Friday, June 18, 2010

Seorang Warga Emas Maut Akibat Kemalangan Di KM10 Jalan Gambang Pagi Tadi !!



KUANTAN, 18 Jun [4.20 pm] - Seorang wanita terbunuh selepas kereta yang dipandunya dirempuh sebuah bas dalam satu kemalangan di kilometer 10, Jalan Kuantan-Gambang, di sini pagi tadi. Dalam kejadian pada 9.30 pagi itu, Maimun Abdullah, 64, meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang kereta itu, Suharto Wiryadi, 53, dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dada. Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata, ketika kejadian, kereta yang dipandu Maimum dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Gambang. "Kenderaan berkenaan yang berada di lorong kiri jalan dipercayai masuk ke lorong kanan jalan sebelum dirempuh dari arah belakang oleh sebuah bas yang menuju ke Bahau dari laluan yang sama," katanya. Beliau berkata bas yang membawa 20 penumpang itu kemudian mengheret kereta tersebut sehingga ke pembahagian jalan dan melanggar beberapa batang pokok sebelum kedua-dua kenderaan terbalik di jalan bertentangan. Kesemua penumpang bas berkenaan mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan pesakit luar. Seorang penumpang bas, Saniah Jahari, 46, berkata, beliau melihat kereta itu cuba mengelak pelepah pokok yang terjatuh di atas jalan sebelum memasuki laluan di hadapan bas berkenaan.

[PDO mengucapkan salam takziah kepada keluarga mangsa kemalangan terbabit. Jika benar mangsa mengelak pelepah pokok yang terjatuh di atas jalan, maka ternyata ia sungguh malang sekali. Pihak yang terbabit perlulah mengambil tindakan tegas dalam hal ini. Ke mana perginya pemantauan yang dibuat oleh pihak Majlis Perbandaran Kuantan selama ini. Bukankah mereka mempunyai unit khas untuk menebang pokok dan dahan-dahan yang boleh menganggu lalu lintas. Apa yang berlaku kepada mangsa harus dijadikan tauladan kepada semua pihak. Paling penting, sebelum memasuki lorong bersebelahan sila gunakan cermin sisi untuk melihat sama ada kenderaan lain ada atau tidak dilaluan tersebut].

No comments:

Post a Comment