Friday, May 7, 2010

Ibu 9 anak di bangsal lembu





Dalam kepayahan yang terpaksa dilalui bersendirian, Rosnani Mamat amat mengharapkan suaminya pulang lebih-lebih lagi anaknya, Mohd. Shabini disahkan oleh doktor menghidap penyakit buah pinggang.


PASIR PUTEH 6 Mei - Apa yang dipanggil rumah buat seorang ibu bersama sembilan orang anaknya berteduh di Kampung Kolam Tembesu di sini hanyalah sebuah bangsal, bekas kandang lembu.
Sudah lima bulan keluarga itu menetap di situ dan mereka tidak mempunyai pilihan lain biarpun terpaksa tinggal bersesak, tanpa kemudahan bekalan air bersih, malam yang diterangi pelita ayam dan basah bila hujan.
Seperti ibu-ibu yang lain, Rosnani Mamat, 38, mengimpikan anak-anaknya tinggal dalam keadaan sempurna tetapi nasib keluarganya tidak sebaik orang lain kerana himpitan kemiskinan dan diburukkan dengan konflik keluarga.
"Sebelum ini kami menumpang di rumah orang tua tidak jauh dari sini dan kemudiannya terpaksa berpindah, menjadikan keadaan lebih buruk," ujarnya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Bangsal seluas tiga meter persegi di tanah datuknya dibaiki dan diubahsuai menggunakan plastik tebal dan papan lama sebagai dinding.
Enam anaknya masih di bangku sekolah manakala tiga lagi masih kecil termasuk yang bongsu berusia setahun dan Rosnani bersendirian menguruskan anak-anak kerana suaminya bekerja sebagai buruh kasar di Pulau Pinang.
Selain kiriman bulanan suaminya sekadar RM100, dia bersyukur kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghulurkan RM450 sebulan bagi membolehkan dapur rumahnya berasap dan anak-anak ke sekolah.
''Hati saya menangis melihat anak- anak tidur bergelimpangan dalam ruang sempit ini apatah lagi bila melihat mereka resah ketika ruang tidur basah kerana bocor.
Tiga anak saya belajar di sekolah rendah dan tiga lagi belajar di sekolah menengah.
"Anak saya, Norshihah Maidin, 17, dan Nor Shamira, 15, akan ambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini. Mereka perlu lebih banyak belanja," ujarnya.
Selain itu, katanya, Nor Ain Eliya, 13, Mohd. Amirul, 10, dan anak kembarnya, Mohd. Shabani dan Mohd. Rabbani, 8, turut memerlukan wang saku untuk belanja sekolah.
"Lazimnya mereka ini, tidak membawa wang ke sekolah dan mengharapkan bantuan makanan yang disediakan menerusi Rancangan Makanan Tambahan," katanya.
Katanya, keadaan rumah membataskan tumpuan anak-anaknya untuk mengulang kaji pelajaran pada waktu malam kerana hanya menggunakan pelita minyak tanah.
Menurut Rosnani, dia berusaha mengangkut air bersih berulang kali bersama anak-anak sejauh 400 meter untuk keperluan mereka.
Dia memberitahu, pihak pengurusan Sekolah Kebangsaan Tualang Tinggi bersama Guru Besarnya, Halimah Mahfud terus menziarahi keluarganya dan menyampaikan sumbangan hasil derma guru-guru selepas mendapati ketiga-tiga anaknya tidak pernah membawa wang ke sekolah.
Dalam kepayahan yang terpaksa dilalui bersendirian, Rosnani amat mengharap suaminya pulang, lebih-lebih lagi apabila anaknya Mohd. Shabini disahkan oleh doktor menghidap penyakit buah pinggang dan terpaksa sering menjalani pemeriksaan.

No comments:

Post a Comment