KUALA LUMPUR 6 Mei - Polis hari ini menjelaskan, tindakan mengawal ketat keselamatan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra di wad Diraja Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) tidak bermakna baginda 'ditahan' di hospital.
Justeru, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim menegaskan, persoalan untuk memfailkan permohonan 'habeas corpus' tidak sepatutnya timbul.
Menurut beliau, kawalan ketat polis di hospital adalah bagi memastikan keselamatan Tuanku Ismail Petra terjamin berikutan insiden seorang pengawal istana ditembak pada minggu lalu.
"Polis telah menahan seorang kakitangan istana kerana disyaki terbabit dalam kejadian tembak itu dan ekoran itu, Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra menitahkan supaya polis meningkatkan kawalan keselamatan terhadap sultan.
"Tengku Muhammad Faris juga menyenaraikan nama lima individu yang dibenarkan untuk melawat sultan dan sesiapa yang tidak berkenaan, kecuali doktor serta jururawat yang merawat sultan, yang ingin berbuat demikian perlu mendapatkan kebenaran daripada Tengku Muhammad Faris," kata Amir Hamzah.
Lima individu tersebut adalah isteri baginda, Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Hamid, anakanda Tengku Muhammad Faiz Petra dan Tengku Amalin A'ishah Petra serta dua ahli keluarga terdekat.
Bagaimanapun, nama Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry tidak tersenarai.
Amir Hamzah berkata, polis sekadar melaksanakan titah pemangku raja dan menyeru orang ramai agar tidak mendengar khabar angin yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.
Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan, siasatan kes tembak membabitkan pengawal istana minggu lalu berjalan lancar dengan penahanan seorang kakitangan istana tersebut.
Amir Hamzah bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut kakitangan itu.
No comments:
Post a Comment