Wednesday, April 7, 2010

Choo Keong dedahkan siapa 'Napoleon kecil'



KUALA LUMPUR 6 April - Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong hari ini menamakan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua sebagai salah seorang 'Napoleon kecil' yang dimaksudkannya semasa membahas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Choo Keong berkata, Ahli Parlimen Batu itu yang terbabit melakukan teknik pertindihan pada gambar pemimpin negara dan menyebarkannya bagi tujuan memfitnah, lebih wajar diambil tindakan disiplin.
"Ada ramai lagi 'Napoleon kecil' dalam parti. Lebih lima orang. Saya akan namakan mereka bila tiba masanya sekiranya mereka masih tidak berubah sikap," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Choo Keong secara terbuka di Dewan Rakyat sebelum ini menyatakan perasaan dukacitanya dengan perbuatan 'Napoleon kecil' di kalangan pembangkang yang cukup pintar iaitu melempar batu dan cekap pula menyembunyikan tangan.
Melalui pendedahannya itu, Choo Keong berkata, segelintir mereka yang dimaksudkannya itu sanggup melakukan apa sahaja termasuk membuat pelbagai fitnah dan penipuan namun tiada tindakan diambil sebaliknya pemimpin lain dikenakan tindakan disiplin atas perkara remeh-temeh.
Dalam pada itu, Choo Keong berkata, beliau bersedia pada bila-bila masa untuk dihadapkan ke Lembaga Disiplin PKR ekoran pendedahannya di Dewan Rakyat berhubung individu yang digelar 'Napoleon kecil' itu.
Choo Keong bagaimanapun berkata, sebelum dirinya dihadapkan ke Lembaga Disiplin, parti perlu terlebih dahulu mempersoalkan tindakan yang wajar dikenakan terhadap Little Napoleonskerana tindakan-tindakan yang mencalar imej dan kredibiliti parti.
"Jika 'Napoleon kecil' mahu membawa saya ke Lembaga Disiplin, saya tiada masalah untuk berbuat demikian.
"Tetapi untuk permulaan, saya mahu tanya mereka, bagaimana dengan perbuatan seorang dari mereka seperti menipu gambar dengan teknik super imposed dan letak dalam Internet untuk mengaibkan pemimpin negara?
"Satu lagi tindakan disiplin adalah wajar. Jika mereka ada jawapan kepada soalan saya itu, maka tindakan disiplin apa yang mereka perkatakan mahu dikenakan pada saya? Ada tindakan yang lebih serius perlu dipertimbangkan," katanya.

No comments:

Post a Comment