Thursday, October 29, 2015

Pakatan Harapan, bas ekspres tak sampai destinasi - Hadi Awang


AHLI Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika sidang media di lobi Dewan Rakyat. - Foto Yazit Razali
KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan Pakatan Harapan umpama bas ekspres yang tidak sampai ke destinasinya.
Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata partinya akan terus menjadi pembangkang yang beradab dan berakhlak berlandaskan Islam.
"PAS tidak akan sertai sebarang langkah yang tidak bersandarkan Islam dan matlamat kerana tidak mahu menaiki bas ekspres yang tidak sampai ke destinasinya.
"Apabila tidak sampai, kita pulak kena jalan kaki jauh ...sudah tiada harapan dengan harapan yang tidak sampai destinasi ...naik bas ekspres pergi Kuantan tapi guna jalan ke Kuala Lipis maka mana boleh sampai," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Rakyat di sini, pagi ini.

Pemimpin PAS Sabah sertai AMANAH




BEKAS Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah
SANDAKAN: Beberapa pemimpin dan anggota PAS di negeri ini yang diketuai Hamzah Abdullah keluar dari parti itu dan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).
Hamzah yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Sabah dan pengasas awal PAS di Sabah dilantik sebagai Pengerusi AMANAH Sabah.
Mereka menyerahkan borang keanggotaan kepada Naib Presiden AMANAH, Hasanuddin Mohd Yunus di sini, hari ini.
Hamzah ketika ditemui pemberita berkata, antara anggota PAS yang menyertai AMANAH ialah bekas Naib Ketua Pemuda PAS Negeri, Harris Alimuddin dan Ketua Penerangan PAS Semporna, Mohd Shaman Palah.
Katanya, mereka antara 40 orang kumpulan awal Sabah yang menyertai AMANAH.
Katanya, pada peringkat awal, enam cawangan AMANAH ditubuhkan di kawasan Batu Sapi.
- BERNAMA

Pulih dari lumpuh ketika di Makkah




Oleh Noor Atiqah Sulaiman 


FATIMAH Abd Latif, 60 boleh berjalan semula setelah hampir lima tahun mengalami lumpuh separuh badan sebelum berlepas menunaikan haji tiba di KLIA bersama jemaah haji penerbangan terakhir. - Foto Mohd Fadli Hamzah
SEPANG: "Apa yang saya doakan di depan Kaabah menjadi kenyataan apabila kaki kiri yang selama ini lumpuh, akhirnya boleh digerakkan sejurus selepas bangun subuh," kata Fatimah Abd Latif, 60.
Beliau adalah antara 454 jemaah haji kumpulan terakhir yang tiba Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini, selepas menunaikan rukun Islam kelima itu di bawah kelolaan Tabung Haji.
Bagi Fatimah, tiada kata-kata yang boleh diungkap melainkan rasa syukur kerana boleh berjalan seperti sedia-kala sedangkan sebelum ini terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak selepas lumpuh separuh badan kira-kira lima tahun lalu.
"Pada ketika itu, saya seperti tidak percaya kerana kaki kiri sudah boleh bergerak, malah saya turut meminta anak perempuan untuk melihat apakah yang saya rasakan ini benar-benar terjadi. 
"Saya cuba jalan dengan melangkah tiga tapak terlebih dahulu, kemudian saya teruskan perjalanan ke Masjid Nabawi dengan perasaan yang bercampur-baur," katanya.
Ketibaan Fatimah bersama jemaah lain menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH8239 jam 12.30 tengah hari, disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.  
Fatimah berkata, sebelum ini, jika mahu mengangkat sehelai kain pun beliau tidak mampu, apatah lagi untuk menggerakkan tangan atau kakinya. 
"Selama ini saya bergerak menggunakan kerusi roda. Ketika tiba di Makkah dan menunaikan wukuf di Arafah pun saya masih memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Kerusi roda itu seperti rakan baik saya.
"Tetapi kini saya pulang dan mampu berjalan. Walaupun bergerak perlahan dan masih memerlukan pertolongan anak atau menantu untuk berpaut, tetapi ia lebih baik daripada terus berkerusi roda," katanya yang teruja untuk pulang ke tanah air untuk berkongsi kegembiraan itu dengan keluarga.
Fatimah juga mahu menjadikan 'peluang' yang diberi kepadanya itu sebagai iktibar untuk lebih prihatin dalam soal makan minum kerana beliau lumpuh dahulu disebabkan angin ahmar.
"Kini, saya bukan sahaja boleh berjalan, malah boleh menggerakkan tangan serta mengangkat barang. Saya benar-benar bersyukur dan berharap supaya keadaan ini berkekalan sehingga akhir hayat," katanya.

PAS Sanggup Kerjasama Dengan 'Musuh'


Diterbitkan: Khamis, 29 Oktober 2015 9:12 AM
Datuk Ahmad Yakob

KOTA BARU: PAS akan bekerjasama walaupun dengan 'musuh' selagi berada dalam lingkungan prinsip Islam.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, tidak menjadi satu kesalahan untuk bekerjasama dalam platform tunggal yang akan membawa kebaikan kepada rakyat.

"Tetapi jangan salah faham...usaha kita untuk menjatuhkan kerajaan BN masih berterusan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini, Rabu.

Beliau memberi contoh bagaimana kerajaan Kelantan bekerjasama untuk memenuhi keperluan mangsa banjir Disember lalu.

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Selasa bahawa PAS bersedia untuk bertemu dan bekerjasama dengan kerajaan Barisan Nasional.

Abdul Hadi bagaimanapun berkata, langkah itu bukan ke arah membentuk kerajaan perpaduan kerana kerjasama antara parti itu dan kerajaan Persekutuan sebelum ini telah wujud.

Menjawab soalan tidak berkaitan, Ahmad berkata, kerajaan Kelantan membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat dakwaan bahawa 4,500 hektar hutan telah diberikan kepada kroni PAS.

