Monday, June 28, 2010

Melaka: Pasar malam haram


Oleh Arifin Salleh
bnews@bharian.com.my
2010/06/28

Peniaga pacak gerai di tengah pekan ganggu keselesaan penduduk 

MASJID TANAH: Orang ramai di kawasan Kuala Sungai Baru, dekat sini, merayu pihak berkuasa terbabit mengambil tindakan segera ke atas sebuah `pasar malam segera' di situ yang dianggap mengganggu keselesaan mereka.
Selain menyebabkan kesesakan dan menjejaskan pemandangan di kawasan terbabit, pasar berkenaan juga didapati menjadi punca bau busuk dan meloyakan di kawasan berkenaan hampir sepanjang malam.Bagi mereka, kewujudan pasar itu tidak diperlukan buat masa ini dan operasinya perlu dihentikan dengan segera supaya tidak menimbulkan lebih banyak masalah kepada penduduk dan orang ramai yang melalui kawasan itu. 

Tinjauan Berita Harian mendapati pasar malam itu beroperasi di sebuah kawasan lapang di hadapan bangunan Mara yang sedang dalam pembikinan. 

Ia beroperasi dari jam 5 petang hingga larut malam, bergantung kepada kehadiran pengunjung. Ada kalanya mengikut orang ramai yang sering berada di situ, ia tidak beroperasi pada malam tertentu. 

Ada dakwaan mengatakan pasar malam berkenaan tidak pernah mendapat kebenaran pihak berkuasa atau restu wakil rakyat di situ, Ismail Othman. Bagaimanapun, peniaga terus beroperasi kerana setakat ini belum pernah ada serbuan dilakukan bagi menghentikannya. 
Seorang penduduk kampung yang mahu dikenali sebagai Jaidin Ali, 55, ketika ditemui, melahirkan rasa tidak senang dengan kewujudan pasar malam berkenaan yang didakwanya menimbulkan banyak masalah kepada orang ramai. 

Katanya, kebanyakan peniaga terbabit didapati menjual pelbagai jenis bahan mentah dan basah, termasuk ikan, udang, sotong, daging dan sayur-sayuran sekali gus menjadi punca bau busuk di situ. 

"Kalau nak diikutkan, tapak gerai pasang siap yang diletakkan di situ betul-betul di hadapan bangunan MARA yang belum siap sepenuhnya. 

"Mereka (peniaga terbabit) sepatutnya faham kawasan lapang di situ bukan untuk berniaga. Tambahan pula banyak rumput hijau yang baru ditanam di kawasan itu mati kekeringan apabila dijadikan tapak untuk berniaga," katanya. 

Jaidin tidak menolak kemungkinan pihak terbabit mempunyai `kekebalan' sehingga tidak ada yang berani menegur mereka. 

Azizi Yazid, 37, yang kerap berulang alik pagi dan petang melalui kawasan itu untuk ke tempat kerja, mengakui kerap tersangkut di situ akibat kesesakan teruk berikutan banyak kenderaan berhenti untuk ke pasar malam berkenaan. 
Beliau juga mengakui bau busuk dan hanyir dari kawasan berkenaan memang amat mudah dihidu di situ pada setiap petang. 

"Keadaan ini sepatutnya dipantau oleh pihak berkuasa tempatan. Peniaga yang menjalankan perniagaan di situ perlu mematuhi arahan dikeluarkan oleh pihak berkenaan jika mereka tidak mahu dikenakan sebarang tindakan. 

"Saya fikir pihak berkuasa terbabit perlu bertindak segera memindahkan pasar malam itu bagi memulihara keindahan dan kebersihan pekan ini daripada tercemar," katanya. 

No comments:

Post a Comment