Wednesday, April 7, 2010

Pelajar IPT dilarang sertai kempen





SHAH ALAM 6 April - Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) diingatkan agar tidak terlibat dan menyertai kempen yang dianjurkan oleh mana-mana parti politik sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang akan berlangsung pada 25 April ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ingatan yang diberikan itu selaras dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang melarang pelajar IPT menyertai kempen politik dalam pilihan raya.
"Pelajar IPT tidak seharusnya berada di situ (berkempen di Hulu Selangor) kecuali mereka yang balik untuk mengundi dalam pilihan raya kecil Parlimen berkenaan.
"Sekiranya mereka terlibat dengan aktiviti sedemikian, ia secara terang-terangan melanggar akta yang telah ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jangka Panjang Inovasi dan Kreativiti Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2010-2019 di sini hari ini.
Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor dijadualkan berlangsung pada 25 April ini berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lalu.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut memberitahu pihaknya akan membuat pemantauan bagi memastikan tiada penglibatan pelajar IPT dalam sebarang aktiviti kempen pilihan raya.
"Kita akan buat pemantauan, AUKU tidak benarkan mereka terlibat dalam kegiatan politik.
"Malah, kita juga ingatkan parti politik supaya tidak menggunakan pelajar IPT untuk menjalankan kerja kempen mereka menarik sokongan pengundi di kawasan itu," ujarnya.

No comments:

Post a Comment