Wednesday, April 14, 2010

Pilihan raya Filipina terjerumus ke politik kelas rendah



CALON Presiden Filipina, Manny Villar (kanan) mengadakan kempen pilihan raya bersama jaguh tinju, Manny Pacquiao dan calon Naib Presiden, Loren Legarda di Sarangani, Mindanao. – AFP


MANILA 13 April – Politik Filipina semakin terjerumus kekancah politik kelas rendah menjelang pilihan raya Presiden bulan depan, berikutan tindakan calon-calon menggunakan Internet dan telefon bimbit memburuk-burukkan pesaing mereka.
Antara contoh terburuk ialah apabila Benigno Aquino yang mendahului calon-calon Presiden lain dalam tinjuan pendapatan dikaitkan dengan laporan palsu psikiatri mendakwa beliau menghidap masalah mental dan mengambil dadah.
Sementara itu, pesaing utama beliau, Manny Villar dituduh menipu berhubung kematian adiknya.
“Politik Filipina telah terjerumus ke satu kancah yang rendah,” kata Jorge Tigno, profesor politik sains di Universiti Filipina, merujuk kepada taktik kempen yang dilakukan oleh calon-calon Presiden.
Menurut Tigno, pada masa lalu, persaingan merebut jawatan Presiden di Filipina biasanya dilihat berada pada kedudukan di atas persaingan hangat politik kelas rendah.
Bagaimanapun, peningkatan penggunaan Internet sejak pilihan raya Presiden terakhir pada 2004 dan ketagihan rakyat negara ini dengan penggunaan sistem pesanan ringkas (SMS) menawarkan kaedah baru kepada calon-calon untuk menghantar mesej, terutamanya kepada golongan muda.
“Kini teknologi maklumat memainkan peranan penting. Calon-calon tahu ia menguasai golongan muda yang boleh membawa undi.
“Mereka menggunakan Internet dan telefon bimbit bagi menyebarkan keburukan pesaing mereka,” kata Tigno kepada AFP.
Aquino mengakui dia berhadapan dengan laluan sukar selepas satu blog tanpa nama pada bulan ini memaparkan laporan ahli psikologi terkenal yang mendakwa dia sedang merawat Aquino dan mendapati Aquino menghidap penyakit mental.
Laporan palsu itu turut menyatakan bahawa Aquino menderita penyakit ‘kekacauan mental dan gangguan pembelajaran’ yang mengukuhkan lagi khabar angin sebelum ini yang mendakwa beliau adalah autistik. Aquino juga dikatakan mengambil marijuana.
Doktor dan institusi yang dinamakan dalam laporan tersebut hanya memberitahu bahawa laporan itu palsu selepas ia dipetik oleh akhbar utama dan menyelubungi kempen politik hampir seminggu.
Villar menafikan terlibat dengan laporan palsu itu tetapi mencabar Aquino membuat ujian psikologi untuk membuktikan beliau tidak menghidap penyakit mental. – AFP

No comments:

Post a Comment