"SPRM boleh menyiasat perkara itu, kita tiada apa yang hendak disembunyikan," katanya.

Seorang individu bernama Mohd Afiq Ayob membuat laporan kepada SPRM, mendakwa salah guna kuasa oleh pemimpin-pemimpin PAS tertentu dan kerajaan Kelantan.

Pemungut Sampah Pertahan Gelaran Ratu Cantik


Diterbitkan: Khamis, 29 Oktober 2015 11:18 AM
Mint (kanan) mengadakan sidang media bersama Somchai bagi menjelaskan mengenai kontroversi gelaran ratu cantik yang disandangnya.
  (Ubah saiz teks)
SAMUT PRAKAN: Kemenangan Khanittha "Mint" Phasaeng yang dinobatkan sebagai Miss Uncensored News Thailand 2015 baru-baru ini nyaris dibatalkan apabila dia didapati menipu mengenai tahap pendidikan, selain status sebagai pemungut sampah terbongkar.
Bagaimanapun, selepas beberapa hari mahkota kemenangan itu diperoleh, penganjur pertandingan ratu cantik itu memutuskan gadis berusia 17 tahun itu berhak mengekalkan gelaran itu.
Gadis itu didapati menipu ketika mengisi borang penyertaan dengan menyatakan dia lulus Mathayom 6 (Tahap 12) sedangkan tahap pendidikan tertingginya adalah Mathayom 3.
Penganjur mendapat tahu mengenainya apabila pihak universiti menghubungi mereka untuk menawarkan biasiswa kepada penenang pertandingan itu.
Malahan, keperibadiannya juga menjadi bualan apabila diketahui beliau membantu ibunya memungut sampah untuk menyara kehidupan, selain menjadi penari untuk persembahan kumpulan muzik tempatan.
Mint (duduk) membantu ibunya memungut sampah sebagai punca utama pendapatan keluarga mereka.
Selain itu, Mint juga menjual barangan terpakai untuk menambah pendapatan.
Walaupun semakin dikenali ramai berikutan gelaran yang diperolehnya baru-baru ini, Mint dikatakan tidak malu dengan pekerjaan yang dilakukannya.
Sebaliknya, dia berjanji akan terus membantu ibunya kerana memungut sampah adalah punca pendapatan utama untuk membezarkannya selama ini.
Mint juga memohon maaf kepada penganjur pertandingan ratu cantik itu, Somchai Leknoi kerana menipu dan mengakui tidak berniat melakukannya.
Malahan, katanya, dia tidak memeriksa borang penyertaan yang diisi bapa saudarannya sebelum dikemukakan kepada penganjur pertandingan itu.
Menerusi pertandingan itu, Mint menerima wang tunai 30,000 baht (RM3,615) sebagai sebahagian hadiah kemenangan.

Sudah sedia kurus

Agensi
Mexico City: Sekumpulan tujuh orang membantu mengangkat Andres Moreno, orang paling berat di dunia, dari katilnya ke pengusung yang dibina khas untuk membawanya ke sebuah hospital di Guadalajara, bagi membolehkan dia menjalani pembedahan pintasan gastrik.

Lelaki berusia 37 tahun itu hidup terlantar di atas katil sejak berberapa tahun lalu kerana berat badannya dan pelbagai penyakit serius yang dihidapnya.

Dalam pembedahan yang dijalankan hari ini, doktor Hospital Arboledas akan membuang sebahagian besar perut Moreno, dan melakukan pintasan sebahagian usus kecilnya.

Bagaimanapun doktor berkata, pembedahan itu mengancam nyawa Moreno kerana pembedahan seumpama itu jarang di lakukan di hospital berkenaan.

Pakar bedah Jose Castaneda berkata, berat badan Moreno menjadi masalah kerana kelengkapan yang digunakan, termasuk katil bedah mungkin tidak muat untuk Moreno.



Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 7:05 AM

MORENO di rumahnya sebelum dibawa ke hospital, kelmarin.Gambar kecil, seluar Moreno.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89017#sthash.P3dO8ynM.dpuf

7 pemimpin UMNO mungkin digantung, gugur jawatan


Kuala Lumpur: Tujuh pemimpin UMNO yang kini sedang disiasat berhubung kenyataan terbuka mereka yang boleh menjejaskan parti mungkin berhadapan tindakan digantung parti dan digugurkan daripada jawatan.

Enggan mendedahkan nama pemimpin terbabit, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata satu jawatankuasa khas sedang menyiasat perkara itu dan keputusannya akan dibentangkan pada Majlis Presiden UMNO sebelum dibawa ke Jawatankuasa Disiplin parti.


"Sebaik proses berjalan, kami akan menggantung keahlian mereka dan menggantung apa jua jawatan yang mereka pegang," katanya di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Menegaskan UMNO mempunyai perlembagaan dan kod etika yang harus dipatuhi setiap anggotanya, Tengku Adnan berkata: "Kami tidak boleh terima apa-apa yang karut lagi...bagi kami jika anda tidak percaya kepada perjuangan parti, anda boleh tinggalkan parti.



"Kami tidak mahu individu yang menjadi 'gunting dalam lipatan', 'duri dalam daging' dalam parti, kami tidak boleh terima," katanya.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan pada awal bulan ini, mengumumkan UMNO sedang memantau serius tujuh pemimpin parti itu yang dikatakan melanggar disiplin parti untuk diambil tindakan.

