Monday, June 28, 2010

Reput


Oleh Safuri Kamarudin
bhnews@bharian.com.my
2010/06/28

Pokok ketapang lebih 50 tahun dibimbangi timpa peniaga 

BALING: Sebatang pokok ketapang dipercayai berusia lebih 50 tahun yang semakin reput berdekatan bulatan di jalan Parit Panjang ke Kuala Ketil, dekat sini, menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai yang melalui jalan berkenaan.
Tinjauan Berita Harian mendapati ada di antara dahan pokok yang rendang itu semakin reput dan boleh patah bila-bila masa saja, terutama ketika angin kencang dan hujan lebat, sekali gus membahayakan nyawa dan harta benda.

Malah, lebih membimbangkan ada pemandu yang mungkin tidak menyedari keadaan itu, meletakkan kenderaan mereka di bawah pokok itu kerana redup, selain ada penduduk yang berniaga di situ. 

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Parit Panjang, Jamaludin Abdullah, 42, berkata keadaan pokok sudah berusia itu boleh membahayakan nyawa dan harta benda kerana banyak dahannya yang sudah reput dan mati. 

Katanya, sebelum ini beberapa kejadian dahan pokok terbabit patah dan jatuh sehingga hampir menimpa orang ramai yang berteduh di situ. 

Beliau berkata, lokasi pokok yang besar dan tinggi itu juga kurang sesuai kerana berada dekat dengan bangunan kedai, selain di tepi jalan, menyebabkan ia boleh mengundang kejadian tidak diingini, terutama ketika angin kencang dan hujan lebat, 
“Kami berharap Majlis Daerah Baling (MDB) menebang atau mencantas dahan pokok berkenaan kerana jika dibiarkan ia boleh membahayakan nyawa orang ramai yang lalu di situ. 

“Ada pemandu yang mungkin tidak menyedari bahaya berkenaan, meletakkan kenderaan di bawahnya kerana inginkan keadaan redup," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini. 

Jamaludin berkata, walaupun penduduk sekitar mengetahui bahaya pokok berkenaan, mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbang dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa jika menebangnya tanpa kebenaran MDB. 

Katanya, sebahagian dahan pokok itu juga mencecah wayar elektrik yang merentangi kawasan itu yang mana jika ia tumbang, sudah pasti mengganggu pengaliran arus elektrik sehingga membahayakan nyawa dan harta benda penduduk berdekatan. 

Seorang penduduk, Abdul Halim Hanafiah, 55, berkata, MDB wajar bertindak segera menebang atau mencantas dahan pokok itu segera sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku. 

“Pihak berkuasa juga boleh menanam pokok lain yang lebih sesuai sebagai ganti jika pokok ketapang itu ditebang," katanya. 

No comments:

Post a Comment