Monday, June 28, 2010

Afghanistan: Perang tanpa kemenangan


- SUHAIMI MOKHTAR

Pentadbiran Presiden Barack Obama mengambil keputusan memecat Panglima Pemerintah Tertinggi tentera Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan, Jeneral Stenley Mcchrystal dan digantikan dengan Jeneral David Petraeus untuk meneruskan operasi ketenteraan 'Mushtarak' di Afghanistan bagi melenyapkan kebangkitan pejuang islam yang berjuang di bawah panji-panji Taliban dan Al-Qaeda. 

Pemecatan ini atau permintaan untuk meletakkan jawatan oleh Jeneral Mcchrystal mengambil tempat apabila Mcchrystal dipanggil menghadap Obama di Rumah Putih di Washington akibat dari kenyataan Mcchrystal dan pembantunya yang memandang rendah terhadap beberapa kenamaan yang berkhidmat menasihati Obama dalam hal ehwal keselamatan. 

Dalam satu interviu yang ditulis oleh Micheal Hastings yang bertajuk “A Runaway General”, Jeneral Mcchrystal dan pembantunya memandang rendah beberapa tokoh individu dalam Pentadbiran Obama.Ada yang mereka panggil pembantu-pembantu Obama ini sebagai “pelawak”. 

Apa yang berlaku membayangkan wujudnya perbezaan pendapat dan pandangan yang ketara antara Pentadbiran Obama dengan Panglima Operasi “Mushtarak”, Jeneral Mcchrystal yang telah menghantar pasukannya memasuki Kandahar, kubu kuat Pejuang Taliban, setelah dikatakan berjaya memasuki Marjah, wilayah Helmand. 

Jeneral Mcchrystal merupakan Panglima Pemerintah yang mempunyai hubungan yang akrab dengan Presiden Hamid Karzai, salah satu anasir penting dalam strategi perang diAfghanistan bagi memperlihatkan kesatuan dalam tindakan bagi memenangi hati nurani rakyat Afghanistan dalam perang yang telah berlangsung lebih Sembilan tahun, sejak 2001. 

Kemenangan perang Afghanistan mesti melalui kemenangan perang saraf memenangi hati nurani rakyat Afghanistan dan bukan setakat kemenangan disegi ketenteraan dimedan tempur semata-mata. Untuk memenangi hati nurani rakyat Afghanistan tidaklah semudah sebagaimana yang tertulis, sarat dengan janji dan rancangan. 

Mcchrystal merupakan jeneral yang meminta supaya tentera AS ditambah sejumlah 40,000 anggota lagi menjadikannya lebih 100,000 anggota bagi memenangi dan meningkatkan serangan terhadap pejuang Taliban dan Al-Qaeda. 

Sebanyak 35,000 tambahan anggota dipersetujui dan telah dihantar ke Afghanistan bagi menggempur kedudukan Taliban. Tentera AS dan sekutunya dijadualkan berundur akhir 2011, apabila pasukan keselamatan Afghanistan yang telah menerima latihan yang intensif mampu mengambil alih tugas dan tanggungjawab keselamatan. 

Bagaimana pun perancangan yang tersurat tidak menyamai yang tersirat. Sejak mutakhir ini situasi perang tidak seluruhnya menyebelahi tentera penakluk AS dan tentera berikat Nato. Serangan bom kian meningkat termasuk serangan pengebom berani mati menyebabkan ramai anggota keselamatan Afghanistan terbunuh dan tidak terkecuali juga anggota tentera AS dan Nato. 

Setakat ini 1,125 anggota tentera AS terbunuh, tentera berikat 424 dan 300 tentera British sejak penaklukan dan penggulingan kerajaan Taliban pada 2001. Jumlah semua yang terbunuh ialah 1849 dan pada bulan Jun ini merupakan bulan paling ramai tentera penakluk dan sekutunya yang terkorban. 

Akibat dari jumlah anggota tentera yang terkorban terus meningkat dan Pejuang Taliban terus mampu melakukan serangan hatta di tengah-tengah ibu negara Afghanistan, Kabul, ia membayangkan bahawa AS dan sekutunya jauh dari memenangi peperangan, apalagi untuk memenangi hati nurani rakyat Afghanistan. 

Penambahan tentera dan peningkatan serangan oleh tentera AS dan sekutu Nato termasuk serangan melalui drone, kapalterbang tanpa juruterbang, milik Pusat Agensi Perisikan (CIA), tidak pun memberi kesan besar dalam perimbangan situasi perang di Afghanistan. 