Kebelakangan ini, beberapa pemimpin UMNO, dilaporkan menyertai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan mengeluarkan kenyataan mengkritik kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 7:20 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/88959#sthash.3qSR89Fd.dpuf

China tidak gentar berperang dengan AS


USS LASSEN berlabuh di pelabuhan Tien Sa di Vietnam dalam gambar fail bertarikh 27 Oktober 2009. - AFP


BEIJING – China tidak takut untuk berperang dengan Amerika Syarikat(AS) di Laut China Selatan, lapor sebuah akhbar yang rapat dengan pemerintah semalam selepas Washington menghantar sebuah kapal perangnya menghampiri pulau buatan Beijing di rantau itu, lapor akhbar The Telegraph.
Jawapan tegas media rasmi China itu dibuat selepas AS berjanji akan menghantar lebih banyak kapal perangnya ke Laut China Selatan selepas kapal pemusnah peluru berpandu USS Lassen belayar dalam lingkungan 22 kilometer dari pulau itu.
Tindakan itu mencetuskan kemarahan Beijing yang memanggil Duta AS dan menegaskan bahawa tindakan Washington itu mengancam kedaulatannya.
“China walaupun keberatan, tidak takut untuk berperang dengan AS di rantau berkenaan,” lapor akhbar Global Times dalam editorialnya.
Akhbar sama bagaimanapun meminta semua pihak supaya bertenang kerana Beijing mempunyai standard moral yang tinggi dan tidak ‘termakan’ dengan provokasi AS itu.
“Pentagon jelas melakukan provokasi terhadap China. Ini adalah masa untuk menguji kebijaksanaan dan keazaman rakyat China.
“Kita perlu bertenang. Sekiranya kita menghamburkan kata-kata kesat, AS akan mencapai matlamatnya untuk membuatkan kita marah,” menurut akhbar itu.
Sebuah lagi akhbar China mendakwa AS sengaja mahu mencetuskan ketegangan di Asia Tenggara. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3pu5Sd8Iw 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, October 28, 2015

Akhirnya Muhyiddin Dedahkan Kebenaran


By editor October 25, 2015 : 11:50 pm
muhyiddin yassin



Dan ini juga bermakna apa yang Tengku Razaleigh Hamzah katakan benar. Tengku Razaleigh berkata beliau enggan menjadi Perdana Menteri kerana beliau hanya akan menjadi boneka Perdana Menteri dengan Dr Mahathir menarik tali dari belakang tabir sebagai de facto Perdana Menteri.
Apa Muhyiddin Yassin katakan, seperti yang dilaporkan dalam berita di bawah adalah sangat menarik. Pertama sekali, Tun Dr Mahathir Mohamad memutuskan siapa yang menjadi Perdana Menteri. Dan jika Dr Mahathir tidak mahu anda sebagai Perdana Menteri atau dia mahu anda disingkirkan sebagai Perdana Menteri maka itu lah yang akan berlaku.
Perkara kedua yang Muhyiddin katakan adalah Dr Mahathir adalah orang yang memilih Najib menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri. Oleh itu Dr Mahathir yang memutuskan bahawa Najib akan mentadbir negara dan parti, manakala Umno atau Barisan Nasional, tidak mempunyai suara dalam perkara itu.
Muhyiddin juga mendedahkan bahawa beliau dan Dr Mahathir kecewa dengan Najib kerana menolak untuk mencabar Abdullah dan menggulingkan beliau. Gambaran yang Muhyiddin beri adalah Najib setia kepada Abdullah dan enggan menikam beliau dari belakang.
Perkara keempat Muhyiddin katakan bahawa beliau memberi tekanan kepada Najib untuk mengambil tempat Abdullah dan menyingkirkan dia keluar. Menurut Muhyiddin, jika Najib enggan menggulingkan Abdullah maka dia (Muhyiddin) yang akan menjadi Perdana Menteri.
Apa yang Muhyiddin katakan memberitahu banyak perkara mengenai apa yang sedang berlaku hari ini. Tujuh tahun lalu Najib diberitahu dia perlu mencabar Abdullah dan menyingkir dia keluar. Jadi kini ceritanya Muhyiddin diminta untuk mencabar Najib dan menyingkirkan dia memang masuk akal.
Corak yang berlaku tujuh tahun lalu dan apa yang berlaku sekarang adalah sama. Orang yang mentadbir Malaysia adalah Dr Mahathir dan sesiapa yang menjadi Perdana Menteri merupakan Perdana Menteri boneka dengan Dr Mahathir sebagai de facto Perdana Menteri.
Dan ini juga bermakna apa yang Tengku Razaleigh Hamzah katakan benar. Tengku Razaleigh berkata beliau enggan menjadi Perdana Menteri kerana beliau hanya akan menjadi boneka Perdana Menteri dengan Dr Mahathir menarik tali dari belakang tabir sebagai de facto Perdana Menteri.
************************************
Muhyiddin: Bagaimana saya jadikan Najib PM
Bekas TPM kata Mahathir meminta beliau menggantikan Abdullah tetapi beliau berkata Najib sebagai Timbalan sepatutnya yang jadi PM.
(Free Malaysia Today) – Muhyiddin Yassin telah mendedahkan bahawa beliau memainkan peranan penting dalam menjadikan Najib Razak sebagai Perdana Menteri, dan bahawa dia telah menolak apabila ditanya oleh Dr Mahathir Mohamad untuk menggantikan Abdullah Ahmad Badawi.
Muhyiddin mengaitkan latar belakang dengan pengambilalihan kuasa Najib ketika berucap pada dialog di Johor Bahru semalam. Dialog itu dianjurkan oleh syarikat penerbitan Karangkraf dan akhbar hariannya Sinar Harian.
Beliau berkata beliau telah bertemu Najib dan menggesa beliau untuk mencabar Abdullah selepas Barisan Nasional mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum 2008, apabila kehilangan kuasa di lima negeri.
“Masalahnya Najib mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan,” kata Muhyiddin, menurut The Malaysian Insider. “Ketika itulah saya bertemu dengan Dr Mahathir dan dia meminta saya untuk menjadi presiden. Tetapi saya berkata tidak, saya tidak boleh, saya hanyalah naib presiden parti, dan Najib pula timbalan presiden, jadi beliau yang perlu menjadi presiden. “
Muhyiddin berkata beliau adalah orang yang menyakinkan Najib untuk menyahut cabaran dan menjadi Perdana Menteri.
“Dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Senai saya memberitahunya bahawa dia perlu membuat keputusan dengan cepat dan saya juga memberitahunya bahawa Dr Mahathir telah meminta saya untuk menyahut cabaran itu juga. Kemudian Najib kata okay, dia akan melakukannya. Beliau bersetuju semasa dalam penerbangan ke Johor, “kata Muhyiddin.
Kira-kira 400 orang, kebanyakan mereka adalah ahli Umno Johor, menghadiri sesi dialog yang diadakan di sebuah hotel di Johor Bahru.
Muhyiddin menjadi Timbalan Perdana Menteri selepas Najib mengambil alih kuasa, tetapi telah dipecat oleh Najib pada akhir bulan Julai lalu selepas membuat kritikan berkenaan derma RM2.6 bilion yang dilaporkan  didepositkan terus ke dalam akaun bank peribadi Najib. Bagaimanapun, beliau masih Timbalan Presiden Umno.
Katanya, beliau tidak menyesal membantu Najib menjadi perdana menteri.
“Saya tidak mengatakan saya menyesal. Pada masa itu, ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan. Beliau layak dan mampu untuk memimpin negara ini, “katanya.
“Tiada siapa yang boleh meragui kesetiaan saya. Saya sentiasa setia kepada kepimpinan. Sepanjang saya dalam kerajaan dari tahun 1981, saya tidak pernah bercakap melampaui batasan terhadap kepimpinan, “katanya.

