Thursday, March 25, 2010

Kerajaan Membisu Isu Rogol Wanita Penan




Oleh Faizal Ezzany
KUALA LUMPUR 24 Mac - Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin berkata kerajaan tidak serius menyiasat dakwaan kes rogol wanita Penan setelah dua tahun laporan dibuat walaupu Barisan Nasional cuba menafikan perkara itu wujud.
Ketua Wanita KEADILAN itu kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh Ahli Parlimen Sadong Nancy Shukri yang menyatakan tiada penderaan terhadap kaum Penan berlaku dan apa yang diperkatakan adalah spekulasi pihak tertentu sahaja.
"Kes penderaan dan rogol wanita kaum Penan sudah hampir dua tahun berlalu tetapi tidak apa tindakan diambil oleh pihak polis dan juga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. 
"Satu siasatan telah di buat oleh Jawatankuasa Bertindak Peringkat Kebangsaan pada Oktober 2008 dan laporan telah dikeluarkan pada September 2009. Laporan itu menyatakan mereka telah berjumpa mangsa yang dirogol dan juga didera, tetapi sehingga sekarang belum ada apa-apa tindakan di ambil oleh pihak berkuasa terhadap pekerja balak yang jelas telah melakukan kesalahan dalam kes tersebut.
"Kenapa perkara ini senyap tanpa tindakan diambil, adakah Kerajaan Negeri Sarawak mahu Kerajaan Pusat Barisan Nasional cuba melindungi kepentingan orang tertentu," kata Zuraida pada sidang media di lobi Parlimen tengahari tadi.
Zuraida juga berkata beliau akan membangkitkan isu ini pada sesi perbahasan dan berharap pihak Kementerian Dalam Negeri dan juga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dapat menjelaskan status kes tersebut.
"Saya kesal dengan jawapan Ahli Parlimen Sadong dan beliau sebagai Pengerusi Kaukus Ahli Parlimen Wanita menafikan kes tersebut dan menyifatkan sebagai spekulasi pihak tertentu sedangkan laporan telah ada," kata beliau lagi.
Dakwaan mengenai gadis dan wanita Penan yang menjadi mangsa rogol mendapat perhatian seluruh negara pada September 2008 ekoran kenyataan media oleh Yayasan Bruno Manser di Switzerland yang mendakwa pekerja daripada dua syarikat pembalakan telah merogol wanita Penan di beberapa penempatan di kawasan tengah Baram dalam kawasan operasi syarikat terbabit.

No comments:

Post a Comment