Monday, June 28, 2010

Nenek nikah di sempadan

15/7

SONGKHLA (Selatan Thailand): Pepatah cinta tidak mengenal usia mendorong seorang nenek berusia 60 tahun berkahwin dengan pasangannya berusia 40 tahun di Majlis Agama Islam Wilayah Songkla (Mais) kerana tidak mendapat restu keluarga masing-masing.
Urusan pernikahan tidak terlalu rumit kerana pasangan tidak perlu membawa wali, sijil keizinan berkahwin daripada Jabatan Agama Islam, sijil kursus kahwin, sijil mengenai status kesihatan sama ada bebas daripada HIV atau Aids dan juga wang hantaran, pasangan dari Malaysia bebas berkahwin di negara jiran dengan bayaran serendah RM450 untuk urusan lengkap.
Berikutan terlalu mudah berkahwin di negara jiran terutama di Selatan Thailand, ramai pasangan termasuk selebriti dan berstatus elit yang ingin berkahwin lagi membuat keputusan berkahwin di situ.
Yang Dipertua Mais merangkap Kadi Syarie Wilayah Songkhla, Zakaria Saleh, berkata dianggarkan kira-kira 100 pasangan Malaysia bernikah setiap bulan di selatan Thailand, iaitu paling tinggi berbanding pasangan negara jiran lain.
Ada satu kes seorang wanita berusia 60 tahun bernikah dengan pasangannya berusia 40 tahun kerana lebih mudah dan tidak diketahui umum dan ada juga pasangan bernikah seawal usia 20-an kerana cinta terhalang akibat hubungan tidak direstui keluarga, katanya.
Zakaria berkata, pihaknya tiada halangan menikahkan pasangan yang berhasrat mendirikan rumah tangga, tetapi perlu memenuhi syarat ditetapkan, mempunyai dokumen diperlukan serta tidak menggunakan ejen sindiket nikah palsu yang dilaporkan banyak berlaku kebelakangan ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak sewenang-wenangnya menikahkan setiap pasangan kerana mahu melihat dokumen pasangan masing-masing kerana sijil nikah dikeluarkan perlu diserah kepada pejabat konsulat Malaysia di Songkhla untuk pengesahan.
Pasangan terbabit perlu membawa surat nikah Thailand, surat pengesahan Majlis Agama Islam wilayah berkenaan dan salinan kad pengenalan pasangan suami isteri bagi mendapatkan surat pengesahan konsulat.
Surat pengesahan nikah daripada pejabat konsulat itu diperlukan bagi setiap pasangan untuk mendaftar perkahwinan di Pejabat Agama Islam di daerah masing-masing, katanya.
Sementara itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan, berkata sepanjang tempoh Januari hingga Mei lalu, pihaknya menerima 1,321 permohonan rakyat Malaysia yang berkahwin di situ.
Daripada jumlah itu, pasangan Malaysia yang berkahwin sesama negara ialah 999 permohonan, pasangan Malaysia-Thailand (186), Malaysia-Indonesia (19), Malaysia-Pakistan (18), Malaysia-Bangladesh (dua permohonan).
Statistik perkahwinan membabitkan rakyat Malaysia sejak tahun lalu ialah 2,172 permohonan; 2008 (2,342); 2007 (1,944); 2006 (845); 2005 (314); 2004 (55); 2003 (98); 2002 (67) dan 2001, 73 permohonan pengesahan pernikahan, katanya.
Menurutnya, surat pengesahan nikah daripada pejabat konsulat itu diperlukan bagi setiap pasangan terbabit untuk mendaftar perkahwinan di Pejabat Agama Islam di daerah masing-masing.
Pendaftaran ini perlu bagi memastikan setiap pihak terbabit mendapat hak seperti diperuntukkan dalam Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia, katanya.
Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment