kerana tidak mampu. Saya mengambil upah membasuh pinggan di beberapa restoran dan kadangkala mengemis demi sesuap nasi.
“Secara tiba-tiba suami menghilangkan diri beberapa hari sebelum menyambut Ramadan. Saya cuba mencarinya tetapi gagal, mungkin dia sudah tidak sanggup lagi hidup susah dengan saya,” katanya ketika ditemui di Surau Al Hijrah, malam kelmarin.
Normaliza, Shariz dan Shafiz tiba di surau berkenaan kira-kira jam 8 malam sebelum dibantu jemaah surau yang membuat kutipan dan berjaya mengumpulkan lebih RM200 untuk membantu tiga beranak terbabit meneruskan perjalanan.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 8:43 AM


NORMALIZA bersama dua anaknya hanya menaiki motosikal dari Kuala Lumpur ke Tebrau.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65815#sthash.lEKmgIpI.dpuf

Ahli Parlimen susukan bayi cetus kontroversi


Tindakan ahli Parlimen Argentina, Victoria Donda Perez menyusukan
TINDAKAN ahli Parlimen Argentina, Victoria Donda Perez menyusukan bayinya ketika sidang Parlimen baru-baru ini, mengundang kontroversi apabila ada pihak merasakan aksi itu kurang sopan. AGENSI
BUENOS AIRES 24 Julai - Naluri seorang ibu tidak akan dapat disembunyikan, walau dalam situasi apa sekalipun, dan keadaan itu dibuktikan oleh seorang anggota Parlimen wanita di Argentina, yang sanggup melakukan apa sahaja demi anak kecilnya yang kelaparan, walaupun perbuatannya itu memalukan dirinya sendiri.
Portal Mail Online melaporkan, anggota Parlimen berkenaan, Victoria Donda Perez, bertindak ‘membuka bajunya’ di Parlimen, di sini awal bulan lalu ketika dewan bersidang semata-mata untuk menyusukan anak perempuannya yang berusia lapan bulan.
Bagaimanapun tindakan Perez, 37, mengundang kritikan pelbagai pihak yang menganggapnya tidak sesuai pada majlis rasmi.
Beberapa keping gambar Perez sedang menyusukan bayinya di Parlimen tersebar di media sosial awal bulan ini dan menimbulkan keadaan kurang selesa, namun tidak kurang juga yang memuji sikapnya yang sanggup melakukan apa sahaja demi anaknya.
Perez yang asalnya seorang aktivis hak asasi dan juga seorang peguam, muncul sebagai wanita pa­ling muda dipilih menjadi nggota Kongres Kebangsaan Argentina pada 2007 dan sejak itu, ahli politik itu dikenali sebagai ‘Dipusex’ atau anggota Parlimen seksi.
Seorang wanita yang dikenali sebagai Juana melahirkan rasa kagum dengan sikap Perez itu di Twitter,
“Saya mengagumi Perez kerana ramai ibu muda hari ini sanggup meninggalkan anak mereka, walaupun masih menyusu badan sedangkan mereka mengetahui susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi,” tulisnya.
Ada juga pengguna media sosial yang tidak selesa dengan tindakan Perez yang dianggap kurang sopan.
“Anda sepatutnya lebih sopan walaupun mahu menyusukan bayi,” ujar Zuzanne.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ahli-parlimen-susukan-bayi-cetus-kontroversi-1.116613#sthash.NqsVl3rd.dpuf

MH370 akan dijumpai - Australia


kehilangan pesawat MH370 turut mendapat perhatian negara India,
KEHILANGAN pesawat MH370 turut mendapat perhatian negara India, apabila satu ukiran pasir bertemakan jet penumpang tersebut dihasilkan di Pantai Puri, kira-kira 65 kilometer dari Bhubaneswar pada 14 Mac tahun lalu. AFP
SYDNEY 24 Julai – Biro Keselamatan Pengangkutan Australia berikrar pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang di Lautan Hindi sejak 8 Mac tahun lepas akan ditemukan dalam tempoh setahun.
Laman web Ekspress melaporkan, pegawai biro tersebut yang mengetuai operasi mencari pesawat berkenaan, Martin Dolan melahirkan keyakinan bangkai pesawat berkenaan akan ditemukan tidak lama lagi.
“Apabila kami mulakan operasi dan mendefinisikan kawasan mencari, jelas operasi ini akan memakan masa dalam tempoh dua tahun.
“Kami masih yakin pesawat itu akan dijumpai menjelang tahun depan,’’ katanya.
Beliau berkata, semua analisis yang telah dilakukan menempatkan pesawat MH370 berkenaan dalam zon mencari tersebut.
“Kami tiada maklumat lain yang membenarkan kami untuk melibatkan kawasan lain dan kerajaan menerima keputusan ini,’’ katanya.
Misi pencarian setakat ini telah meliputi separuh daripada zon seluas 120,000 kilometer persegi dengan operasi di baki kawasan tersebut dijangka dilakukan pada tahun depan.
Terdapat sejumlah teori menyatakan lokasi pesawat tersebut hilang termasuk di Teluk Bengal selepas penduduk Maldives melihat sebuah pesawat terbang rendah ketika kehilangan pesawat MH370.
Bagaimanapun, Dolan menolak semua teori berkenaan dan menyatakan semua maklumat menunjukkan pesawat MH370 berada di zon kawasan pencarian.
Kehilangan pesawat Boeing 777 yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hari ini memasuki hari ke-500.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mh370-akan-dijumpai-australia-1.116604#sthash.etdlANnV.dpuf