Nasharudin CEO Baharu Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global


Diterbitkan: Rabu, 28 Oktober 2015 12:18 PM
nasharuddin
Nasharudin Mat Isa.

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang baharu bagi menggantikan Datuk Saifuddin Abdullah.
Nasharuddin, yang merupakan Pengerusi Yayasan Nassar adalah graduan Perundangan Islam dari Universiti Jordan dan mempunyai Ijazah Sarjana Undang-Undang Perbandingan di Malaysia.
"Dengan perlantikan Nasharuddin, GMM yakin untuk meneruskan usahanya bagi memperkukuhkan amalan dan hubungan kesederhanaan dalam konteks di dalam dan luar negara.
"Yayasan akan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan berkaitan dalam merealisasikan fungsi Deklarasi Langkawi tentang Gerakan Kesederhanaan Global," kata Pengerusi GMM, Tan Sri Razali Ismail dalam satu kenyataan pada Rabu.
Saifuddin meletakkan jawatannya dalam GMFM selepas menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 15 Oktober lalu.
Sebelum menceburi dunia politik sepenuh masa, Nasharuddin pernah menjadi pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1997 dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada 1999.
Nasharuddin merupakan Ahli Parlimen Yan dari 1999 sehingga 2004 dan Ahli Parlimen Bachok dari 2006 sehingga 2013.
Dalam PAS, beliau pernah menjadi setiausaha agung parti dari 1999 sehingga 2004 dan timbalan presiden dari 2005 sehingga 2011.

'Beliau meronta, meledak dan memberontak'


NIZAM ZAIN
Muhyiddin Yassin

27 OKTOBER 2015
Muhyiddin Yassin Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada program Bicara Minda, 'Berani Kerana Benar' anjuran Sinar Harian di Johor Bahru, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Kritikan Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap kelemahan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka di luar platform Umno merupakan tindakan yang bertentangan dengan pendirian dan komitmen asal orang nombor dua Umno itu untuk memperkukuhkan parti sebelum ini.

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan & Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Abdul Halim Sidek berpendapat, tindakan Muhyiddin itu mempunyai motif tertentu kerana beliau sedar teguran sinis yang dibuat sejak Mei lalu hanya memporak-perandakan parti.

“Dulu beliau kata, walaupun bukan Timbalan Perdana Menteri, tapi dia pejuang dalam Umno, kalau dia berjuang dalam satu platform, dia kena menjaga maruah parti itu walau apa pun berlaku, secara dalaman, pertelingkahan dia, perselisihan faham dia, antara pemimpin dalam parti.

“Ini tak perlu diuar-uarkan ke luar, ini urusan dalaman rumah tangga, tapi oleh sebab beliau dah bawa benda ini ke luar, menunjukkan beliau masih lagi tidak aman dan tenteram dengan tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak yang melucutkan jawatannya dalam Kabinet,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin sanggup hilang jawatan demi Umno]

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin dalam Bicara Minda Sinar Harian pada Sabtu lalu yang mendedahkan bahawa Ahli Parlimen Pagoh itu individu yang bertanggungjawab memberi laluan kepada Najib untuk bertanding sebagai Presiden Umno dalam pemilihan parti itu pada 2009 lalu.

Mengulas lanjut, Abdul Halim juga berkata, Muhyiddin tidak sewajarnya mempunyai sikap bertentangan dengan keputusan parti termasuk melakukan ‘pemberontakan’ terhadap Presiden Umno.

“Nampaknya beliau seolah-olah macam meronta, meledak dan memberontak menentang Datuk Seri Najib, sebagai ketua parti dan ini tidak sepatutnya berlaku. Dalam sejarah Umno, tiada seorang pun boleh bersuara sedemikian melainkan Presiden.

“Semua orang kena bercakap sebagai satu suara, walaupun beliau Timbalan Presiden Umno, tapi beliau bercakap bercanggah dengan pendirian dan kepimpinan parti. Sekarang beliau telah memporak-perandakan parti, jadi mesej yang diberi kepada ahli parti sudah kelam-kabut sekarang ini,” ujarnya.

Abdul Halim berkata lagi, Muhyiddin merupakan satu-satunya pemimpin tertinggi Umno bukan sahaja tidak menyokong bahkan menentang kepimpinan Najib dalam parti Melayu itu.

“Kita lihat beberapa bulan lepas, semua pengerusi perhubungan Umno negeri menyokong kepimpinan Najib. Tiada seorang pun tak sokong, jadi sekarang ini Muhyiddin nampaknya satu-satunya yang menentang kepimpinan Najib.

“Kalau beliau nak tegur Najib ini tak buat kerja, beliau boleh berbuat demikian secara dalaman, bukan pergi ke platform di luar dan membuat komentar-komentar negatif terhadap kepimpinan Najib kerana beliau ada akses kepada Datuk Seri Najib,” katanya lagi.

Komplot singkir Muhyiddin: Itu pandangan Jamal...


ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz 
28 OKTOBER 2015


KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan yang beliau tidak tahu menahu mengenai usaha menyingkirkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Mohd Yunus yang mendakwa terdapat lebih 100 ketua bahagian Umno seluruh negara mengadakan perbincangan tertutup bagi menyingkirkan Muhyiddin daripada jawatannya kini.

Nazri yang juga Menteri Perlancongan dan Kebudayaan itu berkata, apa yang dinyatakan Jamal hanya pandangan peribadi.

"Itu pandangan dia lah. Dia bukan orang penting sangat. Kalau nak tanya, tanyalah berkaitan orang luar cakap tentang negara kita, minta saya komen tentang Ketua Pembangkang ke, ini (dakwaan Jamal), tak ada apa," katanya pada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sah wujud gerakan singkir Muhyiddin]

Ditanya adakah usaha menyingkirkan  Muhyiddin sebagai langkah menutup mulut bekas Timbalan Perdana Menteri itu daripada terus mengkritik kepimpinan Datuk Seji Najib Tun Razak.

Nazri berkata, sebagai negara bebas sukar untuk mana-mana pihak mengekang komen-komen buruk mengenai kerajaan.

"Ini negara bebas," katanya ringkas.

Isu gerakan singkir Muhyiddin telah menjadi viral di media sosial termasuk di Facebook.

Sebuah laman sosial Johor Bangkit mendakwa terdapat 140 bahagian bersetuju menyingkirkan Muhyiddin daripada jumlah itu lima bahagian datang dari Johor, sementara dua bahagian lagi tidak melayan kempen itu.

Singkir nombor dua, Umno akan berpecah


MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY
Samsu Adabi Mamat
Samsu Adabi Mamat
28 OKTOBER 2015


SHAH ALAM - Tindakan untuk menyingkirkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membawa kepada perpecahan parti itu.

Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat berkata, Muhyiddin mempunyai pengaruh yang kuat dalam parti.

“Ketua bahagian Umno harus menangani dengan baik sekiranya berhasrat untuk singkirkan Muhyiddin. Ini kerana Muhyiddin bukan sahaja mempunyai pengaruh dalam Umno malah turut membawa sentimen Johor.

“Ini akan menyebabkan perpecahan dalaman yang teruk dalam Umno selain akan merumitkan lagi keadaan Umno yang dilihat semakin parah,” katanya, semalam.

Usaha untuk menyingkirkan Muhyiddin semakin rancak diperkatakan ekoran Timbalan Presiden Umno itu semakin lantang bersuara membidas tindakan Najib.

Terbaru, terdapat khabar angin mengatakan beberapa ketua bahagian Umno sedang melakukan perancangan bagi menyingkirkan Muhyiddin.

Menurut Dr Samsu lagi, adalah lebih baik sebarang usaha untuk singkirkan Muhyiddin tidak dilakukan dan menunggu sehingga pemilihan Umno akan datang.

“Penyingkiran Muhyiddin adalah perkara yang perlu dielakkan. Seeloknya perkara ini diselesaikan secara baik dengan Muhyiddin. Mungkin Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh bersemuka dengan Muhyiddin.

[ARTIKEL BERKAITAN : Sah wujud gerakan singkir Muhyiddin)

“Saya percaya ahli Umno juga tidak mahu melihat perpecahan yang lebih teruk dalam parti,” katanya.

Namun, beliau berkata, berdasarkan perlembagaan parti, penyingkiran Muhyiddin boleh berlaku sekiranya jawatankuasa tata tertib menerima laporan daripada mana-mana ahli termasuk ketua bahagian.

“Namun laporan itu perlu berdasarkan kesalahan kukuh yang telah dilakukan Muhyiddin. Mungkin juga sehingga memberikan kesan teruk kepada parti.

“Dan terpulang kepada jawatankuasa untuk menjatuhkan bentuk hukuman,” katanya.

Ahli tinju bersara, tayang supercar baru


Ahli tinju bersara, tayang supercar baru

27 OKTOBER 2015
Ahli tinju bersara, tayang supercar baru Foto yang dimuatnaik Floyd Mayweather di Instagram

LOS ANGELES - AMERIKA SYARIKAT. Pengurus kepada Floyd Mayweather mengumumkan bahawa ahli tinju berkenaan sudah bersara dan menafikan akan terlibat dengan sebarang pertandingan.

Perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mayweather Promotions, Leonard Ellerbe di laman mikro Twitter, semalam.

Pengumuman tersebut sekali gus menutup khabar angin mengenai Mayweather akan terlibat dengan perlawanan semula Manny Pacquiao dan Amir Khan.

Sementara itu, ahli tinju berkenaan menayang sebuah Bugatti Veyron Grand Sport Vitesse yang baru dibelinya pada harga AS$3 juta (RM12.8 juta) di laman Instagram.

Mayweather yang mempunyai rekod 49 kemenangan tanpa kalah bagaimanapun diramal akan kembali pada masa hadapan setelah mengalahkan Andre Berto di MGM Grand di Las Vegas bulan lepas.

Sah wujud gerakan singkir Muhyiddin


JANATUL FIRDAUS YAACOB
Muhyiddin Yassin

28 OKTOBER 2015
Muhyiddin Yassin

PETALING JAYA - Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Mohd Yunus mengesahkan wujud gerakan menyingkirkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kelompok gunting dalam lipatan dalam Umno.

Beliau tegas menyatakan lebih 100 ketua bahagian Umno seluruh negara mengadakan perbincangan tertutup sebagai usaha menyingkir Muhyiddin dan kumpulannya dari parti itu.

“Pendapat peribadi saya, Tan Sri Muhyiddin perlu dipecat dan sekarang kita (Umno) dalam usaha mengumpul senarai nama ketua bahagian untuk menyokong penyingkiran berkenaan.

“Kalau saya di tempat Perdana Menteri dah lama saya pecat beliau (Muhyiddin) bukan setakat sebagai Timbalan Presiden Umno malah ahli Umno,” katanya kepada Sinar Harian.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‎'Tak patut buang Muhyiddin']

Beliau menyifatkan pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang terlalu berlemah-lembut  dan tidak sampai hati telah menyebabkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu agresif menentang pentadbirannya.‎

Jamal bagaimanapun tidak menyangka gerakan senyap ketua Umno bahagian ini telah pecah kepada media.

“Saya sudah lama mendesak Muhyiddin untuk dipecat daripada kerajaan mahupun parti.

“Lihat sekarang gelagat beliau, sebab itu kita cuba kumpul sokongan untuk keluarkan Muhyiddin daripada parti dan posisi itu diganti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz hanya menyarankan agar pucuk pimpinan Umno mengambil tindakan disiplin terhadap Muhyiddin berdasarkan kepada tindak tanduk beliau sejak kebelakangan ini.

Difahamkan, beberapa laman sosial telah diviralkan mengenai kempen ini yang dikatakan dilakukan melalui aplikasi Instagram.

Laman sosial Johor Bangkit, misalnya telah mendakwa terdapat 140 ketua bahagian bersetuju untuk melakukan tindakan menyingkir bekas Timbalan Perdana Menteri itu termasuk mendapat lima sokongan di Johor, sementara dua lagi tidak melayan kempen berkenaan.

Dalam kenyataan laman sosial itu turut mendakwa punca mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 30 Oktober ini terpaksa dibatalkan untuk membolehkan mereka mempunyai masa kumpulkan nama ketua-ketua bahagian yang lebih banyak bagi menjayakan komplot tersebut.

Wanita China disyor kahwin 2

Agensi
Beijing: Seorang profesor di Universiti Zhejiang mencadangkan lelaki berpendapatan rendah di China berkongsi isteri bagi mengatasi masalah mencari pasangan hidup.

Profesor Xie Zuoshi menyuarakan pendapatnya ketika China berdepan dengan jurang jantina yang semakin luas dan lelaki negara itu terdesak mencari wanita untuk dijadikan isteri sehingga menjadikan wanita komoditi berharga.


Menurutnya, lelaki berpendapatan tinggi tidak mempunyai masalah untuk mencari isteri kerana kemampuan mereka dari segi kewangan.

Bagi lelaki berpendapatan rendah, Xie mencadangkan mereka bergabung mencari wanita yang boleh dikongsi sebagai isteri.

Menurutnya, ia bukan perkara baru kerana di beberapa kawasan pedalaman miskin terdapat kes dua adik beradik lelaki berkahwin seorang isteri dan mereka hidup bahagia dan aman.

Cadangan itu bagaimanapun tidak disambut baik. Beberapa aktivis wanita mengecam idea itu dengan menyifatkannya sebagai tidak adil dan tidak bermoral.

Xie bagaimanapun menyelar kecaman itu.

“Tolong jangan bercakap soal moral dengan saya. Jika kita terus membiarkan 30 juta lelaki bujang hidup tanpa wanita, mereka tidak mempunyai harapan untuk kehidupan seterusnya dan mungkin beralih kepada kegiatan merogol, membunuh dan keganasan lain,” kata Xie.

Profesor itu juga mencadangkan beberapa penyelesaian lain, termasuk mendesak masyarakat menerima homoseks dan mengimport wanita dari negara jiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 10:16 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/88531#sthash.I9nigoP7.dpuf

Malu Indonesia sumber jerebu


Washington: Rakyat Indonesia yang bermastautin di Amerika Syarikat semalam mendesak Presiden Joko Widodo (Jokowi) bertindak segera menangani masalah jerebu yang melanda tanah air mereka.

Desakan itu dibuat pada majlis dialog antara warga Indonesia dengan Jokowi di Washington.


Seorang peserta yang berasal dari Sumatera Utara, tetapi kini menetap di Amerika Syarikat Kurnia Hutapea berkata, walaupun tidak menderita secara langsung, dia tetap malu kepada rakyat negara lain, khususnya negara jiran kerana Indonesia menjadi negara sumber jerebu.

“Kami malu menjadi rakyat negara yang menjadi sumber yang menyebabkan jerebu. Rakyat negara lain melihat kita seolah-olah tidak mempunyai maruah dan harga diri. Kami di sini tidak boleh berjalan dengan menegakkan kepala kerana malu negara kami menjadi sumber asap kotoran sehingga menyusahkan negara tetangga,” katanya.

Dia menggesa Jokowi bertindak lebih tegas untuk menangani masalah itu, termasuk menghukum mereka yang terbabit dalam pembakaran hutan, baik di Sumatera mahupun di mana-mana daerah di negara itu.

Jokowi tiba di Washington kelmarin untuk lawatan rasmi ke Amerika Syarikat.

Mengulas mengenai desakan itu, Jokowi mengaku kesan kebakaran hutan yang berlaku tahun ini lebih besar berbanding tahun sebelumnya, berpunca daripada fenomena cuaca El Nino yang menyebabkan musim kering lebih lama.

Dia juga berkata, usaha mendakwa mereka yang menyebabkan kebakaran itu juga sudah bermula. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 10:10 AM

KEADAAN jerebu yang melanda Palangkaraya di Kalimantan Tengah, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/88514#sthash.d6u2eVzf.dpuf

Pen ‘ajaib’

 Agensi
Bulawayo (Zimbabwe): Seorang paderi menjual ‘pen suci’ kepada pelajar yang didakwa mampu membantu mereka lulus peperiksaan.

