KUALA LUMPUR 6 Mei – Kementerian Kewangan diminta mengkaji kaedah pelantikan jawatan tertinggi dalam syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengerusi bagi memastikan tiada individu memegang beberapa jawatan penting serentak.
Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, langkah itu amat penting bagi memastikan individu yang diberi amanah menerajui GLC dapat melunaskan tanggungjawab mereka secara fokus.
Sebagai contoh dakwanya, seorang tokoh korporat, Datuk Mohd. Bakke Salleh didapati memegang dua jawatan penting sekali gus iaitu sebagai Pengerusi Bank Islam dan CEO sebuah anak syarikat Felda.
Beliau turut mempersoalkan adakah individu berkenaan mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat beberapa tugasan serentak sedangkan syarikat yang diterajui mereka membabitkan kepentingan awam.
“Soalnya kalau individu berkenaan menjadi CEO dalam anak syarikat Felda tetapi pada masa sama menjadi Pengerusi Bank Islam, macam mana dia nak buat kerja? Takkanlah tiada orang lain di negara ini yang boleh pegang jawatan itu.
“Kenapa satu orang boleh memegang dua atau tiga jawatan dalam GLC, kita tidak mahu ada pihak tertentu menggunakan peluang ini untuk kepentingan mereka.
“Kita nak biarlah individu yang dilantik melaksanakan tugas secara fokus, barulah GLC boleh beroperasi dengan baik,” katanya yang ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Sementara itu, Musa turut menyarankan Kementerian Kewangan supaya mengkaji latar belakang para CEO GLC sama ada pelantikan mereka dibuat atas kepakaran yang dimiliki atau kerana rapat dengan pemimpin tertentu.
Beliau berkata, dengan cara itu kerajaan dapat memastikan peneraju GLC benar-benar berkelayakan dan sekali gus dapat mengurangkan risiko menanggung kerugian.
“Kita bukan cemburu atau sakit hati dengan pelantikan mereka namun adakah latar belakang dan pengalaman mereka sudah mencukupi.
“Kalau memegang jawatan atas dasar merit, kita amat bersetuju namun kalau duduk di atas ‘merit sahabat’ kita tidak dapat terima,” tegasnya.
Beliau juga berharap semua pihak mengambil iktibar dengan kerugian yang ditanggung Pos Malaysia Bhd. bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang di GLC lain.
“Jadi kita minta kepada kerajaan khasnya Kementerian Kewangan supaya siasat perkara ini, kita tidak mahu CEO yang dilantik tiada pengalaman dan akhirnya menyebabkan kerugian.
“Sebagai contoh Pos Malaysia, ada yang kata rugi RM500 juta dan ada yang kata RM200 juta.
“Pada saya walaupun RM1 juta sahaja kerugiannya, ia tetap satu kerugian besar kepada wang rakyat,” katanya.
No comments:
Post a Comment