Serangan melalui drone, kadang-kadang menyebabkan orang awam menjadi korban dan keadaan ini telah menimbulkan kemarahan rakyat Afghanistan dan menyebabkan penduduk lebih bersimpati kepada perjuangan Taliban dan menyulitkan lagi strategi untuk memenangi hati nurani rakyat. Bukan hati nurani rakyat yang dimenangi, tetapi kebencian rakyat diperolehi. 

Dalam usaha dan strategi serampang dua mata – memenangi perang di medan tempur dan memenangi hati nurani rakyat- Regim Hamid Karzai yang diangkat oleh AS dan sekutunya telah mengadakan persidangan dengan mengumpulkan pimpinan ketua-ketua etnik seluruh Afghanistan untuk mencapai kata sepakat mencari titik-titik bagi pengakhiran perang Afghanistan. 

Hamid Karzai telah mempelawa pihak Taliban untuk berunding tetapi telah ditolak mentah-mentah oleh Taliban. Selagi tentera penakluk masih ada di Afghanistan selagi itu perang tidak akan berakhir. Regim Karzai tidak mampu berdiri sendiri untuk survival tanpa bantuan dan kahadiran tentera AS dan Nato. 

Dengan meningkatnya jumlah tentera AS dan sekutunya yang terbunuh, menjadikan perang Afghanistan makin mendapat bantahan. Rakyat negara-negara tentera mereka terlibat dalam perang Afghanistan sudah memprotes penglibatan tentera mereka dan ia kini menjadi laibaliti kepada kerajaan-kerajaan berkenaan. 

Presiden Obama dalam kenyataannya memecat Mcchrystal mengatakan bahawa pertukaran pimpinan tentera peringkat paling tinggi di Afghanistan yang melibatkan saorang pengatur strategi tidak akan mengubah polisi AS dan Nato di Afghanistan. David Petraeus akan meneruskan dasar dan strategi yang diperkenalkan oleh Mcchrystal. Petraeus terkenal sebagai Panglima Pemerintah Tertinggi tentera AS yang melaksanakan strategi “gempur” di Iraq dibawah pentadbiran Bush. 

Pertukaran kepimpinan tertinggi tentera AS di Afghanistan ini memberi petanda bahawa strategi ketenteraan AS dan Nato di Afghanistan buntu dan gagal. Jeneral Mcchrystal dikatakan sengaja mengadakan alasan dengan komennya, untuk mencari jalan keluar dari kegagalan strateginya yang mnecadangkan tambahan tentera di Afghanistan. 

Tambahan tentera tidak memberi impak besar kepada keadaan perang di Afghanistan. Bahkan ia telah menyebabkan lebih ramai tentera AS dan sekutunya terbunuh ,kerana apabila terdapat lebih ramai tentera maka tentulah lebih banyak terbuka peluang untuk menjadi sasaran serangan. 

Perbezaan pandangan juga kini terserlah apabila kerajaan baru pakatan Parti Konservatif dan Parti Liberal Demokrat yang dipimpin Perdana Menteri (PM) David Camaron menyatakan bahawa tentera British yang merupakan kedua terbesar di Afghanistan, dengan jumlah 9,500 akan terus kekal di Afgha nistan selama lima tahun lagi. selama era pemerintahan lima tahunnya. 

Kenyataan Camaron di Canada, venue persidangan negara kaya G-8 dan persidangan negara kaya dan negara ekonomi baru muncul, G-20 ini, agak tidak sama dengan pandangan Obama yang mahu mengeluarkan tentera AS dari Afghanistan selewatnya pada akhir 2011. 

Tetapi mampukah Camaron menganjakkan masa selama itu, sedangkan pendapat umum anti perang di kalangan rakyat British kian meningkat. 

Salah satu punca calun Parti Republikan AS kalah dalam pilihan raya presiden adalah kerana isu perang di Afghanistan dan Iraq. Tony Bliar meletakkan jawatan Perdana Menteri (PM) United Kingdom (UK) dan menyerahkannya kepada Gordan Brown berpunca dari tentangan rakyat terhadap polisinya menyertai AS dalam perang di Iraq dan Afghanistan. 

Brown dan kerajaan Parti Buruh pula menerima nasib ditolak pengundi yang memilih Konservatif dan Liberal Demokrat menubuhkan kerajaan baru UK. 

Dalam keadaan tiada kemenangan yang dicapai dalam perang di Afghanistan dan di Iraq, dan walaupun perang kini menjadi laibailiti, tetapi ia akan terpaksa diteruskan oleh AS dan sekutunya untuk satu tempuh yang tidak dapat ditentukan. 


* Penulis ialah Perunding Media di Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment