Friday, June 18, 2010

Mahkamah Tinggi pinda hukuman Tian Chua



KUALA LUMPUR 17 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini meminda hukuman ke atas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua daripada RM3,000 dan penjara enam bulan kepada denda RM2,000 atau penjara dua bulan, atas pertimbangan mengelakkan satu lagi pilihan raya kecil.
Hakim Datuk Ghazali Cha mengumumkan hukuman itu ke atas wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut yang disabitkan kesalahan mendatangkan kecederaan ke atas seorang anggota polis dengan cara menggigit lengannya, tiga tahun lalu.
Persoalan bagaimanapun timbul mengenai kedudukan Tian Chua sebagai ahli Parlimen kerana terdapat beberapa pandangan pengamal dan pakar perundangan yang hukuman itu menyebabkan statusnya sebagai wakil rakyat terlucut.
Mengikut Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz, jumlah denda tersebut akan menyebabkan Tian Chua hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen tetapi ia tidak akan berlaku pada masa ini selagi beliau mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan.
Katanya, Tian Chua mempunyai tempoh 14 hari untuk merayu atas hukuman itu dan jika rayuan tidak difailkan, barulah kedudukannya sebagai ahli Parlimen terlucut.
Sementara itu, seorang daripada peguam bela Tian Chua, Amer Hamzah Arshad ketika dihubungi malam ini berkata, pihaknya telah menghantar faksimile ke pejabat hakim bagi meminta bertemu hakim tersebut pagi esok bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.
''Kalau dikaji keputusan hakim hari ini adalah jelas bahawa beliau telah mengambil kira faktor pelucutan jawatan itu dan kerana itu beliau mengenakan hukuman tersebut supaya tidak menyusahkan pihak ketiga dan melibatkan kos yang tinggi (jika ada pilihan raya),'' katanya.
Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyebut, seseorang ahli Parlimen hilang kelayakan selepas disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesebuah mahkamah dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang satu tahun atau denda tidak kurang RM2,000.
Hakim Ghazali mengenakan denda tersebut setelah menolak rayuan Tian Chua atau nama sebenarnya, Chua Tian Chang, 47, atas sabitan tersebut setelah beliau tidak berpuas hati dengan keputusan Majistret Faizi Che Abu pada hujung tahun lalu.
Pada 22 Oktober tahun lalu, Faizi menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 ke atas Tian Chua setelah didapati bersalah menyebabkan kecederaan terhadap Konstabel Mohd. Rosyaidi Anuar, 23.
Anggota polis yang bertugas di Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ketika itu dicederakan di jalan masuk ke Bangunan Parlimen di sini pada pukul 10.45 pagi, 11 Disember 2007.
Tian Chua didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Ketika membaca penghakimannya, Hakim Ghazali menyatakan, keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Majistret tersebut adalah betul dan pemakaian undang-undang adalah tepat serta tidak perlu dipinda.
Hakim itu bagaimanapun memberitahu, majistret tersebut dilihat sebagai berlebih-lebihan dalam mengemukakan komen dan andaian tanpa membuat penilaian maksimum.
Menyentuh hukuman, hakim itu menyatakan, ia adalah tertakluk kepada budi bicara hakim atau majistret yang menjalankan perbicaraan itu kecuali kes-kes yang melibatkan hukuman mati.
Walaupun Tian Chua merupakan pesalah pertama, Hakim Ghazali menyatakan, tiada keistimewaan patut diberikan kepadanya hanya kerana beliau seorang ahli Parlimen.
''Bagaimanapun, seandainya hukuman yang dijatuhkan boleh menjadikan perayu tidak layak menjadi seorang ahli Parlimen maka satu kesan yang akan timbul adalah pilihan raya kecil.
''Seperti mana yang diketahui, pilihan raya kecil memerlukan perbelanjaan yang besar dan memberi kesan kepada keseluruhan rakyat negara ini.
''Di atas alasan ini, saya berpendapat, satu hukuman yang setimpal yang tidak melibatkan banyak pihak merupakan satu hukuman yang adil. Maka, hukuman yang dijatuhkan oleh majistret diketepikan dan diganti dengan denda RM2,000 atau penjara dua bulan,'' ujarnya.
Hakim itu juga, ketika membaca penghakimannya sempat memberi nasihat kepada ahli Parlimen itu agar menunjukkan teladan yang baik kepada semua rakyat terutama mereka yang mengundinya.
Beliau juga meminta Tian Chua menjauhi agenda-agenda yang tidak mendatangkan keuntungan kepada negara.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hanafiah Zakaria dan dibantu oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusof serta Lee Keng Fatt.
Selain Amer Hamzah, Tian Chua turut diwakili Ranjit Singh, Razlan Hadri Zulkifli dan Jason Tay.

No comments:

Post a Comment