KUALA LUMPUR – DAP mencadangkan satu rangka dasar ‘Selamatkan Malaysia’ dilaksanakan susulan skandal  1MDB yang didakwa akan merosakkan negara.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, rakyat Malaysia yang bersikap patriotik perlu memfokuskan kepada menyelamatkan Malaysia daripada skandal 1MDB.

“Inilah masanya pemimpin politik, tidak kira parti, bangsa, agama, umur atau gender mengetepikan perbezaan dan bersama merangka dan melaksanakan rangka dasar ‘Selamatkan Malaysia’.

“DAP dan semua kuasa politik progresif bersedia bertindak balas terhadap seruan ke arah ‘Selamatkan Malaysia’. Adakah gabungan besar ‘Selamatkan Malaysia’ boleh diadakan?,” katanya.

Kit Siang memberi bayangan siapakah yang sepatutnya mengetuai ‘Selamatkan Malaysia’.

“Di antara barisan progresif kedua-dua belah pihak (pembangkang dan kerajaan), oleh tiga Tun di Malaysia yang pernah menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri iaitu (Tun Dr) Mahathir (Mohamad), (Tun) Abdullah (Ahmad Badawi) atau (Tun) Musa Hitam atau oleh ketua pembangkang dari sebalik penjara Sungai Buloh, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada sudah memanjangkan jemputan itu kepada tiga Tun terbabit.

Dalam pada itu, Kit Siang turut mencabar semua menteri Kabinet agar menyatakan pendirian berhubung dakwaan penyaluran dana sebanyak RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Adakah semua menteri Kabinet bersedia membuat kenyataan umum mengenai kaitan mereka dengan RM2.6 bilion di dalam akaun bank Najib selepas mesyuarat Rabu ini?'' soal beliau.

Ditanya penglibatan Pas dalam kempen itu, Kit Siang berkata cukuplah masalah yang ditimbulkan parti itu.