KOTA BHARU 6 Mei – Keluarga diraja Kelantan dukacita dengan sikap pihak berkuasa yang menghalang mereka daripada menziarahi Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra yang sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini.
Ayahanda saudara kepada baginda, Tengku Seri Utama Raja, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah berkata, beliau hairan hanya orang tertentu dibenarkan, sedangkan mereka yang mempunyai hubungan rapat termasuk anakandanya sendiri ditegah.
Beliau yang juga bekas Pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN) mendakwa, pihak berkuasa juga bertindak kasar ke pada kaum keluarga terdekat baginda yang memohon kebenaran secara baik untuk melihat baginda.
“Saya berasa amat dukacita dengan tindakan ini, kami bukan komunis atau gengster. Tidak patut langsung bertindak secara drastik dan kasar, lagi pun kami semua tidak biasa dengan perbuatan kasar begini.
‘‘Isteri saya, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra adalah kekanda sulung Tuanku, beliau pun tidak dibenarkan untuk menziarahi baginda.
‘‘Soalnya kenapa keluarga terdekat tidak dibenarkan melawat baginda dan orang yang tidak ada sangkut paut hubungan keluarga pun boleh keluar masuk, saya tidak faham,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tuanku Ismail Petra telah dibawa ke HUSM secara mengejut oleh sepasukan anggota polis ketika baginda dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada lewat petang kelmarin.
Baginda bersama Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dijadualkan bertolak ke Singapura pada pukul 7.50 petang hari tersebut bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut di Hospital Mount Elizabeth.
Pada 26 Mac lalu, Tengku Abdul Aziz dipecat daripada jawatan Pengerusi MPN dan tempat beliau digantikan oleh Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Almarhum Sultan Ibrahim.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di HUSM mendapati kawalan keselamatan masih ketat tetapi jumlah kehadiran anggota polis agak berkurangan berbanding sejak dua hari lalu.
Tengku Abdul Aziz berkata, ada di antara ahli keluarganya memberitahu keadaan kesihatan baginda terjejas teruk ekoran daripada kejadian yang berlaku kelmarin.
“Dengan apa cerita saya dapat, saya tak fikir Tuanku semakin baik sedangkan sebelum ini Tuanku telah menunjukkan perubahan yang amat memberangsangkan.
“Kalau saya sakit dengan keadaan keluarga bergaduh, orang luar pula masuk campur keadaan, saya sudah tentu akan menjadi lebih buruk,” katanya.
Tambahnya, anakanda baginda dan juga ahli keluarga sewajarnya diberikan kebenaran untuk menziarahi Sultan Ismail Petra untuk mengurangkan tekanan yang dihadapinya.
No comments:
Post a Comment