Sham Hungwe dari Gereja Antarabangsa House of Grace yang beroperasi di sebuah pusat beli-belah di Zimbabwe dilaporkan menjual pen berkenaan dengan harga sehingga £10 (RM65), lapor News24zim.com.


Dia mendakwa semakin mahal pen dibeli, semakin tinggi kemungkinan penggunanya mendapat manfaat.

“Ia sudah disapu minyak suci dan jika anak-anak kamu menduduki peperiksaan mereka pasti lulus.

“Pen ini boleh digunakan sesiapa saja yang mengambil peperiksaan.

“Anak lelaki saya sendiri tidaklah bijak dan saya yakin pen ini akan membantunya.

“Dengan ilmu ditimba dan pen yang direstui ini, pasti dia berjaya,” katanya.

Malah, seorang pelajar yang menggunakannya mendakwa mendapat markah tinggi dalam peperiksaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 10:04 AM

HUNGWE (kiri) mengagihkan pen kepada pelajar yang mengambil peperiksaan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/88509#sthash.VzrfEyFt.dpuf

1MDB tidak berhutang dengan syarikat Abu Dhabi


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan dakwaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhutang dengan syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Corporation (IPIC) sebanyak AS$481 juta.

Najib berkata mengikut penyata kewangan 1MDB berakhir 31 Mac 2014, tiada tercatat jumlah itu yang didakwa ditanggung syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.

"Nota dalam Penyata Kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 31 Mac 2014 dengan jelas menyatakan tiada jumlah itu ditanggung 1MDB terhadap IPIC.

"Ingin ditekankan juga bahawa mana-mana pihak berhak menentukan kaedah pelaporan Penyata Kewangan mereka," kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam jawapan bertulis kepada Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) yang ingin tahu jumlah pembayaran yang sudah dibuat 1MDB untuk menebus opsyen syarikat Powertek Investment dan 1MDB Energy (Langat) daripada Aabar Investment.

Pua juga meminta kerajaan menyatakan sama ada 1MDB masih berhutang sebanyak AS$481 juta seperti tercatat dalam Laporan Audit IPIC untuk Disember 2014. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 8:07 PM

Iklan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. - Foto REUTERS (Fail)
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/88672#sthash.4lPHWJbY.dpuf

Indonesia sokong AS, sertai TPPA



JOKOWI (kiri) berjabat tangan dengan Obama di pejabat Presiden AS itu di White House, Washington kelmarin.


WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memenangi sokongan Indonesia untuk Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kelmarin.
Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi juga berjanji untuk menyertai pakatan dagangan bebas itu.
Indonesia merupakan antara kuasa ekonomi terbesar di Asia Tenggara.
“Indonesia mengamalkan ekonomi terbuka dan dengan populasi 250 juta penduduk, kami merupakan kuasa ekonomi terbesar di Asia Tenggara. Justeru, kami bercadang untuk menyertai TPPA,” kata Jokowi di Oval Office.
Setakat ini, sebanyak 12 negara telah bersetuju menyertai TPPA termasuk Australia, Kanada, Jepun, Mexico, Viet­nam dan AS untuk mewujudkan ekonomi perdagangan bebas terbesar dunia.
Perjanjian itu dilihat oleh sesetengah pihak sebagai pe­nimbal balas untuk mengekang pengaruh ekonomi China di rantau Asia Tenggara.
Sokongan Jokowi merupakan kemenangan politik untuk Obama yang sebelum ini berdepan jalan sukar untuk menyempurnakan pakatan itu yang dikekang oleh Kongres tanpa sokongan daripada ahli Parti Demokrat pimpinannya.
Obama mendakwa TPPA mempunyai standard persekitaran dan pekerja paling kuat daripada mana-mana perjanjian dagangan yang ditandatangani oleh AS sebelum ini.
Sokongan Jokowi juga akan meningkatkan harapan berhubung kejayaan pakatan dagangan tersebut sekali gus membolehkan Indonesia me­nunjukkan kemampuannya.
Obama yang pernah tinggal di Indonesia selama hampir lima tahun ketika kecil berkata, Washington perlu mempunyai hubungan baik dengan Jakarta.
“Jelas sekali saya mempunyai kepentingan peribadi di Indonesia, memandangkan hakikat bahawa saya pernah menghabiskan sedikit masa di sana sebagai seorang anak dan mempunyai saudara-mara yang merupakan rakyat Indonesia.
“Tetapi kebenarannya adalah perkongsian kami ini membawa banyak kepentingan untuk AS.
“Hal ini kerana dengan populasi penduduk Indonesia yang ramai, kepimpinan di rantau ini, tradisi demokratik dan hakikatnya ia adalah sebuah negara Islam yang besar dengan tradisi kesederhanaan dan toleransi serta peranannya dalam perdagangan serta pembangunan ekonomi.” ujar Obama. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1028&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3po9u21yf 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, October 27, 2015

'Kroni dapat RM8 bilion bina hospital RM600 juta’


Rafizi Ramli (PKR-Pandan) hari ini mendakwa kerajaan pada peringkat menganugerahkan seorang tokoh usahawan yang dikaitkan dengan Umno sebanyak RM8.2 bilion bagi pembinaan projek hospital yang hanya bernilai RM599 juta.

Rafizi memaklumkan Dewan Rakyat, bahawa 'hospital super' yang dicadangkan di kampus Universiti Teknolog Mara (UiTM) Puncak Alam.


"Adakah benar bahawa kerajaan akan menganugerahkan projek penswastaan hospital di UiTM Puncak Alam kepada syarikat ini?

"Perjanjian konsesi membabitkan pembinaan sebuah hospital yang berharga RM599 juta sahaja. Tetapi melalui perjanjian itu, kerajaan sebaliknya terpaksa membayar RM8.2 bilion," dakwanya.

Rafizi membuat dakwaan ketika membahaskan Bajet 2016 di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara menunggu jawapan rasmi, Malaysiakini tidak akan menyiarkan nama usahawan dan syarikat yang terbabit.

