Wednesday, April 14, 2010

ADUN BN kesal Azmin lagakan kaum



SHAH ALAM 13 April - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional kesal dengan tindakan Mohamed Azmin Ali yang didakwa cuba menjadikan isu ucapan Datuk Seri Noh Omar untuk menghasut dan melaga-lagakan hubungan antara kaum.
Menurut mereka, tindakan Mohamed Azmin mengaitkan ucapan Timbalan Pengerusi BN Selangor pada Konvensyen BN Selangor pada 7 April lalu sebagai tidak bertanggungjawab serta berniat jahat.
ADUN Taman Templer, Datuk Subahan Kamal berkata, ucapan Noh telah diputarbelitkan oleh Mohamed Azmin dengan mengatakan bahawa kononnya UMNO merendah-rendahkan kedudukan serta peranan orang bukan Melayu.
"Noh pada konvensyen itu memetik satu bahan sejarah yang perlu dihayati oleh semua sebagai asas kepada keharmonian kaum.
"Tetapi Azmin cuba memutarbelitkan ucapan itu dengan membuat andaian tidak berasas apabila mengaitkannya dengan tuduhan bahawa UMNO merendah-rendahkan kedudukan kaum lain.
"Beliau tidak seharusnya mencampuri urusan BN apatah lagi membuat tuduhan yang seolah-olah cuba melaga-lagakan hubungan kaum khususnya para pemimpin parti komponen BN," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohamed Azmin (PKR-Bukit Antarabangsa) ketika membahaskan ucapan menjunjung kasih Sultan Selangor, Sultan Saharafuddin Idris Shah pada Sidang DUN di sini hari ini.
Azmin mendakwa tindakan beberapa wakil MCA yang keluar dewan pada konvensyen BN tersebut berpunca daripada sikap UMNO yang angkuh dan tidak menghormati kaum lain.
Malah pada sesi perbahasan itu, Mohamed Azmin turut menyentuh isu seperti Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang didakwanya wujud penyelewengan termasuk mengaitkan hubungan kerajaan Malaysia dan Israel dengan sebuah syarikat perunding antarabangsa, Apco Worldwide.
Sementara itu, ADUN Kuang, Abdul Shukor Idrus turut mencabar Mohamed Azmin supaya mengemukakan dakwaan-dakwaan tersebut di luar Sidang DUN supaya laporan dan siasatan dilakukan bagi memastikan kebenaran dakwaan Ketua Kelab Penyokong Kerajaan Negeri itu.
Katanya, Mohamed Azmin perlu berbuat demikian setelah menyatakan beliau mempunyai bukti-bukti termasuk dokumen tertentu yang boleh menyokong dakwaannya itu.
Pemangku Ketua Pembangkang negeri, Datuk Satim Diman pula menyifatkan tuduhan Azmin itu jelasnya tidak memenuhi aspirasi Sultan Selangor yang mahu wakil rakyat menjadikan DUN sebagai tempat untuk menyelesaikan masalah rakyat bukannya untuk berpolitik.

No comments:

Post a Comment