Syarikat itu juga, kata Rafizi, terbabit dalam penswastaan UiTM Shah Alam.

Ia juga dikatakan sedang disaman oleh seorang kontraktor berhubung projek di universiti itu.

Pembangkang Atau BN - Tanya Amanah Kepada PAS



Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2015 6:09 PM
Khalid Samad.

KUALA LUMPUR: PAS perlu menjelaskan jika parti Islam itu mahu kekal sebagai parti pembangkang atau memihak kepada Barisan Nasional (BN).
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Samad berkata walaupun PAS ada hak untuk memilih dengan siapa mereka mahu bekerjasama, parti itu harus menyatakan dengan jelas hala tuju politik mereka.
"Mereka perlu menyatakan hala tuju parti, sama ada mereka mahu perubahan dalam kerajaan atau kekal dalam pembangkang dan pada masa sama mempertahankan Barisan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen pada Selasa.
Beliau berkata PAS perlu memberikan gambaran jelas mengenai hala tuju parti itu supaya pengundi boleh membuat pilihan tepat pada pilihan raya.
Khalid Samad mendakwa PAS cuba meraih undi sebagai parti pembangkang tetapi akhirnya menyokong kerajaan.
Timbalan Ketua Whip Parti Keadilan Rakyat (PKR) Abdullah Sani Abdul Hamid berkata PAS tidak konsisten dalam perkara itu.
"Mereka tidak konsisten walaupun dalam hala tuju politik mereka sendiri," katanya.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Loke Siew Fook hanya mahu mengucapkan 'selamat maju jaya' kepada PAS dalam usaha mereka.
Pemimpin Pakatan Rakyat diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu sedia menjalin kerjasama dengan Barisan demi kebaikan bersama.

Najib Dan Ku Nan Berjaya Gantung Prosiding Kes Saman PKR


Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2015 1:22 PM
Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Selasa berjaya menggantung prosiding kes saman oleh PKR atas dakwaan berbelanja berlebihan dalam kempen pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membenarkan permohonan Najib dan Tengku Adnan serta memutuskan terdapat keadaan khas bagi membolehkan kedua-dua defendan menggantung prosiding itu sehingga permohonan mereka untuk membatalkan saman itu selesai.

Beliau berkata jika permohonan untuk menggantung prosiding itu tidak dibenarkan, ia akan menyebabkan prejudis kepada Najib dan Tengku Adnan kerana mereka dikehendaki membekalkan dokumen berkaitan kes itu kepada plaintif.

"Jika dokumen-dokumen itu diserahkan kepada plaintif-plaintif dan sekiranya permohonan defendan-defendan (Najib dan Tengku Adnan) untuk membatalkan writ saman dibenarkan, mahkamah dapati ia akan prejudiskan mereka," katanya.

Mohd Zaki berkata plaintif-plaintif bagaimanapun tidak akan mengalami prejudis sekiranya mahkamah membenarkan permohonan Najib dan Tengku Adnan kerana mereka boleh mendapatkan dokumen berkaitan kes itu kemudian, jika mahkamah tidak membenarkan permohonan membatalkan saman itu.

Mohd Zaki menetapkan 11 November sebagai tarikh akhir untuk pengurusan kes bagi membolehkan semua pihak memfailkan afidavit berhubung kes itu.

"Kalau boleh saya tidak mahu kes ini dilambatkan,' katanya.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Tengku Adnan juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa arahan daripada anak guamnya juga supaya menyegerakan kes itu.

Pada 12 Ogos lepas, PKR memfailkan saman terhadap Najib atas dakwaan berbelanja berlebihan dalam kempen PRU ke-13 dan melanggar undang-undang pilihan raya.

Plaintif dalam saman itu ialah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana sabitan kes liwat, Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Anggota Parlimen Batu Tian Chua, bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan anggota Gerakan Harapan Baru Dr Dzulkefly Ahmad.

Mereka menamakan Najib, Tengku Adnan, firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai defendan.

Pakatan Harapan Parti 'Bas Ekspres' - PAS


Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2015 2:26 PM

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan Pakatan Harapan sebagai sebuah parti 'bas ekspres' yang tidak mungkin mencapai matlamat dalam membela rakyat di negara ini.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan PAS tidak akan  berkompromi dengan Pakatan Harapan malah akan terus menjadi sebuah parti pembangkang yang berpegang teguh kepada prinsip sebuah parti berteraskan Islam.
"PAS tidak akan menyertai sebarang rangka yang tidak berteraskan Islam kerana kami tidak mungkin naik bas ekspres yang tidak sampai destinasi yang hendak dituju, lepas itu kena jalan kaki.
"Kami mahu proses demokrasi yang beradab serta berakhlak dan tidak melupai konsep Raja Berperlembagaan malah pada masa sama mesti memelihara hubungan masyarakat majmuk," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Selasa.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada September lepas mengumumkan bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bersetuju menubuhkan pakatan pembangkang baharu dikenali sebagai Pakatan Harapan.
Abdul Hadi juga yakin PAS yang selama ini bersendirian akan terus berjuang sebagai sebuah parti yang memberi harapan kepada rakyat.
"Kami tidak punyai (harapan) dengan (Pakatan) Harapan, kami akan sampai ke destinasi yang kami mahukan. PAS tidak bergantung kepada mana-mana parti, yang bergantung itu parti lain," kata anggota Parlimen Marang itu.
Bagaimanapun, katanya PAS tidak bongkak dengan kekuatan yang dimiliki parti berusia 64 tahun itu sebaliknya sedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk Barisan Nasional (BN), DAP dan PKR dalam semua perkara demi kepentingan rakyat.
"Kerjasama ini adalah kerana PAS lebih memelihara hubungan dengan rakyat bukan sahaja dengan anggota Parlimen. Kami sedia berbahas di Parlimen atau bertemu dengan pihak kerajaan dengan mengetengahkan pelbagai alternatif yang mementingkan hak rakyat